CERITA anak derhaka yang disumpah menjadi
batu seperti cerita Malim Kundang dan Si Tanggang sememangnya antara sastera
rakyat yang amat terkenal seanterio nusantara.
Ianya juga turut memberi pengajaran kepada generasi muda agar jangan
sama sekali melupakan kedua orangtua tatkala sudah disimbahi dengan
kesenangan. Sentiasa ada maksud yang
tersirat disebalik yang tersurat buat pedoman kita semua.
Dan bercerita dari aspek cerita anak derhaka
ini tanpa kita sedari sebagai rakyat Malaysia ada satu penceritaan yang hampir
sama cuma mungkin wataknya berbeza iaitu yang dikatakan mempunyai perkaitan
dengan kewujudan sebuah pulau yang terletak nun di Pitas, Sabah. Pulau itu dinamakan Pulau Supirak yang mana
merupakan kawasan tarikan pelancong di kawasan tersebut kerana rupabentuknya
seperti sebuah kapal.
Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu
dahulu di sebuah perkampungan yang dinamakan Kampung Kougun tinggal sepasang
suami isteri. Oleh kerana perkampungan
mereka terletak di tepi laut maka sudah menjadi lumrah dahulukala mata
pencarian utama mereka adalah sebagai nelayan.
Pada suatu hari, si suami yang keluar ke laut telah hilang. Si isteri
yang bernama Supirak pula yang sedang berbadan dua tetap sabar menunggu suami
di tepian pantai setiap hari. Hari berganti
bulan dan seterusnya genaplah sembilan bulan kandungan Supirak dan apalah
nasibnya terpaksa mengharungi penghidupan tanpa suami.
Menempuhi penghidupan ala kadar, Supirak
membesarkan cahayamatanya yang dinamakan Ragam sendirian dan ternyata kegigihan
serta berkat tunjuk ajar dari ibu yang baik menjadikan Ragam tampil sebagai
pemuda yang kuat bekerja dan sentiasa mendahulukan ibunya Supirak di dalam
serba serbi. Dari hanya pondok buruk
tempat berteduh dari panas mentari dan hujan, Ragam mampu membina dengan tulang
empat keratnya sebuah rumah yang sederhana di kawasan yang dinamakan Torong
Puteh.
Dek kerana fobia dengan dunia lautan kerana
suaminya “hilang” begitu sahaja ditelan air laut membuatkan Supirak, si ibu
tidak pernah membenarkan anak tunggalnya menjadi nelayan. Akur dengan permintaan ibunya maka dikatakan
Ragam hanya bekerja kampung sahaja seperti mencari kayu api, membina rumah dan
sebagainya. Namun jauh disudut hati
Ragam sebenarnya masih lagi diulit untuk menjelajah dunia lautan seperti
ayahnya tetapi disimpan niat tersebut bagi menjaga hati ibunya, Supirak.
Pada suatu hari dikatakan ada sebuah bahtera
yang cukup besar datang berlabuh di Torong Puteh. Kedatangan bahtera itu adalah untuk mengisi
bekalan bagi pelayaran yang seterusnya.
Ragam seperti selalunya yang bekerja kampung akan mengayuh perahunya
menjual apa sahaja barangan yang mampu dijual kepada kapal-kapal yang
singgah. Kagum dengan bahtera tersebut
yang ada serba-serbi menyebabkan Ragam mempunyai niat untuk memohon pekerjaan
sebagai anak kapal di bahtera tersebut.
Tatkala pulang ke rumah pada hari itu setelah
habis bekerja, Ragam duduk termenung di tangga rumahnya yang menghadap
laut. Keadaan anak tunggalnya yang
nampak sedih telah menyebabkan ibunya si Supirak mengetahui ada sesuatu yang
tidak kena. Dan setelah disoal
berulangkali akhirnya Ragam meluahkan isihatinya iaitu memohon keizinan
daripada ibunya untuk beliau bekerja menjadi anak kapal. Walau pada mulanya Supirak membantah namun
melihat kesungguhan Ragam akhirnya beliau mengalah dan membenarkan anak
tunggalnya untuk bekerja jauh dan meninggalkan dirinya seorang diri di Torong
Puteh.
Keesokan harinya, Ragam mendatangi bahtera
besar tersebut dan kerana kepetahan beliau berbicara ditambahlagi susuk
badannya yang sasa akhirnya beliau diterima bekerja sebagai anak kapal oleh
nakhoda bahtera tersebut. Tiba waktunya
Ragam hendak berangkat ke negara orang, ibunya si Supirak turut menghantar
beliau dengan berperahu ke bahtera besar itu. Setelah naik ke bahtera itulah,
dikatakan Ragam berjanji dengan ibunya bahawa beliau akan pulang jua suatu hari
nanti membawa kekayaan untuk ibunya agar tidak lagi melalui kesusahan
hidup. Ibunya si Supirak pula merelakan
pemergian anak tunggalnya dengan linangan airmata dan sebagai bukti ikatan
janji pada ibunya, Ragam telah memberikan mencabut sehelai rambutnya untuk
disimpan ibunya.
Hendak dijadikan cerita ketika di dalam
pelayaran, Ragam merupakan kelasi yang cukup rajin dan berdedikasi sehingga
menjadi orang harapan kepada nakhoda bahtera tersebut. Dan apabila nakhoda bahtera bersara akhirnya
Ragam diangkat untuk mengambilalih tugasnya sebagai nakhoda dan sejak itulah
nama Nakhoda Ragam begitu gah sekali.
Suatu hari bahtera Nakhoda Ragam singgah
untuk berniaga di sebuah pulau yang bernama Pulau Intan. Disitulah Nakhoda Ragam bersua dengan seorang
gadis yang elok rupa parasnya lantas jatuh cinta pandang pertama. Gadis ini
bernama Dayang Dundunai dan merupakan puteri kepada pemerintah Pulau
Intan. Dek kerana hati sudah bersatu
akhirnya Nakhoda Ragam memberanikan diri untuk bertandang ke istana Bahkiah
bagi menemui sendiri ayahanda gadis tersebut.
Atas sifat Nakhoda Ragam yang beradat itu membuatkan pinangan beliau
langsung diterima oleh ayahanda Dayang Dundunai dan majlis perkahwinan mereka
diadakan dengan gilang gemilang sekali.
Setelah lama di Pulau Intan akhirnya Nakhoda
Ragam memohon keizinan daripada ayahanda mertuanya untuk membawa isterinya
Puteri Dayang Dundunai belayar dan berjumpa dengan keluarganya di Torong Puteh. Bermulalah episod pelayaran pertama Nakhoda
Ragam bersama isterinya membelah lautan menuju ke destinasi kampung
halamannya. Tatkala sebuah bahtera besar
melabuhkan sauh di sebuah kawasan pantai yang terpencil sudah tentu akan
menjadi bualan penduduk kampung dan perkhabaran seorang anak Torong Puteh sudah
menjadi seorang nakhoda yang kaya raya akhirnya sampai ke telinga ibunya iaitu
Supirak.
Dengan hati yang gembira dan bangga, si ibu
Supirak tanpa membuang masa telah berdayung menuju ke bahtera Nakhoda
Ragam. Ketika sudah berada dekat di
bahtera Nakhoda Ragam itulah Supirak memohon keizinan daripada anak kapal untuk
beliau naik menemui anak lelaki kesayangannya.
Namun sayangnya dek kerana beliau kelihatan miskin dengan baju yang
lusuh dan compang camping menyebabkan beliau dilarang untuk berbuat
demikian. Mendengar keriuhan itu
menyebabkan Nakhoda Ragam meninjau apa yang berlaku dan dek kerana malu
lebih-lebih lagi isterinya Puteri Dayang Dundunai ada disebelah beliau
menyebabkan beliau sendiri turut memaki hamun dan menghina ibu kandungnya.
Kerana dimalukan dan dihalau, akhirnya
Supirak kembali ke pondok buruknya dengan perasaan yang cukup kesal dan
kecewa. Anak yang dikandungnya sembilan
bulan sembilan hari dan dibesarkan umpama menatang minyak yang penuh malu
mengaku dirinya sebagai ibu kandung dek kerana kemiskinan. Remuk hatinya diperlakukan sedemikian rupa
sehinggalah si Supirak yang kecewa mengeluarkan helaian rambut yang diberikan
Nakhoda Ragam awal dahulu lantas menyumpah seluruh bahtera dan isinya menjadi
batu.
Tatkala itulah juga diceritakan laut yang
tenang bertukar bergelora, cuaca yang redup berubah menjadi gelap dan hujan
lebat jatuh ke bumi. Pada ketika itulah,
bahtera Nakhoda Ragam sudah terombang ambing dipukul gelora. Di dalam keadaan yang hingar bingar itulah
Nakhoda Ragam sedar bahawa dirinya telah membuat dosa yang amat besar ke atas
ibunya. Sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya kerana hati ibunya sudah remuk berkecai atas kelakuannya
yang biadap. Akhirnya bahtera besar
Nakhoda Ragam bertukar menjadi batu yang dinamakan Pulau Supirak oleh
masyarakat tempatan di Pitas, Sabah.
Begitulah cerita legenda versi Sabah yang
mempunyai persamaan dengan cerita si Tanggang ataupun Malim Kundang. Nama seperti Nakhoda Ragam mungkin sesuatu
yang amat menarik untuk kita teliti kerana ianya bersamaan dengan nama seorang
pemerintah Brunei yang turut terkenal ceritanya mengembara dari satu tempat ke
tempat yang lain di Pulau Borneo. Kalau
sudah namanya sepulau mesti ada perkaitannya biarpun cerita legenda itu adalah
berdasarkan cerita benar dan kemudiannya ditokok tambah oleh penglipurlara untuk
pengindahan cerita.
Tidak kenal maka tidak cinta.
-HB-
Rujukan:
- http://www.mysabah.com/wordpress/supirak-island-pitas/
- https://www.facebook.com/bumipitas/posts/admin-ingin-kongsikan-sedikit-asal-usul-pulau-supirakthe-malubang-legendmungkin-/1666916750198062/
- http://kgbongkol.pi1m.my/index.php/warga-pi1m/sosio-ekonomi/pelancongan




No comments yet