Sawankhalok terkenal dengan pembuatan seramik yang bermula pada era kerajaan Sukhothai. Perlu dinyatakan bahawa seramik Sukhothai dan Sawankhalok adalah dua entiti pembuatan seramik yang berbeza, di mana seramik Sawankhalok lebih tinggi kualiti dan mutunya berbanding dengan pembuatan seramik Sukhothai yang dibuat ala ‘mass production.
Di mana letaknya Sawankhalok?
Menurut Putera Damrong Rajanubhab, terdapat sebuah kawasan yang bernama Chaliang, yang terletak di pinggir Sungai Yom, yang berkedudukan hanya 4 kilometer ke selatan daripada sebuah kota tua. Kemudian raja awal Sukhothai membangunkan kota tua ini hingga ke Chaliang dan menamakan kota besar (greater city) yang baru ini sebagai Srī Satchanalai. Pada era Ayutthaya kemudiannya, kedua-dua nama Chaliang dan Srī Satchanalai ini digelar sebagai Sawankhalok. Ini versi rasminya.
Kini, Sawankhalok lebih dikenali sebagai Si Satchanalai dalam peta moden Thailand dan ia terletak sekitar 50 kilometer daripada Sukhothai Tua (Old Sukhothai), iaitu pusat pemerintahan dinasti Phra Ruang.
Mengikut pengkaji lapangan, pusat pembuatan seramik Sawankhalok terletak di daerah yang dinamakan Ko Noi dan Pa Yang.
Kenapa Sawankhalok terkenal?
Hanya satu sahaja sebabnya, seramik! Pembuatan seramik Sangghalok atau Sawankhalok ini amat terkenal di Asia Timur dan Nusantara.
Pendapat paling popular menyatakan bahawa Raja Ram Khamhaeng telah membawa masuk pembuat seramik dari China pada abad ke-13 Masihi. Raja dinasti Phra Ruang ini orang yang megah, beliau mahu Sukhothai mempunyai kilang seramik sendiri sepertimana Maharaja China punya kilang seramik diraja di Pien-Chow dan Hang-Chow.
Pandangan ini diperkuatkan lagi dengan penemuan pecahan-pecahan seramik kerajaan Ming, pada ketika Sawankhalok berada di bawah pemerintahan Ayutthaya.
Namun, tidak semua pengkaji seramik Thailand bersetuju dengan pandangan ini. Ambil contoh John Shaw, seorang pengkaji seramik yang menetap di Chiang Mai. Beliau percaya bahawa seramik Sukhothai dan Sawankhalok tidak berasal sepenuhnya dari China. Kerana apa? Kerana sebelum itu, seramik Mon sudah wujud awal lagi di bumi Thailand. Pengaruh tak langsung China mungkin ada, seperti ada kemungkinan pembuat seramik Sawankhalok meniru seni reka seramik China tetapi intipati pembuatan seramik di sini masih lokal.
Pernyataan John Shaw itu ada pemberatnya kerana di Siam, ketiadaan ‘serbuk putih tanah liat’ yang diperlukan dalam campuran feldspar untuk membuat seramik porselin tidak memungkinkan industri seramik Siam ini 100% berasal daripada China.
Saudagar Cina mungkin ada membiayai pembuatan seramik di Sawankhalok (ala-ala FDI zaman moden), menggunakan pekerja dari China tetapi yang pasti tiada pusat pembuatan seramik China yang menggunakan porselin atau kobalt ditemui di Thailand.
Zaman pemerintahan Ayutthaya yang bersamaan kerajaan Ming di China menyaksikan Sawankhalok mendapat nafas baru dalam pembuatan seramik. Pada ketika inilah seramik Sawankhalok berwarna warni, seperti yang dapat kita lihat di muzium di Bangkok dan di Ayutthaya.
Di Museum Majapahit Trowulan, ada sebuah piring yang berasal dari Sukhothai. Ciri-ciri piring yang bermotif ikan berwarna biru ini mirip sekali dengan kajian yang dilakukan oleh pakar seramik Thailand. Penulis juga pernah bertanya kepada seorang ahli akademik yang pakar dalam bidang seramik negara, sama ada beliau pernah terjumpa sebarang seramik Sukhothai atau Sawankhalok di Lembah Bujang. Beliau berkata, ekskavasi yang dilakukan memang ada menemukan seramik Sukhothai, malah beliau percaya seramik ini dibawa masuk oleh pedagang Melayu yang berdagang dengan kerajaan Sukhothai dan bukannnya pedagang Sukhothai yang datang ke Lembah Bujang.
Jika anda ke Thailand, seramik ini boleh dilihat di beberapa buah muzium di Old Sukhothai, Si Satchanalai dan juga di Bangkok.
Begitulah sedikit sebanyak kisah seramik Sawankhalok yang pernah menjadi barangan ‘panas’ di nusantara suatu waktu dulu.
Rujukan dan bacaan lanjut:
1. The Old City Of ‘Chaliang’ – ‘Srī Satchanalai’ – ‘Sawankhalok’: A Problem In History And Historiography; Michael Vickery; 1991
2. Thai Ceramics, Lan Na and Sawankhalok: An Interview With John Shaw; Ray Hearn; 2000
3. Pottery In Siam; WA Graham; 1922
4. Excavation Of Kilns Near The Old City Of Sisatchanalai, Thailand: Prompt Redevelopment Of Pottery Production; 2000
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih