Kumpulan ahli paleontologi di Argentina baru-baru ini mengenalpasti spesis dinosaur baru yang hampir tidak mempunyai lengan. Nama spesis dinosaur baru itu ialah Guemesia ochoai.
Mereka mengenalpasti spesis dinosaur ini melalui kajian ke atas tengkoraknya yang pada mula-mulanya milik kumpulan dinosaur yang karnivor bernama abelisaurid yang pernah menetap di Eropah, Afrika, Amerika Selatan, dan India sebelum pupus sekitar 66 juta tahun lalu.
Tengkorak G. ochoai ialah satu-satunya fosil dinosaur yang ditemui di barat laut Argentina dan dianggarkan ia hidup sekitar 70 juta tahun dulu. Tambahan lagi, otak spesis dinosaur baru ini adalah paling kecil antara dinosaur lain.
Walaupun kumpulan dinosaur bernama abelisaurid ini ialah haiwan karnivor, lengan haiwan ini hampir ‘bersatu’ dengan tubuhnya, tidak ada siku malah cakar sekalipun! Tidak seperti dinosaur T-Rex yang sekurang-kurangnya mempunyai lengan kecil.
Tapi jangan pandang rendah kepada kumpulan abelisaurid ini. Walaupun hampir tiada lengan, mereka masih mampu menumpaskan mangsa lebih besar hanya menggunakan rahang yang kuat dan gigi setajam pedang yang mematikan mangsa.
Dalam kes G. ochoai, tidak dikenal pasti apakah saiz dinosaur abelisaurid ini kerana tengkoraknya saja yang ditemui. Namun menurut siaran akhbar dari United Kingdom’s Natural History Museum, saiz dinosaur ini serupa dengan saiz dinosaur bernama Carnotaurus sastrei, juga ‘saudara’ abelisaurid dari Afrika Selatan yang hidup pada 71 juta tahun lalu. Tapi G. ochoai mempunyai tengkorak yang lebih kecil dan tidak bertanduk seperti ‘saudaranya’.
Melalui kajian ini, ternyata kumpulan abelisaurid pernah menyebar luas ke Amerika Selatan bermula dari Afrika. Ketika benua kuno dahulu bernama Gondwana mula berpecah, kumpulan dinosaur ini mampu beradaptasi terhadap kedua-dua ekosistem benua yang telah terpisah.
Mengapa lengan mereka sebegitu masih menjadi misteri. Mungkin disebabkan evolusi dari moyang dinosaur ini yang pernah mempunyai lengan dan berfungsi dengan baik.
Walaupun tengkorak abelisaurid ini satu-satunya ditemui di Argentina, namun pembentukan tengkorak ini berbeza dengan tengkorak dinosaur abelisaurid lain. Tengkorak G. ochoai mempunyai beberapa lubang kecil, berkemungkinan berfungsi untuk panaskan kepala dinosaur dengan pamkan darah ke permukaan kulit dan kemudian keluarkan haba.
Semasa fasa Cretaceous Akhir, benua Amerika terbahagi kepada dua ekosistem berbeza akibat terpisah oleh laut, iaitu timur laut dan barat daya Amerika.
Dari pemisahan ini, wujud sistem adaptasi dalam kalangan dinosaur abelisaurid yang menetap di benua Amerika Selatan. Masih banyak masa lagi untuk ahli paleontologi Argentina meneroka dunia dinosaur Amerika Selatan ini
RUJUKAN:
Cassella, Carly. 21 February 2022. Newly Discovered Dinosaur From Argentina Belongs to a Rather ‘Armless’ Family. Science Alert.




No comments yet