Sabtu, 24 Oktober 202624 Okt 2026
Mutiara Islam

Sejarah Tentera Amerika Beragama Islam

Bagi
yang melihat konteks dunia hari ini, kaitan Amerika Syarikat dengan Muslim
boleh diibaratkan seperti minyak dan air. Justeru, agak mustahil memikirkan
bagaimana orang Islam boleh memberi impak kepada pembentukan negara Uncle Sam
itu. Tetapi melihat kepada pembabitan orang Islam dalam tentera Amerika
sepanjang lipatan sejarah mereka, ternyata ia bukan sahaja mengejutkan tetapi
juga menarik.

Berdasarkan
rekod rasmi Pentagon, 4,000 tentera merupakan tentera beragama Islam dengan
2,000 lagi merupakan askar simpanan atau sebagai Pengawal Kebangsaan. Dan bagi
pihak tentera, penyertaan orang Islam sebagai tentera bukanlah sesuatu yang
baru dan boleh dikesan sejauh Perang Kemerdekaan Amerika Syarikat. Salah seorang
tentera beragama Islam yang pernah berkhidmat sebagai askar George Washington
ialah seorang lelaki Arab dari Afrika Utara bernama Yusuf Ben Ali. Selain itu,
sejarah turut menyaksikan mereka berkhidmat sama ada dengan Britain atau
Amerika Syarikat semasa Perang 1812 dan Perang Saudara Amerika Syarikat (sama
ada pihak Konfederasi atau Kesatuan).

Jika
melihat sejarah Perang Dunia Pertama pula, lebih 5,000 tentera beragama Islam
berkhidmat di bawah panji negara Uncle Sam. Nama Muhammad amat kerap didengari
sehinggakan menurut rekod rasmi tentera, terdapat 41 cara untuk mengeja nama
itu sahaja. Ini didedahkan oleh penulis ‘Muslim Veterans of American Wars’,
Amir Muhammad yang juga pengasas bersama Muzium Warisan Islam di Washington
D.C. Asal-usul mereka boleh dikesan dari banyak tempat dari Semenanjung Tanah
Arab hinggalah Turki dan Maghribi. Selain Perang Dunia Pertama, mereka juga
dikesan berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua, Perang Korea, Perang Vietnam,
Perang Afghanistan dan Perang Iraq.

Tetapi
itu tidak menghalang berlakunya diskriminasi ke atas mereka walaupun semasa
berbakti kepada negara. Bagi veteran Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF)
Talib Shareef, perkara ini berlaku sepanjang perkhidmatannya bersama USAF
selama 30 tahun merentasi lima kempen ketenteraan utama. Beliau bercerita,
“Bila saya menyertai tentera, mereka tidak faham tentang solat, puasa atau
kepentingan solat Jumaat. Kami terpaksa bersolat dalam stor kecil kerana tiada
ruang solat untuk Muslim. Saya terpaksa berjuang untuk mendapatkan semua hak
itu.” Bapa saudaranya merupakan seorang Marin dan penerima pingat Purple Heart
semasa kempen di Vietnam. Sementara lima daripada enam anak Talib merupakan
tentera sama ada sebagai tentera biasa, anggota USAF, anggota Marin atau
Pengawal Kebangsaan. Hari ini, beliau merupakan seorang imam di Masjid Muhammad
atau Masjid Negara di Washington D.C.

Sepanjang
WWII, anggota tentera Muslim tidak mempunyai pilihan berkenaan singkatan
pilihan agama mereka. Ini kerana pihak tentera ketika itu hanya membenarkan tag
anjing yang ada abjad C (Roman Katolik), P (Protestan) dan J (Yahudi). Dan
selama dua abad, mereka juga berjuang tanpa kelibat agamawan yang berperanan
sebagai pembimbing spiritual, satu kelebihan yang dinikmati oleh
tentera-tentera beragama lain. Kelebihan sebegitu hanya diraih pada tahun 1993
tetapi bilangan mereka masih sedikit. Selain itu, budaya ketenteraan yang tidak
mementingkan agama lain termasuk Islam juga menyukarkan mereka melaksanakan
rukun-rukun agama.

Bukti
bagi isu ini ialah pengalaman seorang veteran bernama Sultan Muhammad yang
berkhidmat dari tahun 1983 hingga 2015. Pada tahun 1998, beliau merupakan
sebahagian daripada pasukan tentera Amerika yang dihantar ke Amerika Tengah
untuk membantu kerja-kerja kemanusiaan pasca-Taufan Mitch yang meragut 20,000
nyawa penduduk di situ. Kebetulan pula, semasa beliau berada di sana, bulan
Ramadan jatuh pada bulan Disember. Bagi askar-askar beragama Kristian, mereka
boleh berkunjung ke gereja tetapi bagi tentera beragama Islam, mereka tiada tempat
untuk beribadat. Sultan bercerita, “Kami ada bahan binaan jadi saya bertanya,
‘Bolehkah saya gunakan untuk bina sebuah pondok untuk beribadat?’ Respon
mereka, ‘Maaf, tidak boleh. Ia akan digunakan untuk membina rusa kutub untuk
pameran Krismas.’”

Selain
itu, tidak ramai tahu ramai orang Islam menyertai tentera Amerika atas dasar
cintakan negara lebih-lebih lagi selepas serangan 11 September. Pada mereka,
itu merupakan manifestasi kesetiaan mereka terhadap negara Uncle Sam itu.
Tetapi itu masih gagal membuang elemen kejahilan dan kebencian yang berakar
dalam sesetengah anggota tentera. Keadaan ini juga tidak dibantu oleh beberapa
insiden membabitkan Muslim yang terpengaruh dengan dakyah al-Qaeda atau Daish
sejak beberapa tahun ini seperti insiden tembakan beramai-ramai yang dilakukan
oleh Nidal Hassan. Dan ini mengakibatkan mereka bergelut bukan saja dengan
konflik moral tetapi juga membabitkan isu mental seperti PTSD.

Melihat
kepada semua ini, tidak hairanlah mengapa ramai memilih untuk tidak menyatakan
agama sebenar mereka, satu perkara yang dilakukan tentera beragama Yahudi
semasa WWII. Talib menganggarkan hanya satu pertiga Muslim saja yang
mengisytiharkan agama mereka semasa berkhidmat dalam tentera. Pentagon juga
turut mengakui tidak mempunyai rekod terperinci sama ada yang lama mahupun yang
baru membabitkan tentera beragama Islam. Ini menyebabkan sejarawan-sejarawan
tentera berhadapan kesukaran mencari dan terpaksa meneka berdasarkan nama. Dua
yang dapat dikesan daripada rekod ialah Kapten Moses Osman, seorang pegawai
beragama Islam yang paling tinggi pangkatnya semasa Perang Saudara atau Wilbur
C. Islam yang mati semasa Perang Korea.

Begitu
juga rekod tentera di Perkuburan Kebangsaan Arlington, satu tanah perkuburan
khusus bagi anggota tentera yang terbunuh sejak era Perang Saudara lagi. Rekod
rasmi mendedahkan pihak tentera tidak tahu bilangan sebenar tentera beragama
Islam yang dikebumikan di situ dan tiada siapa yang berminat mengira batu nisan
yang ada tanda bulan dan bintang. Berdasarkan rekod rasmi di Arlington, ada 14
tentera beragama Islam yang dikebumikan di situ tetapi bilangan mereka
berkemungkinan jauh lebih ramai berbanding jumlah yang dinyatakan.

RUJUKAN:

Wright,
Robin. (2016). Humayun Khan Isn’t the Only Muslim American Hero. The New Yorker.
https://www.newyorker.com/news/news-desk/humayun-khan-isnt-the-only-muslim-american-hero

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet