Bagi pencinta alam semulajadi, nama seperti Sir David Attenborough, Jane Goodall dan Steve Irwin pasti tidak asing. Bagi Irwin, generasi penonton sebaya penulis amat mengenalinya sebagai The Crocodile Hunter (Pemburu Buaya), nama program sama yang disiarkan di Animal Planet dan 150 buah negara. Dan impaknya terus dirasai walaupun selepas beliau meninggal dunia pada 4 September 2006.

Irwin merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik dan dilahirkan pada 22 Februari 1962. Bapanya, Bob merupakan seorang aktivis alam sekitar sementara ibunya Lyn merupakan jururawat sebelum membantu bapanya memulihara spesies haiwan liar. Semasa kecil, beliau sudah menunjukkan minat terhadap haiwan terutama selepas berpindah ke Queensland pada 1970.

Semasa tahun-tahun persekolahannya, Irwin banyak membantu ibu bapanya semasa menguruskan zoo milik mereka, Taman Fauna dan Reptilia Beerwah. Ini termasuk memberi makanan harian kepada haiwan, aktiviti penjagaan haiwan dan penyelenggaraan taman. Pada usia sembilan tahun, Irwin diberi peluang mengendali dan bergusti dengan buaya di bawah pemantauan Bob.

Selepas mencecah usia dewasa, beliau berkhidmat sebagai sukarelawan Program Pengurusan Buaya Pantai Timur Queensland dan membantu menangkap lebih 100 ekor buaya. Sebahagian buaya ini dipindahkan ke tempat lain. Manakala sebahagian lagi dipindahkan ke Taman Fauna dan Reptilia Beerwah. Irwin mengambil alih pengurusan taman pada 1991 dan memberi nama baru Zoo Australia pada 1998.

Menariknya, semasa tempoh ini, beliau berkenalan dengan seorang pengkaji alam bernama Terri Raines. Terri pada ketika itu melawat zoo yang diusahakan Irwin sebagai pengunjung dan di situlah, kedua-duanya jatuh cinta pandang pertama. Setahun selepas itu, kedua-duanya berkahwin. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Bindi Sue (lahir 24 Julai 1998) dan Robert Clarence (1 Disember 2003).

Rajah 1: Steve Irwin bersama isteri Terri dan dua anak mereka, Bindi dan Robert. Sumber: Zoo Australia

Jadi, bagaimana Irwin diberi jolokan The Crocodile Hunter? Semasa berbulan madu, wujud rakaman kedua-duanya menangkap buaya yang dibuat oleh seorang rakan dan penerbit John Stainton. Rakaman ini kemudiannya menjadi episod pertama The Crocodile Hunter dan disiarkan di Australia pada 1996. Ia disusuli oleh siaran di Amerika Utara setahun kemudian.

Program The Crocodile Hunter melonjakkan nama Irwin sebagai personaliti terkenal di Australia. Ia mendapat sambutan terima kasih kepada gaya penyampaian bersemangat beliau, loghat Australia yang pekat, seluar pendek khakinya dan ungkapan ‘Crikey!’. Disebabkan siri ini, ia memperkenalkan dunia semulajadi kepada orang dalam bentuk penyampaian yang menarik dan interaktif.

Selain The Crocodile Hunter, Irwin turut muncul dalam spin-off program itu iaitu Croc Files dan The Crocodile Hunter Diaries. Croc Files merupakan program dokumentari yang memberi fokus kepada kanak-kanak. Sementara The Crocodile Hunter Diaries pula memfokuskan kepada kehidupan harian Irwin, Terri dan para pekerja Zoo Australia.

Mungkin ada menyangka personanya sebagai The Crocodile Hunter sekadar lakonan semata-mata. Hakikatnya, Irwin amat mengambil berat soal memelihara dan memulihara alam sekitar. Sebahagian bayaran yang diterima daripada penampilan di televisyen, filem, pengiklanan atau kempen agensi kerajaan disalurkan kepada Yayasan Pemuliharaan Steve Irwin (kini dikenali sebagai Wildlife Warriors (Pahlawan Hidupan Liar)).

Irwin juga turut menggesa orang ramai agar menyertai ekopelancongan yang bersifat lestari dan menolak aktiviti pemburuan haram. Ini termasuk menolak pembelian produk haiwan terancam seperti cangkerang kura-kura dan sirip ikan jerung. Usahanya ini mendapat pujian Attenborough kerana membantu orang ramai mengenali dan memahami kepentingan memelihara alam semulajadi.

Tatkala namanya menjadi sebutan ramai di seluruh dunia, tiba-tiba pada 4 September 2006, dunia dikejutkan dengan pemergian beliau. Irwin ketika itu menyelam dengan snorkel sebelum ditikam oleh ekor tajam seekor ikan pari. Peristiwa ini berlaku semasa beliau membuat penggambaran untuk siri dokumentari Ocean’s Deadliest.

Rajah 2: John Stainton (kiri) merasakan ada sesuatu tidak kena semasa menyertai Ocean’s Deadliest. Sumber: Greg Barrett/Discovery Channel/Mgm/Kobal/Shutterstock

Pada awalnya, Irwin menyangka paru-parunya bocor selepas ditikam ikan pari tersebut. Tetapi duri ikan berkenaan mengenai jantungnya sekaligus menyebabkan beliau mengalami pendarahan yang banyak. Krew Ocean’s Deadliest cuba memberi bantuan kecemasan sebelum membawanya ke sebuah hospital di Low Isles. Bagaimanapun, Irwin disahkan mati selepas tiba di hospital.

Bagi rakan baiknya Stainton, beliau sudah merasakan ada sesuatu tidak kena apabila menyertai produksi Ocean’s Deadliest. Beberapa hari sebelum kematiannya, Irwin berucap di hadapan krew seolah-olah seperti ucapan terakhirnya kepada mereka.

Stainton turut mendedahkan dia mendapat alamat akan mati sekiranya menyertai produksi Ocean’s Deadliest. Walaupun disahkan sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, dia masih bimbang perkara buruk akan berlaku semasa penggambaran berjalan. Stainton sama sekali tidak menyangka alamat kematian yang dialaminya itu sebenarnya merujuk kepada rakan baiknya, Irwin.

Kini, legasi Irwin diteruskan oleh Terri dan dua cahaya mata mereka, Bindi dan Robert. Kedua-duanya kini dikenali sebagai personaliti televisyen menerusi program Crikey! It’s The Irwins dan meneruskan minat bapa mereka dalam soal pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Robert juga turut berjinak-jinak dengan dunia fotografi alam semulajadi dan pernah muncul naib juara untuk kategori junior Pertandingan Tahunan Jurugambar Alam Semulajadi Geografi Australia pada 2016.

RUJUKAN

Michallon, C. (2019, 22 Februari). Steve Irwin: Google Doodle honours life and legacy of ‘Crocodile Hunter’ TV star. The Independent.

Sparks, H. (2021, 15 November). Steve Irwin made ‘very, very weird’ speech before he died, says ‘Crocodile Hunter’ pal.

The Sydney Morning Herald. (2006, 2 November). Terri Irwin honours ‘inspirational’ Attenborough.

Sumber gambar: Getty Images


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply