Bangsa Melayu pernah menjadi pelayar hebat yang menguasai kebanyakan wilayah di Asia Tenggara pada suatu ketika. Berkurun lamanya, bangsa ini telah membina empayar maritim yang luas, monumen-monumen yang utuh dan telah menjadi perintis teknologi pelayaran dalam memperkukuhkan pengaruh mereka ke atas kawasan maritim yang luas mencakupi pulau Madagascar di sebelah Barat dan kepulauan Melayu di bahagian Timur.

Walaubagaimanapun, kebanyakan rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu tidak menyedari episod kegemilangan bangsa mereka sendiri. Secara dasarnya, rakyat Malaysia sejak dibangku sekolah telah diajarkan dengan sejarah penjajahan negara yang memperlihatkan kelemahan dan ketidakcekapan pemerintah Melayu pada zaman silam yang telah gagal mempertahankan kedaulatan negara daripada cengkaman penjajah. Ini adalah bahagian dari sejarah lampau yang tidak boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia terutama sekali orang-orang Melayu.

Sejarah bangsa Melayu yang diajarkan pada peringkat sekolah di Malaysia hanya tertumpu kepada perkembangan di dalam batas wilayah negara Malaysia sahaja tanpa melihat kepada skop yang lebih luas yang merangkumi keseluruhan kepulauan Melayu. Walaupun kebanyakan kawasan di dalam rantau kepulauan Melayu kini adalah wilayah negara-negara Indonesia, Brunei dan Filipina, sejarah perkembangan tamadun Melayu yang berkembang untuk berkurun lamanya di rantau ini tidak harus dilupakan sama sekali.

Kepulauan Melayu

Kepulauan Melayu atau Nusantara ialah gugusan kepulauan yang terbesar di dunia, terbentang dari Sumatera di sebelah Barat dan Maluku di Timur. Pakar antropologi seperti Johann Friedrich Blumenbach dan Alfred Russell Wallace merujuk bangsa Melayu sebagai orang-orang Austronesia, yang mendiami kepulauan ini seperti suku Minangkabau, Bugis, Batak, Jawa, Sunda, Makassar dan lain-lain.

Kegemilangan Empayar Melayu Zaman Silam

Kerajaan Srivijaya adalah kerajaan Melayu pertama yang berjaya mendominasi banyak wilayah-wilayah di kepulauan Melayu. Empayar yang telah lama dilupakan ini disahkan kewujudannya oleh seorang sejarawan Perancis, George Coedes. Kerajaan ini telah diasaskan pada kurun ketujuh Masihi oleh seorang Maharaja Melayu beragama Buddha bernama Dapunta Hyang Sri Jayanasa, yang telah menjadikan kota Palembang sebagai ibu negeri kerajaan yang agung ini. Memandangkan Palembang terletak di tengah-tengah jalur pelayaran Selat Melaka dan Selat Sunda, Srivijaya telah berkembang pesat sebagai pusat perdagangan ekonomi dunia yang bergantung kepada komoditi seperti kapur barus, bunga cengkih, kayu cendana, buah pala dan barangan berharga yang lain untuk diperdagangkan dengan pedagang-pedagang asing dari rantau Asia seperti Tanah Besar Cina, India dan Timur Tengah.

Maharaja-maharaja Srivijaya adalah pemerintah hebat yang telah meletakkan banyak kawasan di Asia Tenggara di bawah telunjuk kekuasaan mereka. Catatan Arab menyebut bahawa empayar maharaja ini sangat luas sehinggakan kapal-kapal mereka yang paling laju pun tidak mampu untuk mengelilingi pulau-pulau di bawah pengaruh Srivijaya dalam masa 2 tahun. Sejarawan Barat, Nicholas Tarling mengakui kejayaan Srivijaya adalah hasil daripada kemahiran pelayaran, organisasi dan inisiatif orang-orang Melayu sendiri dalam mengambil kesempatan dengan peluang-peluang yang mereka ada.  

Teras kekuasaan ekonomi dan politik di kepulauan Melayu berpindah dari pulau Sumatera ke pulau Jawa pada tahun 1293 Masihi. Dari ibu negeri Trowulan di Jawa Timur, wilayah Majapahit berkembang pesat pada kurun ketiga belas Masihi menyelimuti seluruh kepulauan Melayu yang merangkumi Sumatera, Semenanjung Melayu, Borneo, Sulawesi, Maluku dan Mindanao. Majapahit menjana kekayaan dari hasil-hasil pertanian terutamanya beras, serta menerusi jalur perdagangan yang melewati selat-selat kepulauannya.

Dengan wilayahnya yang membentang, pedagang Majapahit mengumpul bahan-bahan mentah dari kawasan pedalamannya untuk didagangkan di pelabuhan-pelabuhannya. Komoditi ini termasuk lada hitam, garam dan minyak kelapa dari Jawa, rempah ratus dari Maluku, gading dari Sumatera dan timah dari Semenanjung Melayu untuk didagangkan dengan barangan tekstil dari India dan porselin dari China. Menjelang kurun ketigabelas Masihi, Majapahit telah berjaya menggantikan Srivijaya sebagai kuasa agung di rantau Asia Tenggara.

Dengan melemahnya Majapahit pada kurun kelima belas Masihi, Kesultanan Melaka bangkit menjadi kuasa politik baru yang menguasai perdagangan di Kepulauan Melayu. Diasaskan oleh Parameswara, putera dari kerajaan Srivijaya yang telah runtuh, kesultanan ini mempunyai pengaruh luar biasa terhadap Selat Melaka, sehinggakan nama kesultanan yang pernah berkuasa ini diabadikan dalam salah sebuah selat tersibuk di dunia. Kesultanan ini kekal makmur sehingga tahun 1511 sebagai pusat perdagangan yang penting di dunia. Adalah diperkatakan bahawa populasi pelabuhan Melaka sebelum kesultanan ini runtuh adalah lebih kurang 100, 000 penduduk, sebesar kota-kota Eropah pada ketika itu seperti Naples dan Paris.

Di seberang timur Laut China Selatan, kerajaan Melayu Brunei telah mendominasi Borneo selama beratus tahun. Malah, nama ‘Borneo’ itu sendiri dipercayai berasal dari perkataan ‘Brunei’. Semasa zaman keemasannya pada kurun keempatbelas dan kelimabelas Masihi, Brunei telah menguasai kesemua kawasan persisiran pantai di sekeliling Borneo. Pengaruhnya yang besar telah membolehkannya menubuhkan kerajaan satelitnya yang bernama Kerajaan Maynila di tapak yang mana kota Manila yang moden sekarang berdiri sebelum ianya dirampas oleh Sepanyol. Pada tahun 1578, Sepanyol telah memulakan kempen ketenteraan agresif terhadap Brunei dan telah melanggar ibu negerinya, Kota Batu, sebelum memusnah dan membumihanguskan kota ini.


Pemerintah Brunei pada ketika itu telah berjaya menyatukan tenteranya kembali dan akhirnya berhasil mengusir Sepanyol keluar pada 26 Jun 1578, hanya 72 hari setelah runtuhnya Kota Batu. Jika bukan kerana keberanian dan semangat cintakan negara yang tinggi pahlawan-pahlawan Melayu Brunei ini menentang penjajahan, Brunei mungkin akan menjadi sebahagian dari empayar Sepanyol dan bukan lagi sebuah negara Islam yang merdeka. Tidak seperti Melaka, Brunei masih kekal sehingga kini sebagai sebuah negara berdaulat, sekaligus menunjukkan semangat juang orang-orang Melayu yang bangkit melawan penjajahan.

Monumen Yang Dilupakan

Selain daripada empayar-empayar yang luas terbentang, catatan sejarah membuktikan bahawa bangsa rumpun Melayu telah banyak membina monumen-monumen yang gah suatu ketika dahulu. Mereka telah melupakan kehebatan nenek moyang mereka sendiri dalam membina gedung-gedung yang besar, hanya untuk dijumpai semula oleh peneroka-peneroka dan sejarawan Barat. Gedung-gedung yang berusia ratusan tahun ini kebanyakannya adalah dalam bentuk rumah ibadat atau kompleks candi yang didirikan sebelum pengislaman bangsa Melayu yang berlaku mulai kurun kelimabelas Masihi.

Candi Borobudur di Magelang, Jawa Tengah sebagai contoh, adalah monumen silam yang terbesar pernah didirikan di hemisfera selatan Bumi. Candi ini telah didirikan dalam tempoh waktu 75 tahun sewaktu pemerintahan kerajaan Srivijaya oleh Maharaja Samaratungga pada tahun 825 Masihi. Kerajaan Srivijaya juga dikatakan bertanggungjawab dalam pembinaan Candi Muara Takus pada kurun kesebelas Masihi di dalam hutan belantara Riau, Sumatera. Kerajaan Malayu yang merupakan negeri vassal Srivijaya yang berpusat di Jambi telah mendirikan banyak candi pada zaman keemasannya pada kurun kesebelas Masihi. Peninggalan kerajaan Malayu ini diabadikan di Kompleks Candi Muara Jambi di Indonesia yang merupakan kompleks candi terbesar di Asia Tenggara. Zaman keemasan Kerajaan Kedah Tua juga dapat dilihat menerusi prasasti-prasasti yang masih kekal wujud di Lembah Bujang, Kedah, Malaysia.

Selain itu, Pulau Jawa menempatkan banyak candi Hindu zaman silam yang berselerakan di seluruh pulau ini dan Candi Prambanan di Jawa Tengah adalah yang terbesar. Monumen-monumen yang gah ini adalah manifestasi bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang besar dan berkeupayaan untuk mendirikan struktur-struktur yang hebat. Sayang sekali, saat-saat kegemilangan bangsa rumpun Melayu ini dilupakan dan tidak pernah dikenang oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Pelayar Ulung

Keadaan geografi Asia Tenggara yang berpulau-pulau bererti bahawa jalur pengangkutan laut adalah kaedah terbaik untuk menelusuri rantau ini pada zaman silam. Kekuatan maritim bangsa Melayu Srivijaya telah didokumentasikan pada ukiran di dinding candi Borobudur yang menunjukkan kapal pelayaran bercirikan kurun kelapan Masihi yang sering digunakan di kepulauan Melayu bagi tujuan ekspedisi ketenteraan dan perdagangan. Lagipula, kekuatan dan pengaruh Srivijaya membolehkan bangsa Melayu untuk belayar beribu-ribu batu ke laut lepas di Lautan Hindi untuk menempati Pulau Madagascar di Afrika pada sekitar tahun 830 Masihi.

Di sudut timur dunia, sejarawan Barat, W. Lloyd Warner mengakui bahawa orang-orang Melayu telahpun memulakan perhubungan dengan kumpulan orang-orang Asli pesisir Australia di Arnhem Land dan berdagang dengan mereka sebelum kedatangan penjajah Eropah di benua ini pada kurun keenambelas Masihi. Beliau menerangkan bahawa orang-orang Melayu telah membuat pelayaran awal ke selatan Kepulauan Melayu dan menyeberang Laut Arafura menuju ke pantai utara Australia pada ketika itu. Sejarah silam ini menunjukkan bahawa orang-orang Melayu adalah pelayar ulung yang telah mengembara melangkaui Asia Tenggara sehingga ke Madagascar dan Australia, episod sejarah yang boleh dibanggakan oleh orang-orang Melayu, tidak mengira kewarganegaraan mereka.

Menulis Semula Sejarah

Dari empayar-empayar ulung ke monumen-monumen agung serta kemahiran pelayaran yang mengagumkan, ternyata bahawa bangsa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang yang boleh mereka banggakan. Akan tetapi, episod-episod kegemilangan bangsa Melayu ketika zaman keemasan mereka tidak pernah dihayati dan diajar terutamanya di sekolah-sekolah di Malaysia. Sejarah Melayu versi Malaysia terbatas kepada sejarah kesultanan Melaka diikuti dengan sejarah penjajahan selama beratus tahun. Sejarah kegemilangan Kesultanan Melaka hanyalah bahagian kecil daripada apa yang bangsa Melayu telah berjaya gapai pada waktu lalu.

Sementara bangsa Cina berbangga dengan Tembok Besar Cina, bangsa Khmer dengan kemegahan Angkor Wat mereka, bangsa Korea dengan Sungnyemun Gate dan rumpun Scandinavia dengan sejarah keberanian Viking nenek-moyang mereka, bangsa Melayu terutamanya di Malaysia kebanyakannya tidak mengetahui sejarah kegemilangan mereka sendiri di luar skop Kesultanan Melaka.

Jepun muncul sebagai sebuah kuasa dunia dan secara aktif mengambil bahagian di dalam Perang Dunia Kedua sebelum pihak Berikat menewaskan mereka dengan meledakkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Walaubagaimanapun, untuk membina semula maruah bangsa mereka yang telah tercalar, buku-buku sejarah Jepun memberikan fokus kepada kejayaan bangsa Jepun membina empayar yang hebat tanpa memberikan terlalu banyak penekanan kepada kekalahan mereka kepada pihak Berikat.


Buku-buku sejarah di Korea Selatan juga, memberikan perhatian yang lebih kepada sejarah kegemilangan bangsa mereka daripada menceritakan sejarah silam mereka yang sering dijajah pelbagai bangsa asing. Tambahan lagi, sejarawan Thai terus menerus meyakinkan bangsa Thai yang mereka adalah satu-satunya bangsa yang tidak pernah dijajah di Asia Tenggara sedangkan Thailand dianggap sebahagian dari empayar Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung. Kini, negara Jepun, Korea Selatan dan Thailand telah berjaya mendidik generasi muda mereka yang berbangga dengan identiti bangsa dan negara mereka sendiri.

Kesimpulan

‘Sejarah membentuk jati diri’ – pepatah Melayu ini adalah benar dari semua segi. Adalah mustahil untuk bangsa dan orang-orang Melayu memiliki jati diri yang utuh sekiranya generasi muda sering diajarkan dengan sejarah penjajahan yang panjang di sekolah-sekolah. Malaysia sepatutnya mengambil contoh cara Jepun, Korea dan Thailand dalam memupuk jati diri yang tinggi dan semangat kebangsaan yang utuh dalam diri rakyat mereka sendiri.

Sebagai kumpulan etnik terbesar di Malaysia, kaum Melayu berserta saudara senegara mereka yang bukan Melayu, memainkan peranan penting dalam memacu Malaysia ke arah kejayaan. Bangsa Melayu seharusnya berbangga dengan identiti mereka tanpa perlu memandang rendah kepada diri sendiri. Adalah amat penting untuk kita memilih sejarah apa yang perlu diceritakan dan apa yang patut dibiar dalam keterlupaan. Ini adalah masanya untuk mengingatkan generasi muda bangsa Melayu mengenai sejarah kehebatan, keunggulan dan kegemilangan mereka yang dilupakan, untuk membina Malaysia yang lebih kuat, lebih utuh dan lebih cemerlang.

Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) ialah seorang Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Profesor Pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.  


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.