Hukum orbit bukan satu kelainan zaman ini. Setiap planet mempunyai paksinya, seperti Bumi yang setia mengelilingi Matahari.
Malah sang suria pun ada paksi tersendiri, yakni mengelilingi Pusat Galaksi.
Setiap saat, Matahari bergerak dengan kelajuan 220 kilometer. Dan Matahari mengambil masa selama 225 juta tahun untuk melengkapkan satu pusingan.
Jujur cakap, usia Matahari membuatkan semuanya muda. Setiap 365 hari, Bumi melengkapkan satu tahun suria. Setiap 225 juta tahun, Matahari melengkapkan satu tahun galaktik.
Jadi ikut kiraan ini, Matahari baru berusia 20.44 tahun galaktik. Masih anak muda. Ia dijangka akan mati ketika berusia 50 tahun galaktik.
Banyak benda akan berlaku sebelum Matahari mati… terutamanya pada hukum orbit yang diceritakan tadi. Orbit menjadi faktor penentu dalam bab kehidupan planet.
Kedudukan Bumi elok di sweet spot yang tidak terlalu jauh atau terlalu dekat.
Tetapi satu hari, kedudukan Bumi akan hilang kesesuaiannya… kerana fitrah bintang adalah mengembang. Bermakna Matahari sekarang sedang mengembang.
Dalam Perjalanan Menjadi Warga Emas
Matahari kini masih lagi dalam keadaan dara sunti yang elok untuk menampung kehidupan.
Namun dalam masa 22 tahun galaktik (lima bilion tahun suria), Matahari akan memulakan proses pembakaran helium.
Saiznya akan mengembang sampai jadi sebutir gergasi merah (red giant) macam Aldebaran misalnya (Scudder, 2015).
Utarid akan dibaham dulu, sebelum Zuhrah pula menjadi makanan. Saintis hampir pasti yang Bumi juga akan ditelan sekali (Tillman, 2018).
Semua kehidupan ketika ini sudah pupus. Air laut akan mendidih kerana terlalu panas. Cuaca menjadi mirip neraka. Bakteria pun takkan mampu hidup. Itulah nasib alam ini nanti.
Mengambil Contoh Daripada Sistem Lain
Situasi sebegini menggambarkan kiamat. Jujurnya, orang ramai tidak perlu kisah pun. Kerana masa itu, jasad semua orang zaman sekarang sudah sebati dengan tanah.
Tetapi ilmu angkasa tidak wajar dihadkan pada konsep masa. Pengetahuan adalah penting, kerana gambaran ini sedang berlaku di sistem suria lain.
Nun jauh dari Bumi, ada tiga planet – TOI2337b, TOI4329b dan TOI2669b – sekarang sedang menghadapi malapetaka ini.
Ketiga-tiga planet ini adalah exoplanet, yakni planet-planet di luar lingkaran pengaruh Matahari. Sehingga tahun 2017, saintis sudah jumpa 3,667 eksoplanet di dalam 2,747 sistem berplanet.
Teknologi pencerapan (observation) sekarang sangat terhad. Walaupun berteknologi tinggi, angkasa terlalu besar.
Jadi saintis tidak tahu keadaan tiga eksoplanet ini sebelum malapetaka bermula.
Ikut keadaan sekarang, eksoplanet-eksoplanet ini bersifat gas giant seperti Musytari. Orbit mereka keliling bintang sistem pun kecil sahaja, berbeza untuk dibandingkan dengan Utarid.
Dan sekarang bintang ini pula sekarang sedang mengembang. Maknanya, tidak lama lagi – ketiga-tiga planet ini akan hilang buat selamanya, menjadi makanan bintang (Saunders, et al., 2022).
Saintis berpendapat ini adalah perkara biasa. Cuma mereka terkejut tengok betapa cepatnya planet-planet ini dimakan. Mereka menjangka dalam masa sejuta tahun sahaja.
Bunyi macam singkat… tetapi kalau ikut kalendar galaktik, dalam masa 1.6 hari galaktik sahaja.
Singkat, bukan?
Tiada Apa Yang Kekal
Angkasa adalah alam yang mana saintis cakap hukum-hukum fiziknya sangat relatif. Masa itu sendiri seolah-olah tidak mengalir seperti sungai di alam angkasa.
Cara terbaik untuk meramal nasib Sistem Suria adalah dengan cara tengok sistem lain.
Kerana peristiwa-peristiwa yang akan berlaku… sebenarnya “sudah berlaku dalam keadaan belum berlaku”.
Jangan baca secara literal. Faham secara falsafah. Atau dengan kata mudah, ilmu Allah itu luas.
RUJUKAN:
Saunders, N., et al. (2022). TESS Giants Transiting Giants II: The hottest Jupiters orbiting evolved stars. The Astronomical Journal.
Scudder, J. (2015, Februari 12). The sun won’t die for 5 billion years, so why do humans have only 1 billion years left on Earth? The Conversation.Tillman, N. (2018, Mac 28). Red giant stars: facts, definition & the future of the sun. Space.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih