Pada tahun 2011, jurugambar bernama Nick Brandt menjelajah ke Afrika Timur dan menangkap gambar alam semula jadi untuk membukukan album foto beliau bertajuk ‘Across The Ravaged Land’.
Setibanya Brandt ke Tasik Natron yang terletak di Tanzania, beliau menemui fenomena yang aneh iaitu haiwan-haiwan yang berada di tasik itu tiba-tiba tidak bergerak, seolah-olah menjadi batu. Fenomena ini menjadi sumber ilham beliau untuk menangkap foto dengan konsep alam sedemikian rupa.
Pertama kali Brandt melihat keadaan haiwan seperti burung bangau dan kelawar tersebut, beliau terkejut kerana haiwan yang telah menjadi bangkai ini mengeras seolah-olah menjadi batu. Kemudian beliau mengambil bangkai tersebut dan meletakkan di ranting pokok atau tepi tasik, kemudian menangkap foto seolah-olah haiwan itu hidup.
Apa yang belaku pada haiwan-haiwan tersebut? Adakah mereka juga disumpah menjadi batu seperti kisah Si Tanggang yang menderhaka ibunya?
Tasik Natron adalah tasik yang paling tenang berbanding tasik lain di benua Afrika. Tasik ini terletak di kaki gunung berapi Oi Doinyo Lengai yang bermaksud ‘Gunung Tuhan’. Keunikan tasik ini berbanding tasik lain adalah tasik ini adalah tasik masin yang mempunyai keasinan yang tinggi iaitu 10.5 pH.
Tasik Natron ini cetek saja, sedalam kurang 3 meter dan keluasannya adalah 57 kilometer panjang dan 22 kilometer lebar. Suhu sekitar tasik ini pula 40 darjah Celsius. Banyak haiwan yang menetap di tasik Natron terutamanya burung bangau dan kelawar. Tasik ini juga menjadi kawasan pembiakan spesis burung bangau Afrika atau Lesser Flamingo kerana kaya dengan mikroorganisma bernama cyanobacteria yang menjadi sumber makanan burung flamingo itu.
Berbalik kepada misteri bangkai haiwan menjadi batu, kuncinya adalah bahan kimia semula jadi yang terbentuk dalam tasik tersebut. Tasik Natron tidak bersambung dengan mana-mana aliran keluar sungai selain aliran sungai menuju ke tasik dan hanya bergantung dengan proses penyejatan untuk meneruskan kitaran air tasik ini.
Selepas proses penyejatan berlaku, ia meninggalkan pemendakan sodium karbonat atau Natron, bahan pengawetan mayat yang biasa orang Mesir Kuno guna untuk memumiakan mayat.
Kehadiran bahan kimia ini begitu beracun bagi haiwan yang tidak pernah menjadikan Tasik Natron sebagai tempat singgahan atau habitat mereka. Ditambah dengan suhu tasik yang begitu tinggi yang memudahkan proses ‘memumiakan’ bangkai, burung yang bernasib malang akan terjatuh di tasik itu kemudian bahan kimia dan suhu panas akan bertindak untuk ‘membatukan’ haiwan tersebut.
Haiwan yang tidak berdaya juga akan menjadi ‘batu’ bermula dari sayapnya mengeras menyentuh air tasik Natron. Lama-kelamaan haiwan itu menjadi bangkai yang mengeras, seperti dimumiakan oleh alam sekitar. Inilah fenomena yang terjadi mengapa bangkai burung dan kelawar mengeras seperti batu.
Kini, populasi burung bangau Afrika mengalami ancaman kepupusan kerana kehadiran empangan berkuasa elektrik di Sungai Ewaso Ngiro, sungai yang menjadi sumber air Tasik Natron. Air tasik menjadi semakin cetek, menyukarkan burung bangau ini mencari makanannya. Untuk memulihara tasik ini, kerajaan Tanzania meletakkan tasik ini dalam senarai tempat konservasi bernama ‘List of Ramsar wetlands of international importance’. Tasik Natron juga menjadi kawasan pantauan World Wildlife Fund (WWF) Afrika Timur.
RUJUKAN:
Stromberg, J. (2 October 2013). This Alkaline African Lake Turns Animals into Stone. Smithsonian Magazine.
Lallanilla, M. (2014). Lake That Turns Animals to Stone? Not Quite. Live Science.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih