Selasa, 20 Oktober 202620 Okt 2026
Kriminologi

Siapa Jesus Malverde, Penyamun Robin Hood Yang ‘Disembah’ Oleh Kartel Dadah Mexico?

Pernah tak korang dengar kisah penyamun yang akhirnya disembah oleh sebilangan masyarakat di suatu tempat di Mexico?

Inilah kisah penyembahan Jesús Malverde, figura yang digelar sebagai “narco-saint” dan jadi simbol harapan bagi golongan tertentu di Mexico.

Sejarah kisah Jesús Malverde dikatakan hidup sekitar akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20 di Sinaloa, sebuah negeri di Mexico.

Namun begitu, banyak kisah tentang dirinya bercampur antara legenda dan realiti, sebab rekod rasmi tentang kewujudannya sangat terhad.

Menurut cerita rakyat, nama asalnya mungkin Jesús Juárez Mazo, seorang lelaki miskin yang menjadi seperti Robin Hood versi tempatan. Dia dikatakan merompak orang kaya dan membantu orang susah di kawasan pedalaman.

Ketika itu, Mexico berada di bawah pemerintahan Porfirio Díaz yang terkenal dengan pemerintahan autoritarian dan jurang antara kaya dan miskin yang besar.

Oleh itu, datanglah naratif tentang Malverde yang akhirnya muncul sebagai simbol protes terhadap ketidakadilan sosial.

Legenda menyebut dia akhirnya ditangkap dan dihukum mati sekitar tahun 1909. Mayatnya dikatakan tidak dibenarkan dikebumikan secara rasmi, lalu orang kampung menimbunkan batu sebagai tanda penghormatan.

Dari timbunan batu inilah, muncul satu kultus rakyat yang makin lama makin besar. Orang mula percaya roh Malverde mampu memberi pertolongan, terutama kepada mereka yang terdesak dan tidak mendapat keadilan daripada sistem rasmi.

Menariknya, penyembahan Malverde bukan sebahagian daripada ajaran rasmi Gereja Katolik, walaupun masyarakatnya menganggap ianya sebahagian daripada agama tersebut.

Tetapi, Gereja Katolik tidak pernah mengiktirafnya sebagai “santo”, dan secara rasmi menolak kultus tersebut.

Di bandar Culiacán, terdapat sebuah kapel kecil yang dibina untuk menghormatinya. Setiap tahun, khususnya pada 3 Mei yang dianggap hari kematiannya, ratusan hingga ribuan orang datang membawa lilin dan bunga.

Kenapa dia digelar “narco-saint”?

Jawapannya berkait rapat dengan reputasi Sinaloa sebagai pusat aktiviti kartel dadah, termasuk yang terkenal seperti Sinaloa Cartel.

Ramai pengedar dadah dan ahli kartel dilaporkan memohon perlindungan daripada Malverde sebelum menjalankan urusan mereka.

Mereka percaya Malverde memahami kehidupan di luar undang undang kerana dia sendiri dianggap penjenayah oleh pemerintah zamannya.

Setiap pengunjung di sana akan meninggalkan foto, patung kecil, wang, malah plak ucapan terima kasih selepas “permintaan” mereka dimakbulkan.

Ada yang bersaksi kononnya mereka selamat daripada serbuan polis atau terselamat daripada cubaan bunuh.

Fenomena ini sebenarnya lebih kompleks daripada pemujaan jenayah.

Bagi masyarakat miskin dan terpinggir, Malverde dilihat sebagai simbol solidariti kelas bawahan yang tidak mempercayai institusi rasmi.

Ahli antropologi melihat kultus ini sebagai bentuk religiositi rakyat atau “folk Catholicism”. Ia mencampurkan unsur kepercayaan Katolik dengan tradisi tempatan dan pengalaman hidup yang keras.

Dia bukan hanya diangkat sebagai pelindung penjenayah, tetapi juga sebagai simbol harapan bagi mereka yang rasa tidak didengari.

Ada juga yang membandingkan Malverde dengan figura lain seperti Santa Muerte yang turut popular dalam kalangan komuniti tertentu.

Kedua-duanya menunjukkan bagaimana agama rakyat boleh berkembang di luar kerangka teologi arus perdana.

Selain itu, media antarabangsa sering menggambarkan Malverde semata mata sebagai “narco-saint”.

Gambaran itu ada asasnya, tetapi ia tidak menangkap keseluruhan cerita tentang kenapa orang biasa turut datang berdoa di kapelnya.

Bagi sesetengah penduduk tempatan, Malverde dipercayai membantu mendapatkan kerja, menyembuhkan penyakit, atau melindungi keluarga yang berhijrah ke Amerika Syarikat.

Doa mereka tidak semestinya berkait dengan jenayah.

Bahkan, sejarawan juga berbeza pandangan tentang sama ada Malverde benar-benar wujud sebagai individu sejarah. Ada yang menganggapnya mitos kolektif yang lahir daripada tekanan sosial era Porfirio Díaz.

Kita dapat lihat bahawa penyembahan Jesús Malverde menunjukkan satu dimensi unik dalam beragama, yang berfungsi sebagai refleksi realiti sosial.

Di tempat yang hukum dan keadilan dirasakan tidak memihak kepada rakyat marhaen, simbol seperti Malverde akhirnya menjadi tempat bergantung demi menolak ketidakadilan sosial.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet