Artikel kali ini akan terarah kepada seorang figura penting Zaman Perang Antara Wilayah ataupun Sengoku Jidai yang pernah menggegarkan Jepun dengan kebijaksanaannya suatu masa dahulu. Seperti sebelum ini, penulis pernah menerangkan betapa dinamiknya landskap politik dan peluasan kuasa di Jepun dalam zaman di mana pahlawan samurai mempunyai darjat sosial yang sangat berpengaruh walaupun hanya terdiri daripada lebih kurang 10% dari kesuluruhan populasi negara matahari terbit ketika itu.

Pemerintah wilayah ataupun Daimyō (Warlord) merupakan golongan yang paling dominan, terletak di puncak piramid dalam kelas sosial pahlawan samurai. Hampir kesemua warlord ini sememangnya gemar melancarkan peperangan ke atas satu sama lain demi meluaskan wilayah jajahan dan pengaruh kekuasaan masing-masing di samping menggunakan teknik diplomasi. Keshogunan Ashikaga di Muromachi Kyoto yang sepatutnya mentadbir aspek ketenteraan negara pula tidak mampu membendung kebangkitan kuasa baru para warlord ini kerana posisi pemerintahan mereka yang semakin lemah bagaikan telur di hujung tanduk.

Puak-puak yang warlord ketuai pula berselerakan ke seluruh kepulauan Jepun, dari Selatan sehinggalah ke Utara, Barat sehingga ke Timur. Nama-nama puak seperti Oda, Uesugi, Date, Shimazu, Otomo, Ryuzoji, Mori, Takeda, Tokugawa, Toyotomi, Hojo, Satake, Chosokabe, Imagawa, Saito, dan banyak lagi mengungguli usaha peluasan kuasa ini. Ada puak yang naik dengan mendadak berbekalkan kepintaran Daimyō dan ketumbukan padu tentera tentera masing-masing seperti puak Toyotomi dan Tokugawa. Ada pula yang terus hilang dari bumi kerana khilaf dalam percaturan ataupun hanya bersikap sambil lewa dalam pentadbiran wilayah. Ada juga yang digulingkan dan dikhianati panglima samurai sendiri.

Baca: https://thepatriots.asia/akechi-mitsuhide-pengkhianat-atau-wira/

Ada juga yang berfoya-foya sehingga lupa dengan tugas sendiri sehinggakan hancur puak sendiri seperti yang berlaku kepada warlord Ichijo Kanesada dan ada pula yang memandang jauh terkedepan dengan mengaplikasikan teknologi Barat dalam peperangan seperti Oda Nobunaga. Namun, ini tidak sesekali bermakna kemahiran tradisional samurai Jepun inferior berbanding teknik yang dibawa Barat, cumanya ada kelebihan ketara bagi unit istinggar dalam pertempuran terutamanya menentang pasukan tentera berkuda.

Sebagai contoh, puak Date berjaya menyatukan kawasan Oshu di utara Jepun yang belum pernah disatukan selama beratus-ratus tahun di bawah kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan ketuanya, Date Masamune. Dalam artikel lepas, penulis pernah menerangkan dengan panjang lebar tentang insan bernama Masamune ini yang bukan sahaja gemar menggunakan teknologi senjata istinggar dalam pertempurannya malah menjadi orang Jepun yang pertama yang pernah menulis surat kepada Pius Paul V.

Baca: https://thepatriots.asia/date-manasume-naga-jepun-bermata-satu/

Dalam keghairahan puak-puak yang diketuai Daimyō ini menggunakan segala kad kelebihan yang ada untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing, mekarlah segala kuntum bunga yang menjadi tonggak kejayaan setiap Daimyo. Bunga-bunga ini ialah para pegawai puak ataupun panglima samurai yang berkhidmat kepada Daimyō masing-masing. Dalam bahasa Inggeris digelar juga sebagai retainer. Serupa dengan era perebutan kuasa Romance of Three Kingdoms di China, macam-macam karakter baru mengabadikan nama masing-masing dalam rekod sejarah. Tanpa mereka, para Daimyō ini sudah tentu tidak mampu merealisasikan impian mereka.

Takenaka Shigeharu (Hanbei)

Mon ataupun lambang keluarga Takenaka yang diinspirasikan oleh pohon buluh berdaun lebar dari spesies Sasa.

Takenaka Shigeharu (竹中 重治) dari keluarga Takenaka dilahirkan di provinsi Mino (hari ini, Gifu) pada 27 September 1544 dan meninggal dunia pada 6 Julai 1579. Shigeharu yang juga dikenali sebagai Takenaka Hanbei merupakan seorang panglima samurai dan ahli strategi berwibawa yang berkhidmat untuk puak Saitō di Mino. Puak Saitō inilah yang pernah mengahwinkan puterinya, Lady Kicho dengan warlord Oda Nobunaga dari Owari, individu yang hampir-hampir sekali menyatukan seluruh Jepun. Ironinya, puak Saitō jugalah yang pernah menggembleng khidmat panglima samurai bernama Akechi Mitsuhide, watak yang sama yang mengkhianati Oda Nobunaga sehingga menyebabkannya jatuh.

Anak kedua kepada Takenaka Shigetomo ini adalah menantu kepada Ando Morinari, salah seorang daripada tiga orang ketua keluarga paling berpengaruh di Mino yang digelar Nishimino Sannin-shu ataupun Trio of Mino. Ketika itu, puak Saitō dipimpin Saitō Tatsuoki, anak saudara kepada Lady Kicho dan cucu kepada Saitō Dosan. Ibunya bernama Myōkai Taishi, salah seorang anak kepada Sugiyama Kyuzaemon. Selepas kematian bapanya, Shigeharu menjadi ketua keluarga Takenaka.

Banyak pihak yang mendakwa Shigeharu sebagai seorang genius perang yang tidak pernah teragak-agak untuk menyediakan pelan strategi yang terperinci dalam setiap pertempuran yang disertainya. Dalam catatan Bukōyawa, beliau dikatakan sebagai seorang yang lemah gemalai (graceful) namun kebolehannya dalam mengatur strategi tidak boleh disangkal lagi. Kemahiran dan inteleknya pernah dibandingkan dengan Chen Ping iaitu seorang strategis dan ahli politik terulung Dinasti Qin di China.

Menakluk Istana Dengan 15 Orang

Gambar watak Shigeharu dalam permainan berisiri Nobunaga Oda’s Ambition

Tatsuoki bukanlah seorang yang ketua yang bertanggungjawab. Kerapkali mabuk dan suka berseronok dengan perempuan simpanan, Tatsuoki tidak langsung mahu ambil tahu menahu tentang hal ehwal pentadbiran Mino padahal puak Saitō semakin hari semakin terasa bahang ancaman dari puak Oda di selatan.

Oda Nobunaga sememangnya telah banyak kali menyerang Mino tetapi berjaya dipatahkan oleh Daimyō sebelumnya. Perbezaan tampuk kepimpinan yang lemah ini telah mengundang kempen perang habis-habisan oleh Oda. Bukan itu sahaja, malah ada penduduk dan tentera Saitō sendiri yang berpaling tadah kepada Oda kerana hilang kepercayaan kepada ketua mereka.

Dalam masa yang sama, Oda telah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas wilayah Mino. Shigeharu pula mengetuai satu serangan mengejut ke atas tentera Oda yang berakhir dengan pengunduran musuh. Sekali lagi dalam serangan kali kedua, Shigeharu mengetuai pasukan Saitō mempertahankan kawasan dari terus dicerobohi tentera Oda menggunakan strateginya sendiri. Tatsuoki pula tidak menunjukkan apa-apa perubahan positif sebaliknya terus setia sebagai seorang kaki botol.

Berang dengan perbuatan Tatsuoki, satu insiden yang sangat menarik telah berlaku walaupun kesahihan insiden ini masih diperdebatkan tetapi tidak mustahil kisahnya benar. Bersama-sama bapa mertuanya, Morinari dan adiknya Shigenori, Shigeharu telah melancarkan kudeta dengan hanya 16 orang (17 orang dalam Takenaka Heiki) dalam bulan Februari 1564. Shigeharu berjaya menguasai Istana Inabayama yang tersergam indah terpacak di atas gunung dalam masa sehari saja! Gila sungguh.

Betul, Shigeharu adalah seorang panglima Saitō maka sudah tentunya beliau tahu selok-belok istana dengan begitu jelas sekali tetapi kemampuannya untuk mengambil alih seluruh istana tentunya bukan sesuatu yang boleh dilakukan orang lain. Bayangkan, bagaimana istana yang lengkap dengan sistem pertahanan hebat, tembok-tembok batu yang utuh, dengan tentera samurai dan pengawal yang beribu-ribu orang ramainya ditambah pula dengan posisi istana yang tidak dapat mudah ditembusi dari luar, mampu ditundukkan Shigeharu yang ketika itu berumur 20 tahun dan 16 orang pengikutnya dalam masa yang sangat singkat.

Berkhidmat Untuk Oda Nobunaga

Tugu Shigeharu di Gifu

Shigeharu kemudiannya kekal menguruskan Istana Inaba selama setengah tahun sebelum dipulangkan semula kepada Tatsuoki. Apa yang berlaku selepas ini sedikit kabur tetapi pada tahun 1567, Oda mengepung Istana Inabayama dengan bala tentera yang ramai. Shigeharu dikatakan hadir dalam mengetuai pasukan pertahanan Saitō. Malangnya, musuh terlalu ramai dan Inabayama ditakluki Oda Nobunaga. Shigeharu yang kini seorang ronin ataupun samurai tidak bertuan, dipercayai pulang ke rumahnya di Omi dan hidup sebagai orang biasa.

Namun, Oda Nobunaga dan panglimanya Hashiba Hideyoshi (akan dikenali sebagai Toyotomi Hideyoshi) tidak lupa dengan kehebatan strategi yang ditunjukkan Shigeharu ketika pengepungan yang berlaku dulu. Maka diutusnya Hideyoshi untuk merekrut Shigeharu untuk berkhidmat kepada puak Oda. Satu episod yang menarik telah direkodkan dalam Taikōki. Pelawaan Hideyoshi ditolak. Hideyoshi tidak berputus asa dan melawatnya sebanyak tiga kali berturut-turut, barulah persetujuan dicapai.

Kejadian ini tidak ubah seperti yang berlaku dalam epik Romance of Three Kingdoms di mana Liu Bei cuba merekrut ahli strategi agung bernama Zhuge Liang tetapi ditolaknya sehinggalah pada cubaan yang ketiga. Shigeharu diletakkan sebagai strategis dibawah kendalian Hideyoshi yang akan membantunya dalam kempen peperangan.

Persahabatan Dengan Kuroda Yoshitaka (Kanbei)

Dalam pertempuran Anegawa menentang puak Asakura dan Azai, Shigeharu berjuang bersama-sama pasukan Oda. Selepas selesai kempen di Anegawa, Shigeharu dan salah seorang pegawai Hideyoshi bernama Kuroda Yoshitaka mula bersahabat. Hideyoshi dan bala tenteranya termasuklah Shigeharu dan Yoshitaka telah mendapat perintah Nobunaga untuk menghapuskan puak Mori di negeri Chugoku.

Watak Shigeharu (Hanbei) dan Yoshitaka (Kanbei) dalam permainan bersiri Samurai Warrios.

Dengan kerjasama gandingan yang mantap, duo Shigeharu dan Yoshitaka dikatakan tidak dapat dihentikan lagi memandangkan seorang mempunyai minda yang bergeliga manakala yang satu lagi mempunyai bakat kepimpinan yang hebat. Kemenangan demi kemenangan dicapai menentang puak Mori yang agak kuat lantas menaikkan reputasi Hideyoshi dengan gilang-gemilang. Malangnya strategi yang digunakan mereka tidak dicatatkan dengan terperinci.

Satu perangai Shigeharu yang agak pelik adalah beliau suka menunggang kuda tua yang sudah tidak ada stamina lagi, satu perangai yang ditegur Hideyoshi kerana tidak padanlah dengan kehebatannya sebagai ahli strategi yang sudah masyhur. Shigeharu juga gemar memakai baju perisai seperti sisik ikan.

Semasa pemberontakan Araki Murashige, seorang panglima samurai Oda, Yoshitaka telah ditahan di istana Orioka. Nobunaga melihat ini sebagai satu komplot yang direka Yoshitaka dan Murashige untuk menentangnya. Ketika itu, Matsujumaru iaitu anak Yoshitaka telah dijaga oleh Shigeharu. Nobunaga memerintahkannya untuk membunuh Matsujumaru sebagai hukuman terhadap pembelotan Yoshitaka. Shigeharu dengan bijaknya telah berjaya melengah-lengahkan perintah tersebut sehingga akhirnya Yoshitaka dibebaskan.

Sebagai tanda terima kasih yang teramat sangat, Yoshitaka telah menukarkan lambang puak Kuroda kepada lambang yang lebih kurang sama dengan lambang Takenaka yang kelihatan seperti daun buluh.

Pada tahun 1579, kesihatan Shigeharu kian merosot dengan teruk semasa pengepungan di Istana Miki. Hideyoshi mengarahkannya untuk berehat ke Kyoto namun beliau menolak atas alasan mahu terus menyumbang. Ketika berusia hanya 36 tahun, beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir. Dikatakan bahawa kematian beliau disebabkan sama ada oleh pneumonia ataupun tuberculosis.

Dalam rekod Taikōki dan Jōzankidan, Shigeharu digambarkan sebagai seorang yang mempunyai badan yang lemah, selalu sakit dan sekali pandang, kelihatan seperti seorang wanita. Maka tidak mengejutkan jika beliau meninggal dunia agak muda tetapi sayang sekali, jikalau hidup lebih lama, pasti lebih banyak strategi genius yang dapat dihasilkan dalam peperangan.

Kanbei dan Hanbei

Nama gelaran Shigeharu yang dikatakan fiksyen ialah Hanbei yang mana berkait dengan nama gelaran Yoshitaka iaitu Kanbei. Dua nama ini memberi idea yang bakat kedua-dua Shigeharu dan Yoshitaka tidak lengkap tanpa satu sama yang lain.

Hal ini kerana Hanbei bermaksud separuh dan Kanbei bermaksud diri (official). Dalam rekod sejarah, tidak dapat dipastikan sama ada nama gelaran ini betul-betul wujud walaupun ada catatan yang menyokongnya. Walau bagaimanapun, satu nama untuk menggambarkan mereka ini benar-benar wujud yang berbunyi, Ryōbei (両兵衛) atau Nihyōe (二兵衛).

Ada juga gelaran lain seperti Ima Kusunoki dan Ima Komei. Gelaran yang paling hebat bagi Hanbei pula ialah Shiranu kao no Hanbē (secara literalnya, Hanbē of Feigning Ignorance) ataupun “The All-Knowing Hanbei” yang mana membuktikan lagi kebijaksanaan luar biasa yang dimiliki Hanbei.

Gelaran ini juga menjadi satu pepatah di Jepun dimana orang itu menghayati dan memasuki keadaan kecerdasannya serta memperoleh keupayaan untuk mengenal pasti apa-apa kesan dengan serta-merta dan tanpa kegagalan. Kecerdasan ini begitu hebat sehinggakan seolah-olah seseorang itu berupaya membuat setiap keinginan mereka menjadi satu realiti walaupun nampak seperti sedang berpura-pura sebagai seorang yang tidak peka.

Rujukan

Hanbei Takenaka. (n.d.). Retrieved January 13, 2019, from http://koei.wikia.com/wiki/Hanbei_Takenaka

Ken. (2014, April 8). Takenaka Jinya -Place of Hideyoshi’s legendary military staff-. Retrieved January 13, 2019, from http://www.japancastle.jp/2014/04/Takenaka-jinya.html

Shigeharu Takenaka. (n.d.). Retrieved January 13, 2019, from http://sengoku-period.wikia.com/wiki/Shigeharu_Takenaka

Takenaka Hanbei. (n.d.). Retrieved January 13, 2019, from https://wiki.samurai-archives.com/index.php?title=Takenaka_Hanbei


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Comments are closed.