Penggunaan “versus” di sini bukan untuk menggambarkan pertentangan atau penentangan yang kontra walau menurut Kamus Dewan Bahasa ia membawa maksud lawan, melawan dan menentang dalam undang-undang dan sukan.

Versus di sini  yang cuba digambarkan lebih merujuk kepada sebuah pertembungan terma atau perkataan. Pertembungan yang bukan untuk menentukan siapa lebih baik atau lebih tepat maknanya melainkan pertembungan untuk mencapai sebuah kebenaran dan makna yang lebih tepat buat keduanya.

Yang sering dianggap sama oleh bukan sahaja masyarakat bahkan segelintir mahasiswa dan cendekiawan itu sendiri. Hakikatnya adakah sirah itu sejarah, atau adakah sejarah itu sirah?

Untuk kita melihat kepada perbezaan itu, perlu kita fahami asas sesuatu ilmu terlebih dahulu iaitu dengan memahami apakah definisi bagi keduanya. Sirah menurut Ibn Manzur dalam kitab Lisanul Arab “as-sirah” merupakan kebiasaan, cara, jalan dan tingkah laku.

Maka bagi istilah umum dapatlah kita simpulkan sirah sebagai sebuah perjalanan sejarah hidup seseorang dan perincian tingkah laku yang sudah dilalui. Sirah sangat signifikan kepada apa yang disebut sebagai Sirah Nabawiyah yang mana maksud pengistilahannya merujuk kepada sebuah disiplin ilmu yang kompeten dalam mengumpulkan data yang diterima daripada fakta-fakta sejarah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. secara komprehensif daripada sifat-sifatnya, etika dan moral.

Satu perkara yang cukup menarik untuk dikongsikan bersama berkenaan sirah adalah dari sudut sumber dan juga sandaran fakta. Sirah adalah satu bidang kajian yang cukup kritial seperti mana hadis kerana ia perlulah memperhalusi  dua aspek iaitu:

Periwayatan bersanad

Sandaran kepada Nabi sebagai pembuat syariat atau sebagai sosok tubuh yang akan difokuskan kajian.

Impak daripada dua aspek di atas, wujud beberapa karya yang khusus oleh tokoh sejarah tentang sirah seperti Al-Waqidi dan ibn Umar yang telah menghasilkan Kitab Al-Maghazi (Peperangan) Nabi, ibn Hisyam yang telah menghasilkan Sirah Nabawiyah (Kenabian) dan lain-lain.

Maka, di sini suatu perkara yang kita fahami dan jelas bahawa sirah adalah satu cabang daripada sejarah dan ia satu disiplin ilmu yang cukup kritikal dan tegas melihatkan kepada sosok tubuh subjek yang akan dikaji. Terus, sejarah itu apa pula?

Sejarah menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, adalah salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau, peristiwa, riwayat, tambo. Ia berasal daripada perkataan arab (Shajarah) yang membawa erti keturunan, asal asul dan setepatnya merujuk kepada salasilah keturunan.

Dalam perspektif Barat, kebanyakan definisi daripada sarjana dan sejarawan membawa kepada sebuah definisi “the past of mankind”. Namun, ada dua definisi yang cukup berbeza yang telah dinyatakan oleh dua tokoh iaitu R.G. Collingwood dan Benedetto Croce.

Kata R.G. Collingwood, ‘All history is history of thought’ manakala kata Benedetto Croce, ‘All history is contemporary history’. Secara mudahnya menurut mereka, sejarah adalah sebuah pementasan semula apa yang telah berlaku dalam pemikiran sejarah dan  bagaimana kita melihat sejarah lampau dengan kaca mata realiti hari ini.

Pada perspektif Islam pula, menurut Ibn Khaldun, Sejarah adalah catatan atau maklumat tentang masyarakat manusia dan tamadun dunia. Ia mestilah merangkumi penelitian kritis dan penyelidikan untuk mendapatkan kebenaran sejarah.

Sedang kata Naquib Al-Attas, sejarah itu perlu lah menjawab kepada 5 struktur (What, Who, When, How dan Why) How dan Why adalah elemen yang paling kritikal kerana ia akan menerangkan kepada sebuah sebab dan akibat.

Sebagai kesimpulan, sejarah itu bukan sekadar sebuah kisah atau cerita, Ia adalah sebuah disiplin ilmu yang kompleks berkenaan kehidupan. Apabila kita mempelajari sejarah, kita sebenarnya mempelajari tentang kehidupan.

Dan sebagaimana sejarah itu sebuah pembelajaran yang umum, maka sirah pula adalah sebuah pembelajaran khusus berkenaan seorang sosok tubuh yang sangat mulia di sisi umat Islam, iaitu Rasulullah S.A.W.

Walau mungkin kedua disiplin ilmu ini sedikit berbeza, satu perkara yang pasti mempelajari sejarah dan sirah ini matlamatnya kekal sama iaitu satu sahaja. Untuk mendapatkan sebuah ibrah dan pedoman untuk kelangsungan sebuah kehidupan, dalam menelusuri sebuah jalan kembali menuju Tuhan.

Fakhrul Islam,
Pelajar Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya.

RUJUKAN:

Naquib al-Attas (2011), Historical fact and Fiction, p. xiii
Said Ramadhan Al-Buti (1985), Fiqh Al-Sirah, p.9
R.G. Collingwood. (2003). The Idea of History. Oxford: Oxford University Press


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.