Adakah anda
mengenali nama ini? Saya yakin hanya sebahagian sahaja rakyat Malaysia yang
mengenali tokoh agamawan yang hebat ini. Hal ini tidak menghairankan kerana
berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Ramizah Hassan (2000), hasil temu-bual
yang beliau lakukan mendapati hanya 10% sahaja responden yang mengenali nama
tersebut.
Namun begitu, jika
saya menyebut nama Tafsir Pimpinan ar-Rahman, sudah tentu ramai yang pernah
mendengar judul karya agung ini. Iya, sheikh Abdullah Basmeih merupakan
pengarang Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran. Artikel ini
ditulis dengan tujuan untuk memperkenalkan masyarakat kepada seorang tokoh yang
telah membawa kita memahami terjemahan al-Quran di dalam Bahasa Melayu.
Al-Quran merupakan
wahyu daripada Allah yang bertujuan untuk memandu hidup manusia di dunia.
Namun, jika kita sekadar membaca al-Quran tanpa memahami maksud kalam-Nya,
sudah tentu penghayatan kita terhadap isi al-Quran menjadi berkurangan. Oleh
kerana itu, peranan yang dimainkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih ini merupakan
suatu usaha yang sangat bermanfaat kepada masyarakat khususnya di Malaysia.
KEHIDUPAN
AWAL SHEIKH ABDULLAH BASMEIH
Sheikh Abdullah
Basmeih sebenarnya bukanlah berketurunan Melayu. Beliau berasal dari Arab jika
menurut jalur ayah dan ibunya iaitu Sheikh Muhammad Basmeih bin Salleh yang
datang dari Hadramawt dan ibunya, Aisyah binti Abdullah yang berasal dari Arab
Saudi. Beliau dilahirkan pada tanggal 29 Disember 1913, namun ada juga pendapat
yang menyebutkan tahun 1915 berdasarkan umurnya sewaktu berhijrah ke Tanah
Melayu pada tahun 1927 iaitu 12 tahun.
Tempat
kelahirannya adalah di Ma’abdah, iaitu sebuah kawasan berhampiran Mekah.
Basmeih merupakan satu gelaran yang diberikan kepada golongan pedagang yang
berasal dari Hadramawt, Yaman. Beliau sempat dibesarkan di Mekah sebelum
berhijrah ke Tanah Melayu bersama bapanya.
Ibu Sheikh Abdullah Basmeih telah meninggal dunia sewaktu beliau masih berumur kurang dari dua tahun. Beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya yang bernama Khadijah Hammad. Sheikh Abdullah Basmeih hanya mempunyai dua orang adik-beradik lelaki sebapa iaitu Sheikh Said dan Sheikh Salim.
Mereka berdua merupakan saudaranya hasil perkongsian hidup Sheikh Muhammad Basmeih dengan seorang wanita Melayu yang bernama Yang Chik binti Haji Kesah yang berasal dari Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Melaka. Mereka berdua berkahwin semasa bapa Sheikh Abdullah Basmeih berulang-alik ke Tanah Melayu bagi menguruskan jemaah haji di Malaysia.
Selepas bapanya
meninggal dunia, Sheikh Abdullah Basmeih menggalas tanggungjawab mencari rezeki
bagi meringankan beban ibu tiri beliau walaupun pada masa itu, beliau masih
bersekolah. Beliau pernah menjual nasi lemak, menoreh getah, bersawah dan
menjual buah serta ikan. Beliau juga pernah bekerja sebagai buruh di Pahang,
pembantu tukang masak dan penjual kain dan rojak.
PERKAHWINAN
SHEIKH ABDULLAH BASMEIH
Sheikh Abdullah
Basmeih mendirikan rumah tangga pada tahun 1939 bersama Hajah Hawa Puteh. Umur
beliau ketika itu lebih kurang 26 tahun manakala isterinya pula berusia 16
tahun. Hajah Hawa Puteh merupakan anak kepada Haji Ali Mohd Tahir yang bekerja
sebagai seorang ahli perniagaan di Geylang Road, Singapura. Beliau berhijrah ke
Singapura kerana berasa kurang selesa bekerja di Melaka. Haji Ali telah banyak
membantu dan membimbing beliau.
Kesungguhan dan
sikap rajin yang ditunjukkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih mendorong Haji Ali
untuk mengahwinkan beliau dengan anak perempuannya, Hajah Hawa Puteh. Mereka
berdua dikurniakan seramai 23 orang anak namun hanya 14 orang sahaja yang
berpeluang hidup – 6 orang lelaki dan 8 orang perempuan.
Ketika ditanya
berkenaan jumlah anaknya yang ramai itu, Sheikh Abdullah Basmeih menjawab;
“Yang penting adalah ramai anak melalui seorang isteri, bukan ramai anak yang
diraih melalui empat orang isteri.” Namun begitu, setelah menjalani hidup
selama 49 tahun bersama Sheikh Abdullah Basmeih, isterinya Hajah Hawa Puteh
kembali ke rahmatullah pada tanggal 19 Julai 1987.
Kemudian, Sheikh
Abdullah Basmeih berkahwin dengan Hajah Rahmah binti Abu Taib pada 8 Februari
1988. Perkahwinannya ini diterima baik oleh anak-anak beliau yang merasakan
bahawa Hajah Rahmah merupakan pengganti yang terbaik buat ibu mereka.
PENDIDIKAN
YANG DITERIMA
Walaupun Sheikh
Abdullah Basmeih merupakan seorang tokoh yang ulung di Malaysia, pendidikan
yang diperolehnya bukanlah seperti kebanyakan ulama yang lain. Pendidikannya
bermula sewaktu beliau tinggal di Mekah dan beliau sempat menuntut ilmu di Suq
al-Layl. Seterusnya, beliau dihantar oleh ayahnya untuk belajar agama di masjid
Mekah sewaktu beliau berusia tujuh tahun.
Namun, tempoh
pembelajaran beliau di sana hanya sebentar sahaja memandangkan beliau dibawa
oleh ayahnya berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 12 tahun. Sebermulanya
beliau tinggal di Tanah Melayu, Sheikh Abdullah Basmeih dididik mengikut
suasana masyarakat tempatan pada waktu itu.
Pendidikannya yang
berlangsung selama empat tahun di Mekah di samping penguasaan Bahasa Arabnya
yang baik menjadi kunci kepada kegiatan penterjemahan yang dilakukan oleh
beliau ke atas pelbagai artikel dan kitab berbahasa Arab.
Ketika menetap di Tanah Melayu, beliau mendapatkan pendidikan di Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka. Persekitaran dan pergaulan beliau dengan masyarakat tempatan membolehkan beliau menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Beliau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana masalah kewangan.
Namun begitu, semangat dan kecintaan beliau terhadap ilmu mendorong beliau untuk banyak membaca buku, antaranya adalah Majalah Guru, sebuah buku karangan Pendita Za’ba dan pelbagai lagi bahan bacaan lain. Sheikh Abdullah Basmeih sendiri mengakui bahawa buku-buku adalah guru-guru beliau (Farid Ravi, 2011).
KEGIATAN
PENTERJEMAHAN
Sebelum
menghasilkan magnum opusnya yang berjudul Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Sheikh
Abdullah Basmeih memulakan kerjaya sebagai seorang penterjemah dengan Utusan
Malaysia. Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan sewaktu menjual
rojak. Artikel beliau pernah tersiar di dalam akhbar Warta Malaya. Bakat
penulisannya itu disedari oleh pengarang akhbar Utusan Melayu iaitu Haji
Mohammad Dahlan Masood.
Lantas, beliau
diberikan kepercayaan untuk menterjemah artikel daripada majalah al-Musawwar
untuk dimuatkan ke dalam Utusan Melayu. Beliau banyak menterjemahkan artikel
berkaitan agama dan wanita daripada majalah terbabit yang diterbitkan oleh
syarikat Al-Hilal di Mesir.
Sheikh Abdullah
Basmeih juga pernah berkhidmat untuk Qalam Press selama 12 tahun. Syed Abdullah
Hamid al-Idrus, pemilik penerbitan Qalam turut berminat dengan kebolehan beliau
sekaligus menawarkan jawatan kepada beliau sebagai pembantu pengarang untuk
majalah bulanan agama penerbitan Al-Qalam. Sepanjang tempoh 12 tahun
perkhidmatannya bersama Al-Qalam, Sheikh Abdullah Basmeih telah menterjemahkan
lebih daripada 30 buah buku yang berkaitan riwayat hidup Rasulullah S.A.W.,
isteri-isteri dan anak-anak baginda serta para sahabat baginda.
Beliau juga
menulis dan menterjemahkan artikel dalam pelbagai bidang seperti tasawwur,
tafsir, hadis, aqidah, sejarah, sosial dan politik sepanjang bertugas di sana.
Hasil kerja Abdullah Basmeih dan rakan sekerjanya di Qalam Press telah menarik
perhatian Universiti Kyoto, Jepun sehingga sebuah perjanjian telah termeterai
di antara kerajaan Malaysia dengan Universiti Kyoto untuk mendigitalkan kesemua
isu yang dikeluarkan oleh Majalah Al-Qalam supaya dapat diakses secara percuma.
PENGHASILAN
TAFSIR PIMPINAN AR-RAHMAN
Pengorbanan dan
jasa beliau dalam kegiatan penulisan dan penterjemahan sememangnya sangat
besar. Pada mulanya, idea untuk menterjemahkan Al-Quran ini timbul daripada
Tunku Abdul Rahman semasa beliau melantik Ustaz Faisal bin Haji Othman sebagai
penterjemah Al-Quran. Ustaz Faisal menggalas tanggungjawab tersebut selama
beberapa bulan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti. Kemudian, amanah
tersebut diserahkan kepada Sheikh Abdullah Basmeih.
Sebenarnya, hasil
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman lebih kepada terjemahan berbanding tafsir (Norhasnira
Ibrahim, 2013). Metodologi yang digunakan oleh Sheikh Abdullah Basmeih adalah
secara tafsir ijmali yang bermaksud tafsir secara umum di mana ianya memadai buat
masyarakat umum memahami maksud Al-Quran secara kasar. Laras bahasa yang
digunakannya mudah dan senang untuk difahami.
Namun begitu,
Sheikh Abdullah Basmeih tidak terlalu memberikan penelitian yang terlalu
mendalam dalam menyampaikan permaknaan bagi sebahagian ayat Al-Quran, walaupun
Bahasa Arab secara umum diketahui mempunyai pelbagai perkataan yang dapat
diterjemahkan dengan pelbagai maksud. Selain itu, dalam metodologinya itu,
beliau tidak terlalu menekankan unsur nahwu, balaghah Al-Quran dan Asbab al-Nuzul
(Azman Ariffin, 2018).
Metodologi yang
digunakan oleh beliau ini bersifat mesra-pengguna dan istilah serta makna yang
diterjemahkan oleh beliau kebanyakannya bertepatan dengan maksud di dalam
Bahasa Melayu.
Ketekunan dan
kegigihan beliau dalam menterjemahkan 30 juzuk Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu
wajar dikenang. Beliau mengambil tempoh selama 5 tahun untuk menyempurnakan
karyanya itu. Hasil terjemahannya telah disemak oleh Tuan Haji Muhammad Noor
bin Haji Ibrahim yang merupakan bekas Mufti Kelantan. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
diterbitkan secara berperingkat iaitu pada tahun 1968, 1970 dan lengkap pada
tahun 1972. Karyanya ini berhasil melonjakkan nama Sheikh Abdullah Basmeih
dalam bidang penterjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu.
Projek ini juga
diletakkan di bawah penyeliaan Jabatan Perdana Menteri. Versi asalnya adalah
dalam tulisan Jawi sebelum dialih kepada tulisan Roman untuk menggalakkan lagi
masyarakat supaya lebih dekat dengan Al-Quran. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman juga
telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Bahasa
Mandarin dan Bahasa Tamil.
Karya beliau telah
mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada umat Islam di Nusantara. Hal
ini dapat dibuktikan terutama apabila ianya diterbitkan beberapa kali pada tahun
1982, 1985, 1987, 1988, 1992, 1999, 2000, 2001 dan 2010. Respon yang baik
daripada masyarakat terhadap karyanya ini mungkin didorong daripada
pendekatannya dalam penterjemahan yang ternyata sesuai untuk kegunaan kesemua
lapisan masyarakat.
Hasil kerja Sheikh
Abdullah Basmeih ini diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sehingga
terjemahan tersebut dijadikan sebagai rujukan dan panduan yang perlu diikuti
oleh kesemua terjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu di Malaysia. Tafsir ini
juga menjadi rujukan di semua sekolah di Malaysia sehingga ke hari ini. Sheikh
Abdullah Basmeih turut menterjemahkan Tafsir Ila Al-Quran Al-Karim karangan
Sheikh Muhammad Syaltut dari Mesir dan meletakkan nama Intisari Al-Quran
sebagai judul kitab berkenaan.
MASTIKA
HADIS – KESINAMBUNGAN DARIPADA TAFSIR PIMPINAN AR-RAHMAN
Selain itu, Sheikh
Abdullah Basmeih juga menghasilkan sebuah lagi karya ulung iaitu Mastika Hadis
Rasulullah S.A.W. Kitab ini merupakan kitab terjemahannya yang kedua. Kitab
tersebut dianggap sebagai kesinambungan daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
Projek yang
dilaksanakan oleh JAKIM pada awal tahun 1970 ini merupakan cetusan idea
daripada Tun Haji Abdul Razak bin Husin, yang merupakan Perdana Menteri
Malaysia pada waktu itu yang bertujuan untuk menghasilkan sebuah bahan bacaan
dan rujukan dalam bidang hadis yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Usaha ini telah mendapat sokongan yang kuat daripada Bahagian Hal Ehwal Islam,
Jabatan Perdana Menteri.
Kitab yang
memiliki empat jilid tersebut telah menjadi sumber rujukan oleh seluruh masjid
di Malaysia bagi pengajian hadis. Sheikh Abdullah Basmeih hanya sempat
menyiapkan tiga jilid sahaja manakala pada jilid yang keempat, beliau hanya
mengumpulkan hadis berkaitan ibadah haji.
Beliau menjalinkan
kerjasama dengan Mohd. Noor bin Ibrahim dan Ismail bin Yusuf dalam penghasilan
mukadimah dan jilid pertama bagi kitab ini. Jilid kedua dan ketiga pula
merupakan hasil usahanya sendiri dan telah disemak dan disahkan oleh Sheikh
Abdullah Mohsein bin Haji Salleh, Mufti Wilayah Persekutuan yang pertama.
Beliau mengambil
masa selama lebih dua puluh tahun bermula dari awal tahun 1970-an hinggalah
beliau meninggal dunia untuk menyelesaikan kitab ini. Sheikh Abdullah Basmeih
mengambil rujukan daripada 26 buah kitab hadis yang muktabar dalam rangka
melengkapkan Muqadimah Mastika Hadis pada jilid pertama. Mastika Hadis diangkat
sebagai sumber rujukan bagi ahli akademik yang mengambil jurusan agama
khususnya bidang hadis.
Dengan
kemahirannya yang begitu tinggi dalam Bahasa Arab, Sheikh Abdullah Basmeih
banyak belajar melalui hasil karya ulama dan penulis dari Timur Tengah dan juga
hasil karya penulis dan cendekiawan dari Eropah. Integrasi antara
pengetahuannya yang meluas dalam pelbaga bidang ilmu telah membuatkan beliau
berupaya menterjemahkan kitab-kitab Arab ke dalam Bahasa Melayu. Terjemahannya
banyak dipengaruhi oleh suasana masyarakat Melayu Islam Nusantara sekaligus
membuatkan karyanya sesuai dan dekat dengan masyarakat tempatan.
Walaupun pada
zaman itu pertembungan di antara aliran kaum muda dan kaum tua sedang hangat
berlangsung, beliau mengambil pendekatan yang berkecuali. Namun begitu, aliran
yang diikuti oleh Sheikh Abdullah Basmeih jelas adalah aliran kaum tua. Hal ini
dibuktikan menerusi terjemahannya berkaitan ayat mutasyabihat di dalam Tafsir
Pimpinan Ar-Rahman.
Beliau memilih
untuk menterjemahkannya secara takwil berdasarkan aliran Asya’irah. Begitu juga
dengan keadaan di mana beliau memilih untuk mengamalkan mazhab Shafe’i yang
mana selari dengan pegangan aliran kaum tua.
PEMERGIAN
BELIAU MENINGGALKAN JASA DAN DITABURI ANUGERAH
Sheikh Abdullah
Basmeih menghembuskan nafas terakhir semasa berumur 84 tahun pada tanggal 14
Julai 1996 di rumah beliau yang terletak di Jalan Enggang Selatan, Taman
Keramat. Jasa dan sumbangan Sheikh Abdullah Basmeih sangat mempengaruhi dunia
akademik apabila kebanyakan artikel, tesis ataupun kertas kajian yang berkaitan
dengan Islam banyak merujuk karya agung beliau; Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan
Mastika Hadis Rasulullah.
Semangat dan kesungguhan beliau dalam memartabatkan Islam dan orang Melayu walaupun beliau sendiri bukan berbangsa Melayu sememangnya wajar dikenang. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat besar dan mendukacitakan bagi umat islam di Malaysia kerana usahanya menterjemahkan Al-Quran dan hadis bukanlah suatu tugasan yang mudah dan ia memakan tempoh yang sangat panjang. Beliau sanggup menerima gaji yang rendah walaupun mempunyai anak yang ramai untuk ditanggung.
Kesungguhannya
untuk mengembangkan pemikiran masyarakat Melayu di dalam bidang agama sangat
wajar dikenang. Ketekunan dan kegigihannya menjadikannya seorang ilmuan dan
penterjemah Al-Quran dan Hadis yang tersohor di Malaysia.
Sebagai menghargai
jasa beliau yang amat besar kepada negara dan umat Islam, Sheikh Abdullah
Basmeih telah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang Dipertuan
Agong, Almarhum Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibn Al-Marhum Sultan Badlishah,
YDPA ke-5 pada tahun 1973. Seterusnya, beliau juga dianugerahkan pingat
Kesatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 1989 daripada al-Mutawakkil Alallah Sultan
Iskandar, Yang Dipertuan Agong pada waktu itu serta anugerah Johan Mangku
Negara (JMN) daripada al-Marhum Tuanku Ja’afar di Istana Negara.
Beliau juga telah
dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1415 bersamaan 1994M peringkat Wilayah
Persekutuan. Sheikh Abdullah Basmeih telah mengorbankan banyak masa dan tenaga
beliau agar masyarakat Islam di Malaysia dapat memahami serta menghayati
Al-Quran dan Hadis dengan baik.
Oleh kerana itu,
jasa dan sumbangan beliau wajar dikenang oleh umat Islam kerana pengorbanannya
itu memberikan manfaat yang sangat besar kpeada perkembangan Islam di negara
ini. Tanpa beliau yang memulakan gerakan penterjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa
Melayu, berkemungkinan masyarakat Malaysia tidak dapat memahami dan menghayati
isi kandungan Al-Quran.
RUJUKAN:
Azman Ariffin,
Kasyfullah Abd. Kadir and Idris Mansor. (2018). Archeological Analysis of
Arabic-Malay Translation Works of Abdullah Basmeih. International Islamic
University Malaysia.
Muhammad Farid
Ravi Abdullah. (2011). Syeikh Abdullah Basmeih Bin Muhammad Basmeih: Kajian
Terhadap Mastika Hadis.
Norhasnira Binti
Ibrahim. (2013). The Evolution of Quranic Interpretation Writings In Malaysia
From The 17th to 21st Century. Universiti Sains Islam
Malaysia.
Wan Ramizah
Hassan. (2000). Sumbangan Abdullah Basmeih dalam Bidang Tafsir: Kajian Khusus
Terhadap Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Universiti Malaya.




No comments yet