Jika ditanya tentang topik makan serangga, pelbagai label timbul: menggelikan, lembik, sejuk dan tak menyelerakan. Lebih-lebih lagi jika melihat ia dimakan seperti di bawah:
Tetapi hakikatnya, humanoid termasuk manusia dan mawas mempunyai kecenderungan memakan serangga. Malah, perkataan entomophagy (entomofagi) yang bermaksud makan serangga diambil daripada dua perkataan Yunani iaitu entomon (serangga) dan phagein (untuk makan). Malah, ia boleh dimakan mengikut kepercayaan tiga agama utama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
Jadi, bila humanoid mula makan serangga? Ia berkemungkinan bermula lebih enam juta tahun lalu. Kemudian, kira-kira 2 juta tahun lalu, spesies Australopithecine (boleh berjalan dengan dua kaki dan menghasilkan peralatan) mengorek busut anai-anai dengan peralatan tulang bagi mendapatkan anai-anai.
Apabila Homo erectus muncul lebih 1.9 juta tahun lalu, kelompok ini lebih suka mencari serangga sebagai sumber makanan utama. Serangga menjadi pilihan kerana kaya dengan protein – amat sesuai untuk menyokong otak mereka yang besar.
Tetapi tradisi makan serangga di Eropah terhenti menerusi kemunculan Neanderthal kira-kira 250,000 tahun lalu. Selepas berhijrah dari Afrika ke Eropah ketika Zaman Ais, mereka lebih suka memburu binatang besar daripada mencari serangga. Serangga tidak akan keluar ketika cuaca sejuk dan jika ada sekalipun, ia tidak berbaloi untuk dicari.
Begitupun, tidak semua yang berhijrah ke Eropah. Ada yang memilih bermigrasi ke benua Amerika dari Siberia melalui jambatan ais membolehkan mereka tiba di tempat tropika seperti Amerika Tengah dan Selatan. Ini membolehkan tradisi makan serangga diteruskan. Hanya tiga negara yang masih mengamalkan tradisi ini iaitu Jepun, Mexico dan China.
Tradisi makan serangga bagaimanapun semakin pudar akibat populariti aktiviti pertanian. Tidak seperti dahulu, usaha mencari serangga sukar dan memakan masa. Dengan populasi manusia semakin bertambah, satu-satunya cara membekalkan makanan berterusan ialah melalui penuaian hasil pertanian.
Selain itu, ia tidak dibantu dengan tindakan sesetengah serangga menyerang dan memusnahkan hasil tanaman. Ini menyebabkan para petani melihat serangga sebagai musuh kepada tanaman mereka. Proses pembelajinakan (domestication) haiwan turut menambah sumber protein yang diperlukan penduduk.
Menjelang era antikuiti membabitkan pelbagai tamadun dari China hingga Yunani dan Rom, makan serangga dianggap satu adat tradisi. Di China, makan serangga dikatakan telah berlaku sejauh 3,200 tahun lalu.
Ini berdasarkan penemuan kokun-kokun ulat sutera liar kosong di satu tapak arkeologi di Shanxi. Analisis mendapati kokun ini diambil sekitar 2500 hingga 2000 SM. Selain itu, wujud satu buku resepi era Dinasti Tang yang menyebut bagaimana larva dan pupa dimanfaatkan dalam masakan.
Bagi orang Yunani pula, orang paling layak berbicara tentang hal ini ialah Aristotle. Dalam manuskripnya bertajuk Historia Animalum, satu bahagian diperuntukkan untuk fasa hidup serangga dan masa terbaik untuk memakannya.
Misalnya, Aristotle mencadangkan serangga betina dimakan selepas ia mengawan kerana telurnya enak. Serangga pilihan beliau ialah cicada di mana ia amat enak dimakan pada peringkat akhir pertumbuhannya.
Sementara Herodotus memperkenalkan serangga berempah dari Libya selepas mengembara ke merata tempat. Serangga ini perlu dikisar menjadi serbuk halus dan bila dicampur dengan susu, menjadikan ia lebih berperisa. Manakala Diodorus pula menggelar penduduk Ethiopia ‘Acridophagi’ (pencinta belalang) sempena keluarga belalang, Acrididae.
Menjelang akhir abad pertama SM, amalan makan serangga tidak lagi popular. Pertama, wujud kesedaran bahawa serangga merupakan pencetus penyakit dan memusnahkan tanaman pertanian. Kedua, ia dianggap diet primitif dan tidak sihat terutama selepas peneroka-peneroka Eropah tiba di benua Amerika pada abad ke-15 dan ke-16.
Walaupun tradisi makan serangga tidak sekuat di Asia dan Amerika Latin, amalan sebegini wujud di Eropah. Di Perancis dan Belgium, ulat beluncas dijadikan sebahagian daripada menu makanan. Sementara di Jerman, larva lebah merupakan makanan eksotik negara itu.
Tiga agama utama dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi mempunyai pandangan tersendiri berkenaan makan serangga. Dalam Islam, semua serangga tidak boleh dimakan kecuali belalang bersandarkan kepada beberapa hujah.
Pertama, sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi, “Kami dihalalkan dua bangkai dan darah. Adapun dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang. Sementara dua darah tersebut ialah hati dan limpa.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah) Kedua, satu hadis lain yang diriwayatkan Imam Muslim rahimahullah, pasukan tentera Madinah menjadikan belalang sebagai makanan tenaga sebelum turun ke medan perang.
Secara dasarnya, semua serangga tidak boleh dimakan kecuali belalang berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-A’raf, ayat 157, “… dan dia (Nabi Muhammad s.a.w) menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk…” Belalang diberi pengecualian oleh para ulama kerana telah disebut pengecualiannya dalam hadis Rasulullah s.a.w seperti hadis di atas.
Bagi agama Kristian pula, penganutnya digalakkan makan belalang juta, belalang dan kumbang. Bagi orang Yahudi pula, mereka tidak dibenarkan makan serangga kecuali jenis serangga tertentu. Serangga tersebut ialah serangga bersayap yang berjalan dengan empat kaki dan jenis serangga yang mempunyai kaki yang bersambung bagi membantunya melompat.
RUJUKAN
Leigh-Howarth, L. (2022, 5 Mac). Eating Insects: The History of the Human Hunger for Bugs. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih