Isnin, 19 Oktober 202619 Okt 2026
Mutiara Islam

Teknologi Memendekkan Masa

Adakah anda merasakan seolah-olah masa berlalu dengan cepat? Ramai yang mengalami situasi ini terutamanya ketika sedang melayari internet, bermain permainan video ataupun menonton video di Youtube. Kita berasakan seolah-olah masa berlalu dengan sangat pantas. S

elain itu, ketika kita baru sahaja ingin menikmati cuti hujung minggu, tiba-tiba kita sudah perlu untuk masuk kerja. Kita berasakan seolah-olah banyak lagi perkara yang kita tidak selesaikan. Sebenarnya perkara ini telah lama disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sejak 1400 tahun dahulu.

Semasa saya mengikuti satu kuliah daripada
guru yang saya muliakan Al Fadhil Ustaz Fawwaz Md Jan, beliau telah
mensyarahkan satu hadis akhir zaman yang agak mendalam bagi saya iaitu
berkenaan masa.

Dalam satu
hadis akhir zaman yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., bahawasanya
Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

Tidak tiba hari kiamat sehingga masa berdekatan. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti satu jam, satu jam seperti percikan api.(Riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis
lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah
bersabda yang bermaksud: “Waktu akan semakin singkat, harta melimpah ruah,
fitnah akan menyebar dan banyak terjadi pembunuhan. Dapat kita lihat disini
bahawa tanda dekatnya kiamat adalah dengan singkatnya waktu dan perkara ini
kita dapat rasakan pada zaman sekarang.

Ramai ulama’ seperti Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari telah membahaskan berkenaan hadis ini bahawa yang disebut sebagai singkatnya waktu bukanlah waktu iu secara zahir menjadi pendek ataupun bumi berputar semakin laju tapi maksud sebenar hadis ini adalah hilangnya keberkatan dan ini merupakan tanda hampirnya kiamat. Al Fadhil Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam juga turut mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman dengan syarahan yang sama.

Namun begitu, guru yang saya muliakan al Fadhil Ustaz Fawwaz Md Jan, telah mensyarahkan berkenaan hadis ini dengan sedikit berbeza berdasarkan beberapa tafsiran ulama yang membawa maksud, berlakunya kepesatan kemajuan teknologi telah menyebabkan masa dirasakan pendek. Berdasarkan hadis tersebut sebenarnya masa bukannya berkurang. Hakikatnya masa tetap 24 jam. Yang dimaksudkan dengan masa dirasakan pendek adalah berlaku kemajuan teknologi sehingga masa dirasakan bagaikan air yang mengalir.

Sebenarnya
perkara ini telah dibuktikan berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh ahli
psikologis yang menunjukkan bahawa penggunaan teknologi yang berterusan telah
menyebabkan otak kita lebih efisien dalam memproses maklumat menyebabkan kita
terpedaya dalam memikirkan masa berlalu dengan pantas. Ini secara tidak langsung
menyebabkan persepsi masa kita turut berubah sehingga menganggap bahawa masa
sedang berjalan dengan lebih pantas berbanding kelajuannya yang sebenar.

Menurut Aoife
McLoughlin, seorang ahli psikologi dari kampus Singapura Universiti James Cook,
menyatakan beliau telah menemui beberapa buah petunjuk bahawa berinteraksi
dengan teknologi dan masyarakat yang berpusatkan teknologi telah meningkatkan
sejenis perentak dalam diri kita. Beliau berkata walaupun hal ini mungkin dapat
membantu kita supaya bekerja dengan lebih cepat, ia juga menyebabkan kita
berasa tertekan akibat (lajunya) masa.

Kajian beliau adalah
tertumpu pada kelompok-kelompok manusia yang sentiasa berhubung dengan
teknologi dan kelompok-kelompok manusia yang jarang menggunakannya lalu
membandingkan bagaimana persepsi setiap individu dari kedua-dua buah kelompok
itu berkenaan peredaran masa. McLoughlin telah menemukan bukti bahawa persepsi
kita terhadap (pergerakan) masa kini semakin cepat dengan adanya telefon
pintar. Beliau mendapati bahawa orang-orang yang sentiasa berada di atas talian
atau leka dengan komputer atau telefon pintar, mereka ini menganggap jumlah
masa yang telah berlalu jauh lebih panjang berbanding individu yang jarang
menggunakan teknologi.

Kelompok yang
leka dengan teknologi semasa duduk di dalam sebuah bilik akan menganggap bahawa
satu jam telah berlalu walaupun pada hakikatnya baru hanya 50
minit. Perbezaan persepsi itu boleh membuatkan mereka berasa tertekan
kerana mereka lebih cenderung merasakan bahawa masa berlalu dengan begitu
pantas, lebih pantas berbanding rakan-rakan mereka yang tidak menggunakan
teknologi.

Dan hal ini
juga tidak hanya berlaku pada individu yang sering menggunakan teknologi.
Perkara-perakara yang berkaitan dengan teknologi juga akan membuatkan kita
berasa yang sama. McLoughlin mendapati bahawa orang yang membaca iklan tentang
keluaran iPad terkini turut merasakan bahawa masa berlalu lebih cepat jika
dibandingkan dengan individu yang membaca petikan (iklan) daripada (atau
berbentuk) yang bukan teknologi.

“Keadannya
hampir seakan-akan kita cuba meniru teknologi dan cuba menjadi lebih cepat dan
lebih cekap,” kata McLoughlin kepada ScienceAlert. “Ia seolah-olah ada sesuatu
tentang teknologi itu sendiri yang menyebabkan kita meningkatkan deria perentak
(pacemaker) dalam diri kita, deria yang mengukur kadar peredaran masa.”

Penemuan ini
menyokong nasihat-nasihat lazim di televisyen dan juga radio yang mencadangkan
supaya kita semua mengambil sedikit masa untuk merehatkan diri dari
(penggunaan) media sosial dan internet dalam setiap minggu untuk melambatkan
deria perentak tersebut.

McLoughlin juga
sedang mengkaji sama ada fenomena ini mempunyai sebarang kesan positif atau
negatif jangka panjang terhadap kehidupan kita. Kajian beliau yang lain telah
membuktikan bahawa penggunaan teknologi dapat membantu kita memproses maklumat
dengan lebih cekap, dan sebenarnya menjadi lebih cepat dalam melaksanakan tugas
sekaligus hal ini dapat membantu kita menjimatkan waktu dalam jangka panjang.

“Pada sisi
positif, kadar kelajuan pemprosesan yang lebih cepat mungkin merupakan sebuah
kelebihan dalam banyak keadaan,” kata McLoughlin. Tetapi, beliau turut
melakukan kajian tentang kesan jangka panjang bagi kadar kelajuan tersebut.

“Saya rasa ia
akan membawa kepada peningkatan ketertekanan (stress) yang berfaktorkan masa,
yang mana (stress ini) dikaitkan dengan penyakit jantung,” katanya lagi.
“Tekanan-berfaktor-masa yang tinggi juga berhubung rapat dengan kemurungan bagi
kaum lelaki dan perempuan di samping turut berkait rapat dalam meningkatkan
tahap kemurungan kepada wanita yang bekerja di luar rumah.”

Kalau kita lihat dari sudut pandang Islam, sebenarnya singkatnya masa itu disebabkan keberkatan masa itu telah ditarik sedikit demi sedikit daripada kita. Apakah yang dimaksudkan dengan berkat? Berkat ini bahasa mudahnya bermaksud bertambah dan berkembang. Istilah ini adalah untuk menunjukkan kebaikan yang banyak sebagaimana kita dapat lihat pada kehidupan para salafus soleh terdahulu, bagaimana ibadah dan amalan mereka. Sebagai contoh kita ambil Imam Nawawi rhm.

Imam Nawawi merupakan seorang ulama’ yang terkenal dengan keilmuannya yang tinggi. Namun begitu, beliau dikurniakan umur yang pendek tetapi penuh berkah. Beliau meninggal semasa berumur tidak sempat mencecah 45 tahun, namun jumlah karyanya jika diikutkan melebihi hayat hidupnya iaitu sekitar 40 kitab. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali yang meninggal ketika berumur 55 tahun. Perlu difahami bahawa kitab-kitab karangan mereka ada yang setebal beratus halaman dan memakan sehingga berjilid-jilid.

Imam kita dalam
akidah ahlus sunnah wal jamaah Imam Abu Hasan al Asya’ari juga pernah menulis
tafsir sebanyak 600 jilid yang kini disimpan di perpustakaan an Nizamiah di Baghdad.
Selain itu, kita boleh lihat juga amalan para sahabat dan salafus soleh yang
mana mereka boleh mengkhatamkan al-Quran dalam masa satu malam dan melakukan
solat sunat beratus rakaat. Semuanya adalah kerana mereka telah diberikan
karamah oleh Allah S.W.T. untuk beribadah kepada-Nya dan diberikan masa yang
berkat lagi bermanfaat.

Pada zaman sekarang, kita dapat lihat manusia tidak dapat dipisahkan dari teknologi sehingga terdapat sekelompok manusia yang digelar nomophobia yang membuatkan mereka tidak dapat dipisahkan dengan telefon pintar mereka. Teknologi juga telah menyebabkan manusia menjadi kurang produktif menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perkara lain kecuali bermain telefon pintar.

Ada yang kerja seharian mereka terganggu disebabkan ketagihan permainan video game. Perkara ini sangat parah jika tidak dibendung kerana ia akan memberikan masalah terhadap kesihatan kita. Walaupun denagn status kita sebagai umat yang sangat dekat dengan akhir zaman, kebanyakkan daripada kita masih leka dalam mengingati Allah S.W.T. Kepesatan teknologi telah menyebabkan kita lalai dalam mengerjakan suruhan Allah S.W.T. Tanpa kita sedari, keberkatan masa kita ditarik sedikit demi sedikit.

Kesimpulannya, masa
pada hakikatnya tidaklah bergerak dengan lebih pantas (berbanding biasa) – ia
hanya persepsi otak kita sahaja. Dan berita buruknya pula adalah kita terlalu
sibuk menggunakan teknologi sehingga tidak berpeluang menghargai masa lapang
yang telah dirugikan untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang berfaedah.
Betapa ironinya, kerana teknologi sepatutnya memendekkan masa kita namun
membuatkan kita tidak dapat melakukan banyak perkara. Ini bukan bermaksud kita
tidak perlu menggunakan teknologi tetapi kita seharusnya perlu berpada-pada
agar tidak membawa mudarat kepada kita.

RUJUKAN:

Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam. 40 Hadis
Peristiwa Akhir Zaman.

Chris Draper. (2015). Technology is
making our perception of time flow quicker, according to new study. Glitch
News. https://glitch.news/2015-11-25-technology-is-making-our-perception-of-time-flow-quicker-according-to-new-study.html

Elizabeth Knowles. (2015). Technology
is Speeding Up Our Perception of Time. The Science Explorer. http://thescienceexplorer.com/technology/technology-speeding-our-perception-time

Fiona Macdonald. (2015). Science
Says That Technology Is Speeding Up Our Brains’ Perception of Time. Science
Alert. https://www.sciencealert.com/research-suggests-that-technology-is-speeding-up-our-perception-of-time

Jonathan Wells. (2015). Technology
is ‘speeding up our sense of time’. Telegraph.co. https://www.telegraph.co.uk/men/the-filter/technology-is-speeding-up-our-sense-of-time/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet