Pada tanggal 1 Januari setiap tahun, kebanyakan negara di seluruh dunia meraikan tahun baru. Namun hakikatnya, tiada yang baru tentang Tahun Baru. Keraian-keraian dan sambutan-sambutan yang menandakan permulaan kaledar telah pun wujud sejak ribuan tahun. Di kala sebahagian keraian hanya mengisarkan tentang acara meminum arak dan berpesta, banyak sambutan Tahun Baru yang lain dikaitkan dengan peristiwa pertanian ataupun astronomi.

Misalnya di Mesir, tahun baru dimulakan dengan peristiwa banjir tahunan Nil yang bersamaan dengan munculnya bintang Sirius. Masyarakat Phoenicia dan Parsi memulakan tahun mereka pada ekuinoks musim bunga manakala masyarakat Yunani pula menyambutnya pada solstis musim sejuk. Sementara itu, hari pertama Tahun Baru China berlangsung pada bulan baru kedua sesudah solstis musim sejuk.

SAMBUTAN AKITU DI BABYLON

Rekod terawal berkenaan Tahun Baru berusia kira-kira 4000 tahun lalu, berasal dari Babylon purba. Ia terkait secara rapat dengan agama dan mitologi. Bagi masyarakat Mesopotamia di Mesopotamia purba, bulan baru pertama sesudah ekuinoks vernal (lewat Mac di mana siang dan malam relatif sama panjang) menandakan permulaan tahun baru bagi mereka. Ia turut mewakili simbol kelahiran semula dunia.

Mereka menyambut peristiwa ini dengan sebuah keraian keagamaan secara besar-besaran yang dipanggil sebagai Akitu (diambil daripada perkataan Sumeria yang bermaksud barli). Keraian ini melibatkan kelangsungan suatu ritual yang berbeza pada setiap hari sepanjang 11 hari. Semasa berlangsungnya keraian Akitu, patung-patung dewa diarak di seluruh kota dan upacara tertentu diadakan sebagai simbol kemenangan mereka ke atas unsur huru-hara. Menerusi ritual-ritual sebegini, masyarakat Babylon meyakini bahawa dunia secara simboliknya sudah dibersihkan dan dicipta semula oleh dewa sebagai persiapan menghadai tahun baru dan kembalinya musim bunga.

Selain daripada tahun baru, keraian Akitu turut menyambut kemenangan mitos dewa langit Babylon iaitu Marduk ke atas dewi laut jahat, Tiamat. Keraian ini turut memainkan peranan yang penting dalam aspek politik di mana pada masa inilah raja baru akan dimahkotakan atau bagi pemerintah yang sedang berkuasa, mandat kedewataannya diperbaharui.

Satu aspek yang menarik bagi Akitu adalah suatu ritual perendahan diri yang perlu dilalui oleh raja-raja Babylon. Tradisi khusus ini memperlihatkan raja dibawa ke hadapan patung dewa Marduk, lalu regalia dirajanya ditanggalkan dan si raja kemudiannya ditampar dan ditarik telinganya dengan harapan dapat membuatnya menangis. Sekiranya tangisan diraja berjaya ditumpahkan, ia menjadi petanda bahawa Marduk berpuas hati terhadap pemerintahan raja tersebut dan secara simboliknya telah memanjangkan pemerintahannya.

SAMBUTAN JANUS BAGI MASYARAKAT ROM PURBA

Tahun Baru bagi masyarakat Rom pada asalnya berkait dengan ekuinoks vernal. Kalendar Rom awal terdiri daripada 10 bulan atau 304 hari di mana setiap tahun bermula pada ekuinoks vernal. Menurut tradisi mereka, kalendar Rom dicipta oleh Romulus, pencipta Rome pada kurun ke-8SM. Namun seiring peredaran masa, kalendar tersebut tidak lagi selari dengan peredaran matahari. Lantaran itu, pada tahun 46SM, maharaja Julius Caesar memutuskan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan khidmat ahli-ahli astronomi dan matematik terulung di zamannya. Beliau memperkenalkan kalendar Julian, sebuah kalendar berteraskan matahari yang mirip dengan kalendar Gregorian yang lebih moden, yang digunakan oleh kebanyakan negara pada hari ini.

Sebagai sebahagian daripada pembaharuan yang dilakukan olehnya, Kaisar turut menginstitusikan 1 Januari sebagai hari pertama bagi tahun masyarakat Rom. Antara lain faktornya adalah untuk memuliakan dewa yang namanya diambil untuk menamakan bulan tersebut, iaitu Dewa Janus si dewa perubahan dan permulaan Rom yang dua wajahnya itu dipercayai membolehkannya untuk melihat masa lalu dan masa depan. Idea tersebut kemudiannya dikaitkan dengan konsep peralihan tahun, dari satu tahun ke tahun mendatang.

Masyarakat Rom lazimnya meraikan 1 Januari dengan mempersembahkan korban kepada Janus dengan harapan meraih tuah menjelang Tahun Baru. Mereka turut menghiasi rumah dengan bunga-bunga laurel dan menghadiri parti-parti yang diadakan. Hari tersebut dilihat sebagai penentu perjalanan 12 bulan yang berikutnya. Kebiasaannya pada waktu itu, rakan-rakan dan jiran-tetangga akan memulakan tahun secara positif dengan bertukar-tukar ucapan selamat dan memberikan hadiah seperti madu dan buah ara.

ZAMAN PERTENGAHAN – 1 JANUARI SEBAGAI TAHUN BARU DIMANSUHKAN

Walau bagaimanapun, Eropah pada zaman pertengahan menganggap sambutan-sambutan yang mengiringi Tahun Baru sebagai amalan pagan dan tidak mencirikan Kristian. Lantaran itu pada tahun 567M, Sidang Tours (Council of Tours) memansuhkan tanggal 1 Januari sebagai permulaan tahun lalu menggantikannya dengan hari-hari yang memiliki signifikasi agama seperti 25 Disember atau 25 Mac, Jamuan Pengumuman atau juga dipanggil sebagai ‘Hari Wanita’.

Tarikh 1 Januari kemudiannya turut diberikan signifikasi keagamaan dalam agama Kristian di mana ia dikenali sebagai Jamuan Sunat lantaran hari itu dianggap sebagai hari kelapan dalam kehidupan Christ. Kiraan dimulakan daripada tanggal 25 Disember dan mengikut tradisi Yahudi, pada hari kelapan inilah seseorang bayi itu seharusnya diberikan nama secara rasmi. Namun, tarikh 25 Disember sebagai tarikh kelahiran Jesus masih diperdebatkan dalam tradisi mereka.

KALENDAR GREGORIAN – 1 JANUARI SEBAGAI TAHUN BARU DIKEMBALIKAN

Pada tahun 1582, selepas melakukan pembaharuan ke atas kalendar Gregorian, Pop Gregory XIII mengembalikan semula status tanggal 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru. Walaupun kebanyakan negara Katolik menerapkan secara pantas kalendar Gregory yang baru ini, ia hanya diamalkan secara bertahap dalam kalangan negara Protestant. Misalnya, British tidak menerapkan kalendar yang sudah diperbaharu itu melainkan pada tahun 1752. Sepanjang tempoh sebelum itu, Empayar British dan koloni-koloni mereka di Amerika menyambut Tahun Baru pada bulan Mac.

TERJEMAHAN:

April Holloway. (30 Disember 2013). The Ancient Origins of New Year’s Celebrations. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-important-events/ancient-origins-new-year-s-celebrations-001181


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.