Pernahkah anda tengok patung David yang tersohor tu? Kalau anda perhati betul-betul, otot perutnya memang nampak "real", urat di tangannya timbul seolah-olah ada darah sedang mengalir dan anatomi tubuhnya nampak sangat sempurna.
Bagi orang awam, hasil seni sebegini hanyalah disebabkan si pengukirnya ada bakat seni yang luar biasa. Tapi bagi Michelangelo, bakat untuk hasilkan seni yang sesempurna itu ada harganya dan harga itu perlu dibayar dengan bau busuk mayat.
Bayangkan, di tengah kehebatan zaman Renaissance yang penuh dengan lukisan cantik, ada seorang pemuda nekad masuk ke bilik mayat bawah tanah pada waktu malam. Di depannya itu bukan kanvas dan cat, tetapi mayat manusia yang sudah kaku dan berbau meloyakan.
Mungkin anda fikir, “Eh, mamat ni gila ke apa? Tak ada kerja lain ke nak buat?” Secara logiknya, pada zaman itu, membedah mayat adalah perbuatan yang sangat berdosa dan boleh dihukum oleh pihak gereja. Tapi Michelangelo ada satu obsesi yang sangat pelik. Dia memang bersungguh mahu kaji apa yang ada di bawah kulit manusia.
Baginya, kalau anda nak lukis manusia yang nampak hidup, anda tak boleh main agak-agak conteng dan lukis. Anda kena tahu di mana tulang itu bersambung, bagaimana otot itu mengecut dan ke mana arah urat itu pergi.
Jadi, dia buat satu "deal" rahsia dengan pihak gereja Santo Spirito di Florence. Sebagai balasan kerana menghasilkan salib kayu untuk mereka, Michelangelo dibenarkan untuk akses bilik mayat gelandangan yang tidak dituntut.
Maka, bermulalah episod gelap dalam hidupnya. Bayangkan dia memegang pisau bedah dalam cahaya lilin yang malap, memotong lapisan daging yang sudah mula reput semata-mata untuk mengkaji anatomi. Ada catatan yang mengatakan bau mayat itu sangat kuat sehingga Michelangelo sendiri jatuh sakit dan hilang selera makan berhari-hari.
Inilah ironinya. Demi menghasilkan seni yang suci dan dipuji di gereja-gereja besar, dia terpaksa bergelumang dengan najis dan kematian di bilik bawah tanah yang gelap.
Kenapa dia sanggup lalui semua seksaan ni?
Sebab bagi Michelangelo, seni adalah satu bentuk tuntutan suci untuk memahami ciptaan Tuhan yang paling sempurna, iaitu manusia. Dia tak mahu lukis "kartun"; dia mahu lukis " manusia". Obsesinya terhadap anatomi inilah yang membezakan dia dengan seniman lain pada zamannya.
Sebab itulah, bila anda tengok karya agungnya di siling Sistine Chapel, setiap susuk tubuh yang dilukis nampak begitu bertenaga dan realistik. Itu adalah hasil daripada ratusan jam yang dihabiskan bersama mayat-mayat di Florence.
Akhirnya, kisah Michelangelo ini membuktikan satu perkara. Di sebalik keindahan patung marmar yang kita kagumi hari ini, tersimpan rahsia gelap seorang lelaki yang sanggup "berkawan" dengan kematian demi mengejar satu erti kesempurnaan.




No comments yet