Isr**l memiliki antara sistem pertahanan peluru berpandu paling berlapis dan kompleks di dunia. Sistem ini dibangunkan untuk menangani pelbagai ancaman dari roket jarak dekat sehinggalah peluru berpandu balistik jarak jauh.
Sistem paling dikenali ramai ialah Iron Dome. Ia dicipta untuk memintas roket jarak dekat dan mortar dari jarak bawah 70 kilometer. Sistem ini mula diguna secara rasmi sejak tahun 2011.
Iron Dome menggunakan radar AESA dan peluru pemintas Tamir bagi mengesan serta memusnahkan roket yang dianggarkan bakal jatuh di kawasan berpenduduk. Ia takkan bertindak terhadap roket yang dijangka jatuh di kawasan lapang.
Setiap bateri Iron Dome mampu lindungi kawasan seluas 150 kilometer persegi. Kos satu peluru Tamir mencecah antara USD 40,000 hingga USD 50,000.
Dalam konteks ketenteraan, “bateri” merujuk kepada satu unit lengkap sistem pelancar, radar, dan pusat kawalan bagi pertahanan udara. Ia bukan bateri biasa seperti dalam peranti, tapi struktur operasi penuh yang boleh berfungsi sendiri.
Setiap bateri Iron Dome biasanya terdiri daripada tiga hingga empat pelancar, satu radar AESA, dan sistem kawalan tembakan. Inilah yang membolehkan ia lindungi kawasan seluas 150 km persegi secara efektif.
Untuk ancaman jarak sederhana, Isr**l guna sistem David’s Sling. Ia isi ruang antara Iron Dome dan sistem lebih besar seperti Arrow. Sistem ini direka menangani peluru berpandu sejauh 40 hingga 300 kilometer.
David’s Sling dibangunkan bersama Raytheon (AS) dan Rafael (Isr**l)**. Ia boleh memintas peluru berpandu hipersonik dengan ketepatan tinggi. Peluru pemintasnya dikenali sebagai Stunner.
Stunner menggunakan radar dan teknologi electro-optical untuk pengesanan sasaran. Kos satu unit Stunner dianggarkan lebih USD 1 juta sebutir.
Untuk peluru berpandu jarak jauh, Isr**l bergantung kepada sistem Arrow. Ia dibina khusus halang peluru berpandu balistik dari jarak 500 hingga 2,400 kilometer.
Arrow 2 dan Arrow 3 ialah versi utama. Arrow 2 beroperasi dalam atmosfera, manakala Arrow 3 mampu memintas di luar atmosfera bumi. Ia dicipta oleh Boeing dan Isr**l Aerospace Industries (IAI).
Arrow 3 mampu tembak jatuh peluru berpandu sebelum pecah kepada kepala peledak. Kos untuk satu unit Arrow 3 mencecah USD 3 juta ke atas.
Isr**l juga mempunyai akses kepada sistem Thaad dari Amerika Syarikat. Thaad boleh memintas peluru berpandu pada altitud tinggi, direka oleh Lockheed Martin dan digunakan secara rasmi oleh tentera AS.
Thaad dilengkapi radar AN/TPY-2 dan mampu bertindak terhadap peluru berpandu pada ketinggian sehingga 150 kilometer. Sistem ini boleh dihantar ke Isr**l jika keadaan mendesak.
Keempat-empat sistem ini membentuk multi-layered shield yang merangkumi semua bentuk ancaman dari udara. Tapi kecekapan sistem sangat bergantung kepada jumlah peluru, ketepatan radar dan masa tindak balas.
Serangan besar-besaran oleh Iran pada 13, 14 dan 15 April lalu membuktikan tiada sistem yang sempurna. Jelas peluru berpandu dan dron tetap berjaya tembusi lapisan pertahanan. Apapun, peperangan sangat berkait dengan strategi.
Beberapa lokasi penting tetap rosak walaupun sistem bertindak sepenuhnya. Bila serangan dibuat dalam skala besar dan serentak, tiada perisai yang benar-benar kebal.
Setiap sistem ini sangat mahal. Isr**l belanja ratusan juta dolar setiap tahun untuk penyelenggaraan dan latihan. Tapi dalam dunia moden, ini dilihat sebagai kos wajib. (bagi mereka). Mereka cetuskan masalah dan mereka “play victim”.
Isr**l selalu mendakwa dikelilingi ancaman, padahal realitinya banyak tindakan agresif datang dari pihak mereka sendiri. Dari utara hingga ke selatan, hubungan tegang selalunya berpunca daripada dasar penjajahan dan serangan unilateral yang mencetuskan balas dendam.
Iran dijadikan alasan jauh, tapi hakikatnya konflik utama berlaku akibat kerakusan mereka sendiri. Naratif seolah-olah “menjadi mangsa” ini digunakan untuk halalkan tindakan keras ke atas pihak lain.
Negara itu juga giat eksport teknologi ini. Iron Dome sudah dijual kepada Amerika Syarikat, India dan negara-negara Eropah. David’s Sling turut dalam rundingan untuk dijual ke luar.
Maka, dekat sini Malaysia patut ambil pengajaran. Jangan terlalu bergantung pada pertolongan luar bila dunia makin tak menentu. Semua negara akan jaga kepentingan sendiri dahulu.
Kita perlu lahirkan sistem sendiri. Kalau tak mampu buat sepenuhnya, sekurangnya kita bina melalui kerjasama, latihan atau adaptasi teknologi sedia ada.
Sejarah dah banyak kali ajar kita. Waktu krisis, senjata yang kita sangka boleh pinjam, sebenarnya sukar nak dapat. Waktu itulah kita tahu erti berdikari sebenar.
Nota: Spesifikasi sistem pertahanan seperti Iron Dome, David’s Sling, Arrow dan Thaad mungkin berbeza sedikit bergantung kepada sumber terbuka, kenyataan rasmi atau laporan ketenteraan yang dikemaskini. Sesetengah data dikawal atau dirahsiakan atas faktor keselamatan, jadi angka jarak, kos dan keupayaan sebenar mungkin berubah mengikut masa, situasi operasi atau versi yang digunakan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.