Tanggal 24 Jun akan sentiasa dikenang oleh pemain industri penerbangan komersial terutama di United Kingdom.
Pada 24 Jun 1982, berlaku satu insiden yang dikenali sebagai “The Jakarta Incident” yang kemudiannya mengubah protokol keselamatan dalam pengangkutan udara.
Insiden ini berlaku pada malam 24 Jun 1982, apabila pesawat Boeing 747-200 milik Syarikat Penerbangan British Airways terbang ke dalam awan debu panas yang diletuskan oleh Gunung Galunggung.
Walaupun kejadian ini tidak berlaku di Jakarta, bandar besar terdekat yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa ketika itu adalah Jakarta, justeru itu ia dinamakan “The Jakarta Incident”.
Pesawat dengan nombor pendaftaran G-BDXH ini berlepas sebagai penerbangan BA009, dengan panggilan kod “Speedbird 9”.
Pada ketika itu, pesawat ini sedang dalam perjalanan dari London, United Kingdom ke Auckland, New Zealand dengan beberapa transit di Mumbai, Kuala Lumpur serta Perth dan Melbourne, Australia.
Pesawat ini berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Lumpur pada 24 Jun 1982 sekitar pukul 7.30 malam waktu tempatan.
Kapten Eric Henry Moody mengetuai penerbangan ini dibantu oleh Pegawai Pertama Kanan Roger Greaves dan Pegawai Jurutera Kanan Barry Townley-Freeman. Mereka bertanggungjawab mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth.
Jumlah penumpang dalam penerbangan ini adalah 248 orang, dengan jumlah keseluruhan penumpang dan kru seramai 263 orang.
Penerbangan berjalan lancar sehingga mereka mengalami situasi yang aneh di atas Laut Jawa sekitar pukul 8.40 malam waktu tempatan.
Kru kokpit melihat objek-objek halus melanggar kaca depan pesawat namun radar cuaca menunjukkan keadaan cerah. Mereka segera mengaktifkan mod anti-ais pada enjin pesawat dan menyalakan lampu tanda memasang tali pinggang keselamatan di kabin penumpang.
Asap tebal berbau belerang mula masuk ke kabin penumpang, disusuli laporan cahaya biru aneh di sekitar enjin pesawat. Tidak lama kemudian, enjin nombor 4 mati.
Para juruterbang segera menjalankan protokol keselamatan dengan menghentikan aliran bahan bakar ke enjin tersebut dan mempersiapkan mekanisme pemadaman api.
Enjin nombor 2, 1, dan 3 kemudiannya mati menyebabkan pesawat ini mula meluncur ke bawah. Kapten Moody berusaha mengarahkan pesawat untuk meluncur menggunakan aliran angin supaya tidak terhempas.
Pada ketinggian 12,000 kaki, keempat-empat enjin berjaya dihidupkan kembali satu demi satu. Namun, keadaan aneh berulang apabila enjin kembali mati selepas pesawat mencapai ketinggian 37,000 kaki.
Kapten Moody memutuskan untuk menurunkan ketinggian dan mendarat di Jakarta demi keselamatan penumpang. Pesawat berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta, dengan tiga enjin berfungsi.
Post-mortem mendapati pesawat ini sebenarnya terbang melalui debu gunung berapi yang sangat halus dari letusan Gunung Galunggung. Debu yang tidak dapat dikesan oleh radar ini menyebabkan enjin pesawat tersumbat dan gagal berfungsi.
Insiden ini membawa perubahan besar dalam protokol keselamatan penerbangan. Setiap kali berlaku letusan gunung berapi berhampiran laluan penerbangan komersial, laluan tersebut akan ditutup sehingga keadaan kembali selamat.
Pesawat G-BDXH kemudiannya diperbaiki dan terus beroperasi sehingga tahun 2001 sebelum dijual kepada syarikat European Charter. Pada tahun 2009, beberapa bahagian enjin yang rosak dipamerkan di Muzium Auckland.
Para kru penerbangan BA009 menerima pelbagai penghargaan daripada Kerajaan United Kingdom, termasuk Kapten Eric Moody yang menerima anugerah Queen’s Commendation for Valuable Service in the Air.
Oleh: Azizul Farhan
___
Jangan pernah kita lupa pada tragedi PENERBANGAN TERAKHIR: MH370 & MH17. Dapatkan buku siasatan yang ditulis oleh mantan Ketua Pengarah DCA iaitu Dato Sri Azharuddin segera: https://shope.ee/8zfps3AU4t




No comments yet