Melayu yang menggelar Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat mereka sebagai tali barut penjajah sebenarnya orang yang buta sejarah. Sebab dalam lipatan sejarah, mereka bukan saja bersusah-payah memastikan negeri mereka tidak tergadai kedaulatannya malah ada di antara mereka memberi sumbangan besar kepada dunia pengetahuan dan naratif pembentukan negara yang kita kenali hari ini.
Bagi orang Johor, pasti orang Johor tahu usaha yang dilaksanakan Temenggung Ibrahim, Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim. Mereka tahu satu-satunya cara bagi sesebuah negeri Melayu kekal merdeka ialah memajukan negeri dan mempunyai hubungan rapat dengan British di London. Itu sebab semasa era Sultan Abu Bakar, pelbagai kemajuan dan pemodenan dilakukan termasuk pembentukan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor yang menjadi asas kepada Undang-Undang Tubuh di negeri-negeri Melayu lain.
Semasa era baginda, British langsung tiada peluang nak masuk campur sebab pertama, hubungan rapat baginda dengan Ratu Victoria dan kedua, kewujudan Lembaga Penasihat Johor. Melalui lembaga penasihat berkenaan, Sultan Johor tak perlu berurusan dengan British melalui Gabenor Negeri-Negeri Selat tetapi berurusan terus dengan Pejabat Tanah
Jajahan di London. British hanya dapat masuk campur selepas Sultan Ibrahim menaiki takhta, itu pun dengan kuasa yang terhad kerana ketegasan baginda yang mahukan semua hal berkenaan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam terus terpelihara. Atas sebab itu untuk tahun-tahun berikutnya, apa saja perkara yang dibangkitkan Sultan Ibrahim pasti akan diteliti oleh mereka kerana bimbang dengan pengaruh baginda yang masih kuat di Johor.
Ada Raja-Raja Melayu terlibat secara langsung dalam penentangan ke atas penjajah. Ingat Raja Haji? Raja Haji mengetuai penentangan besar-besaran ke atas Belanda selepas Amsterdam nak menguasai Riau yang dianggap mengancam kepentingan Belanda di Melaka ketika itu.
Anda kena ingat, ketika itu Riau sudah menempa nama sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa yang menjadi tumpuan para pedagang termasuk dari Eropah. Walaupun baginda syahid dalam pertempuran di Teluk Ketapang, kematian Raja Haji memarakkan lagi api penentangan orang Melayu terhadap penjajah. Murka selepas mendengar berita kemangkatan bapa saudaranya, Sultan Selangor iaitu Sultan Ibrahim meneruskan penentangan ke atas Belanda sehinggalah penamatan sengketa melalui dua perjanjian yang dimeterai pada tahun 1786 dan tahun 1790.
Ada juga Raja-Raja Melayu memberi sumbangan besar kepada khazanah ilmu. Contoh paling mudah, Raja Ali Haji. Baginda merupakan seorang pujangga dan sejarawan Melayu pertama. Antara buku yang pernah dihasilkan baginda ialah Tuhfat al-Nafis dan Syair Abdul Muluk. Ini saja sudah cukup menceritakan sumbangan besar baginda kepada bidang bahasa dan undang-undang. Begitu juga dengan kisah Raja Ahmad Thabib, seorang tabib ulung dalam dunia Melayu yang pernah saya nukilkan dalam satu artikel khas berkenaan baginda tidak lama dahulu. Diagnosis dan pengetahuan baginda dalam bidang perubatan amat mengagumkan sehingga khidmat baginda sentiasa diperlukan bukan saja oleh rakyat tetapi Kesultanan Riau-Lingga.
Sebagai tambahan, sesetengah Raja-Raja Melayu terdahulu bukan saja arif dari segi siasah tetapi juga bergelar ulama besar sehingga menjadi ikutan rakyat ketika itu. Salah seorang daripada mereka ialah Sunan Gunung Jati atau nama sebenar baginda, Syarif Hidayatullah. Selain dikenali sebagai salah seorang daripada Wali Songo, baginda juga merupakan pengasas Kesultanan Banten. Dan berdasarkan cerita orang tempatan, baginda juga sebenarnya salah seorang daripada komander tentera Demak yang berjaya menewaskan Portugal dan menghalau mereka keluar dari Sunda Kelapa. Sunda Kelapa kemudiannya dinamakan semula Jayakarta yang bermaksud kota yang berjaya. Jayakarta inilah yang kita kenali sebagai Jakarta, ibu negara Indonesia hari ini.
Kalau ikutkan, memang ada Raja Melayu yang dikatakan dengan bersubahat dengan penjajah seperti kes Sultan Abdullah dari Perak yang membawa kepada Perjanjian Pangkor 1874. Tetapi ramai lupa British turut menjadikan baginda dan beberapa pembesar lain sebagai kambing hitam dalam kes pembunuhan J.W.W Birch sehingga menyebabkan mereka dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Mereka dibuang negeri bukan kerana bersubahat dengan pembunuh-pembunuh Birch seperti Seputum, Dato Maharajalela dan Dato Sagor tetapi dianggap penghalang kepada agenda British untuk menguasai negeri Melayu.
Perang Perak hanyalah alasan bagi British menyingkirkan semua duri dalam daging yang berpotensi menjejaskan lagi agenda mereka. Buktinya, surat baginda kepada kerajaan British sebagai sebahagian daripada rayuan untuk pulang dari buangan di Seychelles. Dalam surat baginda, Sultan Abdullah menjelaskan secara panjang lebar mengapa baginda seharusnya dibenarkan pulang ke Perak dan sama sekali tidak mengetahui peranan yang dimainkan sesetengah pemebesar Perak yang membawa kepada pembunuhan Birch.
Malah semasa era penjajahan, mereka ini juga menjadi suara yang menyeru ke arah reformasi dan perjuangan orang Melayu. Raja Chulan misalnya, merupakan anak Melayu pertama dilantik dalam Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) dan digelar antara anak Melayu yang paling banyak memperjuangkan kepentingan Melayu menurut bekas Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.
Ini kerana baginda banyak memperjuangkan isu pengambilan lebih ramai pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam dan biasiswa untuk menarik orang Melayu mempelajari bidang-bidang kritikal seperti pergigian dan perubatan. Malah, Raja Chulan juga menyatakan kemarahannya terhadap pentadbiran British yang mengenakan duti import ke atas petrol dan minyak tanah kerana ia dianggap membebankan rakyat.
Atas jasa baginda, Raja George V mengurniakan pingat Knight of the British Empire (KBE) yang membawa gelaran Sir pada tahun 1930. Melalui pengurniaan pingat ini, Raja Chulan mencatat sejarah sebagai anggota kerabat diraja Melayu pertama yang bukan dari senarai pewarisan takhta yang mendapat gelaran itu.
Dan siapa takkan lupa peranan yang dimainkan Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Baginda bersama para pemimpin politik ketika itu berusaha memperjuangkan kemerdekaan negara secara aman dan melalui jalan perundingan. Ketegasan baginda dalam menyatakan pendirian terhadap kerajaan British di London bukan saja semasa peringkat rundingan kemerdekaan, malah sejak dari era bantahan terhadap Malayan Union lagi. Tunku Abdul Rahman merupakan antara speaker yang berucap pada setiap perhimpunan bantahan Malayan Union di Kedah.
Dan selepas mengetuai parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Perikatan membentuk kerajaan selepas menang pilihan raya pada tahun 1955, agenda kemerdekaan tidak pernah lekang dari bibirnya. Berkat kegigihan dan kesungguhan baginda bersama pemimpin-pemimpin negara yang lain, agenda kemerdekaan berjaya direalisasikan menerusi laungan Merdeka pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.
Sebagai penutup, terlalu banyak bukti yang menunjukkan Raja-Raja Melayu memberi sumbangan besar kepada tamadun Melayu dari dahulu sampai sekarang. Dan dakwaan yang mengatakan Raja-Raja Melayu tali barut penjajah bukan saja satu dakwaan bersifat menghasut tetapi juga satu kenyataan yang menunjukkan kedangkalan si pendakwa berkenaan sejarah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih