Majlis
Raja-Raja Melayu merupakan antara komponen penting dalam sistem pemerintahan
negara. Ini kerana majlis ini merupakan penghubung penting antara kerajaan
persekutuan dengan negeri-negeri di Malaysia dan sebagai penjaga hak
keistimewaan orang Melayu. Dan menerusi majlis ini juga, suara Raja-Raja Melayu
terus kekal relevan tanpa mengira masa atau tempat. Justeru, timbul persoalan
bila dan bagaimana majlis ini ditubuhkan?
Durbar
Idea
penubuhan versi awal Majlis Raja-Raja Melayu atau Durbar ini mula dibangkitkan
pada tahun 1896 selepas Britain berjaya menyatukan empat negeri Melayu dalam
satu unit pemerintahan yang dipanggil Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB).
NNMB terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dan ia
dipengerusikan oleh seorang Residen Jeneral. Pada masa sama, wujud perbincangan
di mana perlunya satu platform bagi Raja-Raja Melayu bersuara dan membenarkan
Britain membincangkan isu-isu yang melanda NNMB ketika itu. Sesi Durbar yang pertama
seharusnya berlangsung pada tahun 1896 tetapi ditangguhkan berikutan DYMM
Sultan Abdul Samad (Selangor) jatuh gering.
Pada
tahun 1897, sesi Durbar pertama diadakan dengan Astana Negara, Kuala Kangsar,
Perak diberi penghormatan sebagai tuan rumah berikutan rasa hormat pihak
British terhadap DYMM Sultan Idris Murshidul Adzam Shah. Persidangan ini
dihadiri oleh Raja-Raja Melayu terdiri daripada Sultan Abdul Samad, Sultan
Idris, DYMM Yamtuan Tuanku Muhammad Shah (Negeri Sembilan) dan DYMM Sultan
Ahmad Muadzam Shah (Pahang), Residen-Residen, ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan
Pesuruhjaya Tinggi British. Residen-residen yang hadir ialah Frank Swettenham
(Residen Jeneral), Hugh Clifford (Pahang), J.P Rodger (Selangor) dan W.H
Treacher (Perak).
Rajah 1: Sidang Durbar Pertama pada tahun 1897
Sementara
wakil Pesuruhjaya Tinggi British ialah Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) Sir
Charles Mitchell. Negeri Sembilan tidak mempunyai residen ketika itu berikutan
kematian Martin Lister pada Februari tahun sama. Setiap Raja-Raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi
British menerima penghormatan 17 das tembakan senapang dan kawalan terhormat
oleh 50 orang anggota ‘Malay States Guides’. Isu-isu penting yang menjadi
tumpuan dalam persidangan Durbar ialah berkaitan hal ehwal pengurusan kewangan, masalah hutang negeri
Pahang, penetapan cukai timah dan candu, pembinaan landasan kereta api, pentadbiran
tanah, peraturan buruh, hal ehwal pentadbiran Islam yang melibatan pelantikan
kadi, pembinaan masjid, pendaftaran perkahwinan dan penceraian. Walaupun
mesyuarat tersebut dianggap berjaya, Swettenham melihat mesyuarat ini tidak
seharusnya diadakan lebih kerap dan Durbar kedua hanya diadakan enam tahun
kemudian.
Pada
tahun 1903, Kuala Lumpur pula diberi penghormatan sebagai tuan rumah mesyuarat
Durbar yang kedua. Di sini, Raja-Raja Melayu mula menyatakan ketidakpuasan hati
mereka secara terbuka. Sultan Idris meluahkan rasa tidak puas hati terhadap
kekurangan pegawai berbangsa Melayu dalam perkhidmatan awam dan mahukan lebih
ramai pegawai dilantik dari orang Melayu. Sementara Tuanku Muhammad pula
mahukan bahasa rasmi NNMB ialah Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Inggeris.
Gagasan baginda ini disokong oleh Sultan Idris kerana ia merupakan bahasa
pertuturan harian bukan saja rakyat biasa tetapi juga golongan pemerintah.
Rajah 2: Sidang Durbar Kedua pada tahun 1903.
Pada
tahun 1909, Britain memperkenalkan Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) hasil
buah fikiran bekas penasihat British di Johor dan pengganti Swettenham, John
Anderson. Anderson melihat langkah ini dapat melicinkan lagi pentadbiran NNMB
tetapi bagi Raja-Raja Melayu, ia dianggap mencabar kedaulatan mereka berikutan
status mereka sebagai ahli biasa dalam MMP. Selain itu, mereka juga murka
kerana penubuhan MMP tidak mendapat perkenan mereka tetapi ditentukan oleh Raja
Edward VII. Tetapi Raja-Raja Melayu dari NNMB dipaksa menandatangani perjanjian
yang mengesahkan MMP dan kedudukan mereka dipergunakan sebagai tukang cap
setiap dasar dan undang-undang yang mahu diperkenalkan Pejabat Tanah Jajahan di
London. Selain itu, situasi Perang Dunia Pertama yang berlaku di Eropah ketika
itu turut menyumbang kepada signifikan MMP dan sokongan (lebih kepada paksaan)
Raja-Raja Melayu terhadap kempen Britain di sana. Ini mendorong mereka menarik
diri dari Durbar sehingga tahun 1927.
Pada
tahun 1927, Britain melaksanakan penyusunan semula MMP sekaligus memulakan
langkah disentralisasi yang memberi kuasa kembali kepada kerajaan negeri. Ini
ditambah jaminan pihak British bahawa kuasa Raja-Raja Melayu terutama dari
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) bahawa kuasa mereka akan terus
terjamin. Melalui penyusunan semula ini, Raja-Raja Melayu dari NNMB berundur
dari MMP dan digantikan oleh wakil berbangsa Melayu dari setiap negeri. Ini
membuka jalan kepada sidang Durbar yang ketiga di Kuala Kangsar pada tahun
1927.
Pada
tahun 1930, sidang Durbar yang keempat diadakan di Singapura dan dianggap
bersejarah atas dua sebab. Pertama, sidang ini diadakan di luar NNMB dan kedua,
ia dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dari NNMTB. Sementara itu, langkah
disentralisasi dan reformasi pentadbiran terus digiatkan terutama semasa era Gabenor
NNS dan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Cecil Clementi. Menerusi sidang Durbar
kelima di Sri Menanti pada tahun 1931, beliau berazam mahu melihat Tanah Melayu
bersatu dan lebih banyak kuasa dikembalikan semula kepada Raja-Raja Melayu.
Kenyataan
Clementi memberi nafas baru terhadap kepentingan Durbar sebagai platform para
pemerintah Melayu bersuara dan memberi keyakinan kepada mereka. Tetapi ini juga
menjadikan beliau sasaran kebencian golongan birokrat dan peniaga yang
kaya-raya sehingga mendorong London memanggilnya pulang pada tahun 1934. Agenda
Clementi ini hanya tercapai pada tahun 1935 menerusi perlantikan Sir Shenton
Thomas. Durbar diadakan sebanyak dua kali sebelum Perang Dunia Kedua (WWII)
meletus iaitu pada tahun 1937 dan Klang, Selangor pada tahun 1939.
Pembentukan Majlis Raja-Raja
Melayu
Institusi
Dubar di Tanah Melayu mengalami
perubahan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk
menggantikan Malayan Union. Perjanjian Persekutuan 1948 telah memperuntukkan
penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu atau dikenali sebagai ‘Conference of Rulers’. Menerusi perjanjian
ini, Majlis Raja-Raja Melayu ditubuhkan
dengan dianggotai raja-raja yang memerintah setiap negeri-negeri Melayu dalam
Persekutuan Tanah Melayu. Sekiranya terdapat raja yang tidak dapat hadir dalam
mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, wakil
dari Majlis Diraja Negeri yang terdiri daripada pewaris takhta atau individu yang
diberi kuasa oleh raja untuk hadir sebagai wakil perlu hadir dalam persidangan
yang ditetapkan. Semasa berangkat ke mesyuarat, Raja-Raja Melayu perlu diiringi
oleh penasihat baginda yang berbangsa Melayu. Mesyuarat pertama pasca-WWII ini
diadakan pada 18 Februari 1948 dan lebih istimewa apabila Raja George VI
mengirim ucapan tahniah terhadap majlis berkenaan. Mesyuarat ini dipengerusikan
oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Johor) dan dihadiri Pesuruhjaya
Tinggi British Sir Edward Gent.
Keutamaan
Raja-Raja Melayu dalam Majlis Raja-Raja Melayu berdasarkan tarikh mereka
menaiki takhta kerajaan negeri masing-masing kecuali bagi Negeri Sembilan di
mana ia mengikut tarikh Yang di-Pertuan Besar dilantik. Persidangan Majlis
Raja-Raja Negeri Melayu perlu disertai dengan Mohor Besar Raja-Raja untuk
memeterai keputusan persidangan. Terdapat dua jenis Mohor Besar Raja-Raja
Melayu iaitu mohor dalam tulisan jawi dan mohor dalam bahawa Inggeris. Cap mohor
Raja-Raja Melayu perlu disimpan oleh pegawai Melayu yang dikenali sebagai
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu dan cap mohor dalam bahasa Inggeris
perlu disimpan oleh pegawai British yang dilantik Raja-Raja Melayu dengan
persetujuan Pesuruhjaya Tinggi British.
Majlis
Raja-Raja Melayu perlu mengadakan mesyuarat bersama Pesuruhjaya Tinggi British
sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Sekiranya Pesuruhjaya Tinggi British
tidak dapat hadir, beliau
boleh mengarahkan mana-mana pegawai awam persekutuan atau mana-mana penasihat
British untuk menggantikannya. Majlis Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa
untuk menyemak pindaan ordinan persekutuan dan mendapatkan draf gazet kerajaan persekutuan sebelum dibawa ke Majlis
Perundangan. Majlis Raja-Raja Melayu juga mempunyai kuasa membincangkan draf
skim atau pindaan skim gaji bagi
pegawai awam persekutuan
dan setiap draf perancangan serta
pembentukan jabatan atau perkhidmatan kerajaan persekutuan. Sementara
Pesuruhjaya Tinggi British pula bertanggungjawab menasihati Majlis Raja-Raja Melayu
dalam hal ehwal dasar imigran kerajaan persekutuan.
Dari
Februari 1948 hingga Ogos 1957, Majlis Raja-Raja Melayu bermesyuarat sebanyak
50 kali. Antara sumbangan mereka kepada hal ehwal kebajikan orang Melayu ialah Penubuhan
Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Raja-raja (digagaskan pada
Sidang Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun 1949), mengehadkan kemasukan buruh
dari China dan India serta menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
walaupun bukan sebagai bahasa kebangsaan. Selepas Persekutuan Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi
ahli Majlis Raja-Raja. Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura (1963-1965)
menyertai Majlis Raja-Raja selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.
Persidangan Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan pasca-kemerdekaan ialah pada
30 dan 31 Oktober 1957. Persidangan tersebut dipengerusikan oleh DYMM Raja Syed
Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Perlis). Selepas merdeka, Majlis
Raja-Raja telah menjalankan peranannya dengan baik melalui sistem Raja
Berperlembagaan. Melalui sistem ini, Raja-Raja Melayu menerusi Majlis Raja-Raja
Melayu telah membantu pentadbiran Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan
Malaysia.
Majlis
Raja-Raja masih berpengaruh dan mempunyai keistimewaan tertentu dalam
pentadbiran negara hari ini. Walaupun wujudnya
Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang
berperanan menggubal dan
melaksanakan undang-undang, wujud beberapa peruntukan dalam Perlembagaan yang memberi kuasa kepada
majlis berkenaan. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah ditubuhkan
mengikut Jadual Kelima. Kuasa Majlis Raja-Raja turut dinyatakan dalam
Perkara 38 (2):
- Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga.
- Mempersetujui atau menolak apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.
- Memperkenan atau tidak memperkenan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa perlantikan di bawah Perlembagaan di mana ia dikehendaki diperkenan pihak majlis atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan pihak majlis.
- Perlantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.
- Memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukuman, menggantung dan mengurangkan hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42.
Majlis
Raja-Raja juga boleh bersidang untuk menimbang persoalan-persoalan mengenai
dasar negara seperti perubahan dasar imigresen dan apa-apa perkara lain yang
difikirkan patut. Majlis Raja-Raja Melayu juga berperanan penting melindungi
kepentingan orang Melayu. Selain menjadi ketua agama Islam di setiap negeri,
Majlis Raja-Raja juga perlu menjaga kepentingan dan hak-hak istimewa orang
Melayu seperti yang telah termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan tentang hak istimewa
orang Melayu dinyatakan dalam Perlembagaan iaitu Perkara 153 mengenai kedudukan
istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang lain-lain. Perkara
38 (5) juga menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah dirujuk dan dirunding
terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa
perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara
153. Sementara Perkara 152 pula menyentuh soal kedaulatan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Pindaan
mengenai sempadan negeri turut melibatkan Majlis Raja-Raja kerana ini
melibatkan kawasan negeri Raja-Raja Melayu. Undang-undang berkaitan dengan
pindaan sempadan negeri digubal oleh Parlimen selain undang-undang yang digubal
oleh perundangan negeri berkenaan. Namu begitu, undang-undang ini
memerlukan persetujuan daripada
Majlis Raja-Raja terlebih
dahulu kerana pindaan sempadan
ini melibatkan kawasan
negeri Raja-Raja Melayu yang terkesan daripada perubahan ini. Peruntukan undang-undang ini dinyatakan dalam
Perkara 2, Perlembagaan
Persekutuan Malaysia. Peruntukan Perkara 2 telah digunakan
sebanyak tiga kali dalam lipatan sejarah Malaysia iaitu penubuhan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1973, penyelesaian isu sempadan
Kedah-Pulau Pinang dan dan penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun
1984.
Selain
itu,
kepentingan Raja-Raja Melayu dan
Majlis Raja-Raja turut dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 38 (4) dalam Perlembagaan menyatakan
bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan,
kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan
Majlis Raja-Raja. Perkara 63(5) juga menyatakan sebarang cadangan, usaha atau
anjuran daripada Parlimen Malaysia untuk memansuhkan institusi raja adalah
kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan negara. Jelasnya, sejak zaman
Perang Dunia Pertama, institusi Raja-Raja Melayu masih kekal dan dipelihara
dalam sistem pentabiran negara. Ini dapat dilihat semasa Istiadat Melafaz dan
Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan
Agong.
SUMBER
1.
Teh Leam Seng, Alan. (2018). New Straits Times. Conference of Rulers: How it
all started. https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2018/07/386063/conference-rulers-how-it-all-started
2.
Akmal Azmi, Muhammad Aslah, Mokhtar, Mohd Shazwan dan Mansor, Suffian. (2019).
Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejarah Perkembangan Majlis Raja-Raja Melayu. https://www.researchgate.net/publication/330359860_Sejarah_Perkembangan_Majlis_Raja-Raja_Melayu




No comments yet