Tidak kira sempadan negara mana sekali pun, sudah pasti akan wujud laluan-laluan rahsia yang digelar sebagai laluan tikus. Laluan ini secara amnya tidak diketahui oleh pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga sempadan negara.

Begitu juga dengan situasi di sekitar pintu sempadan Rafah, yang mana sempadan itu dipercayai memiliki pelbagai laluan tikus berbentuk terowong (tunnel).

Dari sudut perundangan, semestinya laluan-laluan tikus seumpama ini adalah haram di sisi undang-undang, tidak kira undang-undang kerajaan Mesir mahupun Palestin.

Untuk rekod, terdapat ratusan terowong yang telah dibina oleh rakyat Palestin bagi meloloskan diri mereka ke negara Mesir tanpa perlu melalui ‘Rafah Crossing Point’ (RCP) yang sesak, di samping saringan keselamatan yang amat ketat.

Sebahagian terowong dikatakan telah dibina sejak puluhan tahun yang lalu dan ada juga terowong yang baru sahaja dibina berdasarkan kehendak serta keperluan semasa, lebih-lebih lagi setelah negara mereka dikepung dan dihalang oleh rejim Israel Laknatullah.

Pada tahun 2013, kerajaan Mesir telah menjalankan kerja-kerja penimbusan terowong yang terletak di sekitar bahagian utara Semenanjung Sinai dan Selatan Rafah secara besar-besaran; tertumpu di kawasan sepanjang 12 kilometer sempadan Rafah.

Kesemua terowong tersebut dilaporkan sudah aktif sejak tahun 2007, iaitu selepas rejim Israel Laknatullah secara zalimnya mengepung Semenanjung Gaza daripada segenap sudut.

Situasi itu diburukkan lagi dengan tindakan kerajaan Mesir yang bertindak untuk memperketatkan sistem RCP setelah Hamas berjaya membentuk kerajaan dan mengetepikan legitimasi ‘Palestinian Liberation Organization’ (PLO) pimpinan Fatah di Semenanjung Gaza.

Umum tahu bahawa, keberadaan terowong telah membolehkan rakyat Palestin membawa masuk pelbagai jenis barangan keperluan serta komoditi yang dihasilkan di negara Mesir, antaranya; minyak, gas, alat ganti kenderaan, pakaian, kosmetik, madu, rokok, tembakau dan sebagainya.

Barang-barang yang dibawa masuk menerusi terowong secara lazimnya bertujuan untuk mengelak daripada dikenakan cukai (tax evasion) yang agak tinggi oleh kerajaan Hamas ke atas semua barangan import dari Mesir.

Atas faktor kebanyakan negara di dunia tidak mengiktiraf Hamas sebagai wakil Palestin, maka hubungan perdagangan antara Semenanjung Gaza dan peringkat global agak sukar dijalankan. Ia menjadi lebih sukar setelah negara mereka dikepung.

Oleh hal yang demikian, kerajaan Hamas terpaksa mengenakan cukai ke atas beberapa barangan serta perkhidmatan yang ada di Semenanjung Gaza bagi memastikan kelangsungan kerajaan.

Menurut laporan terbitan portal berita Al-Monitor, pada setiap bulan; anggaran keseluruhan hasil cukai yang diperoleh kerajaan Hamas daripada barangan import Mesir adalah berjumlah kira-kira USD$12.3 juta hingga $15.4 juta.

Daripada jumlah itu, kerajaan Hamas dipercayai mengutip cukai rokok sebanyak USD$6.2 juta dalam setiap bulan, setelah mengenakan cukai sebanyak $1.54 ke atas setiap kotak rokok yang berada di dalam pasaran Semenanjung Gaza.

Kerajaan Hamas juga mengenakan cukai ke atas minyak pada kadar $0.46 sen seliter. Ini menjadikan anggaran cukai minyak mencecah sehingga USD$4.16 juta menerusi sembilan juta liter minyak yang dibawa masuk ke Semenanjung Gaza setiap bulan.

Walau bagaimanapun, angka-angka tersebut hanyalah bersifat anggaran semata-mata memandangkan tidak ada sebarang data rasmi berkait dengan perincian perolehan cukai kerajaan Hamas.

Berbalik kepada isu terowong, sejak tahun 2008; kerajaan Mesir telah pun membina zon penampan (buffer zone) di sekitar pintu sempadan Rafah.

Zon penampan itu kemudiannya diperluaskan lagi sehingga mencapai jarak 1.5 kilometer, memasuki bahagian utara Semenanjung Sinai.

Bukan itu sahaja, kerajaan Mesir juga dilaporkan telah membina dua buah tembok di sekitar sempadan RCP bagi menangani isu terowong. Tembok batu pertama telah dibina pada tahun 2008, iaitu ketika zaman pentadbiran Presiden Hosni Mubarak.

Tembok kedua pula dibina oleh kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah Al-Sisi pada awal tahun 2020. Al-Sisi dikatakan membina tembok konkrit berketinggian enam meter dan mencapai kedalaman bawah tanah sehingga lima meter.

Sebelum ini, terdapat beberapa spekulasi yang mengaitkan Hamas dengan terowong. Hamas dikatakan telah menggunakan terowong untuk mengimport pelbagai jenis barangan termasuk senjata, bagi kegunaan briged tentera melawan kezaliman rejim zionis.

Meskipun pelbagai usaha sudah dijalankan demi membasmi kewujudan terowong, kajian terkini di lapangan mendapati terdapat beberapa terowong masih beroperasi walaupun telah dimusnahkan sebelum ini. Bahkan, ada juga terowong-terowong baru bakal dibina.

Pengoperasian terowong tersebut dipercayai dijalankan oleh penduduk Rafah. Mereka merancang untuk memperluaskan lagi laluan terowong sehingga mampu menjangkaui jarak tiga kilometer dari sempadan RCP bagi melepasi zon penampan 1.5 kilometer yang dibina oleh kerajaan Mesir.

Boleh saya katakan di sini bahawasanya; kewujudan terowong tersebut adalah kesan daripada kezaliman rejim Israel Laknatullah yang secara rakusnya mencabuli hak asasi rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dengan cara mengepung negara mereka tanpa belas ihsan.

Rakyat Palestin tidak ada pilihan selain daripada mengorek terowong-terowong bahaya, hanya untuk mendapatkan barangan pada harga yang berpatutan di kala kadar pengangguran (50%) dan kadar kemiskinan (64%) sedang membelenggu rakyat negara itu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.