Beberapa hari lepas, seorang rakan berkongsi kisah seram dirinya terperangkap di kawasan jirat Cina pada satu malam di Maluri, Kuala Lumpur. Selepas berjaya keluar, dia cuba mencari kawasan itu keesokan harinya tetapi gagal. Sebaik mendengar kisah tersebut, penulis percaya rakan itu sebenarnya mengalami satu fenomena yang dipanggil gelinciran masa.

Gelinciran masa secara ringkasnya bermaksud kejadian paranormal yang dilihat seseorang di satu tempat yang sama tetapi ia berlaku bertahun-tahun sebelumnya. (Everett, 2021) Pendek kata, sesiapa yang mengalami kejadian tersebut sebenarnya telah mengembara ke tempat itu pada masa silam untuk tempoh masa tertentu. Tak perlu kereta Marty McFly atau TARDIS milik The Doctor untuk alaminya!

Dalam kes rakan penulis ini, kawasan jirat Cina yang dilalui tidak pernah dilihatnya walau sudah lama bergelar anak jati Kuala Lumpur. Rupanya, seorang rakan lain menyatakan kemungkinan jirat tersebut pernah wujud antara 1900 hingga 1960-an sebelum ianya dipindahkan ke kawasan lain pada tahun 70-an untuk tujuan pembangunan. Di luar negara, terdapat banyak anekdot aneh individu-individu yang mengalami peristiwa paranormal ini.

Pada tahun 80-an, seorang wanita bernama Caroline Anders berpindah ke Devon atas urusan kerja bersama Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK (NHS). Pada satu hujung minggu, dia bersama beberapa orang rakan bergerak ke bandar Plymouth untuk menghadiri satu majlis keraian. Dalam perjalanan, Anders melihat sebuah gereja yang indah dan dipenuhi oleh ramai orang.

Anehnya, rakan-rakanya langsung tidak melihat apa yang disaksikannya. Kemudian, beberapa minggu berikutnya, teman lelakinya Phil mengajak Anders untuk bersiar-siar di Plymouth Hoe. Sebaik mereka melepasi gereja, alangkah terkejutnya dia melihat gereja yang disaksikan sebelum ini hanya tinggal runtuhan saja.

Lantas, Anders menceritakan apa yang dilihatnya sebelum ini kepada Phil. Teman lelakinya yang merupakan anak jati kawasan itu memberitahu gereja yang dipanggil Gereja Charles sememangnya aktif sehingga era Pe.ra.ng Dunia Kedua di mana ia dibom oleh pihak Jerman. Sejak itu, ia dibiarkan agar dijadikan sebagai memorial kepada orang yang telah pergi. (Everett, 2021)

Sesetengah penyiasat paranormal berspekualsi gelinciran masa sentiasa berlaku di kawasan bersejarah di mana peristiwa signifikan berlaku di situ. Misalnya, pada 2011, pakar perhubungan Rhian Kivits melawat Kuil Karnak di Luxor, Mesir. Pada ketika itu, Mesir merupakan antara negara yang dilanda gelombang kebangkitan Arab Spring.

Rajah 1: Mungkinkah patung Ramses II ini yang disaksikan Kivits semasa mengalami gelinciran masa pada 2011?

Kivits sedang mengamati sebuah patung dewi Mesir Purba apabila dia merasakan dirinya seperti hilang keseimbangan. Sebaik dia sedar, patung yang dilihatnya itu kini baru dan bersinar dengan kawasan sekelilingnya penuh dengan orang Mesir Purba memuja patung itu. Kivits memberitahu dia dapat mendengar percakapan rakan di sebelahnya tetapi percakapannya seolah-olah seperti berbisik.

Dia turut mengalami perkara sama di Istana Compton di Devon. Semasa melawat istana berkenaan, dia melihat seorang kesatria berpakaian sut perisai berjalan melepasinya di situ. Sementara di Istana Leeds di Kent, seorang wanita bernama Alice Pollock merasa terkejut melihat sebuah bilik bertukar rupa dan seorang wanita tinggi berpakaian putih berjalan mundar-mandir di situ. (Everett, 2021)

Dia kemudiannya mendapati bilik tersebut pernah dihuni oleh Permaisuri Joan of Navarre. Semasa hayatnya, baginda pernah bergelar isteri kepada pemerintah England Raja Henry IV. Tetapi nasibnya berubah apabila dituduh mengamalkan sihir oleh putera tirinya Raja Henry V sekaligus mengakibatkan Joan dipen.ja.rakan di Istana Pevensey, Sussex sebelum dipindahkan ke Istana Leeds. Baginda hanya dibebaskan enam minggu sebelum Henry V mangkat pada 1422. (Jones, 2014)

Rajah 2: Istana Leeds menjadi saksi senyap gelinciran masa yang dialami Alice Pollock.

Fenomena gelinciran masa ini sememangnya membingungkan ramai pihak termasuk penyiasat paranormal. Bagi Rodney Davis, penyelidik dan penulis buku Time-Slips: Journeys into the Past and Future, beliau mempunyai satu teori tersendiri.

Davis percaya masa silam, masa sekarang dan masa hadapan sebenarnya merupakan aliran masa yang sama. Tetapi disebabkan keupayaan manusia yang terhad dalam menafsir perkara ini, manusia hanya mampu merasai apa yang dilalui sebagai masa sekarang. (Everett. 2021)

Berdasarkan kajiannya, ada individu yang mengalami gelinciran masa untuk tempoh masa lama kadang-kadang sehingga sehari. Ada yang mempunyai pengalaman menginap, membeli barangan era tertentu atau berinteraksi dengan individu dari era tertentu. Dan Davis tidak menolak jika sesetengah kes individu yang hilang berpunca daripada gelinciran masa.

Benar, komuniti saintifik menganggap perkara sebegini sebagai mengarut dan mustahil untuk ia berlaku. Tetapi dalam alam semesta ciptaan Tuhan ini, tiada yang mustahil dengan izin, kudrat dan iradat-Nya yang Maha Luas. Bagi penulis, gelinciran masa merupakan satu lagi kejadian ciptaan-Nya yang penuh misteri.

Nota kaki

  • Kereta Marty McFly – kereta DeLorean yang diubahsuai sebagai mesin masa yang digunakan protagonis dalam filem Back to the Future.
  • TARDIS – mesin masa yang digunakan protagonis The Doctor dalam siri sains fiksyen terbitan BBC Doctor Who.
  • Arab Spring – siri demonstrasi anti-kerajaan dan pemberontakan terhadap rejim-rejim diktator di sebahagian negara-negara Arab pada awal dekad 2010-an. Bermula sebagai tindak balas kepada isu ekonomi dan rasuah negara-negara terlibat serta dipengaruhi oleh Revolusi Tunisia.

Glosari

  • anak jati – simpulan bahasa yang bermaksud seseorang yang dilahirkan dan biasanya dibesarkan di sesuatu tempat.
  • paranormal – perkara yang tidak dapat dijelaskan secara rasional atau saintifik.
  • jirat – perkataan seerti untuk kubur. Merujuk kepada kubur orang bukan Islam.

RUJUKAN:

Everett, Flic. (2021, 16 Mei). Have you ever experienced a time slip?. Daily Mail.

Jones, Michael (2014, 29 Mei). “Joan [Joan of Navarre] (1368–1437)”. Oxford Dictionary of National Biography. Oxford University Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.