Saya tahu antara sebab ramai meminati Iron Man/Tony Stark ialah sut perisai yang digunakannya. Tak kiralah sama ada versi animasi atau versi sebenar yang dipaparkan dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), siapa yang tak jadi gila melihat sut tersebut berfungsi. Dan saya juga sedar jika ada berangan nak buat sut macam itu, memang sah ramai akan gelak dan panggil cita-cita sebegini tak masuk akal. Tetapi siapa sangka apa yang dikatakan fantasi itu sebenarnya sudah jadi realiti. Walaupun ia tidaklah secanggih seperti yang dipaparkan dalam filem tetapi ia sudah membuktikan ianya boleh wujud di dunia sebenar.

Contoh mudah, pihak tentera terutama Tentera Amerika Syarikat. Semuanya bermula dengan satu insiden seorang komando mereka terbunuh semasa melancarkan serbuan ke atas sebuah kawasan di Afghanistan. Selepas insiden tersebut, kepimpinan tertinggi Pasukan Khas Amerika mahu mengelak insiden sama berulang. Ini membawa kepada permulaan idea membina sut perisai seperti Iron Man kepada anggota tentera. Projek yang dimulakan sejak tahun 2014 oleh Laksamana William McRaven ini semakin menjadi kenyataan dengan pengenalan prototaip sut Tactical Assault Light Operator Suit (TALOS). Sut ini mungkin tidak boleh terbang atau menembak dengan senjata canggih tetapi perisainya dibuat daripada cecair di mana ia boleh menjadi keras mengikut arahan pemakainya.

Figure 1: Sut TALOS. Kredit https://futurism.com/2018-will-be-big-on-special-forces-exoskeleton-tech/

Sut ini dibina oleh sekumpulan pakar akademik, saintis dan pegawai Pentagon di mana ia dikuasakan oleh bateri. Sut rangka luar ini berkemampuan mengurangkan beban pada pemakainya, perlindungan balistik yang hebat dan helmet canggih bagi meningkatkan penglihatan dan pendengaran pemakainya. Tidak diketahui berapa kos diperlukan untuk kajian dan pembangunan sut ini oleh Pentagon tetapi satu laporan oleh bekas Senator Republican dari Oklahoma, Tom Coburn menyatakan kos sut tersebut mencecah $80 juta. Buat masa ini, ahli projek TALOS sedang mengeluarkan beberapa prototaip dan sudah bersedia menyerahkan sut generasi pertama kepada pihak tentera pada Ogos 2018. Jika projek ini berjaya mencapai matlamatnya, kita bakal melihat versi sebenar War Machine/James Rhodes dalam situasi pertempuran sebenar.

Demonstrasi Sut Talos: https://www.youtube.com/watch?v=pFmFl5eE8vc

Jika ada kata sut rangka luar ini hanya terhad kepada sektor ketenteraan, anda salah. Ini kerana beberapa firma besar sedang menguji sut rangka luar ini di beberapa kilang mereka. Contohnya, syarikat pembuat kenderaan Ford sedang membangunkan sut rangka luar mereka dan mengujinya di dua kilang mereka di Amerika Syarikat. Sut yang dibangunkan oleh Ekso Bionics Holdings yang berpangkalan di Richmond, California bertujuan mengurangkan risiko kecederaan pekerja dan meningkatkan produktiviti pekerja.

Empat sut EksoVests ini dibiayai oleh kesatuan pekerja United Auto Workers dan Ford juga sedang mempertimbang memperluas penggunaan sut rangka luar ini ke kilang di rantau-rantau lain seperti Amerika Selatan dan Eropah. Bagaimanapun, kos sut ini masih belum didedahkan. Sut ini membantu pekerja melakukan kerja-kerja berat di mana pekerja boleh mengangkat beban lebih berat terima kasih kepada penggerak mekanikal yang memberi angkatan tambahan sebanyak 6.8 kilogram pada lengan bagi mengurangkan tekanan pada bahu pekerja. Jika anda mahu mencubanya, perasaan pertama bila memakainya seperti memakai beg kosong tetapi ia membantu pekerja mengangkat peralatan berat seperti perengkuh besar tanpa sebarang masalah dan tidak memberi tekanan langsung kepada badan pekerja.

Demonstrasi Sut Rangka Luar Ford: https://www.youtube.com/watch?v=Py1jzSNL4P0

Bukti kepada pengenalan inovasi menakjubkan ini ialah seorang pekerja kilang Ford bernama Paul ‘Woody’ Collins, 51 tahun yang bekerja di kilang Ford di Wayne, Michigan. Beliau sudah bekerja selama 23 tahun dan mula menggunakan EksoVests sejak Mei 2017. Rutin hariannya di kilang ialah memasang nat dan bahagian bawah model Ford Focus dan C-Max di mana beliau perlu mengangkat tangan atas kepalanya sebanyak sejuta kali setiap tahun. Selepas memakai sut tersebut, Collins mendapati beliau tidak perlu lagi meletakkan bungkusan ais pada leher setiap tiga atau empat hari sekali dan merasa lebih bertenaga selepas bekerja berbanding sebelum ini.

Figure 2: Sut EksoVests yang dipakai Paul Collins semasa bekerja di kilang Ford di Wayne, Michigan. Kredit: https://www.cnet.com/roadshow/news/fords-exoskeleton-could-help-factory-workers-in-a-big-way/

Menurut ketua pegawai teknologi Ekso, Russ Angold, tujuan pengenalan sut rangka luar ini ialah membantu pekerja membiasakan diri dengan teknologi sebelum meneruskan ke fasa seterusnya rangka luar ini di mana ia membantu pekerja mengangkat dan membawa beban semasa bekerja. Menurut Angold lagi, idea ini membuktikan ianya bukan lagi bersifat sains fiksyen dan sudah terbukti melalui ujian mereka. Ekso sedang mempertimbang memperluas aplikasi rangka luar ini ke bidang-bidang lain seperti pembinaan dan pembuatan. Data Ford turut menyokong mengapa mereka mempertimbang aplikasi sut rangka luar ini untuk kilang-kilang mereka. Berdasarkan statistik, Ford berjaya mengurangkan insiden atau kecederaan di tempat kerja sebanyak 83% dengan kadar 1.55 insiden bagi setiap 100 pekerja sepenuh masa mereka, separuh daripada 2.9 kes bagi setiap 100 pekerja swasta mengikut pangkalan data Amerika Syarikat.

Inovasi Ford ini turut diikuti oleh sebuah lagi syarikat pembuat kenderaan Korea Selatan, Hyundai. Pemakai sut ini berkemampuan mengangkat beban seberat 110 paun dan beban tersebut boleh dibawa dengan senang tanpa mengenakan tekanan pada badan pemakai. Sut rangka luar ini direka untuk membantu pergerakan bagi orang tua. Satu kelebihan menarik berkenaan sut ini ialah ia juga berkebolehan mengumpul data si pemakai seperti bagaimana si pemakai berjalan dan apa aspek yang boleh diperbaiki bagi membolehkan si pemakai merasa lebih selesa. Selain warga emas, Hyundai mahukan ia boleh digunakan bagi mana-mana individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang untuk kembali berjalan semula.

Figure 3: Contoh sut rangka luar Hyundai yang digunakan oleh orang yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Kredit: https://www.extremetech.com/extreme/241613-walking-hyundais-exoskeleton-helps-paraplegics-move

Walaupun semakin banyak syarikat membangunkan sut rangka luar ini di pasaran, kemampuan Hyundai menghasilkan ia secara besar-besaran membolehkan sut ini semakin mudah didapati dan lebih berpatutan berbanding sut-sut rangka luar yang lain. Menurut Hyundai, mereka mensasarkan sut tersebut mendapat pengiktirafan dari badan-badan perubatan pada tahun 2018. Selepas itu, syarikat akan mengeluarkan beberapa prototaip untuk diuji selama beberapa tahun bagi menguji keberkesanannya.

Demonstrasi Sut Rangka Luar Hyundai: https://www.youtube.com/watch?v=VDRSSok9jdY

Selain pihak tentera, kontraktor-kontraktor tentera turut menunjukkan minat untuk membangunkan sut ini. Jika ada kata kontraktor-kontraktor ini boleh capai apa yang dibina Tony Stark, maaf, ia masih lagi dianggap fantasi. Tetapi itu tidak menghalang syarikat seperti Lockheed Martin membina prototaip sut rangka luar Fortis. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Universiti Michigan, pemakai sut Fortis ini berupaya membawa beban seberat 40 paun dengan sudut 15 darjah. Berdasarkan kajian mereka, responden yang menggunakan sut mengakui mereka kurang mengalami sakit kaki berbanding situasi biasa. Alat yang dipanggil alat pelepas tekanan lutut (KRSD) menambah kapasiti kaki semasa mengangkat atau menarik beban dan semasa mendaki. Sut ini turut menjana pergerakan setara pada bahagian lutut yang membantu si pemakai secara fizikal di luar.

Lockheed Martin menyatakan berat sut rangka luar ini ialah 27 paun tetapi ianya telah dibahagikan dengan baik pada semua bahagian, si pemakai tidak akan terasa beban tersebut semasa memakainya. Syarikat tersebut turut mendakwa sut tersebut memperbaiki kualiti kerja antara dua hingga 27 kali ganda berbanding keadaan biasa dan memerlukan sedikit latihan saja untuk menggunakannya. Pembangunan sut ini pasti memberi kesan besar kepada masa depan peperangan darat. Ini kerana askar-askar hari ini perlu mengangkat lebih banyak peralatan dan bekalan, lebih penting lagi apabila tentera mendapati mereka terputus dari sumber bekalan biasa semasa bertempur. Ini sekaligus membantu mereka mengangkat lebih banyak beban termasuk senjata berat seperti pelancar peluru berpandu Stinger. Selain itu, si pemakai boleh bergerak ke kawasan-kawasan yang sukar dimasuki dengan senang.

Di negara-negara maju, sut yang diinspirasikan daripada sut Iron Man bukan lagi satu fantasi tetapi satu fakta yang tidak boleh disangkal lagi. Dengan penggunaannya yang luas dalam pelbagai bidang, siapa sangka sut yang dibina Stark yang menyelamatkannya dari Vietnam (komik tahun 60-an) atau Afghanistan (cerita komik ‘Extremis’ dan Iron Man (2008)) sebenarnya menjadi penyelamat kepada orang lain dalam dunia sebenar.

SUMBER

  1. Diamond, Jeremy dan Starr, Barbara. (2017). CNN. U.S. military is on its way to getting its Iron Man. http://edition.cnn.com/2015/10/06/politics/special-operations-iron-man-talos-suit/index.html
  2. Reuters. (2017). Daily Mail Online. Ford reveals ‘Iron Man’ exoskeletons are already being used in production line workers at two of its US plants. http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-5068111/Ford-Ekso-team-bionic-auto-workers.html
  3. Mizokami, Kyle. (2017). Popular Mechanics. ‘Iron Man’ Legs Will Help Troops Carry More Stuff. http://www.popularmechanics.com/military/research/a13788533/lockheed-martin-exoskeleton-fortis/
  4. Muoio, Danielle. (2017). Business Insider. Hyundai created its own ‘Iron Man’ exoskeleton suit. http://www.businessinsider.com/hyundai-creates-iron-man-exoskeleton-photos-2016-5/?IR=T/#this-is-hyundais-exoskeleton-it-allows-the-wearer-to-lift-up-to-110-pounds-and-carry-them-over-distances-with-ease-1
  5. Dormehl, Luke. (2017). Digital Trends. Hyundai wans to build Iron Man-style robotic exoskeletons for factory workers and disabled people. https://www.digitaltrends.com/cool-tech/hyundai-exoskeleton-ces-2017/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.