Bagi rakyat Malaysia yang membesar sekitar era 1990-an, terutamanya bagi penggemar anime Doraemon, kartun animasi Jepun Doraemon adalah antara rancangan televisyen yang sering menjadi tontonan kesukaan kita sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja. Ketika itu, siarannya betul-betul pada waktu maghrib di siaran televisyen swasta. Begitu juga kita amat gemar baca siri komik manganya.
Sebelum ini, penulis pernah mengulas satu siri anime lagenda bagi Generasi Y iaitu Dragon Ball yang bertajuk: “Konsep Dewa atau Tuhan Dalam Dragon Ball” yang disiarkan pada 17 September 2019. Untuk penulisan kali ini, penulis akan mengulas satu lagi anime lagenda yang akan mengimbau semula memori bahan-bahan bacaan komik manga zaman kanak-kanak dan remaja kita bagi Generasi Y iaitu berkenaan koleksi cerita panjang Doraemon.
Sepertimana yang semua peminat Doraemon tahu, melalui filem animasi “2112: The Birth of Doraemon” yang pernah ditayangkan pada tahun 1995 dahulu, diceritakan bahawa Doraemon pada asalnya adalah nama sekumpulan robot pembantu berbentuk kucing yang dicipta oleh sebuah kilang robot pada abad ke-22.
Walau bagaimanapun, Doraemon kepunyaan Nobita adalah unik dan berlainan sikit dengan robot sejenisnya yang lain. Akibat terkena s.eranga.n renjatan elektrik ketika awal proses pembuatannya tanpa disedari dan salah satu skru penting telah tercabut dari dalam badannya telah menyebabkan program sifat dirinya berubah menjadi kelam kabut dan sering melakukan kesilapan. Fizikalnya juga berubah apabila sepasang telinga kucingnya rosak dimakan robot tikus ketika beliau sedang tidur. Disebabkan beliau menangis tanpa henti kerana kehilangan telinganya, warna badannya berubah daripada kuning yang asal kepada biru dan suaranya bertukar menjadi kasar.
Beliau telah dibeli secara tidak sengaja oleh keluarga Nobi dan menjadi pengasuh pada bayi mereka, Sewashi. Setelah Sewashi meningkat usia kanak-kanak, beliau telah menghantar Doraemon ke masa silam sekitar abad ke-20 menggunakan mesin masa untuk membantu kehidupan moyangnya, Nobi Nobita yang sentiasa dirundum malang dan menyebabkan keturunannya hidup susah kerana dibebani hutang. Sejak kedatangan Doraemon dengan mesin masa di laci meja belajar Nobita, bermulalah kisah kehidupan suka duka mereka berdua bersama tiga orang lagi rakan mereka iaitu Shizuka, Giant dan Suneo.
Tidak dapat dinafikan, salah satu sebab utama kita semua suka menonton siri kartun animasi Doraemon kerana banyak penggunaan “alatan-alatan teknologi” yang keluar daripada poket empat dimensi Doraemon, walaupun kebanyakan alatannya yang penulis rasakan agak mustahil boleh dicipta seperti “kuih penterjemah,” “pintu kemana sahaja,” “lampu pengecil,” “kain masa,” “terowong mengecil” dan ribuan alatan lagi yang kita semua tahu. Alatan paling mustahil boleh dicipta bagi penulis ialah “mesin masa.” Bayangkan sekiranya wujud mesin masa, maka akan maha kelam kabutlah dunia ini sebab manusia bebas mengembara merentasi masa dan boleh mengubah situasi masa lampau dan masa akan datang. Disebabkan kisah alatan-alatan tersebut juga, animasi Doraemon boleh mempengaruhi imaginasi kanak-kanak kita untuk berfikiran seperti saintis.
Tahukah anda, sebenarnya siri manga Doraemon dicipta pada tahun 1969 oleh dua orang artis manga Jepun, Hiroshi Fujimoto (1933-1996) dan Motoo Abiko (1934-) atau nama pena duo mereka, Fujio Fujiko. Mereka berkolaborasi bersama-sama mencipta beberapa lagi siri manga Jepun selain Doraemon sejak tahun 1951 sehingga mereka berdua membuat keputusan untuk berpecah membawa haluan masing-masing pada tahun 1987. Setelah berpecah, Hiroshi tetap menggunakan nama pena Fujio Fujiko tersebut dengan penambahan huruf “F” di tengah-tengahnya menjadi Fujio F. Fujiko. Idea penciptaan dan jalan cerita siri manga Doraemon lebih dikaitkan dengan Hiroshi Fujimoto (Fujio F. Fujiko).
Seperti komik manga Jepun yang lain, siri animasi Doraemon juga diadaptasikan dalam bentuk siri rancangan televisyen dan filem animasi. Di Malaysia, Tora Aman adalah syarikat percetakan yang bertanggungjawab menerbitkan komik-komik manga Jepun yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu termasuklah siri komik manga Doraemon. Syarikat percetakan dan penerbitan tersebut mula beroperasi sekitar awal tahun 1990-an sebelum menamatkan operasinya pada pertengahan tahun 2017 yang lalu.
Filem animasi 3D box office Doraemon “Stand by Me” yang pernah ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh dunia pada tahun 2014-2015 merupakan filem animasi Doraemon paling berjaya pernah mengutip keuntungan paling tinggi iaitu lebih USD$ 100 juta di seluruh dunia. Begitu juga sekuel kedua filem tersebut, “Stand by Me 2” yang ditayangkan pada tahun 2020 lepas berjaya mengutip keuntungan tahap filem box office antarabangsa. Tahukah anda, antara artis suara terawal meminjamkan suaranya sebagai suara watak anime Doraemon sekitar tahun 1970-an adalah sama dengan artis suara bagi watak Goku, Gohan dan Goten dalam anime Dragon Ball?
Sebagai salah satu siri manga dan anime Jepun yang popular di seluruh dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa di negara masing-masing, siri manga dan anime Doraemon telah memenangi beberapa anugerah berprestij manga dan penyiaran rancangan televisyen di peringkat antarabangsa. Bahkan Kementerian Perhubungan Luar Jepun telah mengiktiraf watak Doraemon sebagai duta budaya anime Jepun yang pertama pada tahun 2009 kerana sumbangannya dalam mempelopori perkembangan anime-anime Jepun di serata dunia. Selepas pembukaan rasmi Muzium Fujio F. Fujiko pada bulan September 2011 di bandar Kawasaki, Jepun, Doraemon diiktiraf sebagai “penduduk rasmi” bandar tersebut, seabad sebelum “kelahirannya.” (sumber: Tsukamoto Miho, “Educational and Technological Perpectives in Doraemon – Hope and Dreams in Doraemon’s Gadgets,” dalam World Academy of Science, Engineering Technology, International Journal of Humanities and Social Sciences, Vol. 8, No. 11, 2014)
Secara asasnya, siri komik manga Doraemon boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu siri komik manga pendek dan siri komik manga cerita panjang Doraemon. Siri komik manga pendek Doraemon mengandungi banyak bab penceritaan dalam satu buku komik yang setiap satu babnya fokus kepada penceritaan satu alatan Doraemon dan kebanyakannya tidak berkait cerita dengan bab sebelum atau selepasnya. Terdapat 45 siri komik manga pendek Doraemon yang secara keseluruhannya mengandungi sebanyak 1,344 bab cerita pendek.
Manakala siri komik manga cerita panjang doraemon pula setiap satu buku komiknya menceritakan perjalanan panjang pengembaraan Doraemon, Nobita dan rakan-rakan mereka berdasarkan sesuatu tema pengembaraan tersebut, misalnya di dasar laut atau di angkasa lepas. Terdapat 24 siri komik manga cerita panjang Doraemon.
Penulis suka baca kedua-dua jenis siri komik manga tersebut, tetapi penulis lebih suka siri cerita panjang Doraemon sama ada dalam bentuk komik manga mahupun filem animasi. Amat mengasyikkan dan mengujakan. Penulis sendiri pernah memiliki koleksi penuh siri komik manga cerita panjang tersebut terbitan Tora Aman. Pengembaraan panjang mereka meliputi pelbagai tempat dan keadaan seperti pengembaraan ke zaman silam, kota kuno, dasar lautan, angkasa lepas, alam mimpi, dunia robot, tamadun silam, dunia magik atau sihir, dunia alat mainan, dunia burung, negara awan dan pelbagai lagi.
Di bawah ini penulis ceritakan secara ringkas berkenaan sebahagian 12 daripada 24 siri cerita panjang Doraemon, manalah tahu dapat “membuka” semula memori kanak-kanak dan remaja kita. Untuk makluman pembaca, tajuk-tajuk setiap siri yang dinyatakan adalah tajuk siri terjemahan dalam Bahasa Melayu terbitan Tora Aman yang disertakan sekali versi tajuk Bahasa Inggerisnya.
1) Nobita dan Dinosaur (Nobita’s Dinosaur)
Siri pertama cerita panjang Doraemon ini berkisarkan berkenaan pengembaraan mereka merentasi masa pada zaman dinosaur atau lebih spesifik lagi ketika era dunia Cretaceous (145-66 juta tahun silam). Kisahnya bermula apabila Nobita berasa cemburu apabila Suneo dengan berlagaknya menunjukkan fosil kuku dinosaur T-Rex yang dihadiahkan oleh ayahnya dari luar negara kepada rakan-rakannya. Nobita kemudiannya berusaha sendirian untuk mencari fosil di bukit belakang sekolahnya, tapi secara tidak sengaja terjumpa fosil sebiji telur dinosaur ketika sedang menggali lubang untuk sampah yang dipaksa oleh seorang penduduk berdekatan bukit tersebut sebagai hukuman kerana terganggu dengan aktiviti cari gali tersebut.
Dengan menggunakan “kain masa” Doraemon, Nobita cuba menukarkan fosil telur tersebut menjadi telur dinosaur yang asal dan usaha tersebut membuahkan hasil apabila telur tersebut menetas dan mereka mendapati dinosaur tersebut adalah dari spesis Futabasaurus. Disebabkan Nobita tidak mahu terlalu awal menunjukkan dinosaur tersebut kepada Suneo kerana masih kecil, beliau memeliharanya buat sementara waktu dalam baldi air, kemudiannya berpindah dalam kolam mandi dan seterusnya di tasik berdekatan kerana saiznya yang membesar. Disebabkan tersebarnya berita orang awam berkenaan penampakan dinosaur di tasik, maka Nobita dan Doraemon membuat keputusan menghantar dinosaur yang mereka beri nama Pisuke tersebut ke zamannya.
Malangnya, melalui alat “monitor masa” Doraemon, mereka menyedari bahawa mereka telah tersilap hantar Pisuke bukan di habitat asalnya yang menyebabkannya dianiaya oleh spesis dinosaur yang lain. Disebabkan terlebih muatan dan dalam keadaan tergesa-gesa, mesin masa yang dinaiki oleh mereka berlima rosak setibanya mereka pada zaman tersebut, menyebabkan mereka tidak boleh kembali ke zaman mereka melainkan mereka menelusuri ke tanah Jepun ketika itu. Bermulalah pengembaraan mereka mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran pada zaman tersebut yang selain daripada s.eran.gan pelbagai spesis dinosaur, mereka juga dis.eran.g oleh sekumpulan pemburu haram dinosaur yang merentasi masa untuk mendapatkan spesis dinosaur peliharaan Nobita tersebut.
Dalam siri cerita panjang ini, pelbagai maklumat yang disampaikan dapat dipelajari berkenaan era-era dinosaur seperti era Cretaceus dan Mesozoic serta kepelbagaian spesis-spesis dinosaur yang dipaparkan seperti Futabasaurus, T-Rex, Apatosaurus, Elasmosaurus, Archelon, Triconodon, Ornithomimus dan Pteronodon. Kita juga dapat pelajari habitat asal spesis dinosaurus tertentu seperti Futabasaurus yang pertama kali fosilnya dijumpai di Jepun.
2) Sejarah Penerokaan Angkasa Lepas (Nobita’s Record of Spaceblazer)
Siri cerita panjang kedua ini berkisarkan pengembaraan Doraemon, Nobita dan rakan-rakan mereka di sebuah planet di angkasa lepas yang sangat jauh dari Bumi. Kisahnya bermula apabila lantai tatami di bilik Nobita secara tidak sengaja dan tiba-tiba menjadi portal penghubung ke sebuah kapal angkasa yang berada sangat jauh di angkasa lepas.
Ini berlaku apabila terjadinya fenomena kejadian “space-time warp” atau “pelendingan atau kelengkungan ruang dan masa” di suatu tempat di angkasa raya yang mewujudkan suatu ruang portal penghubung antara sebuah kapal angkasa yang berada ribuan Tahun Cahaya (satu Tahun Cahaya bersamaan 9.46 trillion kilometer) dari Bumi dengan Bumi disebabkan oleh pengaruh medan graviti ruang angkasa yang kuat. Lebih kurang begitulah penerangannya yang penulis faham, haha… Konsep portal penghubung tersebut sama seperti fungsi alat “pintu kemana sahaja” milik Doraemon.
Apapun, dalam siri ini diceritakan berkenaan kehidupan di sebuah planet yang gravitinya lemah berbanding graviti Bumi yang menyebabkan Nobita pun boleh menjadi adiwira di planet tersebut, komposisi udara yang berbeza, kepelbagaian makhluk pelik yang menghuni planet tersebut dan perbezaan peredaran masanya dengan bumi disebabkan saiz planet tersebut. Begitu juga bilangan bulan yang mengelilingi planet tersebut yang lebih dari satu bulan sepertimana planet-planet yang terdapat dalam Sistem Suria kita. Pengembaraan Nobita, Doraemon dan rakan-rakan mereka bersama keluarga Roppel yang merupakan antara penghuni planet tersebut berusaha menyelamatkan tanah penduduk planet tersebut daripada dirampas oleh sebuah syarikat perindustrian kerana mereka ingin menjarah sejenis sumber galian yang penting.
3) Penjelajahan Alam Misteri (Nobita and The Haunts of Evil)
Siri cerita panjang Doraemon yang ketiga ini pula menceritakan berkenaan pengembaraan Doraemon, Nobita dan rakan-rakan mereka ke sebuah tempat peradaban asing dan tersembunyi di tengah-tengah hutan tebal Afrika Tengah. Siri ini mengenengahkan beberapa maklumat berkenaan keadaan muka bumi geografi Afrika Tengah terutamanya di kawasan hutan tebal sepanjang Sungai Congo di mana terletaknya sebuah negara peradaban terasing tersebut.
Kisahnya bermula apabila Nobita menggunakan alat kamera satelit Doraemon untuk mencari suatu kawasan di benua Afrika yang masih belum diterokai oleh manusia untuk tujuan mengembara bersama rakan-rakannya. Kebetulan, Nobita menemui seekor anjing liar yang kelaparan dan kotor di padang yang diberi nama Peko. Peko sebenarnya adalah “seekor” putera mahkota di negaranya yang melarikan diri selepas berlakunya rampasan kuasa oleh menteri negara tersebut. Negaranya itu terletak di kawasan tersembunyi dan terasing di tengah-tengah hutan tebal Afrika Tengah yang dilitupi awan tebal.
Peko menggunakan alat Doraemon tersebut untuk menunjukkan kepada Doraemon dan Nobita di mana terletaknya negaranya. Dari petunjuk tersebut, mereka memulakan pengembaraan ke Afrika menggunakan “pintu kemana sahaja” mencari tempat misteri tersebut. Mereka ditimpa masalah apabila “pintu kemana sahaja” dibakar kerana dianggap sampah oleh seorang pak cik yang sedang membersihkan padang. Bermulalah pengembaraan dan cabaran mereka merentasi hutan tebal, kawasan savanah dan lembah yang sangat dalam untuk terus menuju ke tempat misteri tersebut.
Ketika di tengah-tengah pengembaraan, Peko mendedahkan identiti sebenar dirinya sebagai putera raja yang bernama Kuntaq yang berjaya melarikan diri daripada cubaan b.unu.h dirinya ketika berlakunya rampasan kuasa diketuai oleh seorang menteri di negaranya. Kuntaq menjelaskan bahawa tempatnya terasing daripada dunia manusia apabila berlakunya gempa bumi yang kuat ribuan tahun dahulu yang mengakibatkan tanah di sekeliling tempat tersebut menjadi jurang lembah yang dalam. Menurutnya, sebagaimana manusia berevolusi daripada mawas di dunia luar, begitu juga di tempatnya, anjing-anjing berevolusi menjadi seperti manusia iaitu berjalan dengan dua kaki, akal pemikiran berkembang dan seterusnya membina peradaban negara mereka sendiri yang teknologinya berkembang pesat. Maka bermulanya pengembaraan Doraemon, Nobita dan rakan-rakan mereka membantu Kuntaq mendapatkan semula takhta kerajaannya.
Siri ini memberi gambaran imaginasi kepada kita betapa ada kemungkinan wujudnya kawasan di muka bumi ini yang belum diterokai oleh manusia sama ada disebabkan kawasan tersebut tersembunyi dengan awan tebal yang tidak dapat ditemui oleh satelit atau runtuhan kota yang tertanam jauh di bawah tanah, dan halangan geografi seperti hutan tebal atau pulau yang jauh terasing di tengah-tengah lautan luas.
4) Kubu Hantu di Dasar Laut (Nobita and The Castle of The Undersea Devil)
Siri cerita panjang yang keempat ini berkenaan pengembaraan mereka di dasar laut dalam. Kisahnya bermula apabila Nobita dan rakan-rakannya berbalah berkenaan tempat percutian yang menarik sama ada di pantai atau di kawasan pergunungan. Doraemon mencadangkan pengembaraan di dasar laut dalam. Mereka menjadi lebih teruja untuk mengembara di dasar lautan dalam setelah tersebarnya berita terkini berkenaan penemuan sebuah kapal karam di dasar lautan yang diramalkan mengandungi harta karun yang bernilai tinggi.
Pengembaraan mereka bermula di Lautan Pasifik melalui “pintu kemana sahaja” setelah mereka disuluh oleh “lampu penyesuaian tekanan atmosfera” oleh Doraemon yang membolehkan mereka bernafas dan menjadikan badan mereka dapat bertahan dengan tekanan di dasar lautan dalam tempoh tertentu. Sepanjang pengembaraan mereka di dasar Lautan Pasifik dan kawasan sekitar Jurang Mariana, iaitu jurang dasar laut paling dalam di dunia, mereka menemui pelbagai jenis ikan yang mendiami dasar laut dalam seperti Ikan Pemancing atau Anglerfish, labah-labah laut, oarfish, ikan Macropinna Microstoma dan pelbagai lagi spesis hidupan.
Apabila Doraemon dan rakan-rakannya ditangkap oleh seekor sotong raksasa dasar laut, mereka telah diselamatkan oleh sekumpulan manusia yang tinggal di dasar laut. Mereka telah dibawa ke negara kota mereka di dasar laut Jurang Mariana. Menurut mereka, pada asalnya nenek moyang mereka juga adalah manusia yang berevolusi tinggal di daratan. Tetapi disebabkan kecewa dengan pengkhianatan yang sering berlaku, nenek moyang mereka berusaha selama berkurun lamanya mencipta alat yang dapat menyesuaikan badan agar dapat tinggal semula di dasar laut dalam. Setelah alat tersebut berjaya dicipta, mereka mula tinggal di dasar laut dan membina peradaban yang maju seperti lagenda Kota Atlantis di dasar lautan yang hilang.
Mereka membenci manusia di daratan kerana mencemarkan lautan dan tidak membenarkan Doraemon dan rakan-rakannya kembali ke daratan. Malangnya, negara mereka sering dis.eran.g oleh tentera-tentera robot milik seorang pengkhianat mereka, Kochi, yang mencuri teknologi mereka dan membina markasnya di dasar laut Bermuda di Lautan Atlantik untuk menghasilkan senjata pemusnah yang akan menghapuskan semua manusia di dasar laut.
Sepertimana yang kita semua tahu, kawasan lautan Segi Tiga Bermuda sememangnya terkenal dengan kisah misteri kehilangan banyak kapal laut dan kapal terbang yang merentasinya. Maka bermulalah pengembaraan Doraemon dan rakan-rakannya merentasi Lautan Atlantik menuju ke dasar laut Bermuda untuk membantu penghuni negara dasar laut menghapuskan markas Kochi.
Siri cerita panjang keempat ini bukan sahaja banyak menyampaikan maklumat berkenaan lautan, bentuk muka bumi geografi dan kehidupan makhluk di dasar lautan dalam, bahkan turut membawa imaginasi pembaca ke dasar laut Bermuda yang sehingga kini menyimpan 1,001 misteri.
Cuba pembaca sekalian bayangkan, lautan meliputi hampir 70% permukaan muka bumi kita. Walaupun begitu, hampir 80% daripada keseluruhan lautan terutamanya di dasar lautan sehingga kini masih belum dipetakan atau dijelajahi, bahkan tidak pernah dilihat oleh manusia. Peratusan itu lebih tinggi daripada pemetaan yang telah kita lakukan pada permukaan bulan dan planet Marikh. (sumber: laman web rasmi National Geographic, dirujuk pada bulan Jun 2021). Jadi, masih terdapat banyak lagi misteri dasar lautan yang kita belum temui.
5) Penjelajahan Sarang Hantu (Nobita’s Great Adventure into The Underworld)
Siri kelima ini berlainan sikit berbanding siri-siri sebelumnya, Ini kerana pengembaraan dalam siri ini bukan di dunia nyata, tetapi di dunia magik atau sihir. Kisahnya bermula apabila Nobita menggunakan “pondok telefon ajaib” milik Doraemon untuk meminta supaya dunia nyata bertukar menjadi dunia sihir. Ya, penulis yakin dalam fikiran para pembaca sekalian akan terlintas berkenaan novel atau siri filem Harry Potter. Lebih kurang begitulah dunia penceritaannya, cuma siri cerita panjang Doraemon ini muncul belasan tahun lebih awal daripada penulisan siri novel Harry Potter karya J. K. Rowling tersebut.
Setelah panggilan telefon tersebut dilakukan, keesokan harinya, dunia sekeliling mereka mulai berubah; langit mula dipenuhi dengan permaidani dan penyapu terbang yang membawa mereka ke pejabat dan sekolah, iklan-iklan penjualan komersil bola kristal ramalan di kaca televisyen dan mata pelajaran sihir diajar di sekolah. Ya, sama seperti Sekolah Hogwart dalam cerita Harry Potter.
Masalah timbul apabila terdapat syaitan dari dunia kejahatan yang markasnya terletak di planet lain sedang berusaha ingin menguasai bumi dan memusnahkan seluruh penghuni bumi. Seorang sarjana bidang “Devilogi” iaitu Prof. Mangetsu yang berjaya mentafsirkan manuskrip lama berkenaan cara untuk menghapuskan syaitan dunia kegelapan telah ditangkap dan dipenjara. Doraemon tidak boleh menggunakan “pondok telefon ajaibnya” untuk kembali ke dunia nyata kerana dunia mereka akan terpisah sebelum Prof. Mangetsu diselamatkan. Tambahan pula, beberapa orang rakannya yang lain turut ditangkap dan dipenjara. Maka bermulalah pengembaraan Doraemon dan rakannya yang lain menuju ke markas dunia kegelapan untuk memusnahkan syaitan tersebut.
Dalam siri cerita panjang ini disampaikan berkenaan sejarah bagaimana peradaban manusia mula mempercayai ilmu-ilmu ghaib dan mengamalkan sihir. Sebagai contoh, diceritakan masyarakat Babylon pada zaman dahulu mula menilik nasib dengan memerhati kedudukan bintang-bintang di langit mengikut peristiwa tertentu untuk meramal masa hadapan. Pada masa kini, ianya dikenali sebagai bidang astrologi dan berkembang menjadi ilmu astronomi moden. Dalam al-Qur’an juga, Surah al-Baqarah, ayat 102, ada menceritakan berkenaan penduduk Babil (Babylon) yang mengamalkan ilmu sihir untuk tujuan kejahatan mereka.
Diceritakan juga bagaimana ilmu sihir dikaitkan dengan pengaruh syaitan yang jahat dan menyebabkan seseorang itu mengingkari ajaran Tuhan. Oleh sebab itu, masyarakat Eropah pada zaman pertengahan pernah menangkap, menyeksa malah memb.unu.h pengamal-pengamal ilmu sihir dengan cara membakar mereka hidup-hidup. Selepas itu, ilmu-ilmu sains pula mula berkembang maju dan meluas. Oleh sebab itu juga, dikatakan ilmu sihir dan ilmu sains berakar umbi daripada asal yang sama, tetapi lama kelamaan manusia mula meninggalkan segala karut marut ilmu sihir dan beralih memajukan ilmu sains yang lebih selamat dan munasabah.
6) P.eran.g di Angkasa Lepas (Nobita’s Little Star Wars)
Siri cerita panjang keenam ini sama tema pengembaraan dengan siri kedua iaitu bertemakan pengembaraan di sebuah planet di angkasa lepas, tapi makhluk asing tersebut bersaiz kecil. Kisahnya bermula apabila set penggambaran angkasa lepas Giant dan Suneo dise.ra.ng oleh sebuah kapal angkasa bersaiz alat mainan yang besar. Pada masa yang sama, Doraemon dan Nobita menjumpai satu makhluk asing bersaiz kecil dengan kapal angkasanya bersaiz alat mainan yang rosak. Makhluk asing kecil tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Papi yang berjawatan Presiden di planet kecilnya yang bernama Pirika. Beliau berjaya melarikan diri daripada planetnya ke Bumi selepas berlakunya rampasan kuasa untuk memb.unuh.nya.
Pihak pemberontak planet Pirika menjejaki Papi sehingga ke planet Bumi. Setelah mendengar cerita daripada Papi, Doraemon dan rakan-rakannya membuat keputusan untuk membantu Pika menentang pihak pemberontak tersebut. Dengan menggunakan “lampu pengecil” milik Doraemon, mereka menaiki kapal angkasa milik Papi untuk ke planet Pirika dan mengecilkan juga alat mainan kereta kebal – kereta kebal milik Suneo sebagai persediaan untuk berp.era.ng di planet tersebut.
Tiba di planet Pirika, bermulalah pep.eran.gan antara Doraemon dan rakan-rakannya menentang tentera pemberontak sehinggalah mereka tertangkap. Ketika hampir dihukum tembak, Doraemon dan rakan-rakannya membesar ke saiz asal kerana kesan “lampu pengecil” telah hilang. Dengan saiz gergasi itulah, dengan mudahnya mereka berjaya menewaskan angkatan tentera pemberontak yang kecil. Ceritanya ada persamaan dengan cerita satu filem Hollywood bertajuk Gulliver’s Travels (2010) lakonan utama Jack Black.
7) Nobita dan Panglima Besi (Nobita and The Steel Troops)
Siri cerita panjang Doraemon yang ketujuh ini juga berdasarkan s.ran.gan makhluk asing daripada planet lain ke atas Bumi, tapi daripada planet robot. Kisahnya bermula apabila Nobita menjumpai satu bahagian robot yang tiba-tiba muncul dan jatuh dari langit Kutub Utara semasa sedang mencari Doraemon menggunakan “pintu kemana sahaja.” Pada masa yang sama, seorang gadis robot sedang mencari bahagian robot tersebut. Apabila Nobita membawa bahagian robot itu pulang ke rumah, satu persatu bahagian robot yang lain jatuh dari langit di halaman rumahnya.
Menggunakan alat “kolam ke dimensi dunia lain” milik Doraemon, mereka memasang bahagian-bahagian robot tersebut di “dunia cermin” tersebut. Selepas gadis robot yang bernama Lillele itu berjumpa dengan Nobita dan mendapat tahu bahawa Nobita menyembunyikan robotnya di dunia cermin, Nobita telah memberi alat Doraemon tersebut kepada Lillele. Disebabkan risau dengan apa yang akan dilakukan oleh Lillele di dunia cermin, Doraemon dan Nobita telah memasuki dunia cermin tersebut dan mereka berdua terkejut apabila Lillele secara senyap telah mendirikan sebuah pangkalan robot yang bertujuan untuk meny.era.ng bumi.
Lillele menjelaskan bahawa beliau berasal daripada sebuah planet Mekatopia yang dihuni oleh komuniti robot dan dihantar sebagai pengintip dalam misi untuk menawan bumi dan menjadikan manusia sebagai hamba mereka. Menurutnya, pada asalnya planetnya didiami oleh manusia. Tetapi disebabkan manusia saling berbu.nu.han sesama sendiri, seorang manusia telah mencipta sepasang robot yang boleh hidup seperti manusia dan berkembang biak mencipta peradaban mereka sendiri. Pencipta itu juga telah memasukkan sedikit sahaja elemen program sifat suka bersaing pada pasangan robot tersebut yang boleh diwarisi agar setiap robot akan datang sentiasa bersaing sesama mereka dalam membentuk peradaban yang terus maju. Malangnya, elemen program tersebut telah menjadikan mereka saling berp.era.ng sesama sendiri dan akhirnya mereka membuat keputusan menawan bumi untuk menjadikan manusia hamba abdi mereka.
Di bumi, Lillele yang cedera akibat alat Doraemon tersebut meletup ketika beliau cuba menangkap Doraemon dan Nobita, telah dirawat oleh Doraemon dan rakan-rakannya. Sementara itu, bala tentera robot dari planet Mekatopia tiba dibumi tapi telah berjaya diperdayakan oleh Doraemon dan rakan-rakannya untuk masuk ke dunia cermin yang tidak berpenghuni. Setelah mereka menyedari dunia cermin tersebut tidak berpenghuni, mereka cuba kembali semula ke dunia nyata dan bermulanya pep.erang.an antara Doraemon bersama rakan-rakannya menentang bala tentera robot tersebut.
Sementara itu, Lillele berubah fikiran dan menyedari kesilapannya yang cuba untuk menawan bumi. Beliau dan Shizuka telah membuat keputusan menaiki mesin masa ke Mekatopia 30,000 tahun silam di mana pencipta tersebut mula mencipta pasangan robot pertama. Apabila pencipta tersebut diberitahu kejadian yang akan berlaku pada masa akan datang, beliau membuat keputusan untuk membuang semula elemen program sifat suka bersaing pada robot yang diciptanya. Dengan perbuatan tersebut, maka secara automatiknya masa hadapan terus berubah, bala tentera robot yang cuba meny.eran.g bumi tiba-tiba hilang termasuklah Lillele yang membantu tindakan pencipta tersebut.
Pada pengamatan penulis sendiri, siri ini menyampaikan mesej tersembunyi bahawa setiap manusia dicipta dengan sifat suka bersaing dalam diri. Secara positifnya, sifat tersebut dapat melahirkan generasi yang kuat kerana masing-masing berusaha menjadi lebih baik dan dapat melindungi diri dan keluarga mereka daripada sebarang bahaya. Malangnya, sifat tersebut juga menjadikan manusia semakin mementingkan diri sendiri dan menindas orang lain untuk berada di atas. Walau bagaimanapun, kita juga diberi kuasa untuk memilih jalan sendiri dan diberikan bimbingan agar memilih jalan yang betul.
8) Penunggang Dinosaur (Nobita and The Knights of Dinosaurs)
Dalam misi menyelamatkan Suneo, Doraemon dan rakan-rakannya telah ditangkap oleh sekumpulan makhluk “orang asli” bawah tanah yang menakutkan, dan kemudiannya diselamatkan oleh satu makhluk penghuni dunia bawah tanah yang menunggang dinosaur spesis Raptor. Penunggang dinosaur tersebut bernama Banhou. Mereka dibawa ke ibu kota negara maju mereka dan diberi layanan yang baik.
Menurut sejarah mereka, nenek moyang mereka yang berupa sekumpulan dinosaur spesis Raptor bersama spesis-spesis dinosaur yang lain telah diselamatkan daripada bencana dunia yang berlaku di muka bumi 65 juta tahun yang lalu dengan dibawa memasuki satu terowong yang menghala ke suatu ruang dunia bawah tanah yang begitu luas. Kemudiannya, nenek moyang mereka itu berevolusi seperti manusia sehingga dapat membina sebuah peradaban dengan teknologi yang canggih di dunia bawah tanah tersebut. Menarik bukan? Jika dalam siri ketiga, dunia anjing berevolusi, dalam siri ini dinosaur jenis Raptor yang berevolusi.
Penghuni dunia bawah tanah bercita-cita dan berusaha untuk mengubah sejarah dunia kerana mereka beranggapan bencana dunia tersebut berlaku disebabkan s.eran.gan makhluk asing. Fikiran mereka, sekiranya ser.an.gan tersebut tidak berlaku, sudah tentu nenek moyang reptilia mereka telah berevolusi menguasai permukaan daratan bumi, bukan spesis mamalia yang berevolusi menjadi manusia. Oleh sebab itu, dengan teknologi mereka yang maju, mereka berjaya mencipta sebuah kapal besar yang bukan sahaja boleh menembusi lapisan bawah tanah bumi, bahkan boleh berfungsi sebagai mesin masa.
Dengan kapal besar tersebut, mereka kembali ke zaman silam 65 juta tahun lalu untuk menghentikan ser.an.gan tersebut. Doraemon dan rakan-rakannya terpaksa mengikuti mereka. Ramalan mereka ternyata salah apabila bencana dunia tersebut disebabkan oleh hentaman meteor. Menggunakan alat Doraemon, Doraemon dan rakan-rakannya berjaya menyelamatkan diri daripada bencana tersebut dalam sebuah ruang besar di bawah tanah. Menyedari bahawa Doraemonlah sebenarnya yang menyelamatkan nenek moyang penghuni dunia bawah tanah dengan membuat ruangan besar bawah tanah sepertimana dalam sejarah mereka, maka Doraemon memberitahu rancangannya kepada penghuni-penghuni dunia bawah tanah untuk menyelamatkan dinosaur-dinosaur yang masih terselamat dengan menempatkan mereka dalam ruangan besar bawah tanah yang dilengkapi dengan sumber air, tumbuh-tumbuhan dan sinaran cahaya matahari.
Menarik bukan idea imaginasi berkenaan pengembaraan di dunia bawah tanah yang dipenuhi oleh pelbagai spesis dinosaur yang sepatutnya telah lama jutaan tahun pupus? Ya, sama seperti satu filem animasi popular terbitan 20th Century Fox yang bertajuk “Ice Age 3: Dawn of The Dinosours.”
Untuk makluman pembaca, ketebalan lapisan kerak bumi di daratan yang kita dan seluruh makhluk hidup huni di permukaan bumi ini secara puratanya setebal 30 kilometer dalam. Kedalaman kerak bumi lebih nipis jika diukur di dasar laut. Sebagai perbandingan, gunung Everest yang tertinggi di dunia baru setinggi 8,848 meter atau 8.8 kilometer. Semakin dalam kedalaman bumi, semakin tinggi suhu dan tekanannya. Bumi secara asasnya ada empat lapisan iaitu kerak (crust), mantel (mantle), teras luar (outer core) dan teras dalam (inner core). Ketebalan bumi yang merangkumi ketiga-tiga lapisan tersebut mencecah sedalam 6,500 kilometer dengan suhu mencecah 6,000°C (sumber: laman web rasmi Solar System NASA dan National Geographic, dirujuk pada bulan Jun 2021).
Lubang paling dalam pernah digali oleh manusia direkodkan secara rasmi ialah “The Kola Borehole” di Pechengsky, sempadan Rusia dan Norway yang sedalam 12 kilometer. Sebagai perbandingan, sekiranya kita jatuh pada kedalaman tersebut, akan mengambil masa 3.5-4 minit untuk kita tiba di dasarnya. Lubang yang berdiameter hanya 23 sentimeter tersebut digali oleh pihak Soviet Union dari tahun 1970-an sehingga tahun 1992 atas tujuan penyelidikan teras bumi, tetapi terpaksa dihentikan kerana dasarnya yang terlalu panas mencecah 180°C. (sumber: Charlotte Edwards, laman web The Sun UK online, 25 Ogos 2019, dirujuk pada bulan Jun 2021).
9) Kelahiran Negeri Jepun (Nobita and The Birth of Japan)
Siri cerita panjang Doraemon yang kesembilan ini berkenaan pengembaraan Doraemon dan rakan-rakannya ke zaman purba, tapi bukan ke zaman dinosaur seperti siri pertama, kali ini mereka mengembara ke zaman pra-sejarah manusia. Kisahnya berlaku apabila mesin masa mengalami gangguan perjalanan masa yang menyebabkan seorang budak lelaki dari zaman pra-sejarah disedut ke dalam “lubang masa” dan muncul pada zaman moden (zaman Nobita) di bukit belakang sekolah. Pada masa yang sama, Doraemon dan rakan-rakannya menaiki mesin masa mengembara ke zaman pra-sejarah kerana mereka semua lari dari rumah masing-masing.
Selepas mereka membina kediaman dan tanam-tanaman di zaman tersebut, mereka membuat keputusan untuk pulang semula ke rumah masing-masing dan datang semula keesokan harinya. Pada keesokan harinya, ketika Giant dan Suneo datang ke rumah Nobita, mereka telah menemui budak lelaki zaman pra-sejarah tersebut yang bersembunyi di bilik Nobita dan telah terjadi pergaduhan antara Giant dengan budak lelaki tersebut sehingga budak lelaki tersebut pengsan. Dalam keadaan tergesa-gesa, mereka berlima terus membawa budak lelaki tersebut menaiki mesin masa menuju ke tempat mereka.
Apabila budak lelaki tersebut sedar daripada pengsan, dengan menggunakan “kuih penterjemah” Doraemon, budak lelaki tersebut memperkenalkan dirinya bernama Kukuru dari puak Hikari. Puak Hikari sering dis.era.ng oleh kaum Kurayami yang diketuai oleh seorang ahli sihir yang jahat dan berkuasa bernama Raja Gigazombi. Raja Gigazombi sebenarnya adalah seorang perentas masa dari abad ke-23 yang membina markasnya di zaman pra-sejarah bertujuan untuk mengubah sejarah dunia supaya dia boleh kekal memerintah dunia. Beliau telah mempergunakan kaum Kurayami yang kuat sebagai pengikutnya untuk memperhambakan puak yang lemah seperti puak Hikari. Maka bermulalah pengembaraan Doraemon dan rakan-rakannya dalam misi menyelamatkan puak Hikari yang dipercayai sebagai nenek moyang bangsa Jepun mereka.
Pasukan polis peronda masa dalam usaha untuk menjejaki penjenayah perentas masa tersebut dengan menyamar kapal angkasa mereka menjadi robot gajah purba Mammoth. Dengan bantuan Nobita, akhirnya markas Raja Gigazombi berjaya ditemui dan diberkas, malah markasnya diletupkan.
Dalam siri ini, ada dinyatakan beberapa kes peristiwa pelik yang direkodkan dalam sejarah berkenaan kehilangan misteri tanpa jejak beberapa orang individu dan sekumpulan manusia secara tiba-tiba di suatu tempat. Contohnya, misteri kehilangan seorang penulis prolifik Amerika Syarikat, Ambrose Bierce, sekitar tahun 1913 tanpa sebarang jejak. Pada tahun 1915, sepasukan tentera British tiba-tiba hilang tanpa jejak di semenanjung Gallipoli, Turki. Pada tahun 1937 pula, bala tentera China seramai 3,000 orang dilaporkan tiba-tiba hilang tanpa meninggalkan sebarang jejak di sekitar Sungai Yangtze, China. Peristiwa-peristiwa yang dinyatakan tersebut benar-benar direkodkan dalam sejarah dunia nyata dan kehilangan mereka masih menjadi misteri sehingga kini. Dalam siri cerita panjang Doraemon ini, kes-kes kehilangan misteri tersebut dikaitkan dengan gangguan mesin masa yang menyebabkan mereka disedut ke dalam “lubang masa” dan berkemungkinan muncul di zaman lain.
Dalam siri ini juga, diceritakan berkenaan keadaan geografi tanah Jepun ketika zaman pra-sejarah dahulu yang pernah bercantum dengan tanah besar dan menyebabkan penghijrahan daratan ramai kumpulan manusia dari tanah besar ke tanah Jepun. Menarik untuk kita dipelajari.
10) Bintang Misteri (Nobita and The Animal Planet)
Planet tersebut sebenarnya berada jauh dari Bumi dan kabus tersebut sama seperti alat teknologi abad ke-22 di bumi iaitu “gas teleportasi.” Dipendekkan cerita, penduduk haiwan planet tersebut pada asalnya mendiami sebuah planet berdekatan bersama manusia. Oleh sebab kerakusan manusia di planet tersebut, planet tersebut telah tercemar teruk dan tidak sesuai lagi untuk didiami. Seorang sarjana dalam kalangan mereka telah mencipta satu mesin gas yang dapat memindahkan semua jenis haiwan dari planet tersebut dengan cara teleportasi ke sebuah planet berdekatan. Ribuan tahun kemudian, haiwan-haiwan tersebut berevolusi dan membina peradaban yang maju dan mesra alam. Mesin gas teleportasi yang telah lama tertanam di bawah tanah tersebut tiba-tiba bocor ke permukaan tanah dan disebabkan itulah telah membuka satu portal penghubung antara rumah Nobita dengan planet tersebut.
Pada masa yang sama, manusia masih menghuni planet yang tercemar tersebut. Satu puak manusia iaitu puak Nimuge merancang untuk menye.ra.ng dan menguasai planet haiwan tersebut. Maka bermulalah pengembaraan Doraemon dan rakan-rakannya dalam membantu penghuni planet haiwan tersebut mempertahankan planet mereka daripada se.rang.an puak Nimuge.
Siri ini mengajar kita supaya sentiasa memelihara alam sekitar supaya planet kita boleh terus didiami serta membangunkan teknologi yang mesra alam dan bebas pencemaran. Sama seperti siri ketujuh, siri ini juga memberi gambaran kepada kita bahawa bagaimana pernah wujudnya peradaban-peradaban manusia di planet lain seperti di bumi, tetapi telah musnah binasa dan menjadi tidak sesuai lagi dihuni disebabkan pep.eran.3gan atau pencemaran teruk yang merosakkan alam sekitar planet tersebut.
11) Negara Lagenda (Nobita’s Dorabian Nights)
Bagaimana sekiranya jika kita dapat memasuki dunia komik, buku cerita dan hikayat? Seronok bukan? Begitulah jalan cerita pengembaraan dalam siri ke-11 ini apabila Doraemon dan rakan-rakannya menjelajah ke dunia komik dan hikayat menggunakan “kasut komik” Doraemon. Walau bagaimanapun, tanpa mereka sedari, Shizuka telah terp.erang.kap dalam dunia buku cerita dan dijadikan hamba abdi oleh seorang penjual hamba abdi dalam watak buku cerita Hikayat 1,001 malam. Bertambah malang, apabila ibu Nobita bertindak membakar semua komik dan buku cerita Nobita kerana bersepah menyebabkan misi menyelamatkan Shizuka yang terp.erang.kap dalam dunia buku cerita tersebut menjadi mustahil.
Timbul idea daripada Doraemon untuk menyelidik latar belakang zaman buku cerita Hikayat 1,001 malam. Ini kerana walaupun hikayat tersebut merupakan hanya himpunan cerita-cerita rekaan yang kebanyakannya dari Timur Tengah, tapi hikayat tersebut banyak berlatarbelakangkan zaman pemerintahan Khilafah Bani Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad pada abad ke-8 Masihi. Dengan menaiki mesin masa ke zaman tersebut dan khidmat iringan sebuah “robot jin” agensi pelancongan masa dari zaman akan datang, maka bermulalah misi pengembaraan Doraemon dan rakan-rakannya menyelamatkan Shizuka.
Semasa dalam misi menjejaki Shizuka, mereka telah menemui seorang lelaki bernama Sinbad yang memiliki sebuah istana emas terbang dan pelbagai koleksi peribadi yang pelik seperti jin botol, biji benih askar, permaidani terbang, kapal yang belayar di padang pasir dan robot penari. Dua orang penjahat (Kassim dan Abdul) berusaha untuk merampas koleksi-koleksi peribadi tersebut termasuklah menguasai istana emas terbang tersebut. Salah seorang daripada mereka ialah penjual hamba abdi yang menangkap Shizuka.
Sepertinya dalam siri ini, sejarah dunia nyata telah bercampur dengan cerita buku Hikayat 1,001 Malam. Sinbad dan Kassim merupakan antara watak rekaan dalam hikayat tersebut. Walau bagaimanapun, watak Khalifah Harun ar-Rasyid dan menterinya Ja’afar al-Barmaki yang ada dalam siri Doraemon ini merupakan dua tokoh individu yang benar-benar wujud dalam sejarah dunia nyata.
Dalam siri ini, Sinbad menceritakan bahawa semua koleksi peribadi yang dimilikinya adalah hadiah daripada seorang pengembara yang karam ditengah-tengah lautan yang beliau selamatkan ketika kali terakhir beliau belayar dahulu. Doraemon beranggapan bahawa pengembara tersebut merupakan perentas masa dari zaman akan datang dan semua koleksi barangan yang dihadiahkannya kepada Sinbad kerana menyelamatkannya adalah alatan-alatan teknologi dari zaman akan datang.
Dalam siri ini, kita dapat mempelajari berkenaan sejarah peradaban Islam yang berpusat di Baghdad pada kurun ke-8 Masihi. Dinyatakan juga peranan Kota Baghdad sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang sibuk dan mempunyai kepadatan penduduk yang ramai ketika itu, selain penerangan berkenaan Sungai Tigris yang masyhur dan penggunaan wang emas dinar dan dirham. Diterangkan juga pada zaman yang sama, Maharaju Kammu yang memerintah tanah Jepun Purba ketika itu sedang dalam usaha memindahkan pusat pemerintahannya ke Heiankyo (Kyoto).
Hikayat 1,001 Malam atau di Barat dikenali sebagai “Arabian Nights” merupakan sebuah karya hikayat bahasa Arab yang menghimpunkan pelbagai cerita rekaan kebanyakannya dari Timur Tengah yang bercampur aduk dengan watak-watak tokoh sejarah sebenar.
12) Negara Awan (Nobita and The Kingdom of Clouds)
Jika kita melihat ke langit pada siang hari ketika cuaca baik dengan banyak kumpulan awan besar yang putih di langit biru, adakah kita pernah terfikir berkenaan wujudnya sebuah peradaban negara awan yang tersembunyi? Itulah yang diceritakan dalam siri ke-12 ini. Kisahnya bermula apabila Nobita mula berfikir adakah wujud syurga di langit sepertimana dalam kisah-kisah lagenda dan mitos apabila guru kelasnya sedang mengajar berkenaan lapisan atmosfera bumi. Akibatnya, beliau ditertawakan oleh rakan-rakannya apabila cuba menanyakan hal tersebut.
Doraemon merealisasikan impian Nobita untuk mendirikan sebuah kerajaan di awan. Dengan menggunakan alat-alat Doraemon, mereka menjadikan awan boleh dipijak dan mula membina istana dan bandar di permukaan awan. Ini tiada kena mengena langsung dengan “kerajaan langit” Ayah Pin yang sesat itu ya, hahaha…. Untuk melindungi negara awan mereka, Doraemon menggunakan alatnya supaya negara awan mereka tidak kelihatan dari luar.
Pada masa yang sama, satu objek terbang memasuki ruang negara awan mereka dan kagum dengan apa yang mereka lihat. Mereka sebenarnya ialah bangsa manusia yang mendiami dan membina peradaban maju di kumpulan awan-awan besar. Sama seperti alat Doraemon yang menjadikan negara awan mereka tidak dapat dilihat dari dunia luar, bangsa manusia yang mendiami awan juga mempunyai alat yang sama. Penceritaan berkenaan asal-usul bangsa manusia tersebut mula mendiami awan agak kurang jelas dalam siri ini.
Diceritakan pada asalnya, semua makhluk hidup muncul berpasangan dari lautan termasuklah manusia. Semua makhluk berkembang biak dan hidup aman damai sehinggalah muncul tiga buah kerajaan yang berp.era.ng sesama mereka untuk merebut wilayah sebuah negara milik seorang raja dan keluarganya. Raja tersebut dan keluarganya bersama haiwan-haiwan lain melarikan diri daripada pep.erang.an tersebut ke puncak sebuah gunung. Doa mereka untuk diselamatkan daripada p.eper.an.gan tersebut dikabulkan apabila mereka dapat menjejakkan kaki di permukaan awan dan terus membina negara di atasnya. Keturunan mereka berevolusi mempunyai kepak seperti se.rangg.a dan boleh terbang.
Kerajaan awan tersebut telah lama merancang suatu Projek Noah bertujuan untuk “membersihkan” permukaan muka bumi daripada pencemaran-pencemaran yang dilakukan oleh manusia dengan cara membanjiri seluruh muka bumi dengan banjir besar. Untuk itu, mereka telah mempersiapkan kawasan-kawasan di awan untuk didiami oleh semua makhluk dan tumbuhan buat sementara waktu.
Selain itu, terdapat pelbagai spesis haiwan yang telah lama pupus di muka bumi dipelihara di negara awan mereka seperti dinosaur, gajah purba Mammoth, harimau bergigi pedang (Smilodon), Glyptodon, burung Moa, Serigala Tasmania, Quagga dan sloth gergasi. Bermulalah usaha Doraemon dan rakan-rakannya mempertahankan muka bumi daripada rancangan pemusnahan oleh kerajaan negara awan tersebut.
Dalam siri ini, ada diterangkan berkenaan lapisan-lapisan atmosfera bumi seperti stratosfera dan troposfera; jenis-jenis awan seperti Kumulonimbus, Sirrus, Altokumulus dan Stratokumulus; pembentukan dan struktur fizikal awan, perubahan cuaca, kejadian petir dan proses penurunan hujan. Diceritakan juga kisah-kisah lagenda dan mitos berkaitan dengan penghuni langit seperti lagenda Jepun Hagoromo, Songoku (Wukong), kisah Jack dan kacang ajaib serta tempat kediaman para dewa masyarakat tamadun silam seperti Yunani dan Rom. Menarik bukan?
Penulis berhenti setakat siri ke-12 dahulu. Agak panjang untuk menulis berkenaan kesemua 24 siri cerita panjang tersebut. Kesimpulannya, siri cerita panjang Doraemon membuka pemikiran dan imaginasi kita terhadap pelbagai perkara seperti kehidupan pada zaman dinosaur, kehidupan manusia pada zaman pra-sejarah, dunia bawah tanah, penerokaan di dasar lautan dalam, kehidupan di planet-planet lain di angkasa raya, dunia sihir, penjelajahan dalam dunia komik dan buku cerita, penerokaan di negara awan dan pelbagai lagi.
Selain hiburan, diselitkan juga dalam setiap siri tersebut pelbagai ilmu pengetahuan yang menarik berkenaan sejarah, geografi, oseanografi, astronomi, kosmologi, paleontologi, sains dan fizik. Itu belum ulas lagi baki 12 siri yang lain seperti berkenaan pengembaraan dalam alam mimpi, penciptaan alam semesta sendiri, pelayaran lautan pada zaman lanun, pengembaraan ke zaman tamadun silam Maya dan pelbagai lain.
Setiap jalan cerita siri pengembaraan, penerokaan dan penjelajahan cerita panjang Doraemon bermain dengan emosi suka, duka, mengujakan, mendebarkan, menyeronokkan dan mengasyikkan bagi para pembaca dan penontonnya.
Pengajaran yang ditonjolkan dalam setiap siri rasanya tidak perlulah dihuraikan kerana terlalu banyak seperti kepentingan memelihara alam sekitar, semangat setia kawan, bersifat inovatif, jangan berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu impian. Bahkan pencipta siri manga Doraemon sendiri, Hiroshi Fujimoto (Fujio F. Fujiko) pernah berkata bahawa konsep penciptaan watak Doraemon adalah untuk menanam impian, semangat dan harapan pada setiap kanak-kanak. (sumber: Tsukamoto Miho).
Jadi, jika pembaca adalah peminat tegar siri cerita panjang Doraemon, siri manakah yang anda paling sukai?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih