Kalau kau pernah pergi Jepun, mesti ada satu soalan yang terlintas dalam kepala. Kenapa susah gila nak jumpa tong sampah? Bandar bersih, orang teratur, stesen subway kemas macam muzium. Tapi bila botol air dah kosong, kau akan sedar yang tong sampah macam tak wujud.
Ramai orang fikir ini soal budaya. Konon orang Jepun rajin bawa balik sampah sendiri. Betul, tapi ada satu peristiwa hitam yang buat Jepun, khususnya Tokyo jadi paranoid.
Jawapannya kembali ke 20 Mac 1995.
Pagi Isnin. Waktu puncak. Subway Tokyo penuh orang pergi kerja. Dan pagi itulah, Jepun diserang dengan senjata kimia oleh kumpulan kultus kiamat bernama Aum Shinrikyo.
Cara serangan dia hanya dengan plastik berisi cecair sarin, dibalut surat khabar, ditinggalkan dalam gerabak tren. Bila plastik itu dicucuk dengan hujung payung, cecair itu tersejat. Gasnya merebak. Orang mula sesak nafas, mata pedih, badan kejang. Ada yang rebah di platform. Ada yang mati perlahan-lahan tanpa faham apa yang sedang berlaku.
Hari itu, 13 orang terbunuh, ribuan cedera. Dan yang paling menakutkan, serangan itu berlaku di tempat paling biasa iaitu subway. Tempat orang guna setiap hari. Tempat yang sepatutnya selamat.
Lepas serangan itu, Jepun tangkap pelaku dan hantar ke mahkamah. Jepun pun ubah cara mereka melihat bandar.
Diorang sedar apa-apa senjata boleh ditinggalkan dalam tempat tersembunyi seperti tong sampah awam. Lepas 1995, benda itu jadi mimpi ngeri bagi perancang keselamatan Jepun.
Sebab itu, lepas serangan sarin, tong sampah awam mula dikurangkan secara besar-besaran terutama di stesen tren dan kawasan awam sibuk.
Akibatnya, lahirlah realiti pelik Jepun hari ini. Bandar antara paling bersih di dunia, tapi tong sampah awam hampir tiada. Orang Jepun adapt. Sampah dibawa balik. Botol kosong disimpan dalam beg. Kalau terdesak, cari konbini.
Yang menarik, generasi muda Jepun pun tak semua tahu cerita ni. Pelancong pula lagi la. Diorang cuma rasa Jepun “menyusahkan”. Padahal yang kau sedang hadapi itu ialah kesan jangka panjang keganasan domestik.
Aum Shinrikyo sendiri bukan muncul tiba-tiba pada 1995. Sejak hujung 1980-an, kumpulan ini dah terlibat dengan penipuan, penculikan, pembunuhan, eksperimen biologi dan serangan sarin lebih awal di Matsumoto pada 1994. Serangan subway cuma kemuncak kepada kegilaan yang lama dibiarkan.
Akhirnya, ketua kultus Shoko Asahara dan beberapa pemimpin utama dihukum mati pada 2018. Tapi walaupun orangnya dah mati, kesannya masih hidup dalam bentuk tong sampah yang “hilang”.




No comments yet