Siapa sahaja dalam kalangan peminat sukan hoki dalam negara yang tidak mengenali nama baginda dalam sukan tersebut? Saya boleh katakan tiada. Manakan tidaknya, piala hoki antarabangsa yang prestijnya cukup tinggi juga dinamakan bersempena dengan nama baginda iaitu Piala Sultan Azlan Shah.

Penglibatan Awal Sultan Azlan Shah Dalam Hoki

Almarhum Sultan Azlan Shah telah menunjukkan minatnya yang mendalam terhadap sukan hoki ini semenjak di bangku persekolahan lagi. Bukan sahaja minat yang mendalam terhadap sukan ini, baginda juga merupakan seorang yang berbakat dalam bermain sukan hoki ini.

Bakat baginda yang menyerlah telah menarik perhatian pengurusan pasukan hoki negeri Perak. Baginda kemudian dilamar untuk bermain bersama pasukan negeri dan baginda kemudian telah menerimanya seterusnya bermain demi negeri Perak yang dicintainya.

Setelah tamat zaman persekolahannya, Almarhum Sultan Azlan Shah telah terbang ke England bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Di England, baginda tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkenaan sukan hoki secara serius mungkin kerana ingin fokus akan pengajiannya pada ketika itu.

Sekembalinya baginda ke tanah air setelah mencurah bakti selama lebih sedekad di England, baginda telah bertugas sebagai Majistret Kelas Pertama di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Sepanjang bekerja di ibu kota, baginda dikatakan telah asyik turun melihat pasukan hoki negeri Selangor berlatih di Kelab Diraja Selangor yang berada hanya berhadapan dengan pejabat tempatnya bekerja.

Sultan Azlan Shah & Pasukan Hoki Negara

Selepas melihat baginda yang meminati sukan ini dengan begitu mendalam. Tambahan lagi, baginda memegang jawatan yang besar di peringkat antarabangsa. Beberapa orang rakan Almarhum Sultan Azlan Shah yang pada ketika itu bermain untuk pasukan Selangor telah mengesyorkan nama baginda untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Malaysia.

Bertuah sekali apabila tidak lama kemudian, Persekutuan Hoki Malaysia pun menawarkan jawatan tersebut kepada baginda kerana merasakan yang baginda adalah calon yang paling bersesuaian. Almarhum Sultan Azlan Shah pada ketika itu mengambil masa untuk memikirkan tentang tawaran tersebut sebelum menerimanya pada sekitar tahun 1973.

Selepas dua tahun baginda menjawat jawatan tersebut, Malaysia buat julung kalinya telah menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia Hoki. Dalam kejohanan Piala Dunia Hoki tersebut, pasukan negara telah menduduki tangga keempat dan hal tersebut merupakan suatu perkara yang ajaib buat negara kita pada ketika itu. Kejayaan ini telah melonjakkan nama pasukan negara dalam sukan hoki ini di persada antarabangsa.

Selepas memegang jawatan Naib Presiden selama kira-kira 7 tahun, Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik pula sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia. Sepanjang memegang jawatan tersebut, pelbagai perkara telah berjaya dilaksanakan baginda dalam usahanya membangunkan sukan hoki di negara ini.

5 tahun kemudian pada tahun 1985, baginda mengambil alih tampuk pengurusan Presekutuan Hoki Malaysia selepas dilantik sebagai Presiden. Baginda meneruskan lagi kecemerlangannya dalam membangunkan sukan hoki di negara ini.

Salah sebuah kecemerlangan yang dapat dikecapi adalah kejayaan negara yang sekali lagi menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki pada tahun 2000. Dalam kejohanan edisi tahun 2000 itu, pasukan negara berjaya menduduki tangga keenam keseluruhan.

Kecemerlangan baginda tidak hanya terhenti di dalam padang hoki. Baginda telah berjaya membuatkan negara mencatatkan keuntungan hampi RM2 juta melalui penganjuran kejohanan Piala Dunia Hoki tersebut.

Antara kejayaan yang berjaya dikecapi Almarhum Sultan Azlan Shah semasa memegang jawatan presiden adalah penubuhan Yayasan Hoki Malaysia pada tahun 1992. Melalui yayasan tersebut, para pemain hoki di Malaysia dapat menikmati tiga jenis faedah;

  • Biasiswa pengajian tinggi,
  • Faedah persaraan, dan
  • Menjaga kebajikan pemain dan keluarga pemain yang terlibat dalam kemalangan atau kematian.

Penubuhan Yayasan Hoki Malaysia ini adalah merupakan ilham daripada baginda dalam usahanya membantu dan menjaga kebajikan para pemain hoki tempatan. Melalui yayasan tersebut, puluhan pemain telah berjaya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Almarhum Sultan Azlan Shah kemudian meneruskan perjuangannya membangunkan sukan hoki di negara ini sebelum meletakkan jawatan presiden itu pada tahun 2005. Tidak terhenti di situ kerana selepada beberapa ketika, baginda dilantik semula sebagai Penasihat Kehormat Persekutuan Hoki Malaysia sehinggalah ke hujung nafas baginda.

Penglibatan Sultan Azlan Shah Di Peringkat Antarabangsa

Almarhum Sultan Azlan Shah cemerlang dan dipandang tinggi bukan sahaja di dalam negara sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia. Namun begitu, baginda juga merupakan seorang yang disanjung tinggi oleh peminat hoki di peringkat antarabangsa.

Baginda telah dilantik menjawat jawatan Naib Presiden Persekutuan Hoki Asia pada tahun 1960 sebelum dilantik pula sebagai Presiden Persekutuan Hoki Asia 4 tahun kemudian pada tahun 1964. Baginda kemudian memegang jawatan tersebut hingga ke hujung hayatnya.

Semasa memegang jawatan itu, baginda juga telah berusaha keras bagi meningkatkan kualiti hoki di rantau ini. Baginda telah mencadangkan penubuhan Akademi Hoki Asia yang bermatlamat untuk meningkatkan bukan sahaja mutu para pemain malahan juga mutu para pegawai pertandingan di Asia.

Tidak terhenti di rantau ini sahaja, baginda juga pernah menjawat jawatan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa pada tahun 1992 selama 2 penggal berturut-turut. Hal ini menunjukkan bahawa baginda merupakan individu yang disegani ramai dalam sukan hoki bukan sahaja di negara malahan di dunia juga.

Catatan Penulis

Jasa Almarhum Sultan Azlan Shah begitulah besar kepada bukan sahaja rakyat di negerinya malahan kepada semua rakyat di negara kita. Baginda telah mencurahkan jasa dan baktinya dalam bidang-bidang yang menjadi kepakarannya.

Baginda tidak pernah berhenti mencurahkan bakti kepada tanah air hinggalah sekembalinya baginda ke pangkuan Ilahi. Sumbangan baginda kepada negara menunjukkan cinta baginda yang begitu mendalam kepada Malaysia yang kita semua cintai ini.

Mungkin kita dapat mencontohi keperibadian yang terdapat pada diri baginda yang bukan sahaja mementingkan pendidikan malahan juga jasmani seterusnya menjadikan dirinya seorang individu yang berkualiti pada setiap aspek dalam diri.

Semoga Allah merahmati segala jasa dan bakti baginda kepada negara ini dalam bidang kehakiman mahupun sukan. Insyallah. Al-fatihah.

RUJUKAN :

  1. MStar (30 Januari 2009). Sultan Azlan Shah ‘Bapa Hoki Malaysia’. https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2009/01/30/sultan-azlan-shah-bapa-hoki-malaysia/
  2. MStar (28 Mei 2014). Sultan Azlan Shah Julang Hoki Negara Ke Persada Antarabangsa. https://www.mstar.com.my/sukan/2014/05/28/bapa-hoki-malaysia

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.