Sebelum era pandemik Covid-19, satu perkara yang menjadi rungutan orang ramai di Malaysia ialah isu jerebu. Tak sah kalau isu ini tak dibangkitkan disebabkan oleh aktiviti pemba.ka.ran terbuka sebagai cara membersihkan ladang-ladang oleh golongan tani negara jiran. Tetapi jerebu ini tidak seteruk jerebu teruk yang membelenggu London pada 1952.
Pada 5 Disember 1952, ia merupakan satu lagi hari biasa ditempuh warga London. Dengan musim sejuk melanda, maka lumrah bagi kediaman dan pejabat memanaskan diri dengan pemanas yang dikuasakan dengan arang batu. Menjelang tengah hari, kabus mula menyelubungi mercu tanda London seperti Big Ben dan Jambatan London.
Pada awalnya, ramai menganggap ia merupakan perkara biasa lebih-lebih lagi London terkenal dengan cuaca sejuk dan lembap. Tetapi warna kabus berubah menjadi perang kekuningan selepas bercampur dengan asap yang dilepaskan daripada kenderaan-kenderaan, kilang-kilang dan rumah-rumah. Situasi ini tidak dibantu dengan pengeluaran asap daripada bas-bas awam berkuasa diesel sebagai pengganti kepada sistem tram elektrik.
Mulanya, ia dipandang sepi oleh orang ramai yang sibuk dengan urusan seharian mereka. Namun begitu, kabus ini menjadi mimpi ngeri kesihatan kepada seluruh penduduk London.
Situasi bertambah buruk apabila keadaan cuaca menyaksikan udara sejuk terus mendap di peringkat permukaan sekaligus menghalang asap-asap arang batu dari naik ke udara. Ketiadaan tiupan angin untuk meleraikan kabus bera.cu.n ini membuatkan para penduduk merasakan seolah-olah terhalang mendapatkan oksigen.
Disebabkan keadaan kabus yang tebal, sesetengah penduduk di sesetengah kawasan tidak dapat melihat kaki mereka semasa berjalan. Selama lima hari, jerebu teruk atau The Great Smog of London melumpuhkan sistem pengangkutan London kecuali sistem keretapi bawah tanah mereka.
Akibat jarak penglihatan yang terhad, pengangkutan udara dan air terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Pada waktu tengah hari, pemandu-pemandu membuka lampu dan membuka tingkap untuk melihat jalan di hadapan tetapi ia langsung tidak membantu. Ini mengakibatkan sesetengah daripada mereka beralih kepada alternatif seperti basikal dan keretapi bawah tanah.
Bagi konduktor bas pula, mereka terpaksa menyalakan lampu dan bertindak sebagai penunjuk arah bagi membantu bas melalui jalan-jalan bandar. Bagi pejalan kaki, mereka terpaksa meraba sekitar kawasan-kawasan kejiranan mereka dan cuba mengelak daripada terpijak cecair hitam licin yang melapisi kawasan pejalan kaki. Sebaik mereka pulang ke rumah, wajah dan hidung penduduk London kehitaman seperti pelombong arang batu yang baru selesai bekerja.
Keadaan jerebu yang teruk mendorong pihak berkuasa mengarahkan kanak-kanak tidak dihantar ke sekolah kerana bimbang mereka tersesat dalam jerebu. Aktiviti je.na.yah seperti ragut dan rom.pa.kan semakin meningkat berikutan penje.na.yah boleh saja menghilangkan diri dalam jerebu selepas selesai melakukannya.
Peminat-peminat bola sepak mengeluh hampa apabila perlawanan-perlawanan pada setiap hujung minggu dibatalkan. Tetapi acara lari rentas desa tahunan membabitkan Universiti Oxford dan Universiti Cambridge tetap diteruskan di mana para pelari dibantu oleh petugas-petugas bagi memastikan mereka berlari mengikut laluan yang ditetapkan.
The Great Smog bukan setakat memberi kesan buruk kepada manusia. Haiwan juga tidak terkecuali menderita akibat jerebu berkenaan. Burung-burung tersesat dalam jerebu sehingga berlan.gg.ar dengan bangunan. Penternak-penternak binatang terpaksa kain guni dengan wiski sebagai topeng muka sementara untuk haiwan-haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Akhirnya, pada 9 Disember 1952, jerebu yang menyelubungi bandaraya London akhirnya hilang selepas tiupan angin dari sebelah barat menolaknya keluar ke Laut Utara. Pada awalnya, statistik kes menunjukkan lebih 4,000 orang penduduk terbu.n.uh termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang berdepan masalah pernafasan.
Penduduk hanya sedar ini merupakan satu masalah besar selepas mendapati rumah-rumah pengebumian berdepan kekurangan keranda dan kedai-kedai bunga berdepan kekurangan jambakan bunga. Kema.ti.an pesakit akibat bronkitis dan pneumonia bertambah sebanyak tujuh kali ganda semasa tempoh The Great Smog. Di East End saja, angka kema.ti.an penduduk saja bertambah sebanyak sembilan kali ganda.
Dengan melihat semua faktor ini, tidak salah untuk menyimpulkan bilangan kema.ti.an akibat jerebu ini sebenarnya jauh lebih banyak daripada apa yang disangka. Ramai pakar kesihatan percaya dengan mengambil kira semua faktor dan kesan yang ditanggung sehingga musim panas 1953, bilangan kema.ti.an sebenarnya berlegar antara 8,000 hingga 12,000 kes.
Pada awalnya, Downing Street yang ketika itu diterajui Sir Winston Churchill tidak mengambil sebarang tindakan kerana menganggap ini merupakan satu perkara biasa. Tetapi selepas satu inkuiri dilancarkan di Parlimen, inkuiri mendedahkan ia satu krisis kesihatan yang serius dan memerlukan tindakan segera.
Ini mendorong Parlimen meluluskan Akta Udara Bersih 1956. Menerusi akta ini, pembakaran arang batu di kawasan bandar dihadkan dan pihak berkuasa diarahkan mewujudkan zon-zon bebas asap. Pemilik-pemilik kediaman diberi geran untuk menukar sistem pemanas arang batu mereka kepada sistem pemanas alternatif berasaskan sama ada minyak, gas atau elektrik.
Begitupun, penukaran sistem pemanas ini mengambil masa bertahun-tahun untuk dimuktamadkan. Dan ini membawa kepada satu lagi jerebu yang berlaku pada tahun 1962. Walaupun ia tidak seteruk The Great Smog, ia masih meragut 750 nyawa penduduk.
Nota kaki
Downing Street – Pejabat Perdana Menteri Great Britain
East End – satu kawasan di timur London yang terletak di utara Sungai Thames
RUJUKAN:
Klein, Christopher. (2018). The Great Smog of 1952. History.
Sumber gambar: Fox Photos/Hulton Archive/Getty Images
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih