Acheh boleh dikatakan merupakan warisan kepada Kerajaan Pasai yang bermukim di utara Pulau Sumatera. Ketika Kesultanan Melayu Melaka tumbang dan juga Pasai dilanggar oleh Portugis, kerajaan yang menghalang kemaraan Portugis di utara Sumatera ketika itu ialah Kesultanan Acheh dibawah pemerintahan Sultan Ali Mughayat Shah yang berjaya mengalahkan Portugis dalam medan perang pada tahun 1521 Masihi sebelum meluaskan kekuasaan Acheh ke atas beberapa wilayah Sumatera utara seperti Pasai, Pedir, Daya dan Deli. Tidak cukup dengan itu, Acheh dibawah pemerintahan baginda turut menyerang Potugis beberapa kali dan hampir sahaja menakluk kota A’Famosa pada tahun 1574 Masihi.
Namun, selepas pemerintahan baginda, kekuasaan Acheh kembali malap dengan huru-hara yang berlaku dalam negeri dan konflik perebutan takhta sehinggalah lahir seorang penakluk hebat alam Melayu yang dikenali sebagai Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Acheh daripada 1607 Masihi sehinggalah 1636 Masihi. Seperti mana-mana kisah penakluk lain dalam dunia, mereka tidak akan mampu untuk menakluk kerajaan lain disekitar kerajaan mereka tanpa menyatukan dahulu rakyat dan pembesar dalam kerajaannya tersendiri.
Sebagai contoh, Genghis Khan dari Monggol tidak akan mampu membina empayar agung daratan terbesar dalam sejarah kalau tidak menyatukan puak-puak Monggol yang sering kali bertelagah itu. Begitu juga dengan Sultan Iskandar Muda ini, apabila telah berjaya menyatukan sekurang-kurangnya 73 orang hulubalang (uleebalang) yang seringkali bertelagah dan beperang antara satu sama lain merebutkan kawasan pemakanan dan pemukiman antara satu sama lain.
Faktor penaklukan baginda dapat dilihat atas beberapa faktor, dan antaranya ialah penguasaan ekonomi ke atas Alam Melayu. Sebagai contoh, perdagangan lada hitam merupakan antara sumber utama kekayaan ekonomi Kesultanan Acheh. Justeru, baginda telah menyerang beberapa buah negeri Melayu seperti Kedah dan menakluknya pada 1619 Masihi. Antara negeri awal lain yang ditakluk oleh baginda ialah Johor pada tahun 1613 Masihi dan 1615 Masihi, serta tidak ketinggalan Pahang pada tahun 1618 Masihi dan membawa pemerintahnya yang bernama Sultan Ahmad Syah ke Acheh. Bahkan lebih awal, negeri-negeri Melayu di Sumatera seperti Aru dan Deli turut ditakluk oleh baginda. Baginda juga telah menakluk Perak pada tahun 1620 Masihi demi menguasai perniagaan bijih timahnya.
Kekuatan ketenteraan yang dimiliki oleh baginda dipercayai kerana kekuatan angkatan lautnya. Dikatakan setiap kapal Acheh dikendalikan oleh lebih kurang 600-800 orang, tentera berkuda Acheh (cavalry) ketika itu menggunakan baka kuda Parsi, mempunyai tentera bergajah serta menjalankan kerahan tentera kepada setiap rakyatnya. Mungkin sebab ini jugalah di mana kita perlu menyaksikan bagaimana untuk mengalahkan Acheh dibawah pemerintahan baginda sahaja, Johor sebagai musuh ketatnya terpaksa menjalinkan kerjasama dengan Pahang, Palembang, Jambi, Inderagiri, Kampar dan Siak.
Seperti mana raja-raja Acheh yang sebelum ini, Sultan Iskandar Muda tetap meneruskan legasi menyerang Portugis dan cuba menakluk Melaka dari kekuasaan penjajah tersebut. Sebagai contoh, pada tahun 1629 Masihi, dicatatkan bahawa Sultan Iskandar telah memimpin 236 buah kapal bersama dengan 20, 000 orang tentera namun serangan baginda berhasil dengan kegagalan. Namun, kita tidak boleh menafikan keluasan empayar baginda sehinggakan dalam surat baginda yang dikirimkan kepada Ratu Elizabeth dari England berbunyi seperti berikut:
“Hambalah sang penguasa perkasa Negeri-negeri di bawah angin, yang terhimpun di atas tanah Aceh dan atas tanah Sumatra dan atas seluruh wilayah wilayah yang tunduk kepada Aceh, yang terbentang dari ufuk matahari terbit hingga matahari terbenam.”
Namun pastinya yang paling diingati tentang baginda ialah kisah cinta baginda dengan seorang puteri Pahang, yang kisahnya persis seperti puteri Amythis dan raja Babylon bernama Nebuchadnezzar II yang menciptakan sebuah taman tergantung untuk Amythis hanya kerana wanita itu merindukan tanah airnya yang subur berbeza geografi dengan pasang pasir Mesopotamia.
Kisahnya, ketika Puteri Pahang yang merupakan isteri baginda yang digambarkan kecantikannya tidak berbelah bagi ketika zaman tersebut merindukan bentuk muka bumi kerajaan Pahang yang berlatarbelakangkan banjaran Titiwangsa yang bergunung-ganang berbanding Acheh itu, maka Sultan Iskandar Muda dengan rela hati membina sebuah sebuah gunung kecil (Gunongan) sebagai miniatur perbukitan yang mengelilingi istana Puteri Pahang di Pahang dahulu.
Betapa bahagianya si isteri selepas menerima persembahan cinta daripada Sultan Iskandar Muda. Bangunan ini berbentuk enam segi, menyerupai bunga dan bertingkat tiga dengan tingkat utama berbentuk mahkota . Pada dindingnya ada sebuah pintu masuk berukuran rendah yang selalu dalam keadaan terkunci. Dari lorong pintu itu ada sebuah tangga menuju ke tingkat tiga Gunongan.
Baginda bukan sahaja penakluk hebat alam Melayu dan suami yang romantis, malah merupakan pemerintah yang sangat disegani dan dikagumi. Baginda juga seorang pemerintah yang sangat mengangkat nilai islamik dalam pemerintahan. Antara langkah mengangkat agama Islam yang diterapkan baginda di dalam Kesultanan Acheh ialah memastikan bahawa setiap kampong di dalam Empayar Acheh mempunyai sebuah masjid dan surau yang mempunyai madrasah. Guru-guru agama yang berwibawa akan dihantarkan di setiap madrasah. Beberapa buah kampong akan dikenali sebagai mukim yang akan diketuai oleh hulubalang kecil. Gabungan beberapa buah mukim akan dikenali sebagai Sagi dan diketuai oleh Hulubalang Besar
Baginda juga dibantu oleh Wazir Sultan, Perdana Menteri, Kadi Malikul Adil bersama dengan empat orang mufti dalam pentadbirannya. Antara ulama hebat yang diambil oleh baginda sebagai penasihatnya ialah Shamsudin As-Samatrani, Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan Abdul Rauf Sinkel. Kitab-kitab agama Islam ketika itu dikarang oleh ulamak-ulamak hebat ini dalam bahasa Melayu dan banyak mempengaruhi perkembangan agama Islam dalam Tamadun Melayu. Balai Laksamana pula akan mengetuai tentera laut dan tentera darat manakala Menteri Dirham yang peranannya pada hari seperti Menteri Kewangan akan mengendalikan Baitulmal dan hal ehwal kewangan Empayar Acheh.
Ketika era pemerintahan baginda, terdapat tiga buah badan yang diamanahkan untuk menjalankan dasar-dasar pentadbiran negara seperti Balairung yang terdiri daripada empat hulubalang terbesar Acheh yang akan mengendalikan isu pertahanan Acheh, Balai Gading yang terdiri daripada dua orang ulamak besar untuk mengendalikan isu agama dan Balai Majlis Mahkamah Rakyat yang terdiri daripada wakil-wakil mukim di seluruh wilayah Acheh. Balai Majlis Mahkamah Rakyat fungsi utamanya ialah mengurus masalah dan urusan rakyat di setiap kerajaan Acheh itu sendiri.
Baginda juga dilihat menghapuskan adat-adat zalim yang diwarisi sejak dari zaman Hindu-Buddha yang pernah mewarnai tamadun Melayu yang bertentangan dengan syariah agama Islam itu sendiri dalam pentadbiran Acheh. Misalnya, sebelum itu dikatakan bahawa setiap saksi dalam sebuah pengadilan diminta untuk mencelupkan tangan ke dalam minyak panas dan menjilat besi panas demi menguji kebenaran kenyataan para saksi ini.
Bahkan, ketegasan dan teguhnya Sultan Iskandar Muda pada agama Islam sangat disanjung terutama ketika dalam isu baginda menghukum mati anak sulung kerana telah berzina dengan seorang wanita yang merupakan isteri orang. Sebab itu pewaris takhta baginda ialah anak angkat baginda yang merupakan anakanda kepada Sultan Ahmad Syah. Biar mati anak, jangan mati adat. Mungkin ungkapan itu boleh disematkan pada situasi Sultan Iskandar Muda. Adat ketika, itu juga bermaksud undang-undang maka apabila tindakan anakandanya melanggar undang-undang, hukuman tetap harus dijalankan meskipun statusnya sebagai putera raja. Bezanya, lafaz keramat yang terluah dari mulut baginda ialah, “mati anak jelas kuburannya, hilang adat ke mana hendak dicari.”
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat akhirnya mangkat pada tahun 1636 Masihi dan menurut Bustanus Salatin yang dikarang oleh Syeikh Nuruddin ar Raniri, pada hari Sabtu waktu zuhur pada Hijrat seribu empat puluh enam tahun (1046 H). Sebelum mangkat, baginda sempat menamakan menantu baginda yang bernama Raja Mughal sebagai pengganti baginda di atas takhta kerajaan. Raja Mughal yang berasal dari Pahang ini kemudiannya memakai gelaran Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Shah Johan Berdaulat.
Rujukan:
1. Raja Mohd Afandi (1974). Tokoh-Tokoh Melayu Yang Agung Dalam Sejarah. Dewan Bahasa Dan Pustaka hlmn 80-84
2. M.C. Ricklefs. (1994) A History of Modern Indonesia Since c. 1300, 2nd ed. Stanford: Stanford University Press.
3. J.M. Barwise and N.J. White. (2002) A Traveller’s History of Southeast Asia. New York: Interlink Books.
4. Rusdi Sufi (1995). Pahlawan Nasional: Sultan Iskandar Muda. Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Sejarah Nasional Jakarta
5. http://melayuonline.com/
-HE-
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih