Di kebanyakan negara di seluruh dunia, Hari Tahun Baru diraikan pada tanggal 1 Januari dengan diiringi bunga api dan keraian-keraian yang diadakan pada malam sebelumnya. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu-satunya tanggal atau bentuk sambutan Tahun Baru yang ada dan tidak semua kebudayaan menyambutnya pada tanggal 1 Januari. Dalam artikel kali ini, kita akan melihat sambutan-sambutan Tahun Baru dalam pelbagai budaya di seluruh dunia.

TAHUN BARU CINA DAN MAKHLUK PENDAHAGA DARAH

Salah satu tradisi tertua yang masih diraikan pada hari ini adalah Tahun Baru Cina yang dipercayai berasal dari milenium ketiga yang lalu, di zaman pemerintahan Dinasti Shang. Hari cuti umum pada Tahun Baru Cina bermula sebagai suatu kaedah untuk meraikan permulaan baru musim bunga dan musim menanam. Namun di masa-masa terkemudian, ia mula dikaitkan dengan mitos dan legenda. Menurut satu catatan, pada suatu ketika dahulu, terdapat sejenis makhluk yang dahagakan darah. Makhluk ini bernama Nian – kini merupakan perkataan berbahasa China yang bermaksud ‘tahun’. Makhluk tersebut gemar memangsakan penduduk kampung pada setiap Tahun Baru.

Demi menakutkan makhluk tersebut, penduduk kampung pun menghias rumah mereka dengan warna merah menyala, membakar buluh dan membuat bising. Helah ini ternyata berkesan. Lantas, warna yang terang dan cahaya yang menakutkan Nian itu kemudiannya diserap ke dalam budaya yang masih dapat disaksikan sehingga ke hari ini.

Kini, keraian tersebut disambut bersama dengan jamuan, kehadiran keluarga dan pemberian angpau (bersampul merah) dan banyak lagi barangan berwarna merah sebagai tuah. Tarian singa dan naga, pukulan gendang, mainan bunga api dan mercun serta pelbagai jenis hiburan lain memenuhi jalan pada hari tersebut. Memandangkan Tahun Baru China masih berteraskan pada kalendar bulan yang usianya boleh dijejak kmbali pada milenium kedua Sebelum Masehi, maka hari cuti umum bagi sambutan tersebut lazim jatuh pada lewat bulan Januari atau awal bulan Februari – bulan kedua selepas solstis musim sejuk. Setiap tahun mereka dikaitkan dengan salah satu daripada 12 ekor haiwan zodiak, iaitu tikus, kerbau, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir.

NOWRUZ DAN TAHUN BARU PARSI

Sambutan Tahun Baru Parsi atau turut dipanggil sebagai Nowruz (atau Nooroz) merupakan sebuah keraian musim bunga yang berlangsung selama 13 hari. Sejarah sambutan ini berakar sejak dari zaman purba lagi. Pun begitu, kebanyakan tradisi yang dikaitkan dengannya masih diraikan di Iran dan wilayah-wilayah lain di Timur Tengah dan Asia. Festival ini disambut pada atau sekitar ekuinoks vernal sekitar bulan Mac dan dipercayai bahawa keraian ini pada asalnya merupakan sebahagian daripada agama Zoroastrian.

Catatan-catatan rasmi tentang perayaan Nowruz tidak muncul melainkan pada kurun ke-2. Namun, kebanyakan sejarahwan meyakini bahawa sejarah sambutan tersebut boleh dijejak kembali pada kurun ke-6SM. Tidak seperti keraian-keraian Parsi yang lain, Nowruz masih bertahan sebagai sebuah perayaan umum yang penting, bahkan setelah wilayah itu ditakluk oleh Alexander Agung pada tahun 333SM dan kebangkitan pemerintahan Islam pada kurun ke-7M.

Perayaan purba Nowruz bertumpu pada elemen kelahiran semula yang mengiringi perkembalian musim bunga. Tradisi perayaan ini melibatkan hidangan jamuan, pertukaran hadiah dengan ahli keluarga dan jiran-tetangga, menyalakan unggun api, mewarnakan telur dan memercikkan air sebagai simbol penciptaan. Nowruz mengalami evolusi atau perubahan merentas peredaran masa. Namun, kebanyakan tradisi purbanya – terutama berkaitan unggun api dan pewarnaan telur – masih kekal menjadi sebahagian daripada perayaannya di zaman moden, yang dianggarkan disambut oleh 300 juta orang pada setiap tahun.

TAHUN BARU SINHALA DAN TAMIL

Tahun Baru Sinhala diraikan oleh masyarakat Sinhala di Sri Lanka, manakala Tahun Baru Tamil pada hari sama pula diraikan oleh masyarakat Tamil di Sri Lanka. Tahun Baru Sinhala (aluth avurudda) menandakan berakhirnya musim menuai dan ia diadakan pada tanggal 13 atau 14 April. Menurut mereka, terdapat suatu jurang masa antara tahun lalu dan Tahun Baru, di mana hal ini disandarkan pada peredaran matahari dari Meena Rashiya (buruj Pisces) ke Mesha Rashiya (buruj Aries) pada sfera angkasa.

Perbezaan masa secara astrologi di antara Tahun Baru dan tahun lalu diraikan oleh mereka bersama dengan beberapa ritual dan adat Buddha, di samping perhimpunan sosial dan parti. Jamuan, pertukaran hadiah, nyalaan lampu minyak dan upacara membuat nasi susu adalah antara aspek penting bagi perayaan Tahun Baru Sinhala. Di Assam, Bengal, Kerala, Nepal, Orissa, Punjab dan Tamil Nadu, keluarga Hindhu turut meraikan Tahun Baru pada tanggal 14 atau 15 April.

WEPET RENPET BAGI MASYARAKAT MESIR PURBA

Budaya masyarakat Mesir purba terkait rapat dengan Sungai Nil. Tahun Baru mereka juga memiliki kaitan dengan banjir tahunannya. Tahun Baru Mesir diramalkan apabila Sirius, bintang paling cerah di langit malam mula kelihatan selepas hilang selama 70 hari. Hal ini lazimnya berlaku pada pertengahan Julai sejurus sebelum banjir tahunan Sungai Nil berlaku, di mana kejadian tersebut memastikan tanah-tanah pertanian kekal subur untuk kegunaan tahun mendatang. Masyarakat Mesir menyambut permulaan tahun baru ini dengan sebuah keraian yang dikenali sebagai Wepet Renpet, yang bermaksud ‘pembuka tahun’. Tahun Baru dilihat sebagai masa kelahiran semula dan keremajaan semula. Hari tersebut dimuliakan dengan kelangsungan jamuan dan upacara-upacara keagamaan yang istimewa.

Penemuan-penemuan terkini di Kuil Mut menunjukkan bahawa pada zaman pemerintahan Hatshepsut, bulan pertama bagi tahun baru diadakan sebuah ‘Keraian Mabuk’. Parti besar ini dikaitkan dengan mitos Sekhmet, dewi perang yang merancang untuk membunuh semua manusia sampaikan dewa matahari, Ra terpaksa memperdayanya untuk minum sehingga mabuk. Sebagai mengenang dan mensyukuri nikmat keselamatan yang diraih oleh manusia, masyaakat Mesir menyambutnya dengan mainan muzik, amalan seks, berpesta dan meminum arak.

ENQUTATASH BAGI MASYARAKAT HABSYAH

Tahun Baru bagi masyarakat Habsyah dipanggil sebagai Enqutatash dan ia disambut pada tanggal 11 atau 12 September, bergantung pada tahun lompat. Habsyah menggunakan kalendar purbanya sendiri, iaitu kalendar Ge’ez. Tarikh Enqutatash menandakan ramalan berakhirnya tempoh tiga bulan yang dipenuhi oleh hujan lebat. Bunga daisi (daisy) berputik di seluruh gunung dan tanah lapang pula berubah menjadi kuning cerah pada tempoh tersebut. Tempoh ini juga dikaitkan dengan kembalinya Ratu Saba’ ke Habsyah selepas kunjungannya ke kerajaan Raja Sulaiman di Jerusalem sekitar tahun 980SM.

Enqutatash merupakan cuti umum yang dikongsi oleh seluruh masyarakat dan hampir kesemua budaya yang terdapat di dalam negara berkenaan. Keraian-keraian besar diadakan sejak subuh, di mana sebatang pokok Krismas yang diperbuat daripada ranting di hadapan rumah dibakar. Hari Tahun Baru sebenar dimulakan dengan menyembelih binatang, memberkati roti dan Tella (sejenis arak tradisional).

HOGMANAY BAGI MASYARAKAT SCOTLAND

Penduduk Scotland menandakan ketibaan Tahun Baru mereka menerusi sebuah cuti dan perayaan umum yang mereka namakan sebagai Hogmanay, yang berakar daripada serangan, ketahyulan dan upacara pagan purba Viking. Asal-usul Hogmanay berasal dari sebuah ritual pagan yang bertujuan untuk menandakan tempoh solstis musim sejuk. Keraian hedonistik semasa perayaan musim sejuk Saturnalia bagi masyarakat Rom dan sambutan Yule bagi Viking menyumbang kepada perayaan-perayaan Scotland sekitar Hari Tahun Baru.

Perayaan dan upacara-upacara ini kemudiannya berevolusi merentas peredaran masa lalu melahirkan Hogmanay yang diraikan di Scotland pada hari ini. Pada Zaman Pertengahan, keraian-keraian musim sejuk masyarakat pagan dibayangi oleh pesta jamuan yang diadakan menjelang Krismas. Lantaran itu, Tahun Baru dianjak sehingga berbetulan dengan hari keramat Kristian. Berikutan reformasi yang berjalan di Scotland, sambutan Krismas tidak digalakkan pada suatu tempoh sekaligus amalan pemberian hadiah serta keraian yang mengiringi Krismas dilangsungkan pada Tahun Baru lalu melahirkan keraian Hogmanay dalam masyarakat Scotland.

Pelbagai tradisi tempatan di Scotland yang memiliki kaitan dengan api turut memiliki sejarah dari zaman lalu. Dalam sambutan-sambutan musim sejuk masyarakat pagan, api menyimbolkan kemunculan semula matahari yang menyinari bumi, di samping mengekang roh-roh jahat yang menghuni kegelapan. Api masih memainkan pengaruh yang penting dalam sambutan Hogmanay, di mana perarakan lampu suluh, unggun api dan bunga api agak masyhur di seluruh Scotland.

Adat lain yang dikenali sebagai ‘tapakan pertama’ mempercayai bahawa orang pertama yang melintasi kawasan sebuah rumah selepas tengah malam Tahun Baru menentukan untung nasib pemilik rumah tersebut sepanjang tahun mendatang. Menurut kepercayaan dalam adat ini, pengunjung yang ideal mestilah membawa hadiah – seperti arak whiskey, arang untuk nyalaan api, kek kecil ataupun syiling – dan seharusnya seorang lelaki berkulit hitam. Mengapa? Jawapannya boleh dirujuk kembali pada kurun ke-8M, apabila Viking yang dikatakan berambut indah menyerang Scotland, justeru pengunjung yang berambut perang bukanlah suatu petanda baik.

ADAT DAN TRADISI LAIN

Adat dan tradisi yang disebutkan di atas hanyalah sebilangan kecil sambutan Tahun Baru bagi budaya-budaya di seluruh dunia. Sudah tentulah terdapat banyak lagi budaya lain yang boleh diperihalkan.

Di Sepanyol, menjadi adat mereka untuk menyediakan 12 biji anggur dalam tangan semasa jarum jam menunjukkan pukul 12 malam. Satu biji anggur dimakan pada setiap dentingan jam. Jika kesemua anggur dapat dimakan dalam tempoh jam berdenting, maka ia membawa maksud tuah baginya.

Di Jepun, ‘parti melupakan tahun’ diadakan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada masalah dan kerisauan tahun lalu dan bersedia untuk permulaan baru.

Di Belanda, mereka menyalakan unggun api pada pokok Krismas di jalanan, di samping membakar bunga api.

Di Greece, makanan tradisional yang dihidang semasa sambutan Tahun Baru adalah Vassilopitta, sejenis kek yang di dalamnya terdapat sekeping syiling yang disembunyikan. Menurut mereka, sesiapa yang berjaya menemukan syiling dalam potongan kek tersebut akan memperolehi tuah yang baik pada tahun mendatang.

Di Sweden dan Norway, mereka menyembunyikan kacang almond di dalam pudding nasi. Sama seperti di Greece, sesiapa yang dapat menemukan kacang tersebut dipercayai akan memperoleh tuah.

Di kuil-kuil Buddha di seluruh dunia, gong akan dipukul sebanyak 108 kali menjelang Tahun Baru dengan tujuan untuk menghalau 108 jenis kelemahan manusia.

TERJEMAHAN:

April Holloway. (31 Disember 2013). New Year’s Traditions around the World and Their Origins. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-news-general/origins-new-year-s-traditions-around-world-001183


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.