Petang semalam selepas solat Jumaat saya ke perpustakaan UIAM untuk mendapatkan sedikit bahan rujukan untuk kajian terbaru saya mengenai Koloni Bugis di negeri Pulau Pinang. Ketika saya sedang asyik menelaah jurnal yang ditulis oleh Gerald Osborne berkenaan pengepungan Kedah, juga buku yang ditulis oleh Nordin Hussin berkenaan perdagangan Selat Melaka saya disapa oleh Alaeddin, sahabat sepengajian saya yang berasal dari Turki.
Dua hari lalu kami terserempak di
perpustakaan tapi tidak sempat berbual panjang, hari ini kami sempat berbual
sejenak sebelum dia meminta bantuan saya untuk kajian tesis kedoktorannya. Dia
meminta saya untuk menterjemahkan beberapa patah perkataan pada surat-surat
lama Kerajaan Turki Uthmaniah yang dia sendiripun tidak tahu maksudnya.
“I believe it might be in
jawi”, kata Alaeddin,
Kata-kata ini amat mengujakan saya yang dengan rela hati bersetuju untuk membantu dia. Mula-mula sekali dia menunjukkan kepada saya satu cap mohor yang terletak di pangkal salinan digital sepucuk surat lama yang dikirim oleh Sultan Jambi kepada Sultan Abdul Majid Khan yang bersemayam di Qastantiniah (Istanbul). Tarikhnya yang tertulis adalah 1274 Hijrah bersamaan 1857 Masihi. Surat asal didalam Bahasa Arab diterjemahkan ke dalam Bahasa Turki Uthmaniah.
Saya meneliti cap mohor dengan dakwat
merah itu lalu membaca tulisannya yang bercampur Bahasa Arab dan Melayu-Jawi
sebagai “al-Wathiqubillah … Chap Sultan Taha Saifuddin bin Sultan
Fakhruddin”. Maka memang sah ini surat daripada Jambi. Terdapat satu
kalimah yang kabur selepas gelaran baginda dan saya membacanya sebagai “اﻷﺟﻠﻲ” ruminya “al-Ajalla” atau “al-Ajilla”,
saya menerangkan kepada Alaeddin bahawa inilah yang mungkin tertulis dan
gelaran tersebut banyak dipakai di Johor-Riau dan sekitarnya kerana saya
teringat bentuk yang sama ditulis bagi gelaran Sultan Abdul Jalil Johor Lama
selain alternatif yang menulisnya sebagai ” ‘Ali Jalla”, pada saya
bentuk yang pertama itu lebih tepat.
Kemudian Alaeddin menunjukkan salinan penuh surat tersebut dan dia fokuskan kepada satu baris yang tertulis “Tumbuzi Sultanar”. Katanya ini mesti merujuk kepada sebuah kerajaan yang terletak di Sumatera atau dalam rekod Uthmaniah digelar sebagai ‘Ashi Jazirah (Pulau Aceh) atau Sumatra Jazirah. Setelah berbincang sejenak dan membuat sedikit rujuk silang maka kami menyimpulkan bahawa ia merujuk kepada Kerajaan Melayu Tambusai.
Mengapa Tambusai relevan dalam pembacaan ini? Konteks daripada surat tersebut menjelaskan bahawa pada pertengahan abad ke-19 tersebut Sultan Jambi melalui wakilnya di Hijaz telah meminta bantuan Duli Padshah di Qastantiniah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian sempadan yang berlaku antara Sultan Jambi dan Sultan Tumbuzi itu.
Tambusai dalam pada itu terletak di hulu Sungai Rokan (Provinsi Riau) berdekatan dengan wilayah kerajaan Melayu Jambi. Namun usaha bagi mendapatkan bantuan ini tidak berjaya kerana campurtangan Belanda yang menuntut kedaulatan ke atas Jambi dan kawasan sekitarnya. Desakan terhadap Uthmaniah agar tidak campur tangan dibuat melalui wakil Belanda yang berkedudukan di Qastantiniah dan juga di Jiddah.
Pengalaman membantu Alaeddin pada hari tersebut sangat membuka mata saya akan peri pentingnya untuk kita memiliki ilmu Bahasa Melayu Klasik dan tulisan Jawi kerana ia menjadi kunci untuk mengakses khazanah Melayu lama yang agung, khazanah yang mencakupi segala bidang kehidupan, dalam politik dan perdagangan yang kita perlu sedari dikenali diseluruh dunia.”
Surat-surat Melayu lama misalnya menjadi wadah mu’amalat yang berlaku diantara raja-raja Melayu dengan raja-raja besar di negeri Atas Angin hatta di negeri Barat Jauh. Surat-surat ini menjadi saksi hidup bahawa bangsa dan budaya Melayu itu tinggi nilainya dan terpandang hatta di istana penghadapan raja-raja besar di Istanbul, London, Amsterdam dan menurut surat-surat Aceh hatta ke Benua Amerika.
Tambahan pula, bahasa dan penulisan kita
pada hari ini tidak akan sepertinya tanpa bentuknya yang terdahulu dan dalam
pelbagai penelitian saya, terdapat pelbagai isu berkaitan Bahasa Melayu moden
dan penggunaannya yang tidak dapat diselesaikan tanpa pengetahuan mengenai
bentuk asalnya yang dirujuk melalui naskhah-naskhah Melayu dari abad ke-15
hingga abad ke-20 Masihi.
Dalam konteks sejarah perhubungan
negeri-negeri Melayu dengan Uthmaniah maka ribuan manuskrip yang tersimpan di
arkib-arkib kerajaan Republik Turki hari ini menanti masa untuk diterjemahkan
dan selagimana ia diperam maka selagi itulah gambaran hakiki Alam Melayu itu
tidak dapat difahami sepenuhnya dan hasil daripada kelompongan ini mewujudkan
stigma, fobia dan salah faham yang tidak sepatutnya disandarkan kepada bangsa
Melayu.
Menjadi kepelikan bagi saya apabila wujud segerombolan manusia di rantau dan negara kita ini yang menggelarkan bahasa dan penulisan Melayu sebagai tidak berguna atau “useless” dalam Bahasa Inggeris kasar mereka. Saya pelik kerana bahasa ini sejarahnya memakan masa ribuan tahun, berjaya mengatur sistem sosiopolitik dan ekonomi yang kompleks di rantau ini yang sentiasa merupakan jalur terpenting perdagangan dunia yang direbutkan antara kuasa-kuasa kolonial dan imperial, sehingga kini dipertuturkan oleh ratusan juta umat manusia bukan di negara dan oleh penutur ibundanya sahaja akibat faktor imigrasi dan emigrasi, dan termasuk didalam 20 bahasa utama dunia, maka apakah yang tidak signifikannya?
Pada saya penyakit ini bertitik tolak
daripada kejahilan gerombolan tersebut terhadap sejarah bangsa dan budaya
Melayu itu sendiri dan mereka tidak mampu mengenalnya disebabkan ‘zero
knowledge’ atau lemahnya tahap penguasaan dan pendedahan terhadap bahasa dan
penulisan yang menjadi alat wahana untuk mengetahuinya. Justeru mempelajari
Bahasa Melayu dan tulisan Melayu yang dipanggil Jawi itu penting bagi mereka
dan setiap kita untuk mengetahui hakikat realiti identiti negeri dan rantau
yang mereka duduki. Kejahilan terhadap bahasa Melayu tuntasnya akan melahirkan
bangsa yang jahil terhadap bangsa Melayu maka bagaimana mereka mampu bersikap
adil apabila berhadapan dengan bangsa Melayu?
Persoalan paling penting adalah
bagaimanakah mereka mampu bersikap adil terhadap identiti Melayu yang menjadi
teras tunjang negara tanah air yang mereka duduki di dalamnya dan yang mereka
akui ia sebagai kediaman mereka? Atau kewujudan mereka disini hanya sekadar
kesinambungan kewujudan beridentitikan penjajah zaman kolonial zaman tok wi?
Mereka perlu memikirkan dengan mendalam akan enigma yang melanda fikrah ini.
“Allahuakbar! Allahuakbar!”,
Azan
Asar berkumandang dari masjid UIAM yang indah, rupanya laksana paduan Masjidil
Aqsa dan Masjid Aya Sophia dua masjid yang menjadi lambang keagungan kaum
muslimin dimana sahaja mereka berada. Keduanya merupakan lambang kemegahan
ketamadunan Islam yang hendak dibangkitkan semula di bumi bertuah Tanah Melayu
ini.
Alaeddin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada saya kerana sudi
membantunya. Kata saya “anytime”, bila-bila
masa sahaja saya senang dan lebih dari gembira untuk membantu usaha merungkai
segala misteri khazanah persuratan Melayu yang luput dan dilupai oleh zaman.
Dia menunjukkan kepada saya banyak lagi surat-surat dan keratan akhbar yang
merujuk kepada negeri-negeri Melayu sebilangannya ditulis tangan atau dicetak
dalam Bahasa Turki Uthmaniah, ada didalam Bahasa Melayu Betawi, ada yang
didalam bahasa Belanda dan juga Perancis menyentuh pelbagai isu.
Semoga dengan ilmu, kejahilan terhadap
bangsa yang disalahfahami ini akan dapat dibanteras, dan semakin ramai ilmuan persuratan Melayu yang
muncul untuk mengangkat martabat budaya dan bangsa Melayu.
Sebelum
saya meninggalkan perpustakaan, Murat, yakni sahabat kepada Alaeddin, apabila
mengetahui saya berasal dari Kedah mengatakan bahawa saya memiliki wajah
stereotaip rakyat negeri Kedah. Dia memaksudkan bentuk rangka pipi saya
dan jambang tebal yang saya miliki, rupa tipikal sebahagian rakyat di utara
semenanjung.
“I have Arab blood”, kata saya separuh bergurau, separuh
serius, kerana bukan semua orang Utara berwajah begini, ada yang memiliki ciri
Sinaitik sedangkan saya lebih berciri campuran Semitik dan Malayik.
“Oh I see, or maybe Turkish
blood”, katanya kembali membuatkan saya termenung sekejap memproses apa
yang dimaksudkannya.
Melihat saya semacam termanggu, Murat menyebut bahawa ada tersebut didalam “Old Hikayet” negeri Kedah bahawa orang Melayu dinegeri tersebut berasal dari Turki, yakni di dalam Hikayat Merong Mahawangsa disebut bahawa negeri ini dinamakan Kedah Zamin Turan, dimana “Turan” itu membawa maksud bangsa Turki.
Saya hanya meng-“ooh” kagum dengan fakta yang saya hampir terlupa. Alaeddin menambah juga, katanya hikayat itu menyebut bahawa Kedah memiliki kekerabatan dengan Sultan di negeri Rum, gelaran sama yang digunapakai dan dinisbahkan kepada sultan-sultan Turki Uthmaniah iaitu Sultan-i-Rum dan Kayser-i-Rum.
Saya terlopong ketawa dengan gembira melihat betapa mendalam pengetahuan sahabat-saudara saya dari Turki ini dalam mengetahui rekod berkenaan asal-usul sebahagian bangsa Melayu zaman purba dan betapa tajamnya pemerhatian mereka berkenaan sosiobudaya Melayu. Ini kelebihan yang Allah kurniakan kepada bangsa yang lunak sentiasa terbuka untuk berta’aruf dengan bangsa lain sehingga tidak ada masalah untuk mereka bersemenda dengan bangsa kita.
Islamlah yang mengajar kita sedemikian. Hal ini berbeza dengan bangsa yang bongkak dan bodoh sombong untuk mengenali jiran di dalam negara mereka sendiri, maka sudahnya kebodohan dan kejahilan mereka itu memunculkan pelbagai stigma bodoh yang memalukan. Walhasil muncullah isu memomokkan Arabisasi budaya Melayu dan kepercayaan bahawa tulisan Jawi itu adalah tulisan Arab.
Kalaulah
mereka dapat meluangkan lebih masa untuk mendalami budaya Melayu daripada hidup
tenggelam didalam identiti plastik kebaratan yang menjadi kemegahan mereka
tentulah negara ini lebih aman.




No comments yet