Dengan kehadiran drama bersiri seperti Vikings dan The Last Kingdom, masyarakat Norsemen dari zaman purba ini berjaya menembusi minat generasi baru. Tentunya, terdapat unsur-unsur dramatik yang diselitkan ke dalam fiksyen berkenaan.

Di sinilah penemuan arkeologi dan teks-teks sejarah memainkan peranannya. Berkat minat yang meluas terhadap topik sebegini, maka sebarnag penemuan yang melibatkan Viking lazimnya meraih tempat di muka hadapan media.

Namun, pertama-tama sekali, siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Viking? Adakah mereka ini masyarakat penj4jah, pedagang, petani atau peneroka?

Secara esensinya, kesemua label tersebut sememangnya kena dengan Viking kerana mereka merupakan sebuah masyarakat yang mempunyai kebudayaan yang teratur lagi kaya, melibatkan kepercayaan, tradisi, ambisi pen4klukan dan visi ekonomi yang mapan. Justeru, setiap kali menyebut istilah Viking, kita seharusnya menanggapi mereka sebagai sebuah kumpulan masyarakat yang mempunyai tatanan hidup yang kompleks.

BILAKAH BERLANGSUNGNYA ZAMAN VIKING?

Secara umum, Zaman Viking dianggap bermula pada 800 Masihi. Namun, peletakan tarikh ini bergantung kepada takrifan Viking yang dipegangi oleh seseorang individu. Dalam era mereka, perkataan Viking membawa banyak maksud, sebagaimana yang dijelaskan oleh Judith Jesch:

Vikingr merupakan seorang individu yang mengembara ke tanah asing dengan menggunakan laluan laut, bersama sekumpulan vikingar (jamak) lain. Vikingr tidak merujuk kepada mana-mana etnik khusus dan ia merupakan satu istilah yang bersifat neutral; boleh digunakan bagi merujuk kelompok masyarakat sendiri mahupun masyarakat lain. Justeru, aktiviti Viking juga tidak terhad pada satu-satu aktiviti tertentu. Boleh sahaja ianya melibatkan s3rangan (dan penj4rahan), namun sekali lagi, ia tidak terhad sebatas itu sahaja.”

Walau bagaimanapun, perspektif yang diterima secara umum adalah Zaman Viking bermula apabila orang Norse (Norsemen) mula menyerang kawasan-kawasan di tanah asing. Justeru, ramai ilmuwan berpendapat bahawa petualangan Viking bermula pada tahun 793M, tahun di mana mereka menyerang biara Lindisfarne, England. Namun, jika kita menaksir vikingar sebagai peneroka lautan, maka Zaman Viking boleh dikatakan bermula lebih awal memandangkan masyarakat Norway sudah pun berlayar secara aman ke Ribe, Denmark, pada tahun 725 Masihi.

Pengakhiran Zaman Viking pula secara rasmi diletakkan pada tahun 1066, iaitu tahun di mana Raja Norway, Harald Hardrada terkorban dalam Pertempuran Stamford Bridge (s4rangan Viking berskala besar yang terakhir di Eropah).

Pertempuran Stamford Bridge, 1066 oleh Peter Nicolai Arbo, 1870

VIKING-VIKING YANG MASYHUR

Orang-orang Viking lazimnya mempunyai nama timangan yang tertentu, misalnya Sigurd Si Tegap dan Thorfill Si Pembelah Tengkorak. Sifat atau perwatakan mereka juga kadangkala dijadikan sebagai nama timangan, seperti Pencinta, Berhati Baik, Pendek, Bijak, dan Tinggi. Kebiasaannya, Viking yang masyhur ditampilkan di dalam Saga-Saga tempatan. Ramai juga yang muncul dalam siaran TV.

Harald ‘Blatand’ (Bluetooth) Gormsson misalnya, merupakan seorang Raja Denmark dan Norway yang hidup pada kurun ke-10. Beliau bertanggungjawab ke atas penyatuan Denmark. Walaupun kebanyakan rakyatnya berfahaman pagan, Harald berusaha seupaya mungkin untuk menyebarkan agama Kristian di dalam kerajaannya. Menurut beberapa sejarahwan, Harald meraih nama timangan ‘Bluetooth’ kerana beliau mempunyai sebatang gigi yang m4ti, di mana gigi tersebut berwarna biru atau gelap.

Pada hari ini, nama timangan tersebut digunakan sebagai nama sebuah piawai teknologi tanpa wayar. Pengasas teknologi berkenaan mengandaikan bahawa keupayaan Harald Bluetooth dalam menyatukan rakyatnya secara aman merupakan suatu ciri yang sesuai dengan teknologi telekomunikasi.

Sementara itu, Eric Haraldsson dicatatkan sebagai seorang pemerintah Norway dan Northumbria pada kurun ke-10. Walaupun kedua-dua monarki itu secara umumnya dianggap sebagai individu yang sama, anggapan ini diselubungi keraguan lantaran sumber Norse dan Anglo-Saxon lazimnya tidak sepadan. Eric dicatatkan sebagai putera kepada Harald Fairhair si Raja Norway. Menurut saga, Eric merupakan putera kesayangan Harald dan ketika beliau berusia 12 tahun, Eric diberikan lima buah kapal panjang untuk memulakan kariernya sebagai seorang Viking.

Pada mulanya, beliau berlayar ke timur dan menyerang pantai Denmark, Friesland dan Saxland. Kemudian, beliau berlayar ke barat dan menyerang Scotland dan kawasan sekitar Laut Ireland. Saga-saga tempatan juga mencatatkan bahawa Eric mengahwini Gunnhild, yang disifatkan sebagai seorang ahli sihir jahat yang banyak mempengaruhi suaminya.

Viking lazim dikenang sebagai pahlawan

Pada hari ini, Ragnar Lothbrok (Lodbrok) mungkin merupakan nama Viking yang paling dikenali. Dicatatkan bahawa beliau menjarah England dan Perancis serta menubuhkan Tentera Heathen Besar. Namun, sama seperti Raja Arthur, sosok watak Ragnar diandaikan sebagai gabungan sejumlah figura sejarah dan karakter kecil dalam legenda.

Apapun, beliau dipercayai merupakan seorang raja Denmark dan Sweden, di samping dikreditkan sebagai orang Scandinavia pertama yang menyerang Britain. Beliau hadir dalam beberapa buah saga, antara yang paling utama ialah The Saga of Ragnar Lothbrok dan Gesta Danorum. Hikayat Anglo Saxon (Anglo Saxon Chronicle) juga menyifatkan ‘Ragnall’ dan ‘Reginherus’ sebagai seorang Viking yang sangat berpengaruh dari tahun 840M.

Legenda juga menceritakan tentang Bjorn Ironside yang memerintah Sweden sebagai raja pertama dari Wangsa Munso. Beliau hidup pada kurun ke-9M dan ayahandanya ialah Ragnar Lothbrok sama yang diceritakan di atas.

The Saga of Ragnar Lodbrok and His Sons menceritakan bahawa Bjorn dan adik-beradiknya meneruskan s3rangan-s3rangan bapanya di England, Normandy, Perancis dan Lombardy. Beliau dan adik-beradiknya masing-masing memimpin Tentera Heathen Besar, iaitu sebuah perikatan pahlawan-pahlawan Viking dari Denmark dan Scandinavia yang memerangi kerajaan-kerajaan Anglo-Saxon pada separuh kedua kurun ke-9M.

PERDAGANGAN DAN EKONOMI VIKING

Naratif seputar Viking banyak berkisar seputar perdebatan sama ada mereka ini penj4jah mahupun pedagang. Namun, dikotomi penyerang-pedagang ini hakikatnya telah pun diselesaikan dalam lingkungan akademik. Kebanyakan bukti tentang aktiviti perdagangan Viking didapati daripada kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan pada lewat 1970an dan 1980an.

Pada hari ini, kita boleh membentangkan bukti betapa penerokaan laut oleh warga Scandinavia yang kemudiannya membawa kepada penemuan Iceland dan Greenland mempunyai asas-asas perdagangan dan bukan semata-mata bertujuankan s3rangan atau mendirikan koloni. Koleksi artifak, kurasi, barang kemas, dan harta mudah-alih merupakan perkara penting dalam masyarakat Viking. Raja-raja mereka kebiasaannya memakai pakaian yang dihias secara terperinci, sambil dilengkapi sejumlah barang kemas.

Selain berfungsi sebagai dandanan diri, barang kemas masyarakat Norse juga lazim digunakan sebagai matawang dalam aktiviti perdagangan. Mungkin kerana inilah makanya mereka lebih cenderung menggunakan logam-logam berharga ketika menghasilkan barang kemas. Tanduk rusa juga dianggap penting bagi mereka lantaran ia digunakan bagi membuat sikat, jarum dan alatan lain.

Seandainya sesebuah barang kemas itu saiznya terlalu besar untuk dijadikan sebagai matawang transaksi, maka ia akan dipecahkan menjadi bentuk yang lebih kecil sesuai dengan nilai barangan yang diambil. Kalau boleh diumpamakan, bagi masyarakat Viking, barang kemas mereka saling tidak tumpah seperti dompet di zaman sekarang.

PERSENJATAAN DAN KEMPEN S3RANGAN VIKING

Ahli-ahli arkeologi mengusulkan hipotesis bahawa perubahan cuaca menyumbang kepada meningkatnya aktiviti peranian dan seterusnya, meningkatkan populasi secara mendadak. Keadaan ini seterusnya menuntut masyarakat Viking untuk mencari tanah baru untuk didiami. Ada juga ilmuwan yang berpendapat bahawa pembesar-pembesar tempatan membiayai ekspedisi s3rangan ke atas tanah asing bagi menambahkan lagi kekayaan, kekuasaan dan pengaruh mereka.

Sehingga ke hari ini, lingkungan akademik masih belum menyudahkan perdebatan tentang bilangan purata wanita Viking yang terlibat dalam pep3rangan. Viking terus menyerang dan menubuhkan koloni di Eropah, dan bahkan di Russia. Menjelang pertengahan kurun ke-11, kekuasaan Norse melebar hingga ke Britain, Iceland, Greenland dan Kanada. Mereka juga menyerang pelabuhan-pelabuhan Itali, Sepanyol dan Konstantinopel.

Pada tempoh 795 hingga 836 Masihi, berlaku banyak kejadian ‘s3rang dan lari’ oleh orang Norse dan orang Denmark di Ireland. Biara-biara Kristian di Ireland dijadikan sebagai sasaran utama Viking lantaran kawalan pertahanannya yang longgar dan simpanan harta mudah-alih yang banyak. Bagi sebilangan Viking, mereka lebih gemar mendiami tanah Kristian yang jauh lebih kaya berbanding Scandinavia yang kekurangan sumber.

Salah satu s3rangan Viking yang paling masyhur dalam sejarah berlaku di Luni. Dalam s3rangan tersebut, Bjorn (atau Hastein) mengutuskan beberapa orang tenteranya ke biskop tempatan bagi mengadukan tentang kem4tian palsunya.

Kononnya, ketika sedang bertarung nyawa, Bjorn (atau Hastein) memeluk Kristian dan hajat terakhirnya adalah supaya disemadikan di tanah perkuburan penganut Kristian. Usai mendengarkan aduan tersebut, biskop pun membenarkan orang-orang Viking itu untuk mengebumikan raja mereka di dalam kota Luni. Sebaik sahaja mereka memasuki Luni, Bjorn bingkat menerpa keluar dari kerandanya dan menggempur kota berkenaan.

Pertempuran Viking


Apapun, berlaku kesilapan faham yang meluas tentang penggunaan perisai dalam kalangan Viking. Mereka lazim digambarkan menggunakan perisai untuk membentuk formasi yang tertutup dalam pertempuran. Hakikatnya, perisai Viking agak kecil dan ringan secara relatif. Malahan, ia turut digunakan sebagai senjata. Viking juga mengamalkan variasi teknik dalam pertarungan. Antara lain disebut sebagai
svinfylking (Jajaran Khinzir atau Muncung Babi Hutan), iaitu satu formasi yang digunakan bagi menyerang dan menembusi perisai musuh dengan menggunakan kapak sebagai senjata utama.

Kapak Denmark merupakan senjata dua-tangan dan digunakan secara eksklusif dalam pertempuran. Senjata ini meraih kemasyhuran terutama apabila ia digunakan pasukan huscarl Raja Harold II dalam Pertempuran Hasting pada tahun 1066M, selain imejnya turut hadir pada Permaidani Bayeux. Satu lagi jenis kapak yang digunakan oleh Viking adalah kapak sebelah-tangan yang boleh berfungsi bagi mencangkuk senjata atau perisai musuh. Di luar medan tempur, kapak jenis ini lazim digunakan bagi memotong kayu.

KAPAL PANJANG VIKING

Kapal dan laut memegang signifikasi spiritual yang penting dalam masyarakat Norse sejak Zaman Gangsa Nordik. Ramai sejarahwan mengusulkan bahawa kapal Viking merupakan salah satu pencapaian teknikal dan artistik terulung Eropah di Zaman gelap. Kapal-kapal ini mempunyai ketahanan bagi mengharungi lautan. Draf atau kedalaman kapal Viking yang hanya berukuran sekitar 50cm (20 inci) membolehkannya melalui lautan cetek.

Kapal panjang Viking

Bentuk kapal ini secara umumnya kurus dan fleksibel, dengan bahagian hujungnya bersimetri dan mempunyai lunas kapal yang jati. Sebahagian kapal dihiasi dengan imej kepala naga. Teknologi kapal Viking ini membolehkan mereka meneroka lautan dan seterusnya menjalankan perdagangan, penjarahan dan penerokaan. Kapal-kapal panjang ini amat penting bagi masyarakat Viking, bukan hanya sebagai alat pengangkutan, akan tetapi juga prestij yang diberikan kepada pemiliknya. 

Oleh kerana itu, jika seseorang Viking berkelas tinggi tidak meninggal dunia di lautan, dia akan tetap disemadikan bersama senjata dan barangan tembikar di darat dengan bermakamkan sebuah kapal. Kubur-kubur sebegini banyak dijumpai pada kurun ke-20, antaranya seperti kapal Gokstad (dari tahun 890M) dan kapal Oseberg (dari awal kurun ke-9M). Menurut kepercayaan mereka, menyemadikan si m4ti di dalam kapal bakal membawa mereka ke haluan yang selamat di alam kem4tian.

KEHIDUPAN SEHARIAN VIKING

Keupayaan artisan dan pembina kapal Viking sering dibayangi oleh stereotaip yang diletakkan pada mereka, di mana Viking sering dilihat sebagai masyarakat penj4jah, penjarah dan peneroka yang ganas. Namun hakikatnya, aspek kehidupan mereka jauh lebih luas dan kompleks.

Misalnya dalam pekerjaan seharian, masyarakat mereka terdiri daripada golongan petani, pembina kapal, pedagang, penukang senjata, pembuat barang kemas, penempa logam, tukang masa, pengeluar pakaian dan artisan yang berpengalaman. Legasi kesemua ketrampilan ini masih boleh dilihat pada generasi mereka masa kini.


Setem yang menunjukkan suasana kehidupan seharian di zaman Viking

Antara barang kemas yang dihasilkan oleh masyarakat Norse termasuklah gelang, cincin, kalung dan lain-lain yang diperbuat daripada gangsa, besi, emas, perak, ambar dan damar. Pada awal era Viking, barang-barang kemas ini hanya dihasilkan dalam bentuk yang ringkas. Namun seiring peredaran masa, penampilannya menjadi semakin terperinci dan sofistikated.

Kediaman Viking juga tidaklah bebas dari politik. Di sinilah pentas utama hierarki sosial mereka, di mana sebahagian individu diperhambakan dan dibiarkan hidup di dalam kandang bersama haiwan-haiwan ternakan, sambil yang lain pula bersimpuh megah di rumah yang mewah.

Isi rumah Viking yang lengkap lazimnya terdiri dari pasangan suami isteri, gundik, orang suruhan, pekerja ladang, pahlawan, penjaga ternakan, pelayan musafir, tetamu dan anak-anak. Walaupun mereka hidup di bawah satu bumbung, tugasan harian dan seni bina rumah itu sendiri bersifat terpisah antara satu kumpulan dan satu kumpulan lain.


Rumah panjang Viking

Dinding rumah panjang Viking kebiasaannya diperbuat daripada tiang-tiang kayu yang dilengkapi dengan wattle dan sepuhan daub. Sebahagian rumah panjang malah mempunyai bengkel tempaan logam. Namun kebiasaannya, bengkel ini ditempatkan di dalam bangunan lain. Bumbung rumah mereka pula lazimnya diperbuat daripada jerami.

Di dalam atau di kawasan berhampiran pintu rumah, ahli-ahli arkeologi pernah menemukan barangan seperti periuk, pisau dan cincin besi. Mereka mengandaikan bahawa barangan ini ditanam bagi tujuan melindungi rumah dari gangguan. Penemuan artifak sebegini secara langsung mengisyaratkan kaitan antara aktiviti kehidupan seharian Viking dan seni bina rumah mereka. Viking juga mempunyai suatu tradisi yang agak aneh, iaitu menanam rumah sendiri.

KEPERCAYAAN DAN MITOS VIKING

Masyarakat Norse tidak menyimpan banyak rekod bertulis, justeru sumber utama kita tentang kepercayaan mereka datangnya dari saga-saga Iceland dan Edda, iaitu teks-teks yang ditulis oleh penganut Kristian. Namun, tahap kesahihan teks jenis kedua ini lazimnya perlu diambil kira. Antara Edda yang masyhur adalah Edda Prosa yang ditulis seorang ahli politik Iceland kurun ke-13 yang bernama Snorri Sturluson.

Agama pagan lama mempunyai pantheon dewa-dewi yang tersendiri, di mana dewa utama merangkap penguasa Asgard adalah Odin dan Frigga. Tambahan lagi, dunia mitologi mereka turut dihuni oleh makhluk-makhluk seperti pari-pari, orang kerdil, gergasi dan troll. Kepercayaan mereka juga melibatkan legenda perwia yang membvnuh naga besar dan kisah kehancuran dunia (kiamat). Tidak ketinggalan juga mitos Pokok Dunia (Yggdrasil) dan tulisan rune yang magis.

Yggdrasil, Pokok Kehidupan Norse purba


Walau bagaimanapun, struktur mitologi Norse mula berubah apabila unsur-unsur Kristian dimasukkan ke dalam kepercayaan lama dan seterusnya, menjadi dominan. Raja Scandinavia pertama yang memeluk agama Kristian adalah Harald Klak (dibaptis pada 826M). Antara titik pengubah paling signifikan dalam sejarah Kristianisasi Scandinavia adalah pembaptisan Harald Bluetooth pada 960an.

AMALAN PENGEBUMIAN DAN KEPERCAYAN TERHADAP KEHIDUPAN SESUDAH M4TI

Masyarakat Viking menaruh kepercayaan pada kehidupan selepas m4ti. Menerusi sumber arkeologi dan dokumen-dokumen bertulis, kita dapat menelusuri budaya pengebumian mereka. Salah satu catatan masyhur yang memerihalkan tentang pengebumian orang Viking boleh ditemui dalam karya Ahmad ibn Fadlan, seorang duta Abbasiyah yang diutus ke Volga Bulgaria.

Dalam catatan tersebut, beliau memerihalkan tentang seorang hamba perempuan yang dikorbankan semasa upacara pengebumian seorang pembesar Viking. Namun, ritual sebegini sebenarnya jarang berlaku. Memandangkan Viking percaya bahawa harta dunia dapat dibawa ke alam kem4tian, maka mereka turut mengebumikan harta-benda bersama si m4ti.

Mereka juga percaya bahawa pahlawan-pahlawan yang gugur dalam pertempuran akan memasuki Valhalla, iaitu sebuah dewan besar yang bertempat di alam Asgard. Di sana, pahlawan-pahlawan tersebut kononnya akan dijamu dengan kenikmatan dan malah bertelingkah sehingga hadirnya Ragnarok.

Justeru, penting untuk mereka melengkapkan si m4ti dengan alatan p3rang bagi mengharungi perjalanan ke Valhalla. Selain Valhalla, Viking turut percaya akan kewujudan alam kem4tian yang lain seperti Folkvangr (juga tempat buat pahlawan), Helgafjell (tempat orang-orang baik), dan Helheim (tempat orang-orang jahat).

‘Helgi Hundingsbane kembali ke Valhalla’

Menurut kepercayaan Viking, seandainya roh si m4ti tidak tenteram, mereka akan kembali ke dunia sebagai draugr  (atau roh jahat) dan seterusnya menghantui mereka yang masih hidup. Roh jahat ini kononnya nanti mengakibatkan pelbagai macam kesusahan seperti kerosakan hasil tuaian, kekalahan dalam p3rang dan wabak penyakit. Seandainya didapati ada draugr yang menghanti mereka, masyarakat Viking akan menggali semula kubur orang yang baru meninggal dunia dan memerhatikan lagi kalau-kalau gangguan draugr masih berterusan. 

Jika jasad tersebut sepadan dengan gangguan draugr yang menimpa, mereka kemudiannya akan menyemadikan semula jasad tersebut bersama barang-barang pengebumian yang lebih baik, kononnya kerana individu itu berstatus tinggi semasa hidupnya. Dalam beberapa keadaan lain, mereka menancapkan pancang kayu pada jasad tersebut dan kepalanya pula dipenggal bagi tujuan membvnuh makhluk draugr itu.

Saga-saga tempatan juga dipenuhi dengan kisah orang hidup menerima ramalam dari orang yang telah m4ti, si m4ti bernyanyi di tanah perkuburannya dan menghantui rumah yang dahulunya mereka diami.

Sepanjang milenium pertama sejarah Viking, tulang-tulang manusia kadangkala ditanam di dalam rumah. Ada pula rangka bayi yang ditanam di dalam ketuhar tanah dan tiang-tiang rumah. Amalan ini seakan-akan mengisyaratkan signifikasi menanam jasad si m4ti di bawah bendul atau di lubang tempat berdirinya tiang rumah mereka.

LELUHUR DAN LEGASI VIKING

Zaman Viking berlangsung agak singkat, namun pengaruh yang ditinggalkan olehnya pada generasi mendatang sangat signifikan. Mereka banyak mempengaruhi bahasa Inggeris, di mana perkataan-perkataan seperti ransack, window, market, outlaw, husband dan honeymoon merupakan variasi dari bahasa ibunda Viking.

Mereka juga memperkenalkan daging ayam kepada orang Ireland yang seterusnya menjadi makanan ruji mereka. Malahan, Viking turut membawa masuk barangan yang diperoleh daripada Parsi, Byzantium dan Asia. Pada kurun-kurun yang menyusuli sejarah mereka, pengaruh Scandinavia diabadikan di dalam karya sastera, hasil seni, patung ukiran dan budaya pemakanan bangsa-bangsa bukan Scandinavia.

Menerusi pengetahuan sains moden dan ujian penjejakan DNA yang semakin hari semakin maju, didapati bahawa ramai penduduk UK dan Ireland mempunyai darah Viking, khususnya bagi mereka yang mempunyai akhiran –‘son’ atau –‘sen’ dalam nama keluarga. Malahan, warisan Viking terus mekar di layar perak apabila banyak siri TV yang memaparkan sejarah mereka.

TERJEMAHAN:

Ancient Origins. (11 Jun 2020). History of the Vikings: All You Need to Know.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/vikings-0013841


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.