Ahad, 25 Oktober 202625 Okt 2026
Kronikel Dunia

Tentera Terracotta – Pengawal Abadi Makam Qin Shi Huang

Bagi
petani-petani China di Shaanxi pada tahun 1974, musim bunga tahun berkenaan
dianggap mencabar kerana sungai ketika itu kering dan perigi yang ada tidak
mampu lagi digunakan untuk keperluan pertanian dan ternakan. Justeru,
petani-petani ini mula mengorek perigi baru dan pada Mac, tiada siapa menyangka
apa yang dikerjakan mereka itu membawa kepada penemuan arkeologi terhebat abad
ke-20 yang disahkan pada Julai tahun sama: makam Maharaja Qin Shi Huang dan
tentera terracottanya!

Selepas
pasukan arkeologi dari Beijing mula melakukan kerja ekskavasi, apa yang
disangka hanya beberapa anggota tentera terracotta sebenarnya membawa kepada
sejumlah besar tentera terracotta yang dicipta oleh pembina makam baginda
sebagai pengawal makamnya. Menurut Jane Portal, seorang kurator Muzium British
untuk Pameran Maharaja Pertama berpandangan makam maharaja pertama China itu
dibina bagi membolehkan Qin Shi Huang terus berkuasa walaupun selepas meninggal
dunia. Walaupun kerja ekskavasi sudah mencecah 40 tahun dan ribuan jam dihabiskan
untuk kerja berkenaan, ramai pakar arkeologi berpandangan masih banyak perkara
tersembunyi berkenaan makam baginda ini.

Maharaja pertama China

Pada
tahun 221 Sebelum Masihi (BC), Qin Shi Huang atau nama sebenarnya Ying Zheng
muncul sebagai pemenang dalam konflik peperangan yang melanda China selama 250
tahun. Semasa era dekad perluasan kuasanya, baginda bukan saja mengilhak
wilayah-wilayah seperti Chu malah berjaya menundukkan kerajaan Zhao yang
menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Qin yang diperintahnya ketika itu.
Selepas berjaya menyatukan semua wilayah di bawah satu pemerintahannya, Shi
Huang merasakan gelaran Raja Qin itu tidak sesuai dengan kekuasaan wilayah yang
dikuasainya. Justeru, gelaran maharaja diwujudkan dan baginda merupakan maharaja
pertama dari maharaja-maharaja China yang memerintah sehingga tahun 1930-an.

Semasa
era pemerintahan Shi Huang, baginda bertanggungjawab mengeluarkan standard mata
wang, ukuran dan berat. Baginda juga bertanggungjawab menyambung
wilayah-wilayah pemerintahannya melalui pembinaan jalan-jalan dan
terusan-terusan serta membina versi pertama Tembok Besar China. Bagaimanapun,
tempoh ini turut menyaksikan pelbagai kekejaman dilakukan demi memelihara
kesatuan wilayah pemerintahan baginda. Antara peristiwa yang dianggap penting
semasa era Shi Huang ialah peristiwa pembakaran buku dan pembunuhan
filsuf-filsuf China (213-212 BC). Dalam peristiwa itu, 460 atau 700 orang
cendekiawan mati dibunuh kerana ditanam hidup-hidup. Bagaimanapun, peristiwa
ini diragui ramai cendekiawan moden dan mereka beranggapan ia berkemungkinan
satu bentuk fitnah oleh Dinasti Han terhadap Dinasti Qin dan Shi Huang.

Dan
seperti digambarkan secara fiksyen dalam The Mummy: Tomb of the Emperor (2008),
baginda juga amat obses dengan kehidupan bersifat abadi dan ini didorong oleh
motivasi terlepas dari menjadi sasaran tiga cubaan pembunuhan. Bukan seorang
dua cendekiawan dihantar untuk mengkaji cecair yang memanjangkan hayat dan ada
juga dihantar menyeberangi Laut Timur untuk mencari Penglai atau bumi orang
yang hidup abadi. Tetapi semua usaha itu berakhir dengan kegagalan dan Shi
Huang memilih membina sebuah kompleks makam yang besar untuk dirinya. Projek
tersebut sudah mula digerakkan pada tahun-tahun awal pemerintahannya.

Untuk
menjayakan usaha ini, sebuah daerah baru dibuka dan 30,000 keluarga dipaksa
berpindah ke wilayah kita kenali sebagai Shaanxi. Mereka diberi satu tugas:
laksanakan pembinaan makam diraja terbesar yang pernah disaksikan dalam sejarah
China. Tetapi dengan masa terus berjalan, Shi Huang sedar pembinaan makam ini
tidak akan selesai mengikut tempoh yang dimahukannya. Ini mendorong baginda
mengarahkan lebih ramai buruh paksa diambil untuk menyelesaikan pembinaan makam
ini. Yang pasti, Shi Huang akan diingati lama selepas kemangkatan baginda
menerusi makamnya dan tentera terracotta yang menjadi pengawal kompleks
berkenaan.

Kompleks makam Shi Huang

Kompleks
makam baginda sebenarnya merupakan sebuah kompleks makam beberapa tingkat
dengan keluasan 38 hingga 60 kilometer persegi. Buat masa ini, makam Shi Huang
belum lagi diekskavasi tetapi dengan kehadiran tentera terracottanya, ia
menjadikan makam baginda sebagai makam terhebat di dunia. Makam baginda yang
sebenar merupakan sebuah piramid tiga tingkat dengan ketinggian 60 meter dan
dikelilingi oleh dua tembok berganda.

Menurut
legenda, Shi Huang turut menyimpan khazanah yang hebat dalam makamnya tetapi
turut menyelitkan pelbagai jenis perangkap bagi sesiapa yang cuba
menghampirinya. Sima Qian mencatatkan dalam karya Shijinya, “Lebih 700,000
banduan dipaksa bekerja di situ. Mereka menggali tiga kolam, mengisinya dengan
cecair perak dan memastikan makam terpelihara. Rumah-rumah, pegawai-pegawai,
barangan berharga dan ganjil dipindah masuk ke dalamnya. Shi Huang turut mengarahkan
golongan artisan menghasilkan busur silang yang boleh diaktifkan menerusi
mekanisme tertentu di mana sesiapa yang melaluinya akan dipanah terus. Mereka
turut menggunakan merkuri untuk menghasilkan sungai-sungai dan laut yang
beredar secara mekanikal. Pada bahagian siling ialah objek-objek cakerawala
manakala objek di lantai pula merujuk kepada mercu tanda tempatan.”

Lantai
kompleks dengan model geografi dan alam semesta yang dicat simbolik dengan
statusnya sebagai anak syurga dan wakil dewa-dewi di bumi. Menerusi catatannya,
Qian mendapati gundik-gundik Shi Huang turut ditanam bersama maharaja
berkenaan. Golongan artisan dan buruh-buruh yang terlibat turut ditanam bersama
bagi mengelakkan rahsia khazanah Shi Huang terus kekal sebagai rahsia selama-lamanya.

Bagi
tentera terracotta pula, mereka seharusnya diletakkan dalam empat lubang tetapi
hanya satu lubang saja yang diisi dengan tentera terracotta yang berukuran dua
meter tinggi. Menurut Portal, ini berlaku berikutan makam berkenaan tidak dapat
disiapkan selepas 40 tahun kemangkatan Shi Huang ditambah dengan gelombang
ketidakstabilan politik yang melanda China antara 210 hingga 206 BC.
Berdasarkan rekod ekskavasi, mereka menemui 8,000 figura terracotta (7,000
tentera dan 800 kuda) dengan kebanyakannya dihasilkan secara besar-besaran dari
tanah liat.

Walaupun
dihasilkan secara besar-besaran, setiap tentera terracotta unik dari segi
penampilan termasuk bentuk tubuh badan, bulu muka dan gaya ikatan rambut.
Mereka dihasilkan mengikut pangkat masing-masing dari tentera infantri biasa
hingga birokrat. Selain diberi lapisan cat lakuer, tentera ini turut dicat
dengan warna-warna cerah seperti merah, hijau dan kuning. Tentera-tentera
terracotta ini turut dilengkapkan dengan senjata sebenar seperti pedang, anak
panah, lembing dan tombak yang diperbuat daripada gangsa. Tetapi kebanyakan
senjata berkenaan hilang sama ada dicuri atau digunakan dalam pemberontakan
petani yang berlaku antara 210 hingga 206 BC.

Musuh-musuh
Shi Huang juga turut mengambil kesempatan dengan menyerang makam berkenaan
termasuk membakar dan merosakkan tentera terracotta serta merompak mana-mana
khazanah yang boleh diambil. Atas sebab itulah, sesetengah patung terracotta
yang ditemui pakar arkeologi dalam keadaan tidak sempurna akibat kerosakan api,
asap dan ditimbus tanah.

SUMBER

1.
Snow, Dan. (2018). HistoryExtra. Uncovering China’s Terracotta Army. https://www.historyextra.com/period/uncovering-china-terracotta-army/

2.
Cartwright, Mark. (2017). Ancient History Encyclopedia. Terracotta Army. https://www.ancient.eu/Terracotta_Army/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet