Tidak ramai dari generasi sekarang yang kenal akan nama pejuang negara ini yang berasal dari Perak.

Seorang yang sangat komited dengan tugas dan perjuangannya menentang kegiatan pengganas komunis di Malaysia satu ketika dahulu, beliau adalah salah seorang dari pelopor dan teraju taktik peperangan saraf melawan insurgensi komunis yang sangat di hormati.

Malaysia satu ketika dahulu sangat bersatu. Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Semelai, Sikh, Melanau dan banyak lagi kaum bersama-sama bersatu hati membina negara ini, berjuang untuk negara ini.

Dan mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng adalah salah satu contohnya.

‘Saya seorang Melayu, India dan Cina. Jika ada yang memburukkan orang Melayu, ia ibarat mencederakan sebahagian daripada tubuh saya. ‘Dalam polis tidak ada istilah bangsa dan kaum. Kami berjuang sebagai satu pasukan demi mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.’

Itu adalah kata-kata hikmat beliau yang membuatkan beliau sangat disegani sahabat dan digeruni lawan.

Pernah satu ketika bilamana ada anggota berbangsa Melayu tewas dalam pertempuran, beliau sangat sedih dan mengalirkan air mata kerana kehilangan sahabat dan saudara walaupun mereka berbeza ugama dan kaum.

Pada mendiang, keutamaan adalah negara dan kesetiaan beliau adalah pada Raja. Dan ini menjadi teras utama perjuangan beliau selama 33 tahun menentang elemen pengganas komunis di Malaya, Sarawak dan Malaysia khususnya.

Beliau terlibat dengan dunia kepolisian sewaktu berusia 23 tahun, di era 50an sebelum Malaya pada ketika itu mencapai kemerdekaan. Karier sebagai pegawai Special Branch bermula rasmi pada tahun 1953 dan beliau ditugaskan di Grik, Perak.

Menjalani latihan singkat selama enam bulan dan pada 1951 mendiang pertama kali ditugaskan sebagai CID. Kemudian menyertai pasukan Federal Jungle Company (FJC) ke-2 di Tanah Hitam, Chemor. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Platun 2 No 16 FJC, Titi Gantung, Sitiawan, Perak.

1951 adalah zaman Darurat yang sangat menekan. Beliau telah ditembak di Chemor, terkena 4 das tembakan peluru musuh dan hanya 3 berjaya dikeluarkan oleh doktor. Pada bulan Disember beliau ditembak dan tercedera di Bukit Tanggor ketika menyerang hendap kem pengganas komunis. Pada waktu itu Chemor dan Sungai Siput terkenal sebagai kawasan hitam di negeri Perak.

Di zaman awal ini mendiang benar-benar berhadapan dengan gerila komunis satu lawan satu, peluru lawan peluru didalam hutan hujan tropika negara kita. Penugasan didalam Federal Jungle Company banyak memberikan pengalaman kepada mendiang dalam memahami struktur organisasi dan taktik musuh yang dihadapi.

Sepanjang karier beliau sebagai pegawai Special Branch, menyusup masuk dan melakukan intipan keatas elemen komunis adalah antara tugasan utama pasukan yang diterajui beliau.

Maklumat risikan pasukan beliau banyak memberikan bantuan kepada pasukan keselamatan dan pihak polis pada ketika itu dalam operasi mengekang dan membanteras kegiatan komunis yang sangat berleluasa di Perak. Sehinggakan satu masa, mendiang sendiri mengetuai operasi penyusupan masuk kedalam keanggotaan gerila pengganas komunis, melakukan penyergapan dan kekacauan menyebabkan kumpulan komunis sasaran berada dalam keadaan kucar kacir.

Tindakan risikan yang berterusan dan pembanterasan yang menyeluruh juga berjaya melumpuhkan elemen organiasasi yang bersimpati dan menyokong gerakan komunis di Ipoh.

Mendiang Tan Sri kemudian dinaikkan pangkat kepada pembantu inspektor dan pegawai Special Branch di Sungei Siput yang mana ia memperlihatkan usaha mendiang menentang habis-habisan pengganas komunis PKM di negeri Perak melaluai Operasi Jahu yang memperlihatkan saki baki komunis diperangi habis-habisan di negeri Perak. Seramai 156 pengganas dihapuskan dalam tempoh 16 bulan. Pada tahun 1960, Ipoh dan Perak Tengah ditakrifkan sebagai ‘Kawasan Putih’ dan pada tahun yang sama, pengisytiharan ancaman insurgensi telah berakhir dibuat oleh kepimpinan politik waktu itu.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh mendiang sewaktu menjalankan operasi melawan pengganas komunis adalah dimana mendiang mempunyai hubungan erat dengan masyarakat Cina, memiliki sifat jati diri serta merendah diri. Beliau bijak bergaul dengan masyarakat, pandai mengambil hati dan cepat mendapat kawan. Kadangkala beliau menggunakan orang tengah untuk mendapatkan maklumat.

Kecemerlangan beliau turut menjadi ancaman kepada diri dan keluarga mendiang apabila komunis pada masa sama turut memburu kalangan anggota dan pegawai Special Branch.

Disatu ketika, sehingga 11 orang pegawai Special Branch dibunuh dihadapan keluarga mereka sendiri oleh pengganas komunis sebagai tindakbalas dendam dan mendiang Tan Sri juga hampir menjadi mangsa peluru musuh, dan dari 11 orang tersebut, 6 darinya adalah pegawai berbangsa Cina.

Diwaktu kemuncak era Darurat / Insurgensi Pertama , Ipoh diselubungi kegiatan komunis. Dari kawasan bandar hingga ke kampung baharu, elemen komunis wujud sehinggakan ketumbukan pasukan mereka berada sehampir kawasan pergunungan Kledang dimana kegiatan kumpulan mereka sangat aktif.

Ini tidak memudarkan semangat beliau untuk terus berjuang.

Taktik psikologi yang di amalkan Tan Sri Yuen Yuet Leng keatas pengganas yang ditangkap atau menyerah diri pada awalnya tidak dipersetujui pihak British pada era Insurgensi Pertama. Diwaktu itu, kebanyakan pengganas ditembak mati, namun pendekatan Tan Sri pada waktu itu adalah mengajak kalangan gerila ini kembali semula kepada masyarakat, memberikan mereka sebab musabab yang kukuh kenapa perjuangan dibawah komunis adalah salah dan terpesong dan ia tidak menguntungkan semua pihak.

Kebanyakan kalangan pengganas yang menyerah diberikan sesi kaunseling dan pemutihan sebelum kembali kepada masyarakat umum, satu kebenaran yang tidak pernah disebutkan oleh ketua Parti Komunis Malaya. Ratusan pejuang PKM yang tidak tahan dengan kondisi di dalam hutan, menyerah kepada pasukan keselamatan dan pihak polis. Apabila mereka dilayan dengan baik, pihak Special Branch menggunakan peluang ini untuk mendapatkan maklumat mengenai pergerakan dan rencana pihak komunis yang kemudian memudahkan operasi dan memantapkan lagi jaringan risikan.

Sehingga satu tahap, kejayaan pemutihan kalangan bekas pengganas ini sangat trampil malah ada yang menyertai Special Branch dan menyusup masuk kembali ke hutan sebagai anggota komunis dengan tujuan menggagalkan rancangan kumpulan komunis dan ada diantaranya berjaya keluar dan menyerah diri sepenuhnya kepada pasukan keselamatan.

Hal ini sangat ditakuti PKM, yang merupakan cabang utama komunis di Malaya dan kemudian Malaysia yang memperlihatkan

Taktik memenangi hati dan pendekanan psikologi ini digunakan sebaiknya apabila mendiang kemudian ditukarkan ke Sarawak pada tahun 1971 sebagai pemangku ketua pengarah Special Branch bagi kawasan operasi RASCOM dan kemudian sebagai Ketua Pengarah Unit Perisikan Bersama di Sibu dalam menghadapi ancaman komunis yang menular. Tan Sri Yuen sewaktu di Sarawak banyak bercampur gaul dengan masyarakat setempat dan kalangan anggota dan pegawai berbangsa Melayu adalah majoritas komposisi pasukan di sana. Ancaman dari Partai Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) juga ditangani oleh mendiang dengan pendekatan psikologi dan memenangi hati dan pemikiran rakyat setempat serta memujuk kembali kalangan ahli PARAKU yang kebanyakannya keliru dan tertipu dengan propaganda yang dicanang oleh gerakan komunis yang kononnya mereka berjuang untuk kebebasan Sarawak.

Usaha mendiang dalam melaksanakan pemutihan dan gerakan psikologi serta pengunaan taktik memenangi hati serta serangan psikologi keatas anggota komunis di Sarawak disokong oleh Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, Abdul Rahman Yaakub yang hampir berjaya membawa kedua pihak, kerajaan dan PARAKU ke meja rundingan untuk keamanan bersama.

Namun rundingan tersebut gagal.Ini berlaku hanya kerana pihak PARAKU pada waktu itu tidak setuju dengan pendekatan menamakan kalangan anggota kumpulan mereka sebagai menyerah (Surrendered Enemy Personnel – SEP). Tindakan yang diambil oleh mendiang Tan Sri menukar istilah menyerah kepada Returned Enemy Personnel – REP. Usaha tersebut berjaya membawa kepada gerakan menyerah diri besar besaran seramai 700 orang anggota komunis PARAKU dimana mereka telah meletakkan senjata dan menjalani proses pemutihan sebelum kembali kepada masyarakat umum dan meninggalkan 200 anggota komunis tegar yang masih teguh pendirian ideologi komunisme mereka.

Detik apabila berlakunya Insurgensi Kedua yang bermula dari tahun 1969 hingga 1989, mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng yang masih berada di Sarawak menangani PARAKU dipanggil pulang ke semenanjung bilamana ancaman PKM kembali menular, dengan serangan dibuat keatas Ketua Polis Perak, mendiang Datuk Khoo Cong Kong yang terbunuh dalam serang hendap menyebabkan Tan Sri Yuen Yuet Leng pada ketika itu dipilih untuk menerajui kedudukan sebagai Ketua Polis Perak pada tahun 1975.

Kembali ke laman asal beliau, kegiatan pengganas komunis PKM di kawasan pekan dan bandar seluruh Perak berjaya di patahkan dan dihapuskan seluruhnya dalam masa 5 tahun.

Rundingan Damai Haatyai pada tahun 1989 memperlihatkan usaha mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng dan bekas Inspektor General Tan Sri Rahim Noor memainkan peranan utama yang membawa kepada pertemuan pihak komunis dan pemerintah Malaysia kepada rundingan damai.

Jasa mendiang sewaktu berkhidmat didalam pasukan polis adalah sukar untuk ditandingi. Keberanian dan kecemerlangan serta keupayaan mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng dalam peperangan melawan insurgensi, peperangan psikologi dan pendekatan beliau dalam memenangi hati dan pemikiran rakyat serta usaha pemutihan kalangan pengganas yang menyerah banyak membantu negara ini menuju keamanan.

Ini adalah kisah seorang rakyat Malaysia yang kesetiaannya adalah pada raja dan negara, yang mana sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir, kata-kata hikmat “NEGARA SEBELUM DIRI SENDIRI” tetap tersemat utuh di hati dan tindakan beliau.

Tan Sri Yuen Yuet Leng menghembuskan nafas terakhir pada 1 Oktober 2015 akibat serangan jantung.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada negara, dan jasanya yang membawa Malaysia menjadi aman dan makmur adalah sangat sukar untuk ditandingi.

Beliau dan ramai lagi figura yang dilupakan dan tidak dikenali oleh rakyat Malaysia sendiri mengingatkan kita bahawa perjuangan untuk keamanan negara adalah satu perjuangan yang sukar dan berdarah, dan ia harus dikekalkan, diingati dan tidak dipersiakan.

-NATION BEFORE SELF-

P/S – Anda boleh membaca 2 karya penulisan Tan Sri Yuen Yuet Leng berkenaan pengalaman beliau sewaktu melawan insurgen komunis yang bertajuk Operation Ginger dan Nation Before Self. Kedua-duanya memberikan pembaca satu gambaran bagaimana pengorbanan dan keutamaan kepada negara seharusnya dilaksana.

Sumber rujukan untuk pembacaan lanjut boleh didapati di pautan berikut :

Liew, S.L. (2015) Farewell thee, Beloved Son of Malaysia. [1 October 2015] available from <http://themalaysianpatriot.blogspot.my/2015/10/farewell-thee-beloved-son-of-malaysia.html> [30 July 2018]

Francis, J. (2015) A Key Figure Against Communism Insurgence In Perak. [16 October 2015] available from <http://www.ipohecho.com.my/v4/article/2015/10/16/a-key-figure-against-communist-insurgence-in-perak> [30 July 2018]

Arkib Negara Malaysia (1992) Kenali Tokoh: Dato’ Seri Yuen Yuet Leng. [18 November 1992] available from <http://www.arkib.gov.my/web/guest/dato-seri-yuen-yuet-leng> [30 July 2018]

VAT-69 – Perjuangan Semalam Facebook Page (2015) MENDIANG Tan Sri Yuen Yuet Leng. [8 October 2015] available from <https://www.facebook.com/notes/vat-69-perjuangan-semalam/mendiang-tan-sri-yuen-yuet-leng/912321255484099/?fref=mentions> [30 July 2018]

Kredit foto kepada The Malaysian Reserve


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

A Seaman is not only a Navigator, but also a Merchant and a Soldier. "Through the seas we are strong. Jalesveva Jayamahe." 1. Diploma Nautical Studies, ALAM (2009). 2. Combined Mate and Master, A1MC, ALAM (2014). 3. COC Class 3, MARDEP Malaysia.

Comments are closed.