Nama Michael Schumacher bukan nama kecil dalam dunia sukan. Tujuh kali juara dunia Formula 1. Ikon Ferrari.
Tapi sejak satu tragedi di pergunungan Alps pada hujung 2013, nama Schumacher seakan hilang terus daripada pandangan dunia.
Selama lebih satu dekad, apa yang berlaku kepada dirinya selepas kemalangan ski itu jadi misteri dalam dunia sukan. Tiada gambar. Tiada sidang media. Tiada kenyataan jelas. Yang ada cuma spekulasi, khabar angin dan teori yang kadang-kadang keterlaluan.
Kini, selepas 12 tahun berlalu, satu laporan eksklusif dari media Britain mendedahkan yang Michael Schumacher sudah tidak lagi terlantar di atas katil!
Menurut sumber rapat yang dipetik, legenda Formula 1 itu kini mampu duduk di atas kerusi roda. Dia boleh ditolak mengelilingi kawasan kediamannya, sama ada di estet mewahnya di Majorca atau rumahnya di tepi Tasik Geneva. Perlahan, sangat perlahan. Tapi ini satu perubahan besar berbanding gambaran sebelum ini.
Selama bertahun-tahun orang hanya tahu Schumacher ‘tidak sedarkan diri sepenuhnya’ atau berada dalam keadaan seperti pseudokoma. Ada juga spekulasi kata dia menghidap locked-in syndrome dimana dia sedar, tapi tak mampu berkomunikasi kecuali melalui kelipan mata. Tapi laporan terkini menyatakan gambaran itu tidak sepenuhnya tepat.
Sumber terdekat menyebut Schumacher memahami sebahagian perkara yang berlaku di sekelilingnya, walaupun tidak semuanya. Itu ayat yang berat. Tapi cukup untuk menggambarkan betapa kompleks dan seriusnya kecederaan otak yang dia alami.
Ingat semula tragedi itu. Disember 2013. Schumacher sedang bercuti ski bersama keluarga di Meribel, Perancis.
Rakaman kamera helmet menunjukkan dia tidak memecut laju. Tapi satu batu tersembunyi di bawah salji sudah cukup untuk mengubah segalanya. Dia tercampak hampir 12 kaki ke depan dan menghentam batu besar dengan kepala. Helmetnya terbelah dua.
Dua pembedahan otak kecemasan. Koma. Suhu badan diturunkan untuk selamatkan otak. Doktor beritahu keluarga supaya bersedia dengan kemungkinan terburuk. Koma yang sepatutnya 48 jam berlanjutan sehingga 250 hari.
Apabila Schumacher akhirnya sedar pada pertengahan 2014, dia tidak terus ‘kembali’. Dia dibawa pulang ke rumah di Switzerland untuk rawatan lanjutan. Sejak hari itu, isterinya Corinna Schumacher menjadi peneman setia dan paling tegas dalam menjaga privasi suaminya.
Segala rawatan dilakukan secara senyap. Jururawat dan ahli terapi memantau 24 jam sehari. Kosnya dikatakan mencecah puluhan ribu pound seminggu. Bahkan cubaan bekas kakitangan untuk menjual gambar Schumacher dalam keadaan uzur pun berakhir dengan sabitan jenayah. Keluarga ini betul-betul menutup pintu daripada dunia luar.
Sebab itu khabar terbaru ini terasa besar kerana selama ini, hampir tiada apa-apa yang bocor.
Ada juga khabar angin kononnya Schumacher akan muncul di majlis perkahwinan anak perempuannya, Gina pada 2024. Itu terbukti tidak benar. Schumacher masih tidak muncul di khalayak.
Michael Schumacher hari ini bukan lagi pelumba paling dominan dalam sejarah Formula 1. Tapi legenda itu masih hidup. Masih ada.




No comments yet