Kota Sodom dikisah di dalam Quran tentang bagaimana perilaku masyarakat Sodom pada waktu tersebut yang mengamalkan hubungan seksual sesama lelaki dan hubungan seksual sesama perempuan. Perilaku ini menjadi kebiasaan bagi mereka setiap hari sehinggakan perbuatan seksual di antara lelaki dan perempuan adalah perkara yang memalukan bagi mereka.
Gay, liwat dan homoseksual adalah sebuah istilah untuk sebuah aktiviti seksual yang dilakukan di antara seorang lelaki dan lelaki yang lain.
Salah satu perbuatan utama kaum gay dalam menyalurkan hasrat seksual mereka adalah melalui meliwat, yang secara istilah syari’ ianya didefiniskan:
“Memasukkan kepala zakar ke dalam dubur lelaki yang lainnya”.
Perbuatan sodomi atau liwat tersebut adalah perbuatan yang diharamkan berdasarkan bukti dari kitab suci agama Islam, al-Quran, hadis Rasulullah saw dan Ijma para ulama Islam.
Ancaman kaum LGBT (Lesbian, Gay, Bisex dan Transgender) merupakan sebuah penyakit yang berkembang pada zaman sekarang. Seiring menuju ke arah perkembangan dunia teknologi dan kebangkitan tamadun, kita juga perlu menghadapi pelbagai ideologi yang menginginkan ianya menjadi sebuah hak kebebasan bersuara. Inilah resiko yang perlu kita hadapi.
Inilah kejadian yang pernah berlaku di hadapan mata Nabi Luth a.s. dan Pliny the Younger. Kejadian ini berulang juga di hadapan mata kita. Adakah kita perlu menunggu azab yang sama menimpa pada diri kita semua barulah kita sedar dari kelalaian dunia?
Untuk pautan lebih lanjut mengenai LGBT, pembaca boleh membacanya di SINI (klik)
Tiada kisah yang akan diangkat ataupun difirman Allah swt di dalam Quran adalah palsu. Ia juga bukan mengungkapkan sebuah perjalanan sejarah manusia, bahkan ianya mengandungi peringatan yang jelas untuk mereka yang berakal. Peringatan yang mengajarkan kita, peringatan yang menyedarkan kita, betapa mudahnya manusia lalai dalam urusan dunia sehingga melampaui batas norma kemanusiaan dan alam. Sejarah berkenaan kaum Sodom sangat terkenal bukan hanya dikalangan penganut Muslim, tetapi juga di kalangan penganut agama Kristian dan Yahudi. Di dalam Quran, kisah tersebut banyak disebut di dalam beberapa surah, seperti:
1. Surah al-Ankabuut ayat 28 sehingga 35.
2. Surah as-Syuara’ ayat 160 sehingga 168.
3. Surah al-A’raaf ayat 80 sehingga 82.
4. Surah al-Hijr ayat 59 sehingga 77.
Kisah-kisah yang difirmankan Allah swt telah diperincikan oleh para ulama tafsir serta menjelaskan mengapa dan kenapa perbuatan ini jelas diharamkan dan dicela Tuhan. Penulisan di bawah akan menceritakan perjalanan kisah ringkas kaum Sodom dari kitab suci umat Islam, al-Quran dan beberapa tafsiran oleh para ulama tafsir. Di penghujung artikel ini akan disertakan juga lokasi sebenar kota Sodom adakah ianya berada di garis Laut Mati ataupun di kota Pompeii, Itali.
Pesanan: Penulisan di bawah mengambil kajian daripada sumber Islam, Kristian dan Yahudi.
1861 SM – 1687 SM, tahun yang dikenalpasti jangka waktu kehidupan Nabi Luth a.s mengikut Sheikh Abdurrahman Habnakah di dalam kitabnya, Kitab Al Aqidah Ila Salamiyat.
Tersebutlah kisah, yang telah difirman Allah swt di dalam surah al-A’raf ayat 80 sehingga 84:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ (٨٠) إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (٨١) وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوهُمْ مِنْ قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ (٨٢) فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ (٨٣) وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ (٨٤)
80. “Dan (Kami juga telah mengutus Nabi) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kalian mengerjakan perbuatan yang sangat hina itu, yang belum pernah dilakukan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelum kalian?”
81. “Sungguh, kamu telah melempiaskan syahwatmu kepada sesama lelaki bukan kepada perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas”.
82. “Dan jawaban kaumnya tidak lain hanya berkata, “Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari negerimu ini, mereka adalah orang yang menganggap dirinya suci”.
• Seorang putera Haran dari wilayah Ur, Mesopotamia, Nabi Luth a.s (Lot), mengikuti jejak bapa saudaranya, Nabi Ibrahim a.s (Abraham), ke negeri Kanaan. Setiba di sana, Nabi Luth a.s ditugaskan Allah swt untuk berdakwah ke Kota Sodom dan Gamora (Gomorrah) yang sekarang ianya dipastikan terletak di sepanjang timur laut Laut Mati atau dari Palestin sehingga ke Jordan. Manakala ibu kota kaum Sodom terletak di utara Laut Mati.
Dalam ayat peringatan ini, Allah swt menyebutkan bahawa perbuatan hubungan seksual di antara sesama lelaki, yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth a.s merupakan sebuah perbuatan fahisyah. Fahisyah adalah suatu perbuatan yang sangat hina.
Hal ini sebagaimana ditafsirkan oleh ahli tafsir, Syeikh Abdul Rahman As-Sa’di r.a, beliau menjelaskan fahisyah yang terdapat dalam ayat 80 ini:
“الخصلة التي بلغت – في العظم والشناعة – إلى أن استغرقت أنواع الفحش”.
“Perbuatan yang sampai pada tingkatan yang tergolong dalam pelbagai macam kehinaan, jika ditinjau dari sisi besar dosa dan kehinaannya”.
(Tafsir As-Sa’di)
Seruan dakwah dan ajakan Nabi Luth a.s ditolak mentah-mentah oleh penduduk kota Sodom. Mereka lebih memilih untuk meneruskan hiburan kesesatan dunia daripada mengingati ancaman azab dari Tuhan.
• Sehinggalah tiba suatu hari, Allah swt mengutuskan tiga malaikat ke kota Sodom untuk bertemu dengan Nabi Luth a.s. Para ulama tafsir Quran berpendapat mereka adalah malaikat Israfil (peniup sangkakala), malaikat Mikail (menurunkan rezeki) dan malaikat Jibrail (malaikat utusan wahyu) yang telah dihantar oleh Allah swt ke negeri Sodom untuk bertemu dengan baginda Nabi Luth a.s sekaligus untuk menyampaikan wahyu dari Allah swt. Tatkala ketiga malaikat ini menyerupai sebagai tiga orang pemuda tampan, mereka pun tiba dan menemui salah seorang anak perempuan Nabi Luth a.s yang sedang mengambil air di sebuah tempat. Kedatangan ketiga orang malaikat itu mengejutkan anak gadis tersebut, lalu salah satu malaikat itu bertanya kepada anak perempuan Nabi Luth a.s yang mereka datang dari sebuah negeri yang jauh dan ingin bertemu dengan ayahnya. Ahli tafsir, as-Suddi, mengatakan, ketika itu adalah waktu tengahari.
(Berbeza dengan tafsiran oleh Qatadah bin Di’amah As Sadusi r.a, beliau menafsirkan yang para malaikat ini mendatangi Nabi Luth a.s yang ketika itu baginda sedang bekerja di ladang tanamannya).
Berita yang diterima oleh anak gadis tersebut disampaikan kepada Nabi Luth a.s. Nabi Luth a.s lalu bertemu dengan ketiga orang pemuda itu dan di dalam hatinya mula timbul perasaan yang sedih. Baginda tahu, keberadaan mereka di sini pasti tidak akan selamat. Salah satu malaikat tersebut menyatakan hasrat mereka untuk menumpang sebentar di rumah baginda. Kebimbangan baginda makin menjadi-jadi. Baginda tidak tahu mahu melakukan apa, kalau ditolak permintaan tamunya pasti ia adalah sebuah sifat yang tidak terpuji, tetapi kalau mahu menerima mereka berteduh sebentar di rumahnya, pasti keselamatan ketiga orang pemuda itu akan terancam dengan sikap penduduk kota Sodom.
• Akhirnya, baginda memutuskan untuk menerima ketiga orang pemuda itu sebagai tetamunya. Nabi Luth a.s menjemput mereka ke dalam rumah dan menutup segala pintu dan tingkap rumahnya. Baginda juga berpesan kepada isteri dan kedua orang anak gadisnya supaya merahsiakan kedatangan para pemuda tersebut di rumahnya.
Terjadilah suatu sesi perbualan diantara baginda dan tiga malaikat tersebut seperti dalam surah al-Hijr ayat 62 sehingga 63:
Nabi Luth a.s berkata kepada ketiga orang pemuda tersebut:
“Dia (Luth) berkata:” Sesungguhnya kamu orang yang tidak kami kenal”.
Maka menjawablah para malaikat tersebut:
“(Para utusan) menjawab: “Sebenarnya kami datang kepadamu membawa azab yang selalu mereka dustakan”.
“Maka pergilah kamu pada akhir malam beserta keluargamu, dan ikutilah mereka dari belakang. Jangan ada diantara kamu yang menoleh ke belakang dan teruskanlah perjalanan ke tempat yang diperintahkan kepadamu”.
Kemudian barulah Nabi Luth a.s mengetahui yang ketiga orang pemuda tersebut adalah malaikat yang diutuskan Allah swt untuk menurunkan azab setelah baginda mendoakan kaumnya ditimpa bala. Hanya Nabi Luth a.s yang mengetahui mereka itu adalah malaikat.
• Kebiasaan yang sudah diketahui oleh Nabi Luth a.s, para musafir atau pengunjung yang datang bertandang ke negeri Sodom pasti tidak akan selamat dengan dua hal, iaitu:
1. Jika pengunjung itu membawa barang dagangang ataupun barangan berharga pasti ianya akan dirampas sebahagian oleh penduduk kota Sodom.
2. Jika beliau adalah seorang pemuda tampan maka barangnya tidak akan dirampas, malahan pemuda tersebut akan dipaksa melakukan hubungan seksual di luar tabii bersama para penduduk yang berjantina lelaki. Bahkan perempuan juga tidak terlepas menjadi mangsa santapan para wanita kota. Jadinya, hubungan seksual di kota ini sepenuhnya songsang.
• Kisah ini diambil daripada penulisan kajian sejarah oleh Rabbi Mendy Kaminker, salah seorang penulis Organisasi Chabad:
“Di dalam kitab Taurat (Perjanjian Lama) mengisahkan bagaimana para pengunjung atau pedagang datang menumpang ke kota Sodom. Mereka terpaksa melewati sebuah jambatan yang dibina di atas sebuah sungai. Setiap satu kepala dikenakan bayaran masuk sebanyak 4 zuzim (mata wang Sodom).
Dan jika seseorang tersebut tidak mahu dikenakan bayaran dan mengambil langkah menyeberangi sungai dengan berenang dan apabila ditangkap oleh pengawal kota, maka beliau akan dikenakan bayaran dua kali ganda dan tambahan 8 zuzim sebagai denda. Di dalam Talmud juga mengisahkan bagaimana penduduk kota Sodom membenci orang miskin dan seboleh-bolehnya mereka tidak akan membiarkan golongan sebegini hidup di dalam kota.
Pernah ada seorang pencuri datang ke kota Sodom untuk mengaut keuntungan baginya, tetapi pencuri ini tidak meneruskan hasratnya untuk mencuri kerana setiap rumah yang dimasukinya, tuan rumah akan menemuinya dalam keadaan yang mesra dan pasti akan memberikannya sejumlah kepingan wang. Setiap rumah yang didatangi pencuri tersebut, pasti dia akan menerima sapaan yang sama.
Apabila hasil kutipan wangnya cukup, maka beliau akan ke sebuah gerai yang menjual makanan. Tetapi para peniaga di situ tidak mahu menjualkan makanan mereka kepada pencuri terbabit walaupun pencuri tersebut mempunyai sejumlah wang yang banyak. Hari pun berlalu dan berganti, dan pencuri itu pun mati kelaparan. Maka, penduduk Sodom datang beramai-ramai ke jenazah pencuri tersebut untuk mengambil wang mereka kembali. Penduduk Sodom melakukan ini hanya untuk menaikkan nama mereka sahaja.”
• Tetapi, pesanan Nabi Luth a.s tidak diendahkan oleh isterinya sendiri. Isteri baginda, Wai’lah pada mulanya adalah seorang isteri solehah yang bersyukur dengan kehidupan sederhana bersama suaminya, Nabi Luth a.s sehinggalah pada suatu hari, keimanan Wa’ilah diganggu gugat oleh iblis dengan harta dunia. Wa’ilah akan diberikan ganjaran wang perak ataupun emas jikalau beliau memberitahukan maklumat tentang tetamu yang datang bertandang ke rumah mereka, apakah pemuda tampan ataupun wanita yang elok paras rupanya. Kegiatan Wa’ilah ini tidak diketahui oleh Nabi Luth a.s.
Apabila malam sudah melabuhkan tirainya di dada langit, maka Wa’ilah dengan serta merta membawa berita gembira kepada penduduk kota berkenaan kedatangan tiga orang pemuda yang tampan di rumahnya. Wa’ilah mendapat ganjaran yang banyak dan para penduduk kota yang ingin melihat dengan kepala mata sendiri apakah berita Wa’ilah boleh dipercayai atau ianya hanya dogengan semata-mata, maka mereka beramai-ramai menuju ke kediaman Nabi Luth a.s yang berada di hujung kota.
• Menurut riwayat Ibnu Katsir di dalam kitabnya, Kisah Para Utusan, pada malam tersebut, datanglah beramai-ramai penduduk kota Sodom yang bernafsu ingin melihat wajah tiga orang pemuda rupawan yang diceritakan oleh Wa’ilah. Para penduduk kota mengepung kediaman Nabi Luth a.s dan berteriak memanggil nama baginda untuk mengeluarkan ketiga orang pemuda itu dari rumahnya. Nabi Luth a.s pun membuka pintu rumahnya dan berkata seperti bukti yang difirman Allah swt di dalam surah al-Hijr ayat 67 sehingga 69:
“Dan datanglah penduduk kota itu (ke rumah Luth) dengan gembira (kerana kedatangan tetamu itu). Dia (Luth) berkata: “Sesungguhnya, mereka adalah tetamuku, maka jangan kamu mempermalukan aku, Dan bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu membuat aku terhina.”
Nabi Luth a.s menghalang hasrat mereka untuk terus melakukan perbuatan yang keji tersebut, lalu baginda menawarkan dua orang anak gadisnya untuk dinikahi secara baik tetapi penduduk kota yang marah dengan ucapan Nabi Luth a.s kerana tidak ingin menyerahkan para tetamunya kepada mereka berkata seperti yang difirmankan Allah swt di dalam surah al-Hijr ayat 70-71:
“(Mereka) berkata: “Bukankah kami telah melarangmu dari (melindungi) manusia?”. Dia (Luth) berkata: “Mereka itulah puteri-puteri (negeri) ku (nikahlah dengan mereka), jika kamu hendak berbuat.”
Tindakan Nabi Luth a.s yang terus menerus mengabaikan permintaan mereka membuatkan meningkatnya amarah dan nafsu penduduk kota. Mereka terus menyerbu masuk ke rumah Nabi Luth a.s untuk mencari dan membawa ketiga orang pemuda itu dari rumah baginda.
Tetapi pandangan penduduk kota Sodom dihijabkan oleh Allah swt. Mereka tidak dapat menemui sosok ketiga orang pemuda tersebut walaupun ketiga malaikat tersebut masih ada di dalam rumah Nabi Luth a.s. Baginda yang kecewa dengan perbuatan kaumnya terus berdoa kepada Allah swt seperti dalam firmanNya surah as-Syuara ayat 169:
(Luth berdoa): “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dan keluarga aku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan.”
• Penduduk kota hampa kerana mereka tidak menemui ketiga orang pemuda tersebut, lalu mereka pun beransur pulang ke rumah masing-masing. Setelah itu, malaikat-malaikat yang menyerupai sebagai manusia tersebut berkata kepada Nabi Luth a.s seperti dalam ayat 65 surah al-Hijr:
Setelah malaikat itu menyampaikan wahyu dari Allah swt, maka Nabi Luth a.s beserta isteri dan anak-anaknya mengemaskan barang-barang untuk dibawa keluar dari wilayah Sodom.
Malam itu, penduduk kota masih tenggelam dalam kenikmatan yang mereka dustakan. Kenikmatan duniawi yang akan menghancurkan kemegahan maruah dan tamadun mereka sendiri.
Malam terakhir untuk mereka berfikir apakah azab Tuhan yang mereka persoalkan akan datang sesungguhnya?
Azab TUHAN Yang Menggegarkan Bumi Sodom
Ketentuan waktu azab yang akan diturunkan Allah swt sudah termaktub. Seperti dalam firman Allah swt di dalam surah al-Hijr ayat 66:
“Dan Kami telah tetapkan kepadanya (Luth) keputusan itu, bahawa berakhirnya mereka akan ditumpaskan setelah waktu Subuh”.
Pagi yang disangkakan terbitnya matahari seperti biasa bertukar wajah. Langit menunjukkan tanda-tanda kemurkaanNya. Tiada lagi kesempatan kedua dan terakhir untuk kaum Nabi Luth a.s. Kaum Sodom bakal menjadi salah satu kaum yang dilenyapkan dari muka bumi Tuhan.
Tiada kicauan burung yang keluar mencari rezeki di pagi hari. Sepinya pagi itu, merupakan kesepian yang akan membungkam keriuhan isi kota tersebut buat selama-lamanya.
Maka bergeraklah Nabi Luth a.s beserta keluarganya dengan tergesa-gesa keluar dari bumi Sodom. Baginda meninggalkan bumi kaumnya dengan kesedihan dan kekecewaan yang mendalam. Kemarahan Allah swt mulai membuka pintunya azabnya.
• Kejadian ini difirmankanNya di dalam surah al-A’raf ayat 83 dan 84:
“Kemudian Kami selamatkan dia dan pengikutnya kecuali isterinya. Dia (isterinya) termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan)”.
“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu), maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berbuat dosa itu”.
Ketika dalam perjalanan meninggalkan kota tersebut, isteri baginda, Wa’ilah meragu-ragukan tentang azab Tuhan. Maka dia sengaja melambat-lambatkan perjalanan sehingga dia jauh tertinggal di belakang. Dia tidak tahu, bahawasanya, itulah kali terakhir dia akan melihat pemandangan kota Sodom. Akibat dari perbuatannya sendiri, dia turut termasuk dalam golongan yang ditimpa bala.
Kota Sodom mula dilanggar oleh azabNya.
Hujan-hujan batu dari langit mulai datang menimpa kota Sodom. Para penduduk yang masih nyenyak dalam tidur mereka, terbangun. Suasana hiruk pikuk tangisan dan seksaan kedengaran mendayu bergema satu kota. Tiada kehidupan yang tersisa. Hanya debuan tebal yang memayungi di dada langit Sodom.
Wa’ilah turut terbunuh dalam azab Tuhan yang diragukannya.
Malaikat Jibril diperintahkan oleh Allah swt untuk membalikkan muka bumi Sodom. Membalikkan muka bumi di sini membawa maksud gegaran gempa bumi yang dahsyat.
Kota Sodom dan Gamorrah yang megah dengan peradabannya dihancurkan oleh Tuhan dalam sekelip mata. Disitulah mereka dilahirkan dengan kebanggaan dan disitulah mereka dikebumikan dengan kehinaan.
Dosa yang mereka selama berpuluh-puluh tahun lamanya dilenyapkan oleh Tuhan tanpa menunggu hitungan detik yang sangat lama.
Matahari mula memancarkan cahayanya seperti biasa. Tetapi cahayanya kali ini hanya menyinari pemandangan yang kosong tanpa kehidupan.
Setelah itu, kisah perjalanan Nabi Luth a.s dan dua orang anak perempuannya ditamatkan Allah swt. Tiada maklumat lain ke manakah tujuan ketiga orang beranak tersebut kecuali di dalam Genesis 19 ayat 21-23 menyebutkan yang Prophet Lot melarikan diri bersama dua anak gadisnya ke kota Bela.
• Daripada permulaan kisah sehinggalah ke pengakhirannya, adakah kita masih akan mempersoalkan azabNya sepertimana kaum Sodom yang mempersoalkan Nabi Luth a.s ketika baginda memberikan amaran dan menasihati untuk pulang ke pangkal jalan? Adakah kita perlu menunggu azab yang seterusnya turun, baru kita menadah tangan ke langit memohon keampunan dariNya yang sudah terlambat?
Ya, jika anda tidak percaya dengan azabNya dan terus menerus melakukan perbuatan terkutuk yang melanggar hukum alam ini, maka renungkanlah kembali kisah Nabi Luth a.s dan kaum Sodom di dalam ayat Quran yang telah disertakan saya pada awal penulisan.
Bukankah kejadian ledakan gunung berapi yang menghancurkan suatu kota kuno Pompeii pada zaman dahulu terletak di Itali? Adakah kejadian ini sebenarnya berlaku di Itali dan bukan Laut Mati?
Benarkah Sodom Dan Pompeii Ialah Dua Kota Yang Sama?
Tidak benar.
Sudah diketahui umum, bahawasanya Pompeii yang berada di Itali sekarang merupakan salah satu bekas kota maju yang berada di bawah pemerintahan empayar Kekaisaran Rom. Pusat yang dimiliki oleh penduduk kota Pompeii adalah berdasarkan kandungan tanah di dataran Campania yang berada di sekitar mereka, iaitu tanah dari hasil letupan Gunung Vesuvius yang berada 8 km dari pusat kota.
Kandungan tanah yang mempunyai kandungan mineral yang tinggi memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menanam pelbagai tanaman seperti gandum, buah zaitun, anggur dan barli. Masyarakat Pompeii pada ketika itu terkenal dengan penanaman berunsurkan bijirin. Hasil tanaman ini dijadikan minuman keras. Minuman keras buatan Pompeii yang sangat terbaik menjadi salah satu barang eksport utama ke beberapa belahan wilayah di dalam empayar Rom. Bukti menunjukkan minuman keras buatan Pompeii ditemui di kota pelabuhan berdekatan pusat kota Rom, iaitu kota Ostia.
Kekayaan hasil bumi dan harta yang mereka kecapi tidak membuatkan tamadun Pompeii menjadikan mereka sebagai tamadun yang berakhlak baik. Aktiviti utama yang mereka sering lakukan adalah menjalankan amalan seks bebas samada di antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Kebebasan seks yang diamalkan oleh mereka menjadi suatu kebanggaan sehinggakan gaya dan postur tubuh badan yang sedang melakukan aktiviti seksual sebegini dicetak di atas kepingan duit syiling mereka.
Kejatuhan peradaban Pompeii buat selama-lamanya apabila Gunung Vesivius memuntahkan isinya pada bulan Ogos tahun 79 SM. Sehari sebelum terjadinya kejadian letusan yang akan menamatkan peradaban tersebut, gunung Vesuvius memuntahkan debuan asap yang tinggi ke langit. Kejadian pada hari pertama menjadikan pemandangan dan suasana kota pada hari tersebut dipenuhi dengan debuan asap yang tebal.
Penulis sejarah lama, Pliny the Younger, mencatatkan kejadian yang berlaku di hadapan matanya tersebut di dalam catatan. Pada hari pertama, gunung Vesuvius memuntahkan asapnya dan gegaran berlaku sehinggakan seisi kota Pompeii merasakannya. Ada sebahagian kota sudah mulai runtuh menyembah bumi.
Penduduk kota yang masih dibutakan dengan dunia, terus-meneruskan menjalankan aktiviti seharian mereka tanpa sebarang kerisauan. Malam tersebut, penduduk kota dibuai mimpi yang indah. Mimpi terakhir yang damai sebelum menghadapi mimpi ngeri pada keesokan harinya.
Pada hari berikutnya, gunung tersebut memuntahkan segala isinya yang ditahan sepanjang 60 tahun lamanya. Pada hari pengakhiran tersebut, seluruh isi kota Pompeii dan kota-kota kecil seperti Stabiae dan Herculaneum yang berada di sekitarnya ditenggelami oleh lava dan debuan dari gunung berkenaan.
Misteri dan lenyapnya kota Pompeii berjalan seiring waktu. Kota yang terkubur itu akhirnya dijumpai oleh para penjelajah yang sedang mencari artifak purba pada tahun 1748. Penggalian yang dilakukan oleh para penjelajah ini menemui mayat-mayat manusia yang mengeras menjadi batu, perkakas seharian sehinggakan mereka menjumpai sebuah jag yang belum disentuh yang dimana di dalam jag tersebut mengandungi kepingan roti dan buah-buahan.
Penemuan yang paling mengujakan adalah mayat-mayat manusia yang mengeras. Kebanyakan postur tubuh badan mereka ditemui dalam keadaan sedang melakukan hubungan seksual dan lain-lain lagi.
Mayat-mayat batu masyarakat Pompeii ini masih boleh dilihat di Muzium Arkeologi Napoli, di selatan Itali sehingga kini.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah kota Pompeii, pembaca disarankan membacanya di pautan:
https://thepatriots.asia/bangkit-dan-tumbangnya-sebuah-pompeii/
Ingin mendapatkan gambaran bagaimana kota Pompeii dihancurkan? Anda bolehlah mencari dan menonton filem Pompeii (2014).
Hujan Batu Yang Menghujani Sodom Dan Gomorrah
Mengikut sumber Taurat (Perjanjian Lama) Kota Sodom dan Gomorrah merupakan dua buah kota daripada lima buah kota metropolis bersekutu. Tiga kota lain adalah kota Admah, Zeboim dan Bela. Kelima buah kota ini saling bersekutu antara satu sama lain untuk meneruskan aktiviti perdagangan diantara mereka dan negara luar. Kota-kota ini lebih dikenali dalam pembelajaran kajian Bible sebagai ‘Cities of the Plain’.
Setiap kota mempunyai pemimpinnya masing-masing iaitu:
1. Kota Sodom: Raja Bera.
2. Kota Gamorrah: Raja Birsha.
3. Kota Admah: Raja Shinab.
4. Kota Zeboim: Raja Shember.
5. Kota Bela: Raja Zoar.
(Genesis 13 ayat 12)
Kelima buah kota ini menjadi sekutu yang paling berkuasa di timur Mesopotamia. Tiada kuasa lain yang mampu menandingi kekayaan dan kemajuan kelima buah kota ini. Tetapi di atas ketamakkan mereka dalam memilih jalan yang salah dan mengabaikan perintah serta amaran Tuhan, maka kota Sodom, Gamorrah, Admah dan Zeboim dihancurkan. Hanya tinggal kota Bela sahaja yang terselamat dalam kejadian tersebut. Kota Bela kekal membangun sehingga ke zaman seterusnya.
Setelah kajian lanjutan penyebab mengapa kota Ebla tidak dihancurkan adalah kerana kota ini terletak jauh di utara Syria dan nama lainnya adalah kota kuno Emar.
Nama-nama kota kuno ini juga ditemui di atas sebuah pahatan tablet yang ditemui di tapak galian di Ebla. Ahli paleografer tersebut, Giovanni Pettinato, membaca tulisan Cuneiform yang terdapat pada tablet itu dan menemui nama kelima-lima buah kota tersebut pernah bersekutu dan kota Sodom merupakan sebuah metropolis utama yang aktif dalam urusan perdagangan dengan kota Ebla yang terletak di Syria.
• Pada tahun 1975, sebuah tablet tanah liat ditemui di Tell Mardikh, Elba yang bertarikh 2400-2350 SM. Di salah satu tablet itu, mempunyai sebuah pahatan geografi yang menyenaraikan 289 nama tempat. William H.Shea dalam pemerhatiannya ke atas tablet berkenaan menyatakan yang Sodom dsn Gamorrah merupakan salah satu kota yang disinggahi oleh pedagang atau pengunjung dari kota Elba. Di dalam ‘Elba Geographic Atlas’, digambarkan gambaran peta jarak perjalanan dari kota Elba ke kod nombor 201 (kota Admah) dan kod nombor 211 (kota Sodom).
Apakah dengan maklumat sebegini menyatakan yang kota Sodom yang dihancurkan oleh Tuhan merangkumi kehancuran keempat buah kota lainnya kerana kota Sodom dikenalpasti sebagai pusat kekuatan mereka?
• Teori dan kisah yang didakwakan terletaknya dua buah kota kuno, Sodom dan Gamorrah, di sekitar Laut Mati akhirnya terpecahkan dengan penemuan bukti yang kukuh.
Dakwaan bahasawanya di sekitar Laut Mati pernah wujudnya kota Sodom akhirnya terungkai pada tahun 1973 apabila pasukan penyelidik arkeologi dalam misi
‘Expedition to the Dead Sea Plain’ yang dianggotai oleh Dr. Walter Rast dan Dr.R. Thomas Schaub yang sedang menggali di kawasan tapak galian ‘Bab edh-Dhra’ dan ‘Numayra’, mereka menemui makam atau kuburan dan penempatan manusia yang dikenalpasti dari awal zaman gangsa (sekitar 3500-2000 SM). Di tapak itu juga mereka menemui beberapa buah tembikar, artifak, beberapa tulang manusia dan yang lainnya. Penemuan ini seterusnya mengesahkan yang kaum di kawasan ini adalah peradaban manusia pertama di dunia yang membina benteng untuk melindungi kota.
• Schaub dan Rast menuliskan di dalam catatan mereka, yang terdapat pada kota ‘Bab edh-Dhra’ atau Sodom dan ‘Numayra’ atau Gamorrah ini:
A. Benteng pertahanan ‘Bab edh-Dhra’ yang mengelilingi kota seluas 10 ekar.
B. Lebar benteng kota ‘Bab edh-Dhra’ diperkirakan mencapai 23 meter berbanding lebar benteng kota ‘Numayra’ yang berkelebaran 4 meter sahaja.
C. Benteng kotanya juga dibina daripada gabungan bahan seperti batu dan tanah liat sama seperti benteng di Numayra.
D. Pintu gerbang masuk ‘Bab edh-Dhra’ didampingi dua buah menara pengawal yang tinggi mencapai 10 meter dan lebar 4 meter. Berbanding di kota Numayra yang mempunyai menara yang paling terbesar adalah berukuran 10 meter tinggi dan 7.4 meter lebar.
E. Di kawasan hujung barat daya kota, dibangunkan kawasan komersial dan perindustrian.
Pada waktu ini, kota Sodom dikenali sebagai kawasan perindustiran minyak zaitun.
Pakar paleo-botani dan arkeologi, Prof. David W. McCreery, dalam kajiannya menyatakan kandungan tanah di kawasan sekitar Bab edh-Dhra dan Numayra terlalu subur sehinggakan mereka mampu menanam barli, gandum, anggur, ara, flax, buah zaitun dan kurma. Sebahagian tanaman mereka ini disuburkan melalui teknologi pengairan. Pengairan ini merupakan kunci utama kaum tersebut dalam berkembang dalam industri agrikultur.
F. Populasi penduduk di dalam kota pada masa itu dianggarkan seramai 600-1,200 orang.
G. Rumah penduduk kota pada zaman itu berbentuk segi empat tepat mengikut rekaan ‘broad style’ iaitu 5 meter panjang dan berkeluasan 3 meter.
Tapak ‘Bab edh-Dhra’ dan ‘Numayra’ dikenalpasti mempunyai hubungan kait yang sangat rapat dengan kota Sodom di antara tahun 3300-900 SM. Tambahan pula tapak penempatan ‘Bab edh-Dhra’ merupakan antara yang paling luas daripada ‘Numayra’.
• Selain menemui tapak ‘Bab edh-Dhra’ dan ‘Numayra’, mereka juga menemui tiga buah tapak yang lain iaitu:
A. Safi: Ditemui pada tahun 1973.
B. Feifa dan Khanazir: Ditemui sekitar 16 Disember 1989 sehingga 13 Januari 1990.
Ketiga buah lokasi ini diyakini sebagai tiga buah kota lainnya iaitu, Admah, Zeboim dan Bela. Tetapi hasil penemuan di kawasan itu seperti kuburan dan benteng tidak sama catatan tarikhnya dengan yang terdapat di tapak Bab edh-Dhra dan Numayra.
Dengan penemuan bekas penempatan manusia yang terkubur di sekitar Laut Mati ini telah menguatkan lagi dakwaan dan kisah realiti yang terdapat di dalam Quran.
(Projek ‘Expedition to the Dead Sea Plain’ ini telah mendapat kerjasama daripada Smithsonian Institution, Carnegie Institute, Yale University, DePaul University dan University of Notre Dame. Mereka juga mendapat bantuan dari pihak swasta seperti National Endowment for the Humanities, National Geographic, Smithsonian Institution, American Schools for Oriental Research, the Wenner Gren Anthropological Foundation, Harvard University’s Semitic Museum, Valparaiso University, Indiana University of Pennsylvania, Pittsburgh Theological Seminary, the British Museum dan Shelby White-Leon Levy Program for Archaeological Publications ).
• Pada abad ke-19 M, seorang ahli arkeologi, Sir Austen Henry Layard, menemui sebuah artifak purba dari zaman peradaban bangsa Sumeria di sebuah tapak penggalian yang dikenalpasti sebagai runtuhan perpustakaan diraja empayar Parsi Assyria di tapak kota purba Nineveh, Iran. Artifak tersebut merupakan sebuah tablet tanah liat yang menunjukkan pahatan kumpulan maklumat tahun 700 SM dalam bentuk tulisan Cuneiform tentang ahli astrologi Sumeria mengkaji langit pada waktu tersebut. Penemuan ini menggemparkan dunia dan maklumat yang tertera di atas batu liat ini dikaji oleh beberapa orang ilmuwan selama 150 tahun untuk mengetahui secara jelas apa yang ingin disampaikan oleh bangsa Sumeria tersebut. Sepanjang waktu itu juga, sebanyak lima kali percubaan untuk menterjemahkan tablet berkenaan berakhir dengan kegagalan.
• Teka-teki pada pahatan tablet tanah liat yang lebih dikenali sebagai tablet Planisphere ini akhirnya dipecahkan oleh dua orang ilmuwan iaitu Dr.Alan Bond dan Mark Hempsall. Ahli astronomi Sumeria pada waktu tersebut merekodkan sebahagian pemerhatian langit mereka di tablet berkenaan seperti kedudukan planet, awan dan juga perjalanan ‘mangkuk batu’ di langit. Mangkuk batu yang dimaksudkan bangsa Sumeria ditafsirkan oleh para ilmuwan sebagai asteroid.
(Terjemahan tablet oleh Dr. Alan Bond dan Mark Hempsall Planisphere ini dapat dilihat di dalam buku bertajuk A Sumerian Observation of the Köfels’ Impact Event. Tablet ini sekarang adalah salah satu koleksi objek yang dipamerkan di Muzium British dengan menggunakan kod number K8538)
Salah satu pemerhatian ahli astronomi bangsa Sumeria berkenaan sebuah mangkuk batu atau asteroid datang melanggar bumi pada tanggal 29 Jun 3123 SM sebelum matahari terbit yang menyamai period waktu kota Sodom dan Gamorrah yang peradabannya dihancurkan oleh batu-batu dari langit.
Para ilmuwan menggunakan teknologi imej komputer untuk menyusun atur kembali bacaan langit seperti yang direkodkan di dalam tablet berkenaan. Dua orang saintis, Alan Bond dan Mark Hempsall menghabiskan masa kajian mereka ke atas teka-teka tablet berkenaan selama 8 tahun lamanya sebelum mereka menemui jawapan.
Menggunakan imej bacaan komputer, mereka merekodkan asteroid jenis Aten pada masa tersebut beredar mengelilingi matahari yang orbitnya menghampiri dengan Bumi. Pada pagi tersebut, asteroid berkenaan turun dalam sudut yang rendah iaitu sebanyak 6 degree, sehingga ianya ditarik oleh graviti bumi dan seterusnya jatuh menghentam gunung Gamskogel sebelum serpihan hentaman ini melambung menghentam kota Langelfeld dan kota Kofel yang berjarak sekitar 11 km dari kawasan hentaman. Garis hentaman asteroid ini diperkirakan selebar 500 meter dan panjangnya 5 kilometer dengan berkepanasan sebanyak 400 centigrade bersamaan 752 fahrenheit. Impak hentamannya diperkirakan diperlukan sebanyak 1,000 ton bahan letupan TNT.
Tetapi dakwaan bahawasanya kota Sodom dihentam oleh asteroid terbabit diragui oleh sebahagian ilmuwan kerana tarikh hentaman tersebut jauh melangkaui peradaban bangsa Sumeria dan pada waktu itu, bangsa Sumeria belum berkembang lagi dalam ilmu pengetahuan langit. Dan juga kajian ini bertentangan dengan ayat daripada Perjanjian Lama yang menyebutkan:
“Dan Tuhan menghujani Sodom dan Gamorrah dengan batu sulfur (brimstone) dan api dari langit. Dan Dia memusnahkan kesemua kota-kota tersebut dan lembah-lembah serta kesemua kehidupan di dalam kota-kota tersebut…”
(Genesis 19 ayat 24-28).
Apakah yang dimaksudkan batu-batu sulfur dari langit ini merupakan muntahan batu dari sebuah gunung berapi atau serpihan batu asteroid?
Bukti Kukuh Kehancuran Sodom Di Laut Mati
• Bukti secara geografi:
Pada tahun 1929, seorang ahli geologi, Dr. Frederick G. Clapp datang melawat kawasan di sekitar Laut Mati untuk melihat apakah adanya tanda-tanda berlakunya ledakan gunung berapi di kawasan ini. Pada tahun berikutnya, 1934, beliau datang buat kali kedua. Setelah mengkaji muka bumi dan isi di bawah Laut Mati, beliau mengeluarkan kenyataan bahawasanya tiada sebarang aktiviti gunung berapi di sini.
Bahkan, tiada bukti yang menunjukkan adanya sebarang bekas limpahan lava, gas ataupun debuan gunung berapi. Clapp juga mengatakan bahasawanya di sebelah selatan Laut Mati, permukaan tanah dan isinya tidak stabil dan ini menyebabkan kawasan terbabit sering dilanda gegaran gempa bumi yang kecil. Kandungan gas asli dan sulfur ditemui. Diiringi dengan penemuan kandungan petroleum dan bitumen. Setelah penelitian yang dilakukannya di kawasan ini, Clapp menyimpulkan kandungan-kandungan terbabit dipaksa keluar dari bumi dan menyebabkan pelanggaran tekanan sehingga terhasilnya gegaran.
Batu-batu sulfur ini masih boleh ditemui di atas tanah disekitar Laut Mati sehingga sekarang.
• Bukti hasil gegaran gempa bumi pada benteng:
Seorang lagi ahli geologi dari Universiti Pittsburgh, Jack Donahue, menjelaskan tentang gegaran yang menyebabkan benteng dan menara kota tersebut runtuh.
Kesan runtuhan yang berselerakan ini menunjukkan kawasan ini jelas dihentam oleh sesuatu yang besar dari langit.
• Bukti di Bab edh-Dhra:
Hasil penyelidikan Rast dan Schaub ke atas kediaman masyarakat Sodom, mereka menyatakan bagaimana rumah-rumah ini dihancurkan. Pada mulanya, atap rumah mereka terbakar sehingga menyebabkan atap yang terbakar terbabit membakar seluruh isi rumah lalu disusuli dengan gegaran gempa yang kuat. Penyelidikan mereka ke atas rumah-rumah dengan kod nombor A8, A22, A41, A51 dan A55 menemui kesan kebakaran dari dalam dan kehancuran akibat gempa bumi.
Di dalam bekas runtuhan rumah A22 (rumah yang paling besar), para penyelidik menemui tembikar-tembikar dan juga serpihan tulang manusia yang mati dalam keadaan yang mengerikan.
Kesimpulannya, setelah pelbagai hasil kajian oleh para arkeologi, ahli geografi dan ilmuwan lainnya melalui beberapa susunan maklumat yang terperinci maka dipastikan secara langsung yang sebenarnya kota Sodom dan Gamorrah terletak di Laut Mati atau Tasik Luth dan bukannya di Pompeii, Itali.
Penemuan ini, memecahkan teka teki 4,000 tahun yang dahulu. Penemuan dan kisah ini jangan dihapuskan dan jangan sesekali jadikannya sebagai ‘Terkuburnya Sebuah Kisah Pengajaran Manusia’.
Kejadian yang menimpa ke atas kota Pompeii berlaku sepertimana kejadian yang terjadi ke atas kaum Sodom dan Gamorrah. Walaupun peristiwa di Pompeii berlaku dalam jarak waktu yang jauh dengan peradaban Sodom, tetapi azab yang menimpa ke atas mereka menyamai sepertimana yang berlaku ke atas kaum Sodom.
Walaupun kedua peradaban ini mempunyai darjat ketamadunan yang tinggi, tetapi mereka kalah dan menjadi sejarah. Kisah sejarah hitam dan memalukan.
Adakah peradaban kita perlu mengulangi lagi kesilapan yang berlaku pada umat terdahulu?
Sebenarnya, golongan LGBT ini merupakan sebuah penyakit yang boleh dirawat. Mulakan langkah anda pada hari ini untuk mengubah akhlak ummah kita.
Bimbinglah mereka kembali ke jalan yang benar.
Sebelum saya menutup penulisan kali ini, saya menyelitkan sebuah pesanan ‘lembut’ dari Allah swt untuk umat Rasulullah saw membaca lalu merenungkannya di dalam surah al-An’am ayat 6:
“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”.
Wallahu’alam.
Sumber rujukan:
1. Schaub, R.T., and Rast, W.E:
1984, Preliminary Report of the 1981 Expedition to the Dead Sea Plain, Jordan. Bulletin of the American Schools of Oriental Research 254: 35–60.
1989, Bab edh-Dhra: Excavations in the Cemetery, Directed by Paul W. Lapp (1965–1967). Reports of the Expedition to the Dead Sea Plains, Jordan, 1. Winona Lake IN: Eisenbrauns.
2. Neev, D., and Emery, K.O:
1995, The Destruction of Sodom, Gomorrah, and Jericho:
Geological, Climatological, and Archaeological Background. New York: Oxford University Press.
3. Kitab Tafsir as-Saadi oleh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di.
4. The cities of Sodom and Gomorrah oleh Harun Yahya.
5. Harris, G.M, and Beardow, A.P:
1995, The Destruction of Sodom and Gomorrah: A Geotechnical Perspective. Quarterly Journal of Engineering Geology.
6. Stories of the Prophet oleh Ibnu Katsir.
7. History Channel: Pompeii.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih