Tembok yang mengelilingi kubu purba Kumbhalgarh merupakan salah sebuah rahsia terbesar di India, dan mungkin di seluruh dunia. Tembok yang kurang dikenali ini membentengi sebuah kubu besar yang mengandungi lebih 300 buah kuil purba.
Tembok ini dipercayai dibina hampir 500 tahun yang lalu, bersama-sama dengan Kubu Kumbhalgarh itu sendiri. Namun, seorang ahli arkeologi yang telah pun bersara berpendapat bahawa di sana, wujud sebuah lagi tembok besar yang usianya jauh lebih tua.
SEJARAHWAN MEMANGGILNYA SEBAGAI ‘TEMBOK BESAR’ INDIA
Ramai dalam kalangan kita mengenali Tembok Besar China. Namun, kurang yang mengetahui perihal tembok besar yang berdiri megah di India. Kubu Kumbhalgarh adalah kubu kedua paling signifikan di Rajasthan, setelah Chittorgarh. Kubu ini berukuran 36 km (22.5 batu) panjang.
Tembok yang mengelilinginya pula, yang dikenali sebagai ‘Tembok Besar India’, dianggarkan berukuran 80 km (50 batu) panjang. Dalam erti kata lain, hal ini menjadikannya sebagai benteng terpanjang di India dan tembok kedua paling panjang di dunia setelah Tembok Besar China.
Pada tahun 2013, dalam sesi ke-37 Persidangan Warisan Dunia yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja, Kubu Kumbhalgarh bersama lima buah perkubuan lain di Rajasthan diumumkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah nama kolektifnya, ‘Kubu-Kubu Perbukitan di Rajasthan’. Namun, tapak bersejarah ini masih kurang dikenali secara meluas, walaupun binaannya besar dan keseniannya indah belaka.
Di bahagiannya yang paling lebar, tembok ini berketebalan 15 meter (49.2 kaki) dan pembinaannya melibatkan ribuan bongkat batu dan diperindah dengan perhiasan megah di bahagian atasnya. Keadaan ini membuatkan tembok tersebut tidak hanya sebuah benteng pertahanan yang efektif, tetapi juga destinasi pelancongan yang berpotensi.
SEJARAH DAN MISTERI TEMBOK KUMBHALGARH
Kerja-kerja pembinaan Kumbhalgarh dimulakan pada tahun 1443, hampir 15 tahun sebelum Columbus berlayar merentasi Lautan Atlantik lalu membawa kepada penemuan sebuah lagi tembok yang lebih besar, iaitu di China. Berlokasi di Rajasthan, wilayah barat India, pembinaan Kumbhalgarh dimulakan oleh Maharana tempatan, bernama Rana Kumbha.
Kerja-kerja pembinaan ini mengambil masa selama satu abad, dan kemudiannya ia diperbesarkan lagi pada kurun ke-19. Selain dikelilingi oleh tembok besar, Kubu Kumbhalgarh dibina tinggi di sebuah bukit bagi menambahkan lagi ciri keampuhannya. Secara keseluruhan, tembok ini mempunyai tujuh buah gerbang. Dipercayai bahawa pada era pemerintahan Maharana, tembok ini mempunyai begitu banyak lampu sehingga membolehkan para petani tempatan bekerja sepanjang siang dan malam.
Lebih daripada itu, tembok ini juga melindungi lebih 360 buah kuil yang dianggap signifikan oleh penduduk Kumbhalgarh.
Pada hari ini, Narayan Vyas, individu yang melakukan beberapa tinjauan terhadap tembok di antara Bhopal dan Jabaltur setelah bersara dari Jabatan Peninjau Arkeologi India sedekad yang lalu meyakini bahawa relik-relik kuil dan tembok ini berkemungkinan lebih tua berbanding anggapan umum, iaitu berusia dari sekitar kurun ke-10 hingga kurun ke-11 Masihi. Kurun di mana suku-suku pahlawan memerintah wilayah utama India.
Beliau berpendapat bahawa tembok ini mungkin digunakan untuk menandakan sempadan antara wilayah mereka dengan wilayah Kalachuri. “Mereka sering berperang, dan tembok ini mungkin merupakan satu usaha Kerajaan Parmar untuk menghindarkannya.”
Beliau memaklumkan kepada Hindustan Times, “Tembok ini mungkin merupakan penanda sempadan Kerajaan Parmar,” merujuk kepada Rajput yang menguasai wilayah barat-tengah India pada kurun ke-9 hingga kurun ke-13 Masihi.
Vyas juga mengakui bahawa kenyataannya ini hanyalah sebuah andaian dan kajian lanjut perlu dijalankan bagi membuktikan sama ada teorinya itu tepat dan selari dengan sejarah. “Apa yang kita perlukan adalah bukti untuk mengesahkan andaian kita – iaitu (apa yang telah) kita jumpai ini adalah tinggalan sebuah kerajaan yang berusia 1000 tahun.”
PERSOALAN DAN PERDEBATAN
Rahman Ali, seorang sejarahwan yang pernah menulis sebuah buku berkenaan tapak-tapak Kerajaan Parmar dan pernah juga mengunjunginya pada tahun 1975, mengakui bahawa beliau tidak meneliti dengan lebih dekat. Namun, beliau cenderung menyatakan bahawa tembok tersebut bukan tinggalan kerajaan berkenaan. Beliau berkata:
“Terdapat satu kecenderungan untuk mengaitkan segala sesuatu yang lama (tua) dari daerah ini kepada Kerajaan Parmar. Namun, dinasti tersebut sudah pun runtuh pada kurun ke-12 dan mereka tidak ada membina sebarang tembok besar.
Benteng batu ini mungkin usianya jauh lebih muda (berbanding usia Kerajaan Parmar), dan mungkin binaan British pada kurun ke-17; namun, kawasan ini bukanlah kawasan yang penting bagi Raj (British). Justeru, mengapa mereka perlu membina sebuah tembok panjang lalu meninggalkannya?”
Walaupun tembok ini masih terus diselubungi misteri dan asal-usul serta kefungsiannya hangat diperdebatkan dalam kalangan sejarahwan, pastinya penduduk tempatan menumpang rasa bangga dengan kemegahan binaan dan sejarah mereka ini. Mereka juga berasa optimis terhadap potensi yang dimiliki tapak ini untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan.
TERJEMAHAN:
Theodoros Karasavvas. (18 Januari 2017). Kumbhalgarh: The Great Wall You Have Never Heard Of (and it is NOT in China). Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/kumbhalgarh-great-wall-you-have-never-heard-and-it-not-china-007389
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih