Seperti Mao Zedong, Xi Jinping juga amat bimbang jika Parti Komunis China akan hilang kuasa akibat masalah-masalah lazim, seperti rasuah, kemerosotan ekonomi dan krisis kebuluran.

Kedua-dua pemimpin ini amat faham akan konsep kitaran kuasa dinasti yang telah terbukti dalam sejarah China di mana tidak ada satu pun dinasti-dinasti imperial feudalis China yang mampu mengelak dari dimangsakan oleh kitaran ganas kebangkitan dan kejatuhan kuasa politik.

Dalam sejarah China, terdapat sebanyak 83 dinasti penting pernah didirikan dan seramai 559 maharaja (tidak termasuk dinasti-dinasti yang hanya tertumpu di sebahagian wilayah kecil) pernah memerintah China.

Tetapi tidak semua dinasti-dinasti ini memerintah keseluruhan tanah besar China dan tidak semua dinasti adalah empayar yang diasaskan dan diperintah oleh bangsa Cina Han. Terdapat bangsa Mongol, Khitan, Turki, Manchu, Uighur, dan banyak lagi etnik yang pelbagai budaya pernah menjadi pemerintah di China.

Dayitong Wengchao atau “Dinasti Yang Bersatu” merujuk kepada dinasti-dinasti China yang tidak dikira apakah bahasa pertuturan dan dari manakah asal usul etnik mereka, tapi pernah memerintah seluruh tanah besar China yang mereka satukan.

Maharaja Qin Shi Huangdi

Berikut adalah dinasti-dinasti yang pernah menyatukan dan memerintah tanah besar China secara keseluruhan tanpa mengira latar belakang etnik mereka:

  • Qin
  • Han Barat
  • Xin
  • Han Timur
  • Jin Barat
  • Sui
  • Tang
  • Wu Zhou
  • Song Utara
  • Yuan
  • Ming
  • Qing

Manakala Shentou Wengchao atau “Dinasti Campuran” adalah merujuk kepada dinasti-dinasti China yang diasaskan oleh etnik bukan Cina tapi telah beradaptasi, berasimilasi, dan menerima budaya Cina Han sebagai identiti bangsa mereka bagi mendapatkan keabsahan kuasa dalam masyarakat Han yang majoriti.

Contohnya, semasa Mongol menubuhkan Dinasti Yuan atau Khitan semasa menubuhkan Dinasti Liao, mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan budaya dan bahasa tempatan.

Kemudian ada Zhengfu Wengchao, iaitu “Dinasti Penaklukan”, ia merujuk kepada dinasti-dinasti China yang ditubuhkan oleh bangsa bukan Cina yang akan menentang dan menindas budaya Han tempatan dan mengangkat identiti etnik minoriti yang memerintah sebagai identiti utama negara.

Mereka juga memaksa populasi Han dan lain-lain untuk menerima budaya pemerintah minoriti. Contohnya, semasa kaum Manchu menubuhkan Dinasti Qing, semua kaum lelaki diwajibkan memiliki gaya rambut yang mengikut kebudayaan Manchu.

Pegawai-pegawai Dinasti Qing.

Tapi bukan isu kepelbagaian bangsa pemerintah China yang aku hendak tekankan di sini, namun sesuatu yang lebih dahsyat, iaitu kitaran kuasa politik China yang sentiasa berulang-ulang, apabila ia berlaku, ia akan menghapuskan hampir sepenuhnya empayar dan anggota bangsawan yang dijatuhkan.

Tak ada satu pun dari setiap dinasti-dinasti ini pernah terselamat dari kitaran pertukaran kuasa politik secara aman. Kesemuanya berlaku dengan pertumpahan darah dalam perαng. Dan ia tak mustahil boleh juga berlaku ke atas kerajaan China pemerintahan Parti Komunis China hari ini memandangkan mereka sendiri pernah menggulingkan Parti Nasionalis China (Kuomintang) sebelum itu.

Jadi, dalam usaha untuk melarikan diri dari kitaran ini, Mao Zedong memerintah dengan kuasa mutlak dan menjadikan negara China sebagai sebuah syurga yang dijanjikan untuk pendokong komunisme.

Caranya ialah dengan menunggang nama rakyat, segala-galanya mesti diretorikkan atas nama rakyat, termasuklah nama negara Republik China yang ditukarkan menjadi Republik Rakyat China. Dan, menabur janji-janji manis sebuah negara China demokratik.

Apa? Sejak bila China ada hasrat nak jadi negara demokratik? Ya, tak pernah dibuat mereka, tetapi demokrasi adalah sesuatu yang pernah dijanjikan oleh Mao Zedong sebelum mereka menggulingkan Kuomintang.

Bagi kebanyakan rakyat China, kebangkitan dan kejatuhan dinasti tak ubah sama seperti perubahan musim sahaja, tapi sering berakhir dengan kerosakan yang tragis tetapi masih ada potensi untuk bertransformasi.

Xi Jinping

Dunia telah menyaksikan banyak contoh ‘kebangkitan pesat, dan kejatuhan pesat’.  Seseorang individu, keluarga, kumpulan, tempat, malah sebuah negara tidak akan  ada kuasa untuk selamatkan diri daripada kitaran sejarah ini.

Dalam sejarah tradisi kesusasteraan klasik China, ada tiga perkara yang mereka kaitkan dengan kebiasaan yang menjadi tabiat, antaranya sikap malas dan ambil mudah – mentaliti yang menganggap kuasa politik akan berakhir apabila kemαtian pemimpin tanpa waris yang sah – sikap gelojoh mengejar nama tetapi berakhir dengan kejatuhan yang mengaibkan.

Selama lebih dari tiga ribu tahun, ketiga-tiga masalah ini sentiasa gagal diatasi oleh setiap pemerintah dinasti-dinasti bersejarah di China, tiga perkara inilah tunjang utama yang menyebabkan kitaran kuasa dinasti berulang-ulang melalui perαng pemberontakan.

Walau bagaimanapun, semenjak Parti Komunis China mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Parti Kuomintang, ada usaha berterusan sejak dari dari dahulu hingga sekarang. Mereka sentiasa berusaha mencari solusi baharu untuk melarikan diri dari kuasa kitaran ini saban tahun.

Perkara ini pernah dibahaskan oleh Mao Zedong semasa dia dikunjungi oleh seorang aktivis politik progresif bernama Huang Yanpei di kem tentera Komunis semasa Parti Komunis China masih bekerjasama dengan Kuomintang dalam usaha menyekat pencerobohan dan pendudukan tentera Jepun di China dalam Perαng Dunia Kedua.

Ketika itu, mereka berdua berbual tentang topik yang pernah menjadi belenggu yang memeningkan kepala para maharaja dan pemikir China klasik selama beribu-ribu tahun, iaitu kitaran kuasa dinasti. Mao Zedong dikatakan membuat kenyataan yang amat yakin pada penilaiannya sendiri:

“Kita sudah ada jalan baru, kita boleh lari dari kitaran ini. Jalan baru itu ialah demokrasi. Satu-satunya kaedah yang boleh memastikan agar kerajaan tidak lalai ialah dengan memberikan rakyat kuasa untuk menilai dan mengawasi kerajaan. Jika semua rakyat sudah mula ada tanggungjawab yang demokratik, maka kepercayaan tentang ‘kuasa politik berakhir setelah kemαtian pemimpin’ boleh dihapuskan.”

Mao Zedong

Hancing. Itu saja yang boleh aku katakan. Mao dan para komradnya tak pernah cuba melaksanakan demokrasi seperti yang telah mereka janjikan berulang kali sebelum Parti Komunis China mengalahkan Parti Kuomintang lalu merampas kuasa pemerintahan.

Bukan sahaja mereka telah menipu rakyat sendiri, bahkan Parti Komunis China semakin menuju ke arah yang menolak liberalisasi dan gagal bertoleransi dari segi politik dengan melancarkan pelbagai kempen-kempen pemutihan dalaman secara berturut-turut pada tahun 1950-an dan 1960-an hingga memusnahkan banyak aset dan monumen penting, lagi tragis bila berjuta-juta nyawa melayang kerana sedikit perbezaan ideologi.

Walaupun janji-janji yang retorik, impian utopia yang idealistik cukup bercanggah dari segi praktikal yang terang lagi bersuluh bahawa hasilnya adalah amat sia-sia dan sepatutnya kegagalan Mao Zedong wajar dijadikan pengajaran, namun perbualan antara Huang dan Mao ini masih dijadikan inspirasi dan diraikan oleh Parti Komunis China, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Xi Jinping nampaknya berulang kali memetik dialog Mao sebagai satu peringatan kepada kader-kader parti supaya jangan terlalu mudah berpuas hati dan berasa selesa. Dia percaya apa yang menjadi faktor utama mendorong kejatuhan dinasti-dinasti China silam ialah krisis dalaman, terutamanya korupsi dan perpecahan kem.

Xi berpendapat, demi keperluan untuk mengekalkan kuasa parti dan mengelak dari menjadi mangsa kitaran ganas perubahan kuasa politik adalah melalui “revolusi kendiri”,  iaitu memperbaharui nadi parti melalui perubahan secara paksa terhadap diri sendiri. Kadangkala perubahan yang menyakitkan akan mengukuhkan perpaduan organisasi dan ideologinya.

Sama seperti Mao Zedong, Xi Jinping juga sedar dan mengakui kewujudan ancaman yang sentiasa wujud dari kitaran dinasti itu sudah menjadi satu fitrah manusiawi. Tetapi apa yang membezakan Xi dengan Mao adalah, Xi tidak percaya yang ancaman ini boleh dihapuskan secara kekal.

Kebangkitan nasionalis China.

Bermaksud, ancaman akan sentiasa wujud untuk selama-lamanya tetapi Xi percaya, dengan menjadikan parti komunis sebagai organisasi yang progresif dan sentiasa terbuka untuk pembaharuan, sekurang-kurangnya ia boleh ‘menangguhkan’ kejatuhan mereka untuk tempoh yang lebih lama.

Oleh itu Xi Jinping akan memastikan Parti Komunis China sentiasa berada di dalam formasi ‘sedia tempur’ untuk mengekalkan keunggulannya dalam struktur politik China yang mutlak. Komunis di China perlu menjadi lebih progresif agar mampu beradaptasi dengan keperluan semasa.

Mao dan Xi berkongsi objektif yang sama: mengekalkan kuasa komunis. Hanya kaedah saja berbeza. Mao menjanjikan demokrasi tapi tak pernah dilaksanakan, dia bahkan pernah cuba memusnahkan tinggalan sejarah budaya China dengan janji-janji retorik tentang syurga komunis melalui pergolakan dan revolusi.

Kempen-kempen yang gagal seperti Great Leap Forward dan Revolusi Kebudayaan adalah contoh yang paling jelas tentang betapa besarnya kerosakan yang dihasilkan apabila satu ideologi politik dianggap sebagai jalan penyelesaian atau solusi yang paling sempurna dan memaksa penyokong dan rakyat untuk ‘taksub’ kepada keunggulan pemimpin Komunis China.

Xi Jinping pula, walaupun pada dasarnya dia tetap memerintah secara kuku besi dengan menekan dan mengawal gerak geri rakyatnya sendiri, tetapi, dia tidaklah terlalu idealis seperti Mao. Sekurang-kurangnya, belum lagi.

Sebaliknya, Xi berulang kali berhujah, sikap sentiasa berwaspada dan sentiasa beradaptasi secara berterusan adalah satu-satunya cara untuk mengekalkan kestabilan politik komunis agar tidak hanyut hingga terjerumus ke dalam kitaran nasib malang yang sama seperti dinasti-dinasti China dalam sejarah.

“Parti kita adalah parti politik yang terbesar di dunia. Tak akan ada kuasa asing yang boleh mengalahkan kita, tapi hanya kita sendiri saja yang boleh mengalahkan diri kita sendiri.” — Xi Jinping, (2019)

Keperluan dalam memastikan keselamatan rejim komunis telah mendorong Parti Komunis China di bawah pimpinan Xi Jinping untuk meneruskan tradisi satu parti satu kerajaan yang menjadi dasar utama politik China.

Sebab itu jangan jadi penjilat pemimpin.

Atau dalam bahasa kasar, ketuanan mutlak kerajaan Komunis dianggap sebagai ciri -ciri paling asas yang tak boleh dipersoalkan dalam politik China, ini hanya mengulang kembali satu tradisi yang diamalkan berabad-abad dalam sejarah dinasti China kuno. Parti Komunis hanyalah satu lagi kuasa yang memaksa rakyatnya menyokong kerajaan kerana mereka juga ada ‘mandat dari syurga’.

Penekanan Xi terhadap keperluan ketuanan parti secara mutlak merentasi spektrum penuh yang merangkumi aktiviti politik, ekonomi dan sosial. Di seluruh pelusuk China sedang wujudnya ruang yang memiliki tahap kewaspadaan dan ketidakamanan yang tinggi.

Barisan kepimpinan Parti Komunis China menjadi satu-satunya ciri-ciri yang akan membezakan konsep “Sosialisme Dengan Identiti Ke-Cina-an” (Teori Deng Xiaoping), ia membezakan sosialisme dengan ciri-ciri Cina yang paling asas.

Tetapi status pemerintah, dari segi parti, kerajaan, tentera, masyarakat, pendidikan, timur, barat, selatan, utara, tengah, dan di mana-mana sahaja  Parti Komunis China akan memimpin kesemuanya secara keseluruhan.

Idea monopoli kuasa parti bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi retorik yang semakin meningkat ditambah pula dengan perkembangan semasa, termasuk krisis anti-komunis di Hong Kong dan isu identiti di Xinjiang, semua ini menunjukkan bahawa China sedang kembali menjadi negara komunis yang amat menekan rakyat seperti era Mao Zedong.

Tetapi dengan kebangkitan China sebagai salah satu kuasa ekonomi global yang besar, dengan tahap keterbukaannya yang sangat tidak sinonim dengan prinsip ekonomi sosialis, kerajaan komunis China mungkin boleh menangguhkan kitaran ganas kuasa ‘dinasti.’

Ironinya, mereka sepatutnya sedar bahawa memerintah secara kuku besi tak sentiasa menjadi faktor yang boleh menyelamatkan mereka. Mungkin China tidak nampak bahawa pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang yang mereka usahakan sekarang jauh lebih relevan dan boleh mengembalikan penghormatan dunia blok barat terhadap mereka.

Chiang Kai-shiek (Kuomintang) dan Mao Zedong (Komunis) .

Benarlah kata orang, semakin besar dan kuat sebuah empayar, sebenarnya itu menandakan mereka semakin takut kerana kian menghampiri fasa kitaran kuasa dinasti yang memαtikan. Situasi ini amat getir bagi sebuah parti politik yang baru memerintah China belum pun lagi mencapai usia satu abad.

Dinasti Qing digulingkan melalui revolusi pada tahun 1911 oleh nasionalis China yang melahirkan Republik China. Kitaran kuasa dinasti dicetuskan sendiri oleh Parti Komunis China pada tahun 1949 dalam Perαng Saudara China, melahirkan Republik Rakyat China dan Taiwan.

Jadi, tak hairanlah mengapa pemimpin komunis China sangat takut. Perkara yang sama telah berlaku ke atas Kuomintang, dan mungkin nasib yang sama boleh menimpa Komunis.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply