Sebut saja nama Tan Sri Lee Lam Thye, pasti ramai mengenali beliau sebagai aktivis yang amat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Namun, tidak ramai tahu tokoh kemasyarakatan yang lembut dan hemah budinya ini sebenarnya pernah aktif dalam arena politik bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) sekitar tahun 60-an hinggalah persaraannya pada tahun 1990. Dan kerana keperibadian itu juga, ia membantu Tan Sri Lee mengekalkan kerusi Bukit Bintang selama empat penggal dari tahun 1974 hingga 1990.

Anak jati Ipoh ini dilahirkan pada 30 Disember 1946. Beliau datang dari sebuah keluarga susah di mana bapanya merupakan seorang tukang besi sementara ibunya bekerja di kedai dobi. Bagi meringankan beban mereka, Tan Sri Lee menghantar kain basuhan selepas selesai waktu persekolahan dan membantu menjual sayur pada hari minggu. Sementara pada musim cuti sekolah pula, beliau akan memetik buah-buahan seperti rambutan dan jambu di kawasan rumah keluarganya untuk dijual di pasar Menglembu. Sedar akan kesusahan keluarganya semasa membesar, Tan Sri Lee sedar keperluan untuk cemerlang dalam pelajaran untuk tidak menghampakan kedua-dua ibu bapanya. Pada masa sama, ini juga menjadi pencetus minat beliau berkecimpung dalam dunia politik demi membantu rakyat yang dalam kesusahan, sama seperti yang pernah dialami keluarganya.

Semasa bersekolah di St. Michael Institution, Ipoh, pada mulanya Tan Sri Lee beraspirasi menjadi seorang juruterbang kerana meminati pesawat semasa berada di Tingkatan 3. Selain itu, beliau juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti penulisan dan gemar membaca ucapan-ucapan pemimpin terkenal dunia dalam pelbagai topik seperti keamanan dan alam sekitar. Seawal usia 15 tahun, Tan Sri Lee banyak menyuarakan pandangan tentang sesuatu isu melalui coretannya dan ada di antaranya disiarkan dalam akhbar-akhbar ketika itu. Tetapi pada akhir Tingkatan 4, politik mencuri hatinya kerana melalui politik, beliau boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara serta menyuarakan harapan dan aspirasi rakyat. Dan ia turut mengubah cita-citanya dari menjadi juruterbang kepada Ahli Dewan Rakyat semasa berada di Tingkatan 5.

Selepas menamatkan persekolahan dengan mendapat sijil Senior Cambridge, Tan Sri Lee berkelana ke Kuala Lumpur dan di sinilah beliau dipertemukan dengan pengasas DAP dan bakal Presiden Singapura, mendiang Devan Nair. Mendiang mendapatkan pekerjaan Tan Sri Lee melalui Kesatuan Pekerja Komersial Kebangsaan (NCUW). Pada ketika itu, kesatuan tersebut merupakan kesatuan pekerja terbesar di Malaysia dan mendiang memberi kepercayaan kepada beliau sebagai Setiausaha Eksekutif kesatuan. Ia bukan satu tugas mudah kerana ini satu bidang baru pada Tan Sri Lee. Namun, itu tidak menghalang beliau belajar banyak perkara berkenaan isu penindasan dan eksploitasi hak pekerja. Dan dari situ juga, mendiang Nair turut memberi kepercayaan kepada Tan Sri Lee untuk bertanding sebagai calon DAP untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Nanas pada tahun 1969. Ini disusuli dengan penyertaannya di Parlimen Bukit Bintang pada tahun 1974. Malah mendiang juga bertanggungjawab membayar wang deposit untuk membolehkan Tan Sri Lee bertanding memandangkan ketika itu, beliau tiada kemampuan kewangan dan belum berkeluarga. Pada mulanya, beliau ragu-ragu juga akan kemampuan dirinya tetapi akhirnya nekad demi membuktikan dirinya sebagai wakil rakyat contoh sekiranya dipilih. Ini ditambah pula dengan restu kedua-dua ibu bapanya dan sokongan mendiang semasa pilihan raya. Dan selebihnya, semua jadi sejarah apabila Tan Sri Lee menang dengan majoriti 8,000 undi dan majoriti tersebut terus meningkat untuk pilihan raya seterusnya.

Semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat, Tan Sri Lee diberi gelaran Mr Typewriter/Encik Mesin Taip. Ini disebabkan beliau kerap membawa mesin taip Olivetti Lettera 25 dan sebuah beg mengandungi pelbagai borang. Semua yang datang mengadu pelbagai masalah dari saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penukaran sekolah, permohonan biasiswa sehinggalah masalah banjir kilat dan longkang tersumbat. Satu perkara menarik ialah beliau akan melihat apa jenis permasalahan sebelum memberi jalan penyelesaian kepada pengadu. Sekiranya penyelesaian itu memerlukan sokongan berbentuk surat bertulis, Tan Sri Lee akan menaip surat sama ada di kedai kopi atau gerai penjaja berhampiran. Dan bukanlah sesuatu yang asing melihat beliau duduk bersama penduduk tatkala sibuk menulis surat rayuan atau surat cadangan. Atas sebab itulah, ramai penduduk terutama peniaga kecil menyayangi beliau sebagai pemimpin kawasan mereka. Malah, ramai pengundi Melayu pada tahun 1970-an tidak teragak-agak mengundi Tan Sri Lee sehinggakan keluar satu dialog kempen popular, “Kalau Lee Lam Thye lawan di Kampung Baru pun dia boleh menang!”

Selain dikenali sebagai berjiwa rakyat, beliau turut dikenali kerana bersikap mesra media. Pada ketika itu, Tan Sri Lee merupakan satu-satunya Ahli Parlimen yang akan menaip kenyataan di Dewan Rakyat, pergi ke bilik media dan menyerahkan kenyataannya kepada mereka. Bagi pihak media, mereka senang membuat liputan berkenaan beliau kerana Tan Sri Lee tiada setiausaha akhbar dan terpaksa melakukan semua seorang diri. Dan dengan elaun RM500 sebagai elaun wakil rakyat, ianya merupakan satu cabaran kerana itulah elaun peribadi, sebahagian daripadanya untuk diberi kepada ibu bapa di kampung dan bakinya digunakan untuk membantu orang ramai. Keperibadiannya yang berhemah mendorong sesetengah sukarela membantu Tan Sri Lee untuk membantu rakyat.

Sebagai seorang ahli politik yang berkarisma, beliau tidak pernah mengecam pihak lawan walaupun mewakili parti DAP. Malah Tan Sri Lee juga tidak keberatan memberi kredit pada setiap dasar kerajaan yang dilihat memberi manfaat kepada rakyat. Keperibadiannya yang berjiwa besar menyebabkan ramai ahli akar umbi menyanjung beliau. Dan bukanlah satu kejutan jika ada pihak tertentu dalam parti menganggapnya satu ancaman kepada kedudukan mereka. Walau apapun yang berlaku, keputusan Tan Sri Lee bersara dari arena politik pada tahun 1990 merupakan satu tamparan hebat kepada DAP.

Jika anda menyangka selepas mengumumkan persaraan dari arena politik, Tan Sri Lee akan berehat. Anda salah malah perkara sebaliknya berlaku. Beliau terus aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. Antara organisasi yang dianggotai beliau ialah Penasihat Kehormat Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Dengan kesibukan jadualnya, rutin hariannya ialah pulang ke rumah, makan sedikit dan terus bekerja hinggalah lewat malam. Untuk mengekalkan kesihatannya, Tan Sri Lee makan makanan berkhasiat dan secara sederhana serta bersenam sama ada berjalan atau bermain golf. Walaupun masih aktif bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau tidak berminat untuk kembali bertarung dalam arena politik. Alasan Tan Sri Lee di sebalik keputusan itu kerana tidak senang dengan budaya politik keterlaluan dan melihat beliau menyumbang lebih berkesan di luar sfera politik itu sendiri.

Jasanya kepada komuniti mendapat pengiktirafan ramai pihak. Pada tahun 2015, beliau mendapat anugerah Tokoh Pertubuhan Kebangsaan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana aktif menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara melalui aktiviti sosial dan komuniti. Selain itu, beliau turut mendapat ijazah Doktor Kehormat dari enam buah universiti. Antara universiti yang memberi anugerah sedemikian ialah Universiti Sains Malaysia (USM) (2000), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) (2002), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) (2013), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (2016) dan Asia Metropolitan University (AMU) (2017).

Jika ada mana-mana individu yang beraspirasi menjadi pemimpin atau ahli politik, maka nasihat Tan Sri Lee ini harus kita dengar:

1. Bersedia untuk berkorban dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

2. Bersedia mendahulukan kepentingan rakyat sebelum kepentingan diri.

3. Bersikap jujur dan ikhlas semasa bekerja.

4. Berusaha untuk fasih bertutur dalam Bahasa Melayu ini memudahkan komunikasi dan berhujah dalam Parlimen atau DUN.

5. Bersikap mesra dan sedia bekerjasama dengan pegawai dan agensi-agensi kerajaan.

SUMBER

1. Astro Awani. (2013). Tun Mahathir conferred honorary doctorate by UNITEN. http://english.astroawani.com/malaysia-news/tun-mahathir-conferred-honorary-doctorate-uniten-25296

2. Bernama. (2016). Lam Thye Awarded UKM Honorary Doctorate In Philosophy. http://www.bernama.com/en/general/news.php?id=1299856

3. Sinar Harian. (2017). ‘Saya tidak akan kembali semula dalam politik’. http://www.sinarharian.com.my/politik/saya-tidak-akan-kembali-semula-dalam-politik-1.642703

4. A. Talib, Ahmad. (2017). New Straits Time. Lee Lam Thye – serving the nation. http://travel.nst.com.my/opinion/columnists/2017/08/267202/lee-lam-thye-serving-nation

5. The Star. (2017). Honorary degree for social activist Lee. https://www.thestar.com.my/news/education/2017/12/10/honorary-degree-for-social-activist-lee/

6. A. Kadir, Syahril. (2018). The Rakyat.com. EKSKLUSIF: Kisah Lee Lam Thye, wakil rakyat enam penggal tak pernah kalah! https://therakyat.com/2018/01/26/eksklusif-kisah-lee-lam-thye-wakil-rakyat-tujuh-penggal-tak-pernah-kalah/

7. e-Lassalian Network. Tan Sri Lee Lam Thye: truly a man who advocates service above self. http://e-lasallian.org/index.php?option=com_content&task=view&id=32&Itemid=66


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.