Tiga buah bangkai kapal ditemui di pantai kecil Kasos, Laut Aegean.

Dalam sebuah kenyataan yang disiarkan pada Isnin (4 November), Kementerian Kebudayaan Greece menyatakan bahawa sebuah usaha penerokaan sublaut yang didanai oleh Kasos Association of New York dan disokong oleh Majlis Perbandaran Pulau Kasos telah menemukan tiga buah bangkai kapal yang masih mengandungi sebahagian besar kargo mereka.

Para penyelam yang terlibat berjaya mengenal pasti lokasi berkenaan di pantai Pulau Kasos, Laut Aegean dalam sebuah kerja tinjauan laut dalam yang berakhir pada bulan lalu. Ahli-ahli arkeologi marin melaporkan bahawa mereka telah menemukan sejumlah meriam, sauh batu, tembikar, pinggan mangkuk yang masih elok, dan artifak-artifak berharga lain.

Meriam Besi ditemukan di dalam bangkai kapal

KAPAL-KAPAL DAGANG BERSEJARAH

Pulau Kasos terletak di antara Crete dan Rhodes, di atas laluan perdagangan maritim bersejarah yang menghubungkan antara Timur Tengah dan Aegean. Menurut Greek Reporter, bangkai kapal tertua di antara kapal-kapal yang ditemukan itu adalah sebuah kapal dagang berusia 2300 tahun. Di dalam kapal tersebut, ahli-ahli arkeologi menemukan lima buah sauh batu, pinggan mangkuk yang masih elok dan sejumlah amphorae (balang tanah liat yang digunakan untuk menyimpan minyak, arak dan makanan). Dua kapal lain yang turut ditemui masing-masing berusia dari kurun pertama Sebelum Masehi dan kurun ke-8 hingga kurun ke-10 Masehi.

Sauh batu dari bangkai kapal yang datang dari penghujung zaman klasik


BANGKAI KAPAL YANG LAMA MAHUPUN BARU

Sebuah artikel di National Herald menyebutkan bahawa fasa projek ini memerlukan penglibatan seramai ’67 orang penyelam’ yang bersama-sama melakukan peninjauan ke atas lebih satu pertiga daripada keluasan tapak yang ditetapkan semasa musim penerokaan 2019. Mereka merancang untuk menyambung kerja-kerja menyelam pada tahun 2020 dan akan terus melanjutkannya sehingga penghujung tahun 2021. Ahli-ahli arkeologi masih perlu ‘menemukan, mengkaji dan mengenal pasti’ bahagian badan kapal-kapal purba ini, yang suatu masa dahulu pernah berlayar di laluan laut yang penting yang berfungsi sebagai laluan rentas-budaya antara dunia timur dan barat selama berkurun-kurun.

Sebuah kapal kurun ke-8 atau ke-10 Masehi (era Byzantine) ditemui bersama sebuah kapal Yunani yang dipercayai karam pada kurun pertama Sebelum Masehi. Namun, bangkai kapal tertua yang terbengkelai di Pulau Kasos memiliki usia yang menjangkau kurun ke-4SM. Menambahkan lagi nilai penemuan ini, kapal yang paling purba itu jugalah merupakan kapal yang mengandungi paling banyak kargo, atau artifak berharga berupa empat jenis tembikar purba.

Kerja-kerja menaikkan amphora dari bangkai kapal era Byzantine


2019 – TAHUN KAPAL-KAPAL HANTU

Kasos, dan wilayah sekitarnya berfungsi sebagai laluam persimpangan maritim selama ratusan tahun di mana barangan eksotik dari dunia timur datang dan masuk ke dalam tamadun-tamadun yang terdapat di bahagian timur Mediterranean. Walau bagaimanapun, tidaklah semua penemuan yang dilakukan ini berasal daripada dunia purba. Menurut Greek Reporter, ‘kapal terakhir’ yang ditemui oleh para penyelam arkeologi di sana adalah sebuah kapal era moden yang membawa bahan-bahan pembinaan. Terdapat juga sebuah bangkai kapal lain yang ditemui, berusia dari era Perang Kemerdekaan Greek pada 1820an.

Bingkai-bingkai dan paip-paip dari bangkai kapal yang datang dari zaman revolusi Greek

Bangkai kapal kurun ke-4SM, dengan kesemua tembikarnya adalah berlainan jenis, datang dari kurun yang sama dengan sebuah bangkap kapal yang dianggap sebagai “bangkai kapal lengkap yang paling tua di dunia”, yang disebutkan di dalam artikel The Guardian pada Oktober telah ditemukan di dasar Laut Hitam pada awal tahun ini. Dengan usia 2400 tahun, kapal purba Yunani yang sebesar 75 kaki (23m) itu ditemui dalam keadaan yang hampir sempurna, masih lengkap dengan kemudi, bangku-bangku dayung dan juga tiang layar utama.

Profesor Jon Adams merupakan ketua penyelidik yang terlibat dalam penemuan tersebut, bersama kerjasama dengan Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam (Black Sea Maritime Archaeology Project [MAP]). Beliau berkata bahawa faktor yang membuatkan bangkai kapal tersebut sangat terpelihara walau berada pada kedalaman sebegitu adalah disebabkan oleh kekurangan oksigen. Pun begitu, walau dengan pengalamannya yang luas, beliau menyatakan bahawa penemuan kapal yang masih sempurna keadaannya dari dunia klasik di kedalaman 1.24 batu (2km) dari permukaan laut adalah suatu perkara yang “beliau sama sekali tidak yakini akan berlaku”. Justeru, penemuan tersebut benar-benar “mengubah kefahaman kita terhadap pembuatan kapal dan perlayaran laut di zaman purba”.

BANGKAI KAPAL YANG PALING TUA ANTARA SEMUA

Bagi artikel seperti ini, yang memerihalkan bangkai kapal purba yang ditemui pada tahun 2019, tidak akan sempurna tanpa menyebut tentang pengumuman yang dilakukan oleh Daily Sabah pada April 2019 berkenaan sebuah penemuan mengagumkan yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik lautan Turki dari Jabatan Penyelidikan Laut Dalam Universiti Antalya. Betul-betul di pantai barat bandar Antalya, mereka menemukan sebuah bangkai kapal dari Zaman Gangsa yang saiznya sepanjang 46 kaki (14m) pada kedalaman 164 kaki (50m) dari permukaan laut. Di dalam bangkai kapal tersebut turut ditemui 1.5 tan jongkng tembaga. Dengan usia yang mencecah 3600 tahun, kapal tersebut berupaya dijuluki sebagai ‘bangkai kapal tertua’ di dunia.

Diandaikan bahawa bangkai kapal ini jauh lebih tua berbanding kapal dagang Yunani yang ditemui di pantai Laut Hitam Bulgaria pada tahun 2018, yang berusia sekitar 3400 tahun dan dinobatkan sebagai “bangkai kapal tertua dunia yang berkeadaan sempurna” pada tahun tersebut. Dibina pada sekitar tahun 1600SM, kapal yang ditemui di pantai Antalya itu disifatkan oleh Gabenor Antalya, Munir Karaloglu sebagai ‘Gobeklitepe’ bagi dunia arkeologi laut. Hal ini merujuk kepada signifikasi Gobeklitepe sebagai sebuah tapak arkeologi di atas darat yang seringkali dianggap sebagai Titik Sifar oleh dunia arkeologi.

TERJEMAHAN:

Ashley Cowie. (5 November 2019). Three Ancient Shipwrecks Still With Cargo Found Off Greek Island. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/shipwrecks-greece-0012818


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.