Rabu, 4 November 20264 Nov 2026
Teori Ekonomi Imam al-Ghazali
Eko-Niaga

Teori Ekonomi Imam al-Ghazali

Sebut
saja nama Imam al-Ghazali, pasti ramai maklum akan kemahsyurannya sebagai
seorang ahli teologi, filsuf dan ahli tasawuf. Dan antara karyanya yang
terkemuka ialah Ihya Ulumuddin yang menjadi rujukan umat Islam dari dahulu
hingga sekarang. Tetapi tidak ramai tahu, beliau juga mempunyai pelbagai teori
menarik tentang soal ekonomi. Dan sesetengah teori ini bukan saja ada persamaan
teori ahli-ahli kewangan moden tetapi juga masih diaplikasikan sehingga ke hari
ini.

Wang

Imam
al-Ghazali mengemukakan beberapa pandangan menarik berkenaan fungsi wang dalam
ekonomi. Pertama, beliau melihat fungsi wang sebagai ‘qiyam al-dunya’ atau alat
yang digunakan untuk mengukur nilai barang dan membandingkan dengan barangan
lain. Al-Ghazali telah membuat perumpamaan wang dengan sebuah cermin yang tidak
mempunyai warna tetapi mampu menunjukkan warna-warna yang lain. Ini menunjukkan
bahawa wang tidak mempunyai nilai tersendiri tetapi berfungsi untuk mengukur dan
menilai barangan lain. Oleh kerana peranan wang untuk mengukur dan menilai
barangan lain, maka layaklah mata wang digelar ‘hakim mutawasit’ atau hakim
yang adil dalam menentukan harga barang. Ini merupakan salah satu sebab wang
dicetak dan diedarkan dalam pasaran untuk digunakan masyarakat dalam aktiviti
ekonomi.

Fungsi
wang kedua ialah at-tabadul atau al-mu’awidah yang bermaksud wang sebagai
perantara dalam pertukaran barang. Fungsi ini juga mempunyai hubungan dengan
fungsi qiyam al-dunya. Selanjutnya, fungsi mata wang yang lain menurut
al-Ghazali ialah alat untuk mendapatkan barangan lain dan tujuan-tujuan
tertentu. Sebenarnya, fungsi mata wang sebagai alat untuk mendapatkan barangan
adalah berbeza dengan fungsi sebagai alat pertukaran. Ini disebabkan wang
dinyatakan sebagai wang membeli barangan tetapi barang tidak membeli wang.
Contohnya jika seseorang memiliki sepotong pakaian, maka dia hanya memiliki
sepotong kain itu sahaja. Manakala, jika seseorang memiliki sejumlah wang, maka
individu berkenaan boleh memiliki dan membeli apa sahaja barangan yang senilai
dengannya.

Imam
al-Ghazali bersikap tegas dalam soal ini menerusi penetapan beberapa peraturan
yang ketat dalam mata wang emas dan perak. Berdasarkan pandangan al-Ghazali
berkaitan kewangan, pakar kewangan Dato’ Aidit Ghazali berpandangan prinsip
kewangan yang dijelaskan al-Ghazali ini bertujuan memastikan kestabilan mata
wang emas dan perak, sekaligus mengelakkan berlaku perubahan nilai mata wang
ini dari menjadi terlalu tinggi atau rendah. Perubahan nilai yang radikal
sebegitu rupa sudah pasti akan memberi impak besar kepada mata wang sebagai
alat pertukaran, penyimpan nilai, dan unit ukuran nilai. Oleh sebab itu, beliau
mewajibkan setiap wang yang dikeluarkan perlu mempunyai sandaran nilai emas dan
perak bagi mengukuhkan fungsi wang dalam pasaran.

Sistem barter

“Manusia
memerlukan bermacam-macam bahan dalam hal keperluan hidup dan keperluan lain.
(Tetapi) kadang-kadang ia tidak mampu mencari keperluan-keperluan tersebut
sedangkan saat itu ia memiliki barang yang sedang tidak ia perlukan. Oleh itu
diperlukan adanya suatu alat tukar (wang) dan alat pengukur nilai bagi
benda-benda yang akan dipertukarkan. Kerana tidak mungkin seseorang yang
memiliki unta menyerahkan untanya hanya untuk memiliki za’faran. Lagi pun tidak
ada korelasi (hubungan) antara za’faran dengan unta yang dapat menunjukkan
perbandingan harga antara keduanya.” (Imam al-Ghazali/Ihya Ulumuddin)

Jika
kita baca dengan teliti petikan ini, terserlah penolakan tegas Imam al-Ghazali
terhadap sistem barter atau pertukaran barang. Beliau menyifatkan sekiranya
sistem berkenaan satu-satunya sistem digunakan dalam ekonomi, ia sudah pasti
mengundang kesulitan kepada peniaga dan pengguna. Antara masalah dalam sistem barter
ini ialah kesukaran mendapatkan keinginan yang sama antara pembeli dan penjual.
Seterusnya, ia juga mencetuskan kesukaran menentukan nilai sesuatu barangan
contohnya adakah sekilo beras mempunyai nilai seekor lembu ataupun memerlukan
pembahagian bahagian-bahagian tertentu. Sistem barter juga akan mencetuskan isu
kehendak atau pilihan penjual dan pembeli kepada pihak-pihak tertentu serta
barangan tertentu. Oleh yang demikian, penggunaan wang merupakan satu keperluan
yang utama dalam urusan ekonomi yang bukan sahaja menyelesaikan masalah ekonomi
malahan mewujudkan perubahan yang sesuai dengan perubahan masa yang praktikal
sehingga masa kini.

Menimbun wang/’money hoarding’

Imam
al-Ghazali menolak sekeras-kerasnya aktiviti penimbunan wang kerana selain
menjejaskan fungsi wang dalam ekonomi sesebuah negara, ia juga menjejaskan
usaha para peniaga untuk mendapatkan modal bagi memulakan atau mengembangkan
lagi perniagaan mereka. Selain itu, aktiviti sebegini juga akan mengakibatkan
pengurangan dari segi produktiviti kerja dan wang hanya berlegar dalam kalangan
pihak tertentu sahaja.

“Jika
seseorang menimbun dirham dan dinar, dia telah berdosa besar. Dinar dan Dirham
selalunya tidak memiliki kegunaan pada dirinya. Dinar dan dirham dicipta supaya
diagihkan dari tangan ke tangan, untuk mengatur dan memudahkan pertukaran,
sebagai simbol untuk mengetahui nilai barang dan kelas. Siapa pun yang
mengubahnya menjadi peralatan-peralatan emas dan perak biasanya tidak bersyukur
kepada penciptanya, dan lebih buruk berbanding penimbun wang. Orang yang
mengubah emas seolah-olah memaksa pemerintah untuk melakukan apa yang tidak
sepatutnya seperti mengenakan cukai. Menimbun wang adalah lebih baik berbanding
mengubahnya kerana terdapat logam, tembaga, peruggu, besi, dan tanah liat yang
dapat digunakan untuk membuat (barangan atau perhiasan). Namun, logam lain
(tembaga, tanah dan sebagainya) tidak dapat untuk menggantikan fungsi
dijalankan dirham dan dinar.” (Imam al-Ghazali/Ihya Ulumuddin)

Menurut
beliau, larangan menimbun ini bersifat mutlak dan berkait dengan dua aspek
utama iaitu jenis harta yang ditimbun dan waktu ia ditimbun. Jenis harta yang
dilarang ditimbunkan ialah makanan ruji seperti gandum dan padi sementara jenis
harta lain masih dibincangkan oleh para ulama. Dalam masalah penimbunan wang
ini, sudah wujud dalil yang menjelaskan larangan aktiviti ini. Antara dalil
larangan aktiviti penimbunan harta ialah firman Allah s.w.t dalam ayat 180,
Surah Ali Imran mafhumnya, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil
dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya
menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk
bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan
itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan
(isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui dengan mendalam
akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang
katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang
kamu dakwakan itu)?” Menurut al-Maududi, tindakan mengumpul dan menimbun wang
bukan saja meletakkan manusia itu dalam dilema moral tetapi juga melakukan satu
bentuk kezaliman yang besar kepada masyarakat.

Menurut
al-Ghazali, matlamat larangan menimbun wang wujud kerana tindakan berkenaan
boleh saja menghilangkan fungsi-fungsi wang. Beliau menyatakan tujuan wang
diwujudkan adalah sebagai alat transaksi agar ia beredar dalam masyarakat dan
bukannya dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja. Sekiranya ia dibiarkan
berlaku, ia seolah-olah menghalang pemerintah dari melakukan penambahbaikan
ekonomi sesebuah negara dan pada masa sama, membuka ruang kepada kegiatan
kezaliman berleluasa.

Mata wang palsu

Selain
menolak kegiatan menimbun wang atau barangan, Imam al-Ghazali turut menolak
penggunaan mata wang bercampur (al-zaif) atau dalam konteks hari ini, wang
palsu. Menurut beliau, tindakan mengedarkan wang palsu ini sebenarnya
mencetuskan lebih banyak kerosakan kepada ekonomi sesebuah negara dan menzalimi
rakyat negara berkenaan. Al-Ghazali turut menambah peredaran satu dirham (mata
wang zamannya) buruk lebih buruk daripada mencuri seribu dirham kerana tindakan
mencuri hanya satu dosa apabila dilakukan, tetapi wang buruk yang diedarkan
merupakan satu tindakan yang mempengaruhi banyak pihak yang menggunakan wang
tersebut dalam transaksi mereka. Ini jelas menunjukkan ketegasan al-Ghazali
dalam masalah wang bercampur kerana penggunaan mata wang sebegini bukan saja
dianggap berdosa, bahkan boleh mengakibatkan dan kerosakan besar dalam ekonomi
masyarakat.

Para
ulama mempunyai beberapa pandangan berkenaan masalah wang yang bercampur ini.
Pertama, wang bercampur dan yang asal telah bercampur digunakan dalam pasaran
sehingga tidak dapat dibezakan. Dalam keadaan ini, orang ramai boleh saja
menggunakan wang tersebut. Kedua, sekiranya mata wang tersebut masih boleh
dikenali dan dibezakan, maka ada beberapa pandangan menurut Abu Ya’ala.
Pertama, dilarang menggunakan wang bercampur yang beredar dalam pasaran dan ini
dikemukakan oleh Muhammad Ibn Urakin, al-Haris, Yusuf Ibn Musa, dan Ja’far Ibn
Muhammad. Kedua, dibenarkan menggunakan campuran tersebut tetapi hukumnya
makruh dan ini dikemukakan oleh Qiran Ibrahim Ibn Haris. Pendapat kedua ini
membenarkan penggunaan mata wang campuran walau dalam apa keadaaan sekali pun.
Menurut pandangan pengikut mazhab Syafie, jika mata wang yang tulen lebih
banyak berbanding mata wang palsu di pasaran, maka harus menggunakan mata wang
campuran tersebut. Manakala jika sebaliknya, mereka mempunyai pandangan berbeza
apabila mata wang bercampur lebih banyak berbanding mata wang asal. Ada
sesetengah yang membenarkan manakala satu pandangan lagi melarang
menggunakannya.

Dalam
kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengesyorkan beberapa cara sekiranya
wujud masalah ini:

Dan
hendaknya diketahui bahawa dalam masalah al-zaif (wang buruk) terdapat lima
perkara yang harus dilakukan. Pertama, jika seseorang mendapatkan wang campuran
atau diberi oleh orang ramai, maka hendaklah dia membuangnya sehingga tidak
memungkinkan lagi orang lain mengambilnya. Atau orang tersebut dapat memberikan
kepada orang lain atau dapat dimusnahkan wang tersebut sehingga tidak dapat
digunakan lagi. Kedua, bagi pedagang (atau aktiviti ekonomi lain) wajib
mengetahui tentang wang campuran ini, bukan kerana tujuan kepentingan sendiri
tetapi agar tidak mengedarkannya kepada orang lain yang tidak tahu sehingga ia
menanggung dosa. Ketiga, jika seseorang menyerahkan wang kepada orang lain
dengan memberitahunya terlebih dahulu. Ia tidak bererti dia telah terlepas
daripada dosa. Hal ini adalah kerana tindakan itu sama dengan mengedarkan wang
palsu kepada orang lain. Namun, jika dia tidak mempunyai tujuan demikian, orang
itu hanya menanggung dosa yang dilakukan (tidak akan menanggung dosa akibat
peredaran wang tersebut). Keempat, jika seseorang mengambil wang campuran
dengan tujuan untuk dimusnahkan, maka hal itu sangat digalakkan. Kelima, yang
dimaksudkan dengan wang buruk ianya tidak dibuat daripada emas tulen tetapi hanya
sepuhan atau campuran sahaja. Namun, jika sesuatu negara secara rasmi
membenarkan sah laku wang daripada campuran, maka ia dibenarkan.”

Perdagangan mata wang

Aktiviti
perdagangan mata wang ditolak keras oleh Imam al-Ghazali atas alasan ia hampir
sama dengan perbuatan menimbun wang. Berdasarkan kitab Ihyanya, sekiranya
aktiviti tersebut dibenarkan berlaku, ia akan mengakibatkan pengurangan wang
dalam masyarakat dan wang hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu iaitu
golongan berada yang melakukan aktiviti sedemikian. Oleh yang demikian, ia
dianggap satu kezaliman.

Bagaimanapun,
al-Ghazali membenarkan jual beli wang yang diperbuat daripada jenis bahan yang
berlainan contohnya dinar dengan dirham. Ini kerana kedua-dua diperbuat daripada
bahan yang berbeza dan berbeza dari pelbagai segi seperti kualiti dan rupa
bentuk. Tambahan pula, pertukaran wang yang berbeza sangat diperlukan untuk
aktiviti ekonomi seperti disebut dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari,
“Janganlah kalian berjualbeli emas dengan emas dan perak dengan perak kecuali
dengan timbangan yang setara. Dan juallah emas dengan perak dan perak dengan
emas mengikut kehendak kalian.” Menurut kebanyakan fuqaha, emas dan perak
merupakan barangan ribawi yang jelas dilarang pertukaran yang sama kerana boleh
mengakibatkan riba nasi’ah lebih-lebih lagi dalam urusan jual beli yang
bersifat tangguh atau tidak serentak.

Pemerintah dan ekonomi

Menurut
Imam al-Ghazali, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan atau
melantik badan tertentu untuk menguruskan hal ehwal kewangan dalam ekonomi
seperti institusi perbankan. Beliau turut melarang seandainya kuasa mencetak
dan mengendalikan mata wang ini dilakukan oleh sesuatu pihak tanpa mendapat
kebenaran daripada pemerintah. Berasaskan kepada prinsip ekonomi Islam, campur tangan
pemerintah dalam ekonomi sesebuah negara mestilah berlandaskan akidah yang
mendorong kepada tindakan yang produktif, sekaligus menjadi kaedah utama yang
dilaksanakan untuk membentuk masyarakat yang produktif. Hal ini menjadi
kewajipan bagi semua lapisan masyarakat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan
oleh pemerintah bagi memastikan terbentuknya kesejahteraan dalam kehidupan
bermasyarakat. Ini bersesuaian dengan petikan firman-Nya dalam ayat 59, Surah
An-Nisa, “Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara
kamu.”

SUMBER

Borhan,
Joni Tamkin, Mohamed Yusof, Mohd Faiz dan Romli, Norhanani. (2016). International
Journal of Islamic and Civilizational Studies. https://www.researchgate.net/publication/312432855_PEMIKIRAN_EKONOMI_AL-GHAZALI_DALAM_TEORI_KEWANGAN

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet