Cakap pasal evolusi ni, ramai lagi antara korang yang mengganggap ilmu ini tidak bersesuaian dengan apa yang Islam sampaikan. Tapi, sebenarnya sebelum Darwin lahir lagi, telah ada tiga orang ilmuan Islam membawa teori evolusi!
Siapakah tiga orang ilmuan yang telah mendahului Darwin? Adakah teori yang mereka bawakan sama dengan teori yang Darwin bawa?
1. Al-Jahiz
Ilmuan Islam pertama yang membawa teori evolusi ialah Al-Jahiz. Nama sebenarnya ialah Abu Uthman Amr bin Bahr al-Fukaymi al- Basri, seorang penyair dan ahli teologi terkenal di Afrika Timur pada abad ke-9 Masihi.
Menurut buku tulisan beliau iaitu Kitāb al-Ḥayawān, evolusi terdiri dari tiga cara atau mekanisme: usaha untuk hidup, perubahan spesis kepada spesis sesama yang lain, dan perubahan akibat faktor sekeliling.
Kalau diamati betul-betul tulisan Al-Jahiz ini, ia menepati dengan ciri-ciri pemilihan alamiah yang telah Darwin kemukakan, di mana spesis yang hidup lama akan kekal dan melahirkan spesis baru yang mampu bertahan dari ancaman sekeliling.
2. Nasir ad-Din Tusi
Ilmuan kedua pula ialah Nasir ad-Din Tusi, seorang ahli matematik, jurutera, dan ahli perubatan dari Iran pada abad ke-13 Masihi. Tusi juga begitu terkenal di zamannya sehingga Ibnu Khaldun mengganggap Tusi sebagai salah satu ilmuan Islam Parsi yang terbaik.
Dalam buku beliau berjudul Akhlaq-i-Nasri, Tusi menulis tentang evolusi alam semesta di mana pada awalnya alam tersebut mempunyai bahan elemen yang sama, kemudian berlaku perubahan ketika mengembang dan lahirnya bahan elemen yang berbeza.
Beliau juga menulis bagaimana bahan elemen dari angkasa berubah kepada mineral, kemudian menjadi tumbuhan, haiwan, akhirnya berubah menjadi manusia.
3. Muhammad al-Nakhshabi
Ilmuan Islam ketiga ini ialah Muhammad al-Nakhshabi, iaitu ahli teologi dari kerajaan khalifah Fatimiyah pada abad ke-10 Masihi. Beliau juga mempunyai pandangan yang sama dengan Nasir as-Din Tusi tentang evolusi iaitu bermula dari bahan elemen di angkasa berubah kepada hidupan lain, termasuklah manusia.
Inilah tiga-tiga ilmuan Islam yang membawa teori evolusi mengikut fahaman mereka sehinggalah lahirnya Charles Darwin mengemukakan ilmu evolusi yang lengkap.




No comments yet