Sebut pasal pemilik kelab sukan, nama-nama ini pasti meniti di bibir para peminat. Di Malaysia misalnya, kita sedia maklum pembabitan YTM Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Tunku Ibrahim Ismail dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT). Sementara di luar negara pula, nama pemilik seperti Roman Abramovich (Chelsea), keluarga Glazers (Manchester United) dan John W. Henry (Liverpool) bukan asing bagi peminat pasukan masing-masing. Tetapi jarang kita dengar selebriti menjadi pemilik kelab bola sepak. Tetapi ada orang memulakannya pada tahun 70-an dan individu tersebut ialah Sir Elton John.
Penyanyi terkenal dengan lagu Goodbye Yellow Brick Road dan Sorry Seems to be the Hardest Words ini memang diketahui sebagai penyokong The Hornets sejak berusia enam tahun lagi. Pada ketika itu, Watford dilihat tidak ke mana-mana sama ada mencabar kejuaraan liga, mencabar kenaikan ke liga seterusnya atau terperangkap dalam zon penyingkiran. Dari tahun 1921 hinggalah 1958, Watford berlegar dalam Divisyen 3 Selatan (sama dengan League Two/Liga Dua hari ini). Tatkala beliau mengasah bakat sebagai pemain piano di sebuah pub, dalam tempoh sedekad Watford berjaya mendapat dua kenaikan untuk berada selama seketika dalam Divisyen 2. Tetapi The Hornets tidak dapat menyaingi kenaikan mendadak nama John sebagai penyanyi terkenal pada tahun 70-an. Ini kerana pada musim 1974-1975, Watford kembali semula ke Divisyen 4.
Walaupun John sudah menjadi presiden kelab berkenaan pada tahun 1974, perubahan nasib kelab hanya berubah selepas beliau menjadi pengerusi kelab pada tahun 1976. Pada ketika itu, beliau sudah mempunyai 10 album dan single-single seperti Tiny Dancer dan Rocket Man menjadikannya sebagai antara bintang utama dunia nyanyian ketika itu. Dan itu mendorongnya bertekad berkongsi kejayaan sama dengan Watford. Dan salah satu keputusan penting yang dibuat John ketika itu ialah melantik mendiang Graham Taylor sebagai pengurus baru The Hornets atas nasihat pengurus legenda Don Revie. Taylor yang turut mendapat tawaran dari West Bromwich Albion bagaimanapun menolak The Baggies dan memilih Watford yang berada dalam Divisyen 4, satu keputusan yang dianggap pelik oleh penganalisis bola sepak dan peminat.
Dalam tempoh lima musim bersama The Hornets, gandingan Taylor dan John mencetuskan keajaiban di mana Watford berjaya meraih tiga kenaikan liga sekaligus penampilan pertamanya dalam Divisyen 1 England (sebelum diubah kepada Liga Perdana Inggeris pada tahun 90-an). Walaupun ramai penganalisis berpandangan Watford tidak akan bertahan lama, tetapi Taylor berjaya membuktikan sebaliknya. Pada musim 1982-1983, Watford berjaya mencabar Liverpool yang diterajui salah seorang anggota The Boot Room Joe Fagan untuk kejuaraan liga sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara. Selepas empat musim bersama The Hornets, Taylor mendapat tawaran dari mendiang Sir Doug Ellis untuk mengendalikan Aston Villa dan menyertai mereka pada Mei 1987. Pada musim berikutnya, Watford tersingkir ke Divisyen 2 dan berlegar-legar dalam divisyen berkenaan sejak itu. Beberapa tahun selepas itu, atas sebab karier dan tuntutan peribadi yang lebih memerlukan, John kemudiannya menjual kepentingannya dalam Watford.
Pada pertengahan tahun 90-an, dengan Watford sekali lagi terumbang-ambing, John kembali semula dengan harapan memulihkan kembali kelab kesayangannya itu. Selepas The Hornets kembali ke Divisyen 3, beliau kembali sebagai pengerusi dan antara keputusan pertamanya ialah membawa masuk Taylor sebagai pengurus. Taylor yang mengalami pengalaman buruk semasa menguruskan pasukan kebangsaan England dan Wolverhampton Wanderers melihat ini satu peluang mengembalikan semula nama baiknya sebagai pengurus. Gandingan Taylor-John sekali lagi membuahkan hasil dan dalam tempoh beberapa musim, Watford kembali semula ke Liga Perdana Inggeris pada musim 1999-2000.
Tetapi gandingan tersebut gagal membantu The Hornets kekal dalam liga dan pada akhir musim, Taylor bersara dari kelab dan digantikan oleh bekas pengurus Chelsea Gianluca Vialli. Dan pada akhir musim 2001-2002, John mengundur diri sebagai pengerusi kelab atas sebab komitmen karier dan faktor lokasi. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap mengekalkan hubungan dengan The Hornets di mana Taylor pernah memegang peranan sebagai pengarah bukan eksekutif dan pengerusi sementara Watford dari 2009 hingga 2012. Selepas keluarga Pozzo mengambil alih Watford dari pemilik sebelumnya Laurence Bassini pada tahun 2012, kedua-duanya memegang peranan sebagai Presiden Seumur Hidup Watford sehinggalah Taylor meninggal dunia pada Januari 2017.
Beberapa tahun selepas itu, impian kedua-duanya melihat The Hornets kembali ke Liga Perdana Inggeris menjadi kenyataan apabila berjaya menjadi naib juara Liga Kejohanan musim 2014-2015 di belakang Bournemouth. Dan sebagai mengenang jasa Taylor dan John, kelab mengabadikan nama kedua-duanya pada dua kawasan tempat duduk di Vicarage Road pada tahun 2014.
Pada era di mana pemilikan kelab diperlakukan seperti permainan saham perniagaan, agak senang untuk meromantiskan hubungan erat John dengan Watford. Ini kerana minatnya terhadap The Hornets memang tulen dan selepas meninggalkan Vicarage Road pada tahun 2002, kelab sebenarnya mempunyai kedudukan kewangan yang baik dan berlegar antara Liga Perdana Inggeris dengan Liga Kejohanan. Dan kini di bawah bimbingan Javi Gracia, Watford menunjukkan prestasi baik dalam liga dan berpotensi mencabar kelayakan ke Liga Europa. Dan semestinya, bagi mana-mana peminat yang menyanyi di Sir Elton John Stand, mereka tahu kepada siapa mereka harus berterima kasih.
SUMBER
- Burnton, Simon. (2002). The Guardian. Elton hits end of the yellow brick road. https://www.theguardian.com/football/2002/may/29/newsstory.sport1
- Jackman, Spencer. (2018). The18.com. No Famous Sports Team Owner Has Done It Better Than Sir Elton John. https://the18.com/soccer-learning/elton-john-watford-best-famous-sports-team-owner
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih