Antara kemampuan terunggul yang dimiliki oleh manusia tetapi tidak dimiliki oleh haiwan ialah kemampuan untuk berteori tentang fikiran (thought) orang lain – dikenali sebagai Teori Minda (Theory of Mind).
Kita tidak mampu membaca fikiran orang lain secara langsung. Tetapi kita dapat berteori apa yang orang lain fikir berdasarkan gerak tubuhnya, gaya percakapannya dan perlakuannya.
Apabila kita lepak di restoran bersama rakan, kita mendapati rakan kita menempah air jarang, bukan air manis yang sentiasa menjadi kebiasaan masyarakat. Daripada kelakuan ini, kita akan berteori mengapa rakan kita berkelakuan begitu. Adakah dia mahu diet? Adakah kerana dia telah meminum banyak air manis pada hari tersebut? Apa yang kita teorikan mungkin kadangkala tersilap tetapi kemampuan ini memberikan kelebihan dan keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik.
Keupayaan ini sampai ke tahap kita mampu berteori sekumpulan manusia berhampiran sedang bergosip berdasarkan raut wajah mereka dan kata-kata kunci yang keluar daripada pertuturan mereka walaupun kita tidak mendengar keseluruhan. Dengan keupayaan ini kita mampu berteori sama ada seseorang itu sedang marah, sedang bergegas ataupun sedang dalam bahaya.
Keupayaan ini nampak remeh dan tidak begitu signfikan tetapi keupayaan ini merupakan salah satu faktor kecekapan berorganisasi. Signifikannya keupayaan ini dapat kita lihat pada individu yang autistik. Kita sering mendapati individu autistik mengalami kesukaran untuk bersosial dengan baik dan mereka kelihatan janggal apabila bersosial. Antara sebab utamanya ialah mereka tidak mempunyai keupayaan Teori Minda dengan baik. Mereka tidak mampu memahami niat seseorang apabila berinteraksi. Mereka tidak mampu bertindak balas dengan baik terhadap emosi seseorang.
Keupayaan ini yang meningkatkan kecekapan kita berkomunikasi antara satu sama lain. Menjaga hati orang lain ketika berbual merupakan salah satu keupayaan Teori Minda. Melihat raut wajahnya dan apa yang dituturkan, kadangkala kita tidak mahu menuturkan perkara yang berpotensi mengguriskan hatinya.
Sensitiviti kita terhadap orang lain menjadikan kita dapat bekerjasama dan berkomunikasi dengan cara yang rumit tetapi cekap dan berkesan. Keupayaan ini yang membuatkan kita mampu membaca dan bertindak balas terhadap emosi orang lain dengan baik.
Apabila dibandingkan dengan haiwan lain, perkembangan manusia agak perlahan. Kucing telah mampu berjalan dengan baik dalam tempoh 4 minggu. Bayi manusia pula mengambil tempoh sekitar 1 tahun lebih hingga 2 tahun baru dapat berjalan. Itu pun belum dapat berjalan dengan baik.
Bayi ada kelakuan yang unik, selain menangis, ia akan menggunakan jarinya untuk dapatkan sesuatu. Ia akan tunjuk jarinya ke arah sesuatu untuk mencapai matlamatnya. Kelakuan ini menandakan bayi itu faham dengan hanya menggunakan jari, ibu bapanya akan faham apa kehendaknya. Bayi juga berkecenderungan melihat jari ibunya sekiranya si ibu ada tunjuk ke arah mana-mana.
Teori Minda telah bermula sejak bayi lagi. Apa yang menjadikan bayi manusia itu istimewa ialah ia cuba untuk berkomunikasi menggunakan gerak tubuh dan jarinya.
Pada umur sekitar 4 tahun, kanak-kanak berpotensi untuk menipu. Dengan keupayaan Teori Minda, manusia dapat menipu dengan lebih cekap sepertimana cekapnya kita berkomunikasi. Kita sering melihat orang yang menipu tidak akan tatap wajah kita dengan baik. Matanya melilau kira dan kanan, ayatnya kadangkala tidak tersusun dengan baik.
Ini bermakna kita sendiri sedar manusia berupaya mentafsirkan ataupun berteori tentang niat kita hanya berdasarkan raut wajah dan susunan cerita. Penipu yang baik dapat bertenang dan menyembunyikan sebarang bentuk tafsiran dan teori yang membawa kepada keraguan orang yang ditipu.
Keupayaan ini sampai ke peringkat kita dapat bekerjasama dalam rangkaian yang besar dan fleksibel. Keunikan manusia dalam bekerjasama ialah kita dapat bekerjasama dengan orang yang tidak dikenali. Sifat ini tiada pada haiwan. Banyak spesis haiwan yang bergerak secara berkumpulan untuk mencapai objektif, tetapi mereka tidak mampu bergerak dalam kumpulan yang besar seperti serigala dan singa.
Singa perlu mengenali secara peribadi antara satu sama lain untuk bekerjasama. Singa tidak dapat bekerjasama dengan singa lain yang tidak dikenali. Malah, pada setiap masa, mereka bergaduh antara satu sama lain merebut habuan. Kita juga tidak menafikan terdapat banyak juga haiwan dapat bekerjasama dalam kumpulan yang besar seperti semut dan lebah.
Tetapi mereka juga perlu bekerjasama dengan serangga yang dikenali. Semut mengenali antara satu sama lain melalui bauan yang dirembeskan. Koloni yang berbeza menghasilkan bauan yang berbeza. Sekiranya terdapat semut yang berbeza baunya daripada koloni yang ia duduki, semut itu akan diserang. Semut akan hilang bauan koloni asalnya apabila meninggalkan koloni tersebut terlalu lama.
Paling menakjubkan ialah dengan kerjasama antara orang asing yang tidak dikenali, manusia begitu fleksibel dalam kerjasama tersebut. Apabila dalam bahaya, apabila memerlukan perubahan dan apabila mahu mencapai objektif dengan lebih cekap, manusia dapat mengubah pelbagai bentuk kaedah bekerjasama.
Ini adalah ramuan utama kejayaan syarikat gergasi seperti Google, Microsoft, Walmart, Amazon, Volkswagen dan McDonald’s. Amazon mempunyai pekerja seramai 1,125,300 dan Walmart pula mempunyai pekerja hingga 2,200,000. Mustahil bagi setiap pekerja ini mengenali rakan sekerjanya yang lain seramai jutaan orang.
Malah, dalam satu syarikat kecil pun, amat jarang suatu pekerja itu mengenali secara peribadi semua pekerja-pekerja dari jabatan lain. Dengan kerjasama unik ini, Microsoft dapat menghasilkan komputer dan perisian yang dapat memberikan manfaat kepada umat manusia. Google dan IBM dapat mengembangkan pengetahuan saintifik dalam kecerdasan buatan (artificial intelligence). NASA dapat menerbangkan manusia ke Bulan. Apple dan Samsung dapat keluarkan produk telefon pintar yang saban tahun semakin maju. BMW dan Mercedes dapat mengeluarkan produk kereta yang canggih. Kerjasama yang unik ini juga merupakan ramuan utama kejayaan manusia membentuk angkatan tentera yang besar.
Ketika Perang Dunia, seramai 40 juta manusia terkorban kerana kerjasama dalam pasukan tentera Paksi (Axis) dan pasukan tentera Persekutuan (Allied). Kerjasama unik ini juga merupakan ramuan utama manusia dapat membangunkan bandar Catalhoyuk – bandar pertama dunia sekitar 9,000 tahun lalu yang terdiri daripada 10,000 manusia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih