Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Lembaran Malaysia

Silap Besar Monorel Melaka Dibuat Bukan Untuk Pengangkutan Awam

Kalau kita pergi ke Melaka hari ini, antara benda yang paling mudah menarik perhatian di sekitar Sungai Melaka ialah landasan monorel yang masih tegak di atas kepala.

Tetapi masalahnya, monorel itu sudah lama tidak bergerak. Yang tinggal hanyalah tiang, landasan dan stesen terbiar.

Macam mana sebuah projek yang dibina dengan jutaan ringgit boleh berakhir jadi pemandangan sunyi?

Monorel Melaka sejak awal lagi memang bukan dibina sebagai sistem pengangkutan awam. Ia lebih dekat kepada produk pelancongan.

Dan di situlah punca masalahnya.

Pada tahun 2008, Melaka ketika itu nak menarik lebih ramai pelancong. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah meletakkan sasaran untuk menarik jutaan pelancong datang ke negeri itu. Melaka nak ada satu lagi produk unik dan boleh dijual sebagai mercu tanda baharu.

Maka muncullah idea Monorel Melaka.

Dalam bayangan awalnya, monorel ini mahu dijadikan seperti sebahagian daripada taman tema. Ada unsur “Disneyland” kecil-kecilan.

Ia bukan lahir daripada masalah sebenar pengangkutan awam rakyat Melaka dan bukan direka untuk menyelesaikan kesesakan besar dari Melaka Sentral ke Banda Hilir.

Ia tak dibina untuk pekerja, pelajar, penduduk atau pelancong bergerak dengan mudah dari terminal utama ke kawasan tumpuan. Sebaliknya, ia dibina untuk menyusuri kawasan Sungai Melaka sebagai pengalaman pelancongan.

Sebab itu laluan awalnya pun pendek. Fasa pertama hanya sepanjang kira-kira 1.6 kilometer, dari Taman Rempah di Pengkalan Rama ke kawasan Hang Tuah di Kampung Bunga Raya Pantai. Kos projek ini pada awalnya pernah dianggarkan sekitar RM28 juta, tetapi kemudian dikurangkan kepada sekitar RM15.9 juta. Kapasiti gerabak juga dikurangkan, daripada cadangan lebih besar kepada saiz yang jauh lebih kecil.

Di atas kertas, ia nampak menarik. Tetapi kalau kita fikir sebagai pengangkutan awam, ia sudah mula nampak pelik.

Laluan terlalu pendek. Kapasiti kecil. Stesen pun tidak benar-benar menghubungkan titik perjalanan utama dalam bandar. Ia lebih seperti “ride” pelancongan, bukan transit harian.

Pada 21 Oktober 2010, Monorel Melaka akhirnya dibuka kepada orang awam. Hari itu sepatutnya menjadi hari kebanggaan. Melaka ada monorel sendiri. Bukan Kuala Lumpur sahaja ada monorel. Negeri bersejarah ini pun mahu tampil moden.

Tetapi sejarah Monorel Melaka bermula dengan babak yang sangat memalukan.

Beberapa jam selepas dibuka, monorel itu tiba-tiba terhenti di tengah laluan. Seramai 20 penumpang terperangkap di dalam gerabak. Bayangkan baru hari pertama operasi tiba-tiba tersekat di atas landasan.

Selepas kejadian itu, masalah teknikal terus berulang. Dalam tempoh setahun pertama, monorel ini dilaporkan mengalami gangguan berkali-kali. Ada laporan menyebut ia tergendala puluhan kali. Ia pernah dihentikan sementara, dibaiki, diuji semula, kemudian bermasalah lagi.

Besar masalah ni. Monorel ini dikatakan menghadapi isu teknikal yang menyusahkan penyelenggaraan. Ada laporan menyebut manual sistem daripada China tidak diterjemahkan dengan baik ke dalam Bahasa Melayu atau Inggeris menyebabkan kerja pembaikan menjadi lebih sukar. Lebih parah, sistem itu turut menghadapi masalah ketika hujan kerana cengkaman tayar tidak cukup kuat.

Kalau sebuah sistem pengangkutan tidak stabil dalam cuaca biasa Malaysia yang memang selalu panas, hujan dan lembap, bagaimana ia mahu dipercayai sebagai pengangkutan awam?

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD masuk memeriksa sistem tersebut. Beberapa jurutera dihantar untuk melihat keadaan sebenar. Akhirnya perkhidmatan monorel ini digantung selama 30 hari.

Antara perkara yang diminta ialah kemudahan menyelamat seperti “cherry picker” supaya kalau ada penumpang terkandas lagi, proses menyelamat boleh dibuat dengan lebih selamat.

Di sini kita nampak satu lagi masalah besar. Bila sistem yang sepatutnya membawa manusia di atas landasan tinggi memerlukan pelan kecemasan yang lebih serius selepas insiden berulang, itu bermaksud risiko keselamatan memang nyata.

Namun, projek ini tidak terus dikuburkan. Sebaliknya, fasa kedua tetap diteruskan.

Semasa pembukaan Monorel Melaka, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meluluskan pembinaan fasa kedua bernilai RM13.2 juta. Fasa ini bertujuan menyambungkan laluan ke Jalan Tun Ali dan membentuk jajaran lingkaran.

Panjang keseluruhan kemudian disebut sekitar 2.9 hingga 3 kilometer. Laluan ini membentuk pusingan sehala di sekitar Sungai Melaka melalui kawasan seperti Jalan Tun Ali, Jalan Tun Mutahir, Kampung Morten dan beberapa titik pelancongan lain.

Pada tahap ini, kita boleh nampak niatnya masih sama. Monorel ini mahu jadi produk pelancongan sungai. Penumpang naik, tengok pemandangan, lalu balik semula ke stesen asal. Masih bukan sebagai jaringan pengangkutan awam.

Sebab itu walaupun ia kelihatan macam transit moden, fungsinya tidak sama seperti LRT, MRT atau monorel KL.

KL Monorail ni walaupun ada masalahnya sendiri, masih menghubungkan kawasan bandar yang sibuk seperti KL Sentral, Bukit Bintang, Raja Chulan dan Titiwangsa. Orang boleh guna untuk pergi kerja, turun di stesen lain, sambung ke MRT atau LRT dan bergerak dalam bandar. Ada fungsi harian.

Monorel Melaka pula lain. Ia bergerak secara pusingan pendek. Kapasitinya kecil. Selepas dibuka semula pada 2017, ia hanya menggunakan satu koc yang membawa sekitar 15 orang. Setiap pusingan mengambil masa kira-kira 25 hingga 30 minit. Tiket pula sekitar RM10.

Kalau orang Melaka sendiri nak bergerak cepat, memang tak praktikal. Kalau pelancong mahu menikmati pemandangan Sungai Melaka, mereka sudah ada Melaka River Cruise yang lebih sesuai dengan konsep itu.

Jadi monorel ini tersepit di tengah-tengah. Nak jadi pengangkutan awam, tidak cukup berguna. Nak jadi tarikan pelancongan, tidak cukup kuat untuk bersaing.

Selepas tergantung lama akibat masalah teknikal sejak 2013, Monorel Melaka dibuka semula pada 4 Disember 2017. Pada awal pembukaan semula, sambutannya nampak ada. Dalam tempoh beberapa minggu, ribuan orang dilaporkan menaiki monorel ini. Ada laporan menyebut hampir 10,000 pelancong menggunakannya sejak dibuka semula pada Disember 2017 dan angka itu kemudian mencecah lebih 17,000 pengunjung dalam tempoh sekitar dua bulan.

Kerajaan negeri ketika itu juga mengunjurkan keuntungan kasar tahunan sekitar RM1.2 juta. Secara kasar, kalau tiket RM10 seorang, angka itu memerlukan jumlah penumpang yang besar dan konsisten sepanjang tahun.

Tetapi masalahnya, produk pelancongan jenis ini biasanya hype awal-awal je kerana orang mahu mencuba. Selepas itu, persoalan sebenar muncul. Adakah orang akan naik berulang kali, cukup menarik untuk menjadi tarikan wajib, cukup penting untuk penduduk tempatan?

Jawapannya tidak begitu meyakinkan.

Pada tahun 2019, monorel ini sekali lagi mencatatkan insiden apabila gerabak terhenti di tengah landasan. Sekali lagi cerita lama berulang. Monorel Melaka seperti tidak pernah benar-benar keluar daripada bayang-bayang masalah teknikalnya sendiri.

Kemudian datang pula tahun 2020.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan akibat Covid-19, sektor pelancongan terjejas teruk. Monorel Melaka berhenti beroperasi. Bezanya, selepas itu ia tidak bangkit semula. Gerabak tersadai. Kaunter tiket tertutup. Stesen menjadi sunyi. Landasan pun jadi tukun yang akhirnya menjadi pemandangan terbengkalai di tengah bandar pelancongan.

Pada tahun 2021, kontrak pengendali Monorel Melaka ditamatkan. Kerajaan negeri membatalkan kontrak syarikat pengendali kerana dikatakan melanggar syarat perjanjian. Antara isu yang dibangkitkan termasuk kegagalan membayar yuran komitmen kepada UPEN, kegagalan membayar sebahagian keuntungan atau bayaran minimum kepada MBMB, isu keselamatan serta pertikaian berkaitan klausa pembangunan tanah di sekitar stesen.

Monorel Melaka ni lah salah satu projek “gajah putih” yang memang menelan belanja besar, tetapi manfaatnya tidak setanding dengan kos, risiko dan masalah yang ditanggung.

Yang lebih menyedihkan, Monorel Melaka ini berdiri di kawasan yang sangat strategik. Ia berada di tengah bandar bersejarah. Ia lalu dekat Sungai Melaka, Kampung Morten, kawasan lama, kawasan pelancongan dan bangunan-bangunan penting. Kalau perancangan pengangkutan dibuat betul-betul dari awal, Melaka sebenarnya sangat perlukan sistem mobiliti yang baik.

Sesiapa yang pernah pergi Melaka pada hujung minggu atau cuti umum tahu betapa sesaknya bandar itu. Jalan masuk ke Banda Hilir boleh jadi sangat perlahan. Kereta penuh. Parking susah. Pelancong ramai. Bas, van, kereta persendirian dan motosikal bercampur dalam ruang jalan yang terhad.

Tetapi untuk menyelesaikan masalah itu, Melaka memerlukan sistem yang benar-benar menghubungkan tempat penting. Contohnya dari Melaka Sentral ke Banda Hilir, dari Ayer Keroh ke pusat bandar, dari kawasan park and ride ke zon pelancongan atau sistem tram dan bas yang tersusun untuk mengurangkan kebergantungan kepada kereta.

Monorel Melaka tidak melakukan semua itu. Sebaliknya, ia hanya berpusing di kawasan pendek yang lebih sesuai untuk bersiar-siar. Sebab itu ia gagal menjadi jawapan kepada masalah kesesakan. Ia bukan direka untuk mengangkut ramai orang dari luar bandar ke pusat bandar.

Menariknya, pada tahun 2024 muncul pula cadangan untuk menukar trek monorel ini kepada laluan pejalan kaki. MBMB menyatakan idea untuk menjadikan landasan monorel di Jalan Tun Ali sebagai produk pelancongan baharu dengan konsep laluan pejalan kaki, kawasan berehat, lampu hiasan dan arca untuk bergambar.

Dalam satu sudut, idea ini nampak seperti usaha menyelamatkan apa yang masih ada. Daripada membiarkan landasan terus reput dan mencacatkan pemandangan, lebih baik ia diberi fungsi baharu. Kalau dibuat dengan selamat, cantik dan sesuai dengan bandar, ia mungkin boleh menjadi tarikan baru.

Namun mungkin itulah penamat yang paling baik untuk Monorel Melaka. Ia memang tidak pernah benar-benar menjadi pengangkutan awam. Jadi apabila ia ditukar kepada laluan pejalan kaki, sekurang-kurangnya fungsinya lebih jelas.

Tapi itu berita tahun 2024, tahun ini? Tak tahulah apa jadi.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet