Siapa peminat mitologi Yunani Kuno, mesti pembaca kenal dengan wanita yang bernama Medusa yang disumpah oleh dewi Athena selepas melakukan hubungan intim dengan dewa Poseidon di kuilnya, menjadi raksasa berambut ular berbisa. Lagendanya semakin terkenal selepas kepalanya dipancung oleh pahlawan bernama Perseus, kemudian menyerahkan kepala Medusa kepada dewi Athena.
Namun di Timur Tengah wujud karakter seperti Medusa dalam dunia mitologi mereka. Nama karakter itu ialah ‘Shahmaran’. Nama Shahmaran berasal dari bahasa Parsi dengan menggabungkan nama ‘shah’ dan ‘maran’. Jika dua nama ini digabungan, ia bermaksud ‘Raja Segala Ular’. Raja-raja Parsi pernah menggunakan nama ini sebagai gelaran untuk tunjukkan kuasa. Tetapi oleh sebab Shahmaran dalam mitologi ialah seorang wanita, maksud namanya bertukar kepada ‘Ratu Segala Ular’.
Mitos Shahmaran berasal dari timur Anatolia di Turki dan berkait dengan budaya Kurd dan Turki. Shahmaran juga hadir dalam budaya Tatar dan Chuvash yang juga bertutur dalam bahasa Turkic dan menetap di timur. Kisah lagenda Shahmaran telah berubah zaman-berzaman, namun ada beberapa unsur dalam kisahnya masih tidak berubah seperti cerita Shahmaran bersama pemuda bernama Tahmasp. Tahmasp juga mempunyai nama lain seperti Cansab, Djansab, dan Cemshab mengikut versi lain.
Sesetengah versi pula menyatakan kota tempat Tahmasp berasal ialah kota Mardin iaitu kota Rom Kuno yang terletak di tenggara Turki. Walau bagaimanapun, kisah inilah menjadikan Shahmaran menjadi terkenal dalam budaya kaum-kaum Turkic di Timur Tengah.
KISAH TAHMASP DAN SHAHMARAN
Tahmasp berasal dari keluarga yang miskin dan bekerja sebagai pemotong kayu. Kayu yang dia potong kemudian dijual dan hasil jualan itulah sumber kehidupannya. Pada suatu hari, Tahmasp bersama kawan-kawan yang juga pemotong kayu pergi ke hutan untuk memungut ranting kayu, kemudian mereka terjumpa sebuah gua yang penuh dengan madu. Tahmasp masuk ke dalam gua untuk memungut madu tersebut.
Selepas memungut madu, dia perasan kawannya telah meninggalkannya. Tinggal dia keseorangan dalam gua tersebut. Tahmasp begitu sedih dan risau dia akan mati dalam gua. Tetapi dia menemui lubang kecil di balik dinding gua. Dengan menggunakan pisau yang dia simpan, Tahmasp mengorek sekeliling lubang itu. Lubang itu membesar dan membentuk sebuah lubang besar. Tiba masa Tahmasp kepenatan, dia berehat sebentar sehingga tertidur.
Sebaik saja dia bangun, Tahmasp terkejut dengan kehadiran beratus-ratus ular yang mengelilingnya. Ular tersebut hanya memerhati Tahmasp dan apabila dia bergerak, ular-ular itu mula menuju kepadanya. Tahmasp ketakutan. Dia tahu bahawa dia bakal mati dipatuk oleh ular yang begitu banyak. Dia menutup mata untuk menyediakan diri untuk mati. Namun begitu, tiada apa-apa yang berlaku. Tahmasp memberanikan diri membuka matanya untuk melihat keadaan.
Apabila Tahmasp membuka matanya, dia melihat wanita cantik di hadapannya. Dialah Shahmaran. Tahmasp terdiam apabila melihat bahagian bawah wanita itu ialah tubuh berupa ular. Shahmaran kemudian memperkenalkan dirinya dan memberitahu Tahmasp supaya tidak takut kerana dia dan ular disekeliling mereka tidak akan cederakannya.
Ular-ular itu sebenarnya ular yang dikawal oleh Shahmaran sendiri dan ia bukan ular yang calang-calang: pintar, peramah, dan penyayang. Shahmaran meberitahu Tahmasp bahawa mereka akan melayannya seperti tetamu dan menyuruh meneruskan rehat. Dia berjanji pada esok hari mereka berdua berbual lagi. Selepas itu, Shahmaran menghilangkan diri.
Tahmasp hanya terdiam saja dan tidak tahu apa nak kata, seolah-olah dia mengalami mimpi. Kemudian dia meneruskan tidurnya. Bangun saja dia, dia berada di dalam dewan yang besar dan di hadapannya terdapat meja yang penuh dengan makanan.
Shahmaran pula berbaring di atas meja itu. Barulah Tahmasp percaya bahawa apa yang dia alami bukannya mimpi. Shahmaran menjemput tetamunya untuk menjamu sarapan dan memulakan cerita tentang sejarah manusia. Tahmasp tertarik dengan kelakuan Shahmaran yang bijaksana, kemudian mereka berdua menjadi pasangan kekasih.
TAHMASP BERTEMU DENGAN RAJA
Tahmasp bahagian bersama Shahmaran di lokasi yang dikatakan sebagai kerajaan bawah tanah milik Shahmaran sendiri. Walau bagaimanapun, datang rindu Tahmasp terhadap keluarganya dan dia mahu kembali sekejap ke pangkuan keluarga. Pada mulanya, Shahmaran agak keberatan untuk melepaskan pasangannya namun atas dasar cinta, dia menerima permintaan Tahmasp.
Sebelum Tahmasp meninggalkan kerajaan bawah tanah, Shahmaran menegaskan kepada Tahmasp bahawa tiada sesiapa tahu tentang kerajaan yang diperintah oleh wanita bertubuh ular ini. Tambahan pula, Tahmasp harus menerima salah satu ciri dari Shahmaran kerana mereka berdua telah lama tinggal bersama. Shahmaran memberitahu bahawa Tahmasp tidak boleh pergi ke tempat mandi awam kerana kulitnya akan mendedahkan sisik jika bersentuhan dengan air dan rahsia mereka berdua akan terbongkar.
Tahmasp mematuhi peringatan kekasihnya dan balik ke rumah. Akhirnya dia bertemu keluarganya dan menetap selama beberapa tahun. Semuanya dalam keadaan baik sehinggalah raja yang memerintah kota yang Tahmasp tinggal (versi lain menyebut puteri raja) telah mengalami kesakitan yang misteri.
Ahli perubatan diraja memeriksa keadaan rajanya itu dan memberitahu bahawa untuk menyembuhkan sakit baginda, haruslah memakan daging Shahmaran. Raja itu kemudian mengarahkan untuk menyebar luas berita ini dan mencari sesiapa yang mengenali Shamaran dan pernah pergi ke kerajaannya.
Namun pencarian ini sukar untuk dilaksanakan, maka ahli perubatan itu mencadangkan baginda untuk menuangkan air ke atas kulit setiap rakyat. Jika kulitnya menjadi sisik, dialah orang yang pernah bertemu dengan Shahmaran. Dalam kes Tahmasp, dia telah diberitahu tentang amaran dari Shahmaran dan perkara ini tidak baik buat Tahmasp.
Raja itu kemudian mengarahkan rakyat yang baginda pilih dikumpulkan ke tempat mandi awam. Mereka ini diperhatikan oleh para tentera diraja sebaik saja rakyat dipilih ini berendam dalam kolam. Tahmasp cuba melarikan diri dengan bersembunyi namun tertangkap oleh salah satu tentera diraja dan memaksa dia berendam dalam kolam.
Sebaik saja tentera itu menghumban Tahmasp ke dalam air, serta-merta kulitnya menghilang dan timbul sisik. Tahmasp dikeluarkan dari kolam dan dibawa menghadap raja. Tahmasp pada awalnya tidak mahu memberitahu tentang cintanya namun akhirnya dia terpaksa membuka mulut setelah diseksa tanpa henti.
PENGAKHIRAN HIDUP TAHMASP DAN SHAHMARAN
Setelah raja mengetahui lokasi Shahmaran, baginda menghantar para tentera ke gua tempat Tahmasp bertemu kekasihnya, menangkap dan membawa Shahmaran ke istana. Tahmasp yang berada dalam istana merasa malu dan kecewa apabila bertentang mata dengan Shahmaran yang ditangkap itu, kecewa dia mengkhianati cintanya.
Shahmaran kemudian memberitahu rahsia penyembuhan kepada raja. Dia memberitahu jika sesiapa memakan ekornya, dia akan mempunyai kebijaksanaan dan umur yang panjang. Jika seseorang memakan kepalanya, dia akan mati. Selesai memberitahu rahsianya, dia dibunuh dan mengerat tubuhnya menjadi tiga bahagian.
Raja itu terus mengambil bahagian ekor Shahmaran dan memakannya. Sesetengah versi lain pula menyatakan wazir (pegawai tinggi Turki) atau ketua tentera memakan ekornya. Manakala Tahmasp pula terus memakan kepala Shahmaran kerana begitu sedih sampai berniat untuk membunuh diri. Mengejutkan, raja (wazir atau ketua tentera) itu yang mati dan Tahmasp pula masih tidak tiada apa-apa.
Kisah itu tidak menceritakan mengapa perkara sebegitu berlaku namun ada jawapannya jika meneliti lukisan-lukisan yang menggambarkan rupa Shahmaran. Shahmaran mempunyai dua kepala: kepala manusia dan kepala ular di hujung ekornya. Dalam kes ini, kepala manusia Shahmaran berkemungkinan ialah ekor sebenar manakala kepala ular pula ialah kepala sebenar Shahmaran.
Kisah ini berakhir dengan Tahmasp meninggalkan rumahnya dan mengembara sendirian. Oleh sebab dia peroleh kebijaksanaan dari kekasihnya, dia menjadi seorang yang warak. Namun penyesalan mengkhianati cintanya tidak hilang sehingga dia meninggal dunia.
Terdapat versi lain menceritakan bahawa ular di bawah pimpinan Shahmaran bersumpah menjadi musuh utama manusia setelah mengetahui kematian ratu mereka. Ada satu lagi versi menceritakan Tahmasp pergi ke kerajaan bawah tanah dan meminta ular-ular itu menghukum dirinya.Walau bagaimanapun, tidak diceritakan tentang sama ada ular-ular itu menghukum atau memaafkan Tahmasp.
LAGENDA SHAHMARAN YANG BERKEKALAN
Walaupun kisah ini menyedihkan, namun legasi Shahmaran diperingati sebagai simbol perlindungan. Lukisan Shahmaran digantung pada dinding rumah sebagai bentuk pendinding dari sebarang ancaman. Ada juga kalangan warga Timur Tengah memakai perhiasan berupa wanita bertubuh ular itu.
Di Turki, Shahmaran menjadi simbol kebudayaan bagi rakyat terutamanya rakyat kota Mardin yang ramai dengan penduduk bangsa Kurd dan Arab. Dipercayai bahawa kota Mardin ialah kota tempat Tahmasp tinggal. Shahmaran juga menjadi karakter fiksyen dalam dunia penceritaan seperti ‘The Ring of Shah Maran, A Story from the Mountains of Kurdistan’ yang ditulis oleh Raphael Emmanuel dan diterbit pada 1944.
Pada tahun 2020, Mardin Metropolitan Municipality mengadakan pameran seni terbuka yang bernama Shahmaran Mardin untuk mempamerkan tugu Shahmeran yang direka oleh artis bernama Ayla Turan.
RUJUKAN:
Mingren, W. (7 September 2021). Who Was Shahmaran? Lover, Trickster, Ancient Persian Snake Lady. Ancient Origins.
Emmanuel, Raphael (1944). The Ring of Shah Maran: A Story from the Mountains of Kurdistan. Danville, Illinois: Interstate Printers and Publishers.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih