Zaman dulu, ulama lah yang menentukan cara untuk mentarbiyah umat. Zaman sekarang terbalik, ulama yang kena ikut kehendak netizen macam mana corak dakwah yang kena dengan selera tekak mereka.

Masyarakat pula yang tentukan ustaz ni best, ustaz ni tak best. Ustaz ni pandai buat lawak, ustaz ni pandai nyanyi, ustaz ni popular. Syeikh tu tak alim sebab takda PhD, Tok guru tu bosan sebab baca kitab kuning je, ustaz tu bukan parti kita, ustaz tu keras, ustaz tu tak popular.

Inilah punca kerosakan dan kekeliruan yang berlaku dalam “budaya Ilmu” masyarakat. Loss of Adab. Letak duduk ilmu itu bukan pada tempatnya. Tak dapat beza antara ilmu dan maklumat, hakikat dan retorik. Ilmu itu sepatutnya di ambil dari ulama secara bersanad mengikut kaedah 5 Rukun Ilmu. Inilah Turath iaitu tradisi pengajian para ulama sejak zaman Rasulullah.

Orang zaman dulu mengaji agama secara talaqqi bersanad dari generasi ke generasi hingga sampai kepada Rasulullah. Pengajian bersanad secara Riwayah (Penyampaian), Dirayah (Pemahaman) dan Tazkiyah (Penyucian). Barulah kefahaman agama tu selari dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah.

Ini kerana ilmu diwarisi secara seragam dari Rasulullah kepada Salafus Soleh iaitu Sahabat, Tabien dan Tabi’ Tabien, kemudian diteruskan oleh ulama Khalaf, ulama mutaakhirin lalu sampai kepada Penuntut Ilmu. Bukan hanya ilmu Hadis, bahkan kesemua ilmu Islami pasti ada sanadnya sama ada ilmu Quran, Akidah, Fiqh, Tasawwuf dan lain-lain.

Ulama itu pewaris nabi, dan sanad itu sebahagian dari agama. Maka tengok lah dari siapa ilmu itu diambil. Kalau bukan kerana sanad, sesiapa saja boleh berkata sesuka hatinya. Kalau bukan dari kefahaman ulama, maka ‘ilmu’ yang diperoleh itu, bukan dari suluhan Nubuwwah.

Tapi orang sekarang dah tak ikut sanad-sanad tu dah. Mereka tak hirau pun Sanad Riwayah ke Sanad Dirayah ke Sanad Tazkiyah ke. Yang mereka pakai hanyalah “Sanad Populariti”. Semakin tinggi populariti si penceramah tu, semakin mutawatir dan qatie lah segala dakwaannya.

Mengaji pulak bukan berguru secara Talaqqi kitab, tetapi hanya melalui Media Sosial sahaja. Terkadang, ‘ilmu’ yang tersebar di Media Sosial ini bukanlah dari Sanad para ulama pun. Maka bagaimana ilmu yang kita dapat itu akan sama seperti Rasulullah sampaikan jika Sanadnya terputus?

Maka lahirlah golongan Jahil Murakkab. Kemudian, golongan yang Jahil Murakkab ini pula lah yang menjadi penceramah di Media Sosial hingga melahirkan golongan Jahil Murakkab yang lain pula. Dan trend ini terus berputar sehingga membentuk “budaya ilmu” netizen.

Ilmu agama yang sahih kian hilang. Masyarakat dah tak ambil ilmu dari para ulama Turath. Para ulama Turath yang mewarisi sanad-sanad ilmu pula belakangan ini semakin ramai yang meninggal dunia. Ini seperti sabdaan Rasulullah,

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat tokoh dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan”. (Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari)

Masyarakat mengangkat orang-orang jahil sebagai tokoh rujukan. Mereka pandai memetik hadis itu ini, goreng sesedap rasa. Namun hadis itu tidak dihurai mengikut kefahaman sebenar kerana ilmu tidak diambil secara bersanad. Maka berlakulah kesesatan walaupun mereka mendakwa mengikut Hadis Sahih sekalipun. Seperti sabdaan Rasulullah,

سَيَخْرُجُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ

“Akan muncul di akhir zaman suatu kaum yang usianya masih muda mentah, akalnya cetek, mereka berucap dengan perkataan Khairil Bariyah (hadis), mereka membaca al-Quran namun tidak sampai melewati kerongkongan mereka (tidak memahami maksudnya), mereka keluar dari agama sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari & Muslim)

Asalkan cakap sedap, pandai petik hadis, maka terus diperulamakan oleh masyarakat walaupun huraiannya salah dan sesat. Baca terjemahan Hadis di Internet, faham sendiri, tafsir sendiri, hurai sendiri. Masyarakat dah tak dapat beza dah mana satu ulama haq dan mana satu penceramah retorik. Seperti sabda Rasulullah,

وَسَيَأْتِي زَمَانٌ قَلِيْلٌ فُقَهَاؤُهُ، كَثِيْرٌ خُطَبَاؤُهُ، كَثِيْرٌ سُؤَّالُهُ، قَلِيْلٌ مُعْطُوهُ،الْعِلْمُ فِيْهِ خَيْرٌمِنَ الْعَمَلِ

“Dan akan datang suatu zaman yang Ulamanya sedikit dan (Khutaba’) Penceramahnya ramai, peminta-minta banyak dan yang memberi sedikit, berilmu pada waktu itu lebih baik dari beramal.” (Hadis Riwayat at-Tabrani).

Hari ini memang kita melihat ulama semakin berkurangan kerana ramai yang telah meninggal dunia. Dan kita juga dapat melihat masyarakat mengangkat orang jahil yang hanya pandai berceramah untuk dijadikan rujukan. Bukankah kita sering lihat netizen memandai-mandai bercakap dihiasi istilah-istilah Islamik?

Kemudian segala gorengan mereka diakhiri dengan kalimat “Wallahualam”, padahal mereka sendiri tak faham benar pun apa yang mereka sebutkan, mereka sendiri tidak faham landasan ilmu dan segala makna-makna perkataan mereka. Hakikatnya, mereka hanya menyebarkan kesesatan semata-mata.

Para ulama yang faqih dah tak dirujuk sebab tak popular. Stesen TV hanya ambik penceramah yang sedap menggoreng sahaja. “Ustaz-ustaz ekspres”. Tok guru yang mengajar kitab secara bersanad tak diangkat sebab rating tak tinggi. Maka pengajian agama yang berlegar dalam masyarakat tidak lebih hanyalah seperti sebuah bentuk “hiburan” sahaja. Ini seperti sabdaan Rasulullah,

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dipercayai sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara. Ada yang bertanya, “Apa maksud Ruwaibidhah?”. Baginda menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan umat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Maka tunggang terbaliklah kefahaman agama. Kerana itulah kini kita melihat pelbagai kekeliruan dan pertikaian bab agama dalam kalangan masyarakat awam. Dunia semakin maju, tapi kefahaman agama semakin dangkal. Kerosakan kefahaman agama ini adalah satu bentuk tanda kiamat seperti sabda Rasulullah,

ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ ,قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ,قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

“Jika amanah telah disia-siakan, tunggulah kiamat terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya ; “Bagaimana maksud amanah disia-siakan?” Nabi menjawab; “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kiamat itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.