Bayangkan seorang pemikir yang tidak gentar mencabar gereja, kerajaan, dan kepercayaan masyarakat pada zamannya, itulah dia Voltaire. Seorang penulis, ahli falsafah, dan pejuang kebebasan berfikir, Voltaire menjadi simbol kepada Zaman Pencerahan di Eropah.
Kata-kata beliau yang tajam dan berani menjadikan dirinya sebagai figura yang disanjung dan pada masa yang sama, ditakuti oleh pihak berkuasa.
Voltaire, atau nama sebenarnya François-Marie Arouet, lahir di Perancis pada tahun 1694. Sejak muda, beliau sudah menunjukkan kebijaksanaan dan kecenderungan terhadap sastera serta pemikiran kritis. Karya beliau merangkumi pelbagai bidang, daripada puisi, drama, sejarah, hingga filsafat. Kebanyakannya mengkritik dogma agama, ketidakadilan sosial, dan penyalahgunaan kuasa.
Salah satu karyanya yang paling terkenal ialah Candide, ou l’Optimisme (1759). Candide ialah sebuah novel satira yang menyindir kepercayaan bahawa dunia ini adalah yang terbaik dan sempurna. Melalui humor yang tajam, Voltaire menyerang pemikiran optimistik buta dan mengajak masyarakat untuk lebih realistik dalam memahami dunia.
Namun, keberanian Voltaire menyuarakan pandangan tidak datang tanpa risiko. Beliau beberapa kali dipenjarakan, malah terpaksa hidup dalam buangan kerana tulisan-tulisannya yang dianggap mencabar autoriti. Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat Voltaire. Sebaliknya, beliau terus menulis dan menyebarkan idea-idea kebebasan, toleransi, dan hak asasi manusia.
Meskipun Voltaire meninggal dunia pada tahun 1778, tetapi legasi beliau tetap hidup. Pemikiran Voltaire menjadi bara inspirasi kepada api Revolusi Perancis dan perkembangan demokrasi moden. Prinsip yang diperjuangkan Voltaure seperti kebebasan bersuara, hak individu, dan rasionalisme, masih relevan hingga ke hari ini.
Sebagai seorang tokoh Pencerahan, Voltaire mengajarkan kita bahawa dunia tidak boleh diperintah dengan dogma dan kekuasaan semata-mata. Sebaliknya, kebebasan berfikir dan keberanian mempertanyakan autoriti adalah kunci kepada kemajuan masyarakat.




No comments yet