Seindah namanya, jambatan pejalan kaki Saloma Link tersergam indah merentasi Sungai Klang dan Lebuhraya Akleh, dengan pemandangan menara berkembar Petronas sebagai latarbelakang. Jambatan ini direka oleh firma arkitek tempatan Veritas Design Group untuk Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Saloma Link dibina bertujuan menghubungkan kawasan Kampung Baru dengan Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) yang dipisahkan oleh Sungai Klang dan Lebuhraya E12 (Akleh). Rekabentuk Saloma Link yang unik ini telah diinspirasikan daripada gubahan Sirih Junjung yang merupakan satu adat resam di dalam masyarakat melayu.

Saloma Link berkepanjangan 370 meter dengan laluan berbumbung sepanjang 69 meter. Jambatan pejalan kaki ini menghubungkan Lorong Raja Muda Musa 3 berhampiran LRT Kampung Baru dengan Jalan Saloma, bersebelahan Menara Public Bank.

Binaan ini menggunakan besi keluli sebagai bahan utama kerangka, dihiasi dengan 4098 lampu LED yang berinteraktif menghasilkan pelbagai paparan warna dan imej pada fasad jambatan ini di waktu malam.

Paparan lampu LED Saloma Link pada waktu malam. Sumber gambar : Instagram @alexandro_d.ng

Pembinaannya menelan belanja sebanyak kira-kira RM30 juta dan memakan masa selama 18 bulan untuk siap. Perjalanan dari KLCC ke Kampung Baru yang biasanya mengambil masa 30 minit mampu dikurangkan selama 7 minit dengan menggunakan jambatan ini.

Dalam adat Melayu, Sirih Junjung sangat sinonim dengan majlis pertunangan atau perkahwinan. Dalam adat meminang atau merisik, kebiasaannya Sirih Junjung akan dijadikan sebagai ‘penghulu hantaran’ atau ‘kepala adat’ yang melambangkan kesantunan daripada keluarga pihak lelaki kepada keluarga pihak perempuan.

Secara adatnya, juadah akan dihidangkan oleh tuan rumah buat tetamu yang datang. Tetapi dengan membawa Sirih Junjung yang pada ketika itu merupakan juadah ‘pembasah mulut’ atau pembuka bicara, rombongan yang datang memberi isyarat bahawa mereka datang membawa suatu hasrat atau perkara yang mustahak untuk dibincangkan bersama keluarga tuan rumah.

Contoh gubahan sirih junjung. Sumber gambar: Instagram @rent_her_wedding

Sirih Junjung juga merupakan satu lambang kerendahan hati dari pihak lelaki, dengan berharap agar hasrat mereka disambut baik oleh tuan rumah disamping mengingatkan tuan rumah supaya membalas dengan adab dan santun sekiranya hasrat itu ditolak, tanpa menjatuhkan air muka rombongan yang datang.

Susunan sirih junjung yang kemas dan rapi itu melambangkan pengharapan agar hasrat penyatuan yang dihajatkan berlangsung dengan tertib dan teratur.

Penggunaan sirih junjung sebagai metafora kepada rekabentuk jambatan ini merupakan satu simbolik ‘perkahwinan’ yang menyatukan kawasan pusat bandar Kuala Lumpur (KLCC) dengan kawasan Kampung Baru yang telah sekian lama dipisahkan oleh laluan Sungai Klang dan Lebuhraya Akleh.

Dengan kata lain, Saloma Link telah menghubungkan bahagian lama dan baru Kuala Lumpur. Ianya merupakan sebahagian daripada masterplan “Greater KL” yang turut direka oleh Veritas Design Group.

Jambatan pejalan kaki ini menyediakan kemudahan akses yang universal kepada pejalan kaki, pengguna kerusi roda mahupun penunggang basikal yang membuka peluang kepada lebih ramai pengunjung ke kawasan Kampung Baru.

Saloma Link bukan sahaja menjadi laluan utama pejalan kaki ke Kampung Baru tetapi juga berfungsi sebagai tempat berkumpul, dan sebagai sebuah tarikan baru yang ‘insta-worthy’ di Kuala Lumpur.

RUJUKAN:

  • Choong, M. Y. (2020, Februari 5). Long Awaited Pedestrian Bridge Saloma Link Opens Today.
  • Veritas Design Group. (2020). Pintasan Saloma.
  • (2020). Led-Lit Saloma Link Connecting Kampung Baru To Nearby Klcc Is Now Open.
  • Perpustakaan Negara Malaysia. (2011). Sirih Junjung.
  • Hasanuddin Md Isa. (2011, Mac 30). Persoalan Yang Melingkari Sirih Junjung Sebagai Kepala Hantaran.
  • Noriati Abd. Rashid. (2005) . Kesantunan Orang Melayu Dalam Majlis Pertunangan. Tg. Malim, Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak kelahiran pasangan pelukis batik dan penggiat seni kraf melayu dari Perlis, Ahmad Syahir merupakan seorang Assistant Architect dan penggiat seni Visualisasi 3D senibina. Kini sedang mengejar Master dalam bidang senibina di UTM. Dari sudut pandangnya sebagai anak seni, alam merupakan karya Tuhan yang menyimpan seribu satu rahsia tentang Pelukisnya. Segala yang ada adalah seni yang mempunyai maksud dan mampu ditafsir. Penulisan cenderung kepada Alam Melayu dan Eksplorasi Karya.

Comments are closed.