Segi Tiga Bermuda dianggap satu bahagian misteri Lautan Atlantik yang masih gagal dijelaskan sehingga ke hari ini. Ini kerana kawasan yang disempadani oleh Miami, Bermuda dan Puerto Rico ini menjadi antara tempat puluhan kapal dan pesawat hilang sehingga hari ini.
Sebab kehilangan masih tidak dapat dijelaskan dan ini membawa kepada kemunculan pelbagai teori untuk menjelaskannya dari makhluk asing hinggalah fenomena semulajadi. Ini ditambah dengan fakta ia menjadi laluan utama penduduk tanpa sebarang insiden makin membuatkan kepala penyelidik dan saintis berasap.
Kawasan yang dikenali sebagai Segi Tiga Bermuda ini meliputi kawasan laut seluas 500,000 batu persegi hingga ke titik paling selatan di Florida. Rekod pertama tentang kawasan tersebut dicatatkan semasa perlayaran Christopher Columbus ke Dunia Baru.
Dalam perjalanan, beliau melaporkan melihat bara api yang besar (berkemungkinan sebuah meteor) yang jatuh ke dalam laut pada satu malam. Beberapa minggu selepas insiden itu, Columbus dan krewnya melaporkan melihat cahaya aneh yang wujud dari kejauhan.
Selain melihat cahaya aneh di ufuk, mereka turut melaporkan gangguan pada kompas pelayaran. Perkara ini berlaku kerana Segi Tiga Bermuda merupakan antara beberapa tempat di bumi yang menyaksikan pertembungan utara magnetik dan utara sebenar.
Selain rekod Columbus, skrip pementasan teater William Shakespeare yang bertajuk The Tempest dikatakan turut merujuk kepada Segi Tiga Bermuda. Para pengkaji mendakwa skrip yang merujuk kepada insiden kemalangan kapal Sea Adventure/Sea Venture di Bermuda ini pada tahun 1610 dikatakan berpunca daripada kawasan berkenaan.
Namun, laporan-laporan pelik yang menyelubungi kawasan itu tidak menarik perhatian orang ramai sehinggalah abad ke-20 menerusi peristiwa kehilangan kapal kargo Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), USS Cyclops. Kapal yang berukuran panjang 542 kaki yang membawa 300 orang krew dan anak kapal serta muatan 10,000 tan manganese ini hilang antara Barbados dengan Teluk Chesapeake.
Kapal tersebut tidak pernah mengeluarkan isyarat kecemasan SOS disebalik dilengkapi dengan peralatan canggih dan usaha mencari bangkainya menemui kegagalan. Bila mengulas insiden malang yang melanda Cyclops, Presiden US ketika itu Woodrow Wilson berkata, “Hanya Tuhan dan laut saja yang tahu apa yang menimpa kapal yang hebat itu.”
Sejak itu, corak kehilangan kapal atau pengabaian kapal mula terbentuk di Segi Tiga Bermuda. Beberapa bulan selepas Perang Dunia Kedua tamat secara rasmi, lima pesawat pengebom US Navy yang membawa 14 orang juruterbang dan krew berlepas dari Fort Lauderdale, Florida sebagai sebahagian daripada penerbangan latihan mereka.
Tetapi apabila pesawat utama misi yang dikenali sebagai Penerbangan 19 mengalami masalah kompas, kumpulan pesawat mengalami masalah menentukan arah mereka dan terbang tanpa sebarang arah sebelum terpaksa mendarat di atas air.
Pada hari yang sama, sebuah pesawat penyelamat yang ditugaskan menyelamatkan krew Penerbangan 19 turut hilang semasa berada di Segi Tiga Bermuda. Satu misi mencari dan menyelamat digerakkan dan selepas berminggu-minggu usaha digerakkan, satu laporan US Navy mengisytiharkan mereka sudah hilang seolah-olah telah terbang ke Marikh.
Apabila penulis Vincent Gaddis memperkenalkan frasa Segi Tiga Bermuda dalam satu artikel majalah tahun 1964, lebih banyak insiden kehilangan dilaporkan termasuk tiga pesawat penumpang yang terhempas walaupun pada awalnya telah menghantar mesej semuanya baik.
Legenda yang menyelubungi Segi Tiga Bermuda ini semakin bertambah menerusi beberapa buku yang dihasilkan Charles Berlitz termasuk dakwaan ianya ada kaitan dengan tamadun Atlantis yang dinyatakan oleh cendekiawan Yunani, Plato.
Berlitz turut mendakwa sisa runtuhan tamadun berkenaan berada di dasar segi tiga itu. Namun, kebanyakan dakwaan mengarut ini dibakulsampahkan oleh komuniti saintifik kerana tidak tepat, enggan mengambil kira fenomena semulajadi dan mempromosikan idea-idea pseudosaintifik.
Sejak itu, lebih ramai penyelidik dan pengikut pseudosains mendakwa Segi Tiga Bermuda berbahaya atas banyak sebab dari kawasan tumpuan makhluk asing hinggalah raksasa-raksasa laut. Sementara komuniti saintifik cuba menjelaskan Segi Tiga Bermuda berpunca daripada sebab-sebab semulajadi seperti letusan metana dari dasar laut atau anomali magnetik.
Setakat ini, tiada satu pun teori yang dapat menjelaskan insiden-insiden misteri yang berlaku di Segi Tiga Bermuda. Bak kata seorang skeptik, mendapatkan punca sebenar bagi setiap kehilangan yang berlaku di Segi Tiga Bermuda lebih sukar berbanding mendapatkan punca setiap kemalangan kereta sama di Arizona.
Dan di sebalik semua cabaran maritim yang berlaku di situ, ia tidak diklasifikasikan sebagai tempat merbahaya menurut firma insuran terkemuka Lloyd’s of London. Kenyataan tersebut turut disokong oleh Perkhidmatan Pengawal Pantai Amerika Syarikat yang menyatakan kebanyakan punca kemalangan pesawat dan kapal di situ berpunca daripada perkara fizikal (kesilapan manusia, kesilapan peralatan dan seumpamanya) dan tiada punca yang bersifat alam ghaib yang menyumbang kepada kemalangan di situ.
RUJUKAN:
History. (2010). Bermuda Triangle. https://www.history.com/topics/folklore/bermuda-triangle
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih