Pada tahun 977 Masehi, seorang penyair Parsi bernama Ferdowsi memulakan pengembaraannya di alam puisi yang memakan masa 33 tahun lamanya. Beliau banyak menggunakan hikayat-hikayat lama Parsi sebagai sumber inspirasi bagi mengarang puisi-puisinya, terutama yang menyentuh perihal raja-raja, perwira-perwira legenda, dan makhluk-makhluk mitos.

Mahakaryanya itu dinamakan sebagai Shahnameh yang boleh dimengerti sebagai Kitab Raja-Raja, sebuah epik puisi paling panjang pernah dikarang dalam sejarah manusia. Matlamat utama Ferdowsi menghasilkan karyanya itu adalah untuk menghidupkan kembali budaya, mitologi, dan bahasa Parsi yang kian luntur semenjak rantau itu menerima kemasukan pengaruh dari bangsa Arab di bawah pemerintahan Kekhalifahan Islam.

RIWAYAT HIDUP FERDOWSI

Ferdowsi dilahirkan di kota Tus pada tahun 935 Masehi. Pada waktu itu, kekuasaan warga Parsi di wilayah-wilayah Iran dikembalikan oleh Dinasti Samaniyyah setelahmana daerah-daerah di sempadan timur Kekhalifahan Islam mula membebaskan diri sekitar 861 Masehi. Ferdowsi lahir dalam keluarga kehormat dan mewarisi gelaran dehqan dari generasi ke generasi. Dehqan tergolong dalam kelas sosial atasan dan dianggotai oleh ketua-ketua masyarakat dan pemilik-pemilik tanah.

Semasa warga Parsi mula-mula menerima pengaruh Islam, kebanyakan dehqan tidak memeluk Islam untuk mentaati ajaran agama tersebut, sebaliknya demi melindungi budaya Zoroastrian dengan menggunakan autoriti sosial mereka.

Berkurun-kurun lamanya, mereka menjadi pemelihara budaya dan hasil sastera Parsi purba sekaligus menjadi tunjang utama yang membentuk dan menghidupkan identiti Iran.

Kekayaan golongan dehqan membolehkan mereka memberikan pendidikan terbaik buat anak masing-masing, justeru Ferdowsi dibekalkan dengan pengetahuan sastera sedari usia kecil lagi. Beliau juga menunjukkan minat mendalam terhadap kebudayaan Parsi hinggakan puisinya banyak diinspirasikan oleh kandungan manuskrip-manuskrip purba.

Pada tahun 977 Masehi, berlaku perubahan kuasa di Parsi berikutan tumbangnya kekuasaan Dinasti Samariyyah dan munculnya Dinasti Ghaznawiyah. Ferdowsi kemudian berkhidmat sebagai penyair di balairung istana Ghaznawi dan syair-syairnya yang berkualiti meraihkannya gelaran Ferdowsi dari raja.

Gelaran tersebut diambil daripada akar kata pardisi atau fardisi yang bermaksud ‘dari syurga’. Bersama gelaran kurniaan raja itu, Ferdowsi pun mengarang Shahnameh sekaligus memulakan pengembaraannya di alam puisi yang bakal melahirkan sebuah mahakarya agung.

Tugu Ferdowsi di Tehran, Iran


RINGKASAN SHAHNAMEH

Sebelum menulis Shahnameh, Ferdowsi terlebih dahulu mengumpulkan karya-karya sastera dari zaman purba, antaranya seperti Khodaynameh (Kitab Dewa-Dewa). Manuskrip purba itu dihasilkan atas perintah Anushiravan si raja Sassanid dan digarap berdasarkan fakta-fakta sejarah yang dicatatkan oleh pendeta-pendeta Zoroastrian dan legenda-legenda dari era mitos yang termaktub dalam Avesta, kitab suci agama Zoroastrian.

Karya sastera Parsi yang memerihalkan kisah-kisah raja dan legenda-legenda purba sudah pun wujud sekurang-kurangnya pada kurun ke-6 SM, yakni semasa zaman pemerintahan Achaemenid. Ferdowsi membahagikan garis masa Shahnameh kepada tiga zaman utama, iaitu zaman mitos, zaman perwira, dan zaman sejarah. Perincian ringkas bagi setiap zaman adalah sebagaimana berikut:

Zaman Mitos merangkumi puisi-puisi tentang penciptaan dunia dan manusia pertama bernama Keyumars yang kononnya merupakan raja pertama Parsi. Dikisahkan juga yang cucu Keyumar, Hushang, menemukan ilmu menyalakan api dan mengasaskan sebuah keraian api bernama Saedh yang disambut secara tahunan.

Kemudian, Jamshid si penggembala haiwan pula dimahkotakan sebagai raja terulung atas bimbingan Ahura Mazda dan memerintah dunia dengan makmur serta menundukkan kuasa-kuasa j4h4t yang disebut sebagai deev. Jamshid turut mengasaskan sebuah keraian, iaitu keraian Tahun Baru Parsi yang dinamakan sebagai Nowruz dan ia disambut pada tanggal 20 Mac setiap tahun.

Seterusnya, Jamshid dibvnvh dan takhtanya diambil oleh Zahhak si anak Ahriman. Ahriman kemudian mengucup bahu Zahhak lalu lahir daripadanya dua ekor ular. Zahhak cuba membvnvh kedua-dua ular itu, namun ia tetap juga tumbuh di bahunya.

Ular-ular itu perlu diberi makan otak kanak-kanak pada setiap hari. Dek khuatir dirinya akan dibvnvh, Zahhak pun memenuhi keperluan tersebut. Hal ini membangkitkan kemarahan seorang tukang besi bernama Kaveh yang enggan membiarkan anak bongsunya m4t1.

Maka, Kaveh pun mengibarkan panji penentangan. Dengan bantuan warga setempat dan putera Fereydun, mereka berhasil memberkas Zahhak dan merantainya di Gunung Damavand, utara Iran – gunung berapi tertinggi di Asia dan puncak tertinggi di Timur Tengah.

Pada bahagian ini juga terdapat kisah-kisah berkenaan raja Fereydun dan tiga orang puteranya, iaitu Salm, Tur, dan Iraj. Setelah Fereydun mangkat, ketiga-tiga putera itu mewarisi tiga penjuru dunia di mana Iraj memerintah empayar Parsi.

Pembahagian sebegini membibitkan rasa iri Salm dan Tur sekaligus mencetuskan p3r4ng saudara. Iraj dibvnvh oleh Tur dan cucu Iraj yang bernama Manuchehr dilantik sebagai raja Parsi.

Zahhak dibelenggu di Gunung Damavand


Zaman Perwira
merangkumi puisi-puisi cinta, kisah perwira dan kisah pertempuran. Diceritakan bahawa Sam, sahabat Manuchehr, dikurniakan seorang anak bernama Zal. Zal dilahirkan c4c4t (albino), menyebabkan Manuchehr menyangka anak itu terkena sampukan syaitan.

Maka, Zal pun ditinggalkan di puncak Gunung Damavand. Mujur, seekor burung legenda bernama Simurgh yang bersarang di situ menjumpai Zal lalu ia pun membesarkannya. Simurgh berpengalaman mengharungi tiga zaman kehancuran dunia, justeru beliau mempunyai pengetahuan yang luas lagikan dalam.

Setelah usianya meningkat dewasa, Zal pun meninggalkan Simurgh. Namun, Simurgh sempat memberinya tiga bulu emas dari sayapnya. Pesan Simurgh, jika mahu meminta bantuan daripadanya, bakar saja bulu itu dengan api keramat.

Tidak lama kemudian, Zal menemui cinta hatinya, Puteri Rudabeh dan mereka pun berkahwin. Rudabeh melahirkan seorang anak lelaki bernama Rostam. Rostam tumbuh membesar sebagai wira terulung Parsi.

Beliau masyhur dengan tujuh petualangannya yang diharungi bersama Raksh, kudanya yang gagah lagi setia. Antara tugasannya dalam tujuh kali pengembaraan itu adalah menundukkan syaitan putih, menewaskan ahli sihir jelita, membvnvh naga dan singa, serta menaklvk raja-raja berkuasa.

Rostam kemudian mengahwini Puteri Tahmineh dan dikurniakan seorang putera bernama Sohrab. Kepada Sohrab diberikan sebentuk gelang (atau kalung) lalu Rostam pun meninggalkan isterinya Tahmineh dan puteranya yang masih bayi.

Sohrab membesar tanpa sempat melihat bapanya. Beberapa tahun kemudian, anak-beranak itu saling berhadapan dalam sebuah pert3mpvran tanpa mengenali antara satu sama lain, sehinggalah Sohrab tewas di tangan Rostam.

Pada masa itu, barulah Rostam menyedari gelang (atau kalung) yang dipakai oleh Sohrab lantas tahulah bahawa beliau telah membunuh puteranya sendiri.

Pada bahagian ini, terkandung juga kisah cinta antara Bijan, seorang pahlawan Parsi dan Manijeh, seorang puteri dari Empayar Turan yang menurut mitos, merupakan seteru besar Parsi. Kisah cinta ini berakhir dengan perang epik antara dua empayar berkenaan.

Lukisan Irani yang menggambarkan burung Simurgh

Zaman sejarah pula merangkumi pemerihalan sejarah yang dimulakan daripada era Parthia, iaitu zaman sesudah wilayah-wilayah Iran bebas dari cengkaman penguasa Yunani dan Macedonia.

Namun, Shahnameh lebih banyak menumpu pada raja-raja Sassanid yang diceritakan dengan cukup rinci. Kitab Raja-Raja ini ditamatkan dengan kisah penguasaan Arab-Islam ke atas Parsi pada tahun 651 Masehi.

FERDOWSI TERUS DIKENANG MENERUSI SHAHNAMEH

Setelah mengarang selama 33 tahun, Shahnameh akhirnya disiapkan pada tanggal 8 Mac 1010 Masehi ketika Ferdowsi berusia 71 tahun. Sepuluh tahun kemudian, Ferdowsi meningg4l dunia dan dimakamkan di kampung halamannya, Tus.

Secara keseluruhan, Shahnameh mengandungi 62 buah kisah, 990 buah bab dan 60 000 kuplet berima sekaligus menjadikannya puisi paling panjang dalam sejarah kesusasteraan dunia. Karya ini tujuh kali lebih panjang jika dibandingkan dengan Illiad karya Homer.

Shahnameh ditulis dalam bahasa Parsi klasik yang masih dituturkan oleh masyarakat Iran dan masyarakat-masyarakat yang terkait secara budaya dengan Irani pada hari ini. Memandangkan bahasa Parsi telah diharamkan secara rasmi oleh para pemerintah Arab selama hampir 200 tahun, karya Ferdowsi ini dianggap telah menghidupkan kembali pengaruh bahasa berkenaan.

Bahkan pada hari ini, Shahnameh merupakan bacaan lazim bagi keluarga Irani dan dianggap sebagai mahakarya sastera bagi masyarakat penutur bahasa Parsi. Berkurun-kurun lamanya, kisah-kisah dari magnum opus ini terus diceritakan dan mempengaruhi budaya sastera di Asia.

Gaya bahasa Ferdowsi sememangnya mempunyai cirinya yang tersendiri. Kosakatanya luas, nilai keseniannya tinggi, dan susun aturnya mengujakan para pembaca. Beliau dikenang sebagai pemuisi Parsi terulung yang dengan kuasa pena, berjaya menyelamatkan dan menghidupkan kembali bahasa, budaya, dan warisan Parsi.

M4k4m Ferdowsi di Tus, Iran

RUJUKAN:

Mahbod Khanbolouki. (7 Mac 2015). The Longest Poem Ever Written: Shahnameh – The Epic Book of Kings. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/longest-poem-every-written-shahnameh-epic-book-kings-002747


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.